Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR PUTRAJAYA 13 Jan. - Hari Wilayah Persekutuan 2014 akan diraikan secara sederhana tetapi meriah ekoran langkah Kementerian Wilayah Persekutuan memotong peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tujuan sambutan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah penjimatan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung inisiatif penjimatan negara baru-baru ini. Jelasnya, pihaknya memperuntukkan hanya RM1.78 juta iaitu RM980,000 bagi sambutan di Kuala Lumpur, RM430,000 (Putrajaya) dan RM370,000 (Labuan). "Tema kali ini mudah, 'Wilayah Persekutuan Ceria' kerana apa yang berlaku warga Wilayah Persekutuan selalunya muram dan nampak tertekan ketika memandu, jadi tema ini dipilih supaya mereka ceria. "Saya juga berbincang dengan Ketua Setiausaha kementerian dan telah mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan mengenai pembatalan pertandingan Golf Diraja, majlis perasmian dan majlis pelancaran kerana ia melibatkan kos perbelanjaan yang besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau memberitahu, sambutan tetap meriah kerana pelbagai acara telah dirangka untuk dianjurkan di ketiga-tiga wilayah itu. Ujarnya, antara program itu ialah Konvoi Berbasikal dan Kenduri 1Wilayah Persekutuan. Turut diadakan ialah istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan, Forum Perdana, majlis tahlil dan doa selamat. "Program-program yang dilaksanakan kali ini pastinya berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. "Bagaimanapun, kita akan pastikan sambutan akan disemarakkan dengan melambangkan Wilayah Persekutuan sebagai harmoni, prihatin, maju, sejahtera, penuh semangat muhibah dan integrasi," katanya Tengku Adnan memberitahu, beliau optimis untuk menjadikan Wilayah Persekutuan bandar ceria dari aspek persekitaran yang bersih serta indah dengan pembinaan perumahan yang kondusif dan selamat. Beliau juga mahu sistem pengangkutan dan jaringan lalu lintas di ketiga-tiga wilayah itu berteknologi tinggi dan seterusnya memperluaskan jalinan antara masyarakat. |
Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN Keadaan pesisiran pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, Selangor yang kotor dan tercemar. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN KLANG 13 Jan. - Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang di sini antara lokasi pelancongan domestik yang menjadi tumpuan ramai terutama dalam kalangan penduduk Lembah Klang. Ini kerana persisiran pantainya yang indah dipenuhi pasir dan batu-batu kecil menjadi tarikan pengunjung melakukan pelbagai aktiviti bagi mengisi masa lapang. Tidak hanya menikmati keindahan pemandangan laut serta kapal yang berlayar di tengah lautan, bermain layang-layang atau berkelah ia turut menjadi tumpuan kaki pancing. Selain dilengkapi kemudahan seperti gerai menjual makanan laut dan minuman, turut disediakan surau, tandas awam serta selain kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan orang ramai. Bagaimanapun, kiriman e-mel dan gambar oleh seorang pembaca Utusan Malaysia, Zuraihah Mohd. Wazir minggu lalu menunjukkan pesisiran pantai Tanjung Harapan yang jaraknya hanya 12 kilometer (km) dari pusat bandar Klang dan 20 km dari Shah Alam dicemari sampah sarap. Utusan Malaysia percaya sikap pengunjung pantai yang membiarkan sampah sarap seperti sisa makanan, botol plastik dan tin minuman punca kawasan sekitar pantai itu tercemar. Tinjauan ke lokasi terbabit hari ini mendapati dakwaan pembaca itu sememangnya berasas. Kelihatan sampah sarap seperti botol-botol kaca termasuk tin minuman keras, kayu-kayu tajam yang bersepah, bekas plastik makanan dan minuman bersepah di merata-rata tempat. Tinjauan turut mendapati, tong sampah yang disediakan di sepanjang kawasan pantai itu, tidak digunakan sepenuhnya oleh pengunjung. Selain itu, parit dan saliran di sekitar kawasan itu juga dipenuhi sampah sarap sehingga menyebabkannya tersumbat. Kehadiran burung gagak di pesisiran pantai itu sekali gus membayangkan keadaan kotor dan tercemarnya pantai itu. Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang bertanggungjawab menjaga kawasan tersebut perlu mengambil tindakan segera agar masalah itu tidak menjadi semakin serius. Sebagai destinasi popular sudah pasti masalah tersebut memberi kesan negatif kepada persekitaran selain menjejaskan imej negara di mata pelancong asing yang mengunjung pantai tersebut. |
Pengunjung kesal, minta MPK segera bertindak Posted: 13 Jan 2014 10:24 AM PST KLANG 13 Jan. - Rata-rata pengunjung pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang dekat sini melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah pihak yang menyebabkan kawasan pantai di situ dicemari sampah. Sehubungan itu, mereka menggesa pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang sampah sesuka hati di kawasan itu. Seorang pengunjung, Haslindah Ruslan, 43, berkata, sikap tidak bertanggungjawab pengunjung luar adalah antara faktor utama kawasan peranginan itu kotor. Katanya, keadaan itu bukan sahaja menyakitkan mata memandang, tetapi juga menjejaskan keselamatan dan keselesaan pengunjung. "Kawasan ini sememangnya terkenal dengan makanan laut dan satu-satunya kawasan tumpuan warga Klang atau Shah Alam untuk beriadah bersama-sama keluarga selain di Pantai Morib. "Jika keadaan ini tidak diatasi, sudah tentu ia memberi imej buruk kepada pelancong luar," katanya. Rakannya, Zuraihah Wazir, 48 pula berkata, dia dikejutkan dengan keadaan kotor dan tercemar di pantai itu ketika menyaksikan sambutan Tahun Baharu lalu. Menurutnya, bukan sahaja sampah sarap seperti plastik, tin kosong dan kertas, lebih mengejutkan terdapat juga perabot lama dibuang di kawasan itu. "Pihak bertanggungjawab perlu mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini. Jika ia dibiarkan berterusan ke mana lagi pengunjung mahu menjalankan aktiviti-aktiviti di tepi pantai," katanya. Turut menyuarakan rasa kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab itu, Mohd. Adi Rosli, 27. Dia yang merupakan salah seorang pekerja di sebuah kedai makan di situ berkata, keadaan bertambah buruk dengan sikap sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab membakar timbunan sampah di kawasan itu. "Memang ada pihak pihak kontraktor melakukan kerja-kerja pembersihan, namun jika sikap sedemikian berterusan sudah tentu pantai di sini kembali kotor," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |