Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Tolak cadangan wakil rakyat DAP Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST Rahmad Isahak PULAU PINANG 6 Jan. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor digesa menolak atau tidak mengiktiraf cadangan wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988. Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, pendirian itu perlu memandangkan apa jua cadangan DAP adalah tidak sah memandangkan kedudukan Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC) parti itu tidak boleh berfungsi sehingga diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS). Sehubungan itu, tambah beliau, wakil rakyat DAP tidak mempunyai hak untuk mencadangkan sesuatu isu melainkan mereka mengisytihar sebagai wakil rakyat Bebas. "Jika tetap berkeras dengan niat mencabar kedudukan Islam dan maruah orang Melayu di negara ini, wakil rakyat DAP terbabit perlu terlebih dahulu mendapatkan perintah mahkamah melalui permohonan semakan kehakiman bagi membatalkan arahan ROS bertarikh 6 Disember tahun lalu. "Jadi, kita minta kerajaan PKR Selangor tidak menghalalkan usul 'haram' berkenaan dan semua wakil rakyat Islam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu menentang sebarang usaha menghina serta memperlekeh Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau mengulas cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin; ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San seperti dilaporkan sebuah portal berita propembangkang supaya Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga. Dalam pada itu, Rahmad menggesa mana-mana pihak supaya tidak lagi bermain api dengan menyentuh isu berkaitan umat Islam di negara ini. "Kesabaran umat Islam ada batasnya dan jangan sampai kedudukan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum yang selama ini dinikmati semua rakyat menjadi renggang akibat permainan politik kotor seperti ini," katanya. |
Cadangan DAP pinda Enakmen Agama Bukan Islam gopoh - Pas Posted: 06 Jan 2014 11:03 AM PST KUALA LUMPUR 6 Jan. - Pas menyifatkan cadangan wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 sebagai perbuatan tergopoh-gapah yang tidak mewakili pandangan pakatan pembangkang. Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun DAP berhak menyatakan pandangan mereka, namun cadangan untuk meminda enakmen tersebut sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu. "Pindaan itu bidang kuasa kerajaan negeri...Apa (cadangan) yang dipinda, kita pun tak tahu. "Tetapi saya penuh percaya Menteri Besar dan Exco Agama akan ambil langkah bijaksana, saya ucapkan tahniah Exco agama negeri mengambil pendirian untuk mengadakan perjumpaan dengan semua pihak termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan gereja," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Mahfuz berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menentukan pendirian sama ada kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian atau tidak, memandangkan kalimah yang sama boleh digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak. Menurutnya, sebuah jawatankuasa kaukus di peringkat Parlimen perlu ditubuhkan untuk membincangkan isu tersebut dan isu kenaikan harga barang. Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad pula berkata, pendirian Pas melalui Majlis Syura adalah jelas mengenai penggunaan kalimah Allah, iaitu mengizinkan bukan Islam menggunakannya tetapi tidak boleh disalahgunakan. Menurutnya, pakatan pembangkang akan mengadakan perbincangan segera tentang isu tersebut dan ia perlu diambil dengan langkah lebih berdiplomasi manakala sebarang keputusan mesti dibuat secara persetujuan bersama. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |