Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST PETALING JAYA 16 Jan. - Pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak mengaku di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini, dia tidak membayar sewa rumah kelamin berjumlah RM3,000 sebulan setelah keluar dari rumah berkenaan bermula awal Januari 2012. Katanya, rumah tersebut di Kota Damansara pada ketika itu diduduki oleh pelakon, Rita Rudaini dan dua anaknya manakala sewa berkenaan dibayar oleh bekas isterinya itu. Berikutan itu, Mohamad Aidil, 27, menarik balik keterangannya sebelum ini bahawa dia tidak pernah culas membayar nafkah untuk Rita dan anak-anaknya. Perkara itu dibangkitkan peguam syarie yang mewakili Rita, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain dalam sesi soal balas terhadap pemain pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu. Sebelum itu Mohd. Zaidi mempersoalkan sama ada Mohamad Aidil selaku defendan berbohong dalam keterangannya sebelum ini. "Saya tidak berbohong, cuma keterangan pada 4 Disember 2013 itu tidak tepat," kata Mohamad Aidil yang sah bercerai dengan Rita pada 4 Ogos 2013. Tegasnya, semasa tinggal bersama keluarganya itu, dia tidak menetapkan jumlah diperuntukkan untuk perbelanjaan bulanan anak-anaknya namun menganggarkan sekitar RM700 mengikut keperluan. Katanya, jumlah itu meliputi perbelanjaan lampin pakai buang dan susu manakala RM500 diperuntukkan untuk pakaian. Mohamad Aidil memberitahu, dia memperuntukkan RM3,000 untuk ansuran bulanan kereta BMW 3 Series dan motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Monster yang masing-masing berjumlah RM2,000 dan RM1,000, selain sewa rumah RM2,500. Dia yang ketika itu sebagai pemain bola sepak bagi pasukan Negeri Sembilan dengan pendapatan antara RM8,000 sehingga RM10,000 menganggarkan mengeluarkan peruntukan sekitar RM5,000 sebulan untuk keluarganya. Namun menurutnya, pada 2012, dia bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan memperoleh pendapatan bersih RM12,000 dan berpindah ke rumah baharu disediakan majikannya itu di USJ1, Subang Jaya. Mohamad Aidil yang diwakili oleh peguam syarie, Roshdan Sujak Rafie berkata demikian dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah dua anaknya yang dikemukakan oleh Rita di hadapan Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah. |
Sebutan semula kes bunuh Ahmad Raffli 28 Januari Posted: 16 Jan 2014 10:14 AM PST Harun Mat Saat (berkerusi roda) dan isterinya, Azida Mohd. Zol (dua dari kanan) ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam. KUANTAN 16 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 28 Januari ini sebutan semula kes ketua ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat dan tiga pengikutnya berhubung tuduhan membunuh Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek, November tahun lalu. Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Khalmizah Salleh memaklumkan bahawa dokumen yang perlu diserahkan kepada pihak pembelaan hari ini masih belum siap. Peguam Hermes Media Putra Ibrahim yang mewakili keempat-empat tertuduh juga tidak hadir pada prosiding hari ini. Pada 16 Disember lalu, seorang daripada pengikut ajaran sesat itu, Sumustapha Suradi, 40, menghadapi tuduhan membunuh Ahmad Raffli bersama-sama dua lagi yang masih bebas di rumah mangsa di Nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 November tahun lalu. Tertuduh dari Kampung Sibugal Besar, Sandakan, Sabah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori. Sementara itu, Harun, 48; isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 31, dan seorang lagi pengikutnya, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, didakwa bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas untuk bersetuju antara satu sama lain melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli. Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama yang bertentangan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |