Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Penduduk rayu bekalan air bersih
- Peta berkaitan banjir siap dua tahun lagi
- YPKT semarakkan tulisan jawi
Penduduk rayu bekalan air bersih Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST Oleh TOREK SULONG Zuki Nazari Mohamad menunjukkan perbezaan kualiti air dari perigi di rumahnya berbanding air mineral di Kampung Raja Dagang Semerak, Pasir Puteh, semalam. PASIR PUTEH 9 Jan. - Lebih 100 keluarga di Kampung Raja Dagang Semerak di sini terpaksa menggunakan air yang berbau 'masam dan berasa kelat' untuk mandi dan membasuh pakaian sejak sekian lama. Penduduk di kawasan tersebut mendakwa mereka tidak mendapat bekalan air bersih kerana kos untuk menyalurkan air ke kampung itu terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh penduduk. Seorang penduduk, Zuki Nazari Mohamad, 39, berkata, sebilangan besar penduduk terpaksa membeli bekalan air bersih yang ditapis untuk minum dan memasak setiap hari. Katanya, biarpun terpaksa menanggung beban harga yang tinggi, namun penduduk tidak ada pilihan kerana kualiti air yang diambil dari telaga tiub yang digali terlalu teruk, berbau dan tidak pasti tahap kebersihannya. "Kami terpaksa menggali telaga tiub dan perigi kerana jarak punca bekalan air bersih terlalu jauh daripada kediaman mereka dan harga pemasangan paip adalah di luar kemampuan. "Rumah saya dan beberapa jiran terletak kira-kira 300 meter dari jalan utama yang terdapat paip besar jaringan bekalan air dan kos untuk pemasangannya bermula RM2,800 hingga RM3,000. Ini terlalu mahal untuk kami semua," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini. Zuki Nazari berkata, pihaknya amat berharap bantuan daripada kerajaan negeri untuk memasang paip di kawasan itu bagi mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh penduduk. Katanya, mereka tidak ada pilihan selain daripada mengharapkan ihsan daripada kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Ahmad Yaakob untuk menyelesaikan masalah ini. "Masalah air di sini amat teruk, enjin pam air tidak tahan lama dan mudah rosak disebabkan air yang yang disedut berkeladak serta berselut. "Begitu juga dengan penapis air, memang mudah rosak kerana tidak dapat menampung keladak yang terlalu banyak, itu belum dikira lagi pakaian rosak dan baju putih bertukar menjadi kuning," katanya. Seorang lagi penduduk, Mashazini Sidik, 30, berkata, air telaga tiub di rumahnya tidak boleh diminum walaupun sudah menggunakan penapis air kerana masih berkeladak dan bau yang kurang menyenangkan. Katanya, pakaian yang berwarna putih terpaksa dihantar ke kedai dobi bagi mengelakkannya bertukar warna. "Kalau boleh kerajaan memberi perhatian untuk menyelesaikan masalah ini termasuk menyediakan rangkaian jejari paip dan kos pemasangan yang berpatutan berdasarkan kemampuan rakyat," katanya. |
Peta berkaitan banjir siap dua tahun lagi Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjangkakan Kumpulan Bencana Pesisir (CHG) yang ditubuhkan bagi menangani banjir mampu menyediakan peta-peta berkaitan bencana itu di kawasan lebih spesifik dalam tempoh satu atau dua tahun lagi. Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komo berkata, ketika ini kumpulan yang terbahagi kepada dua kumpulan kecil iaitu yang bertanggungjawab menangani masalah banjir dan yang mengkaji kesan hakisan pantai itu telah mula digerakkan secara berperingkat-peringkat. Katanya, setiap kumpulan tersebut dianggotai enam hingga lapan penyelidik yang terdiri daripada jurutera, ahli geomorfologi iaitu pakar dalam kajian bentuk rupa bumi dan ahli hidrologi yang menjalankan kajian mengenai proses-proses berkaitan air. "Dengan adanya kajian berkaitan perkara ini kita boleh membuat simulasi jika banjir itu setinggi satu meter, satu setengah meter atau dua meter. Kita ada peta menunjukkan kedalaman di beberapa tempat dan kita akan tunjukkan tempat mana sepatutnya kawasan untuk keselamatan. "Ini antara tindakan yang akan kita buat untuk meminimumkan banjir. Jadi, saya harap kumpulan ini akan menjadi sumbangan kita kepada usaha untuk meminimumkan risiko daripada bencana banjir," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Apresiasi Media di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini malam tadi. Mengulas lanjut mengenai kajian itu, Ibrahim memberitahu, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) khususnya dalam mengkaji masalah hakisan pantai. "Saya difahamkan jabatan ini telah diberi peruntukan untuk tujuan tersebut dan ketika ini kita sedang berusaha untuk membuat reka bentuk benteng bagi menghalang hakisan serta penyelesaian hakisan itu secara bersama. "Kita harap bila perancangan ini siap kelak, sistem ini bukan sahaja boleh menjadi reka bentuk untuk menghalang banjir, tapi tempat itu juga boleh digunakan sebagai tempat untuk bot kita dan beberapa kemudahan lain untuk tujuan penyelidikan," kata beliau. |
Posted: 09 Jan 2014 10:33 AM PST KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Dalam usaha memartabatkan tulisan jawi di negeri ini, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Mewarna Huruf Jawi yang disertai seramai 160 murid prasekolah di sini hari ini. Program yang disertai para peserta dari 18 buah kelas sekitar daerah ini yang berlangsung di Dewan Utama YPKT itu diadakan bersempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri tidak lama lagi. Timbalan Pengarahnya, Ramlah Idris berkata, para peserta melibatkan tujuh kelas Taska Permata Keluarga (TPK) dan 11 buah kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (TBP) selain murid prasekolah berusia tiga hingga enam tahun. Beliau memberitahu, program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai kepentingan tulisan jawi selain memupuk minat mereka menguasai tulisan itu. Menurut beliau, ia juga merupakan salah satu pendekatan terbaik untuk penghayatan menjelang sambutan Maulidur Rasul, Selasa ini. "Pertandingan ini merupakan kali keempat sejak diperkenalkan empat tahun lalu melibatkan para peserta dari kalangan murid TPK, TBK dan prasekolah, secara tak langsung ia dapat menyemarakkan minat mencintai tulisan Jawi di peringkat awal usia. "Program ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan antara ibu-bapa dengan kanak-kanak serta guru selain berkongsi idea dan pengetahuan mengenai huruf Jawi," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut. Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPKT, Nazri Yusoff dan Pensyarah Seni Visual Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail, Nazli Hamzah. Dalam pertandingan itu, Nur Alya Azman, 4, dari TPK Batu Burok menjuarai kategori peserta berusia tiga hingga empat tahun diikuti Zaheen Sabrina Zulkifly, 4, dari TPK Batas Baru dan Nur Adriana Nadhira Shahrul Nizam, 4, dari TPK Bukit Bayas di tempat ketiga. Bagi kategori murid prasekolah johan disandang Nur Fatin Amirah Md. Aludin, 6, manakala Nur Nazatul Suhaila Ismail, 6, (kedua) dan Nur Asyiqin Nadhirah Che Alias, 6, (ketiga) dan kesemua mereka ialah murid Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek di sini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |