{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Kalimah Allah: 34 lagi laporan polis

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Oleh MOHD. HAFIZ. ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 11 Jan. - Sebanyak 34 laporan polis dibuat pelbagai pihak di negeri ini bagi membantah kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew agar semua gereja Katolik di Selangor terus mengunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya.

Antara pihak yang membuat laporan ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik, pesara dan individu perseorangan yang turut berkumpul mengadakan bantahan di kawasan masing-masing.

Di Machang semalam, sebanyak empat laporan dibuat masing-masing oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) dan Komuniti Kampung Kuang Hitam.

Mereka turut berarak dan berkumpul berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bandar, Machang di sini sebelum bertindak membakar gambar Andrew dan memegang pelbagai sepanduk mengecam paderi berkenaan.

Selain itu, mereka turut melaungkan sokongan terhadap tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas Bible versi bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Islam di sebuah premis di Petaling Jaya baru-baru ini.

Di Kuala Krai, empat laporan polis dibuat melibatkan NGO dan UMNO Bahagian berkenaan. Turut membuat laporan ialah beberapa individu.

Pengerusi Perkasa cawangan Machang, Mohd. Abdul Rahman ketika ditemui semalam berkata, tindakan Andrew itu telah mencemar kesucian agama Islam sekali gus mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.

Katanya, Andrew telah menghina dan memperlekehkan Islam dengan tindakannya yang mengunakan kalimah Allah dalam aktiviti keagamaan mereka walaupun sebelum ini mahkamah telah memutuskan bahawa penganut agama lain tidak boleh mengunakan kalimah tersebut.

"Tindakan itu sememangnya tidak boleh dimaafkan. Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas kepadanya (Andrew) iaitu membuang taraf kerakyatan atau diberi hukuman yang setimpal," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MTRK cawangan Machang, Kamaruddin Ab. Kadir pula berkata, tindakan Andrew itu telah menyentuh sensitiviti seluruh umat Islam di Malaysia dan boleh menggugat ketenteraman negara yang sebelum ini berada dalam keadaan aman damai.

Justeru katanya, pihak berkuasa perlu segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit demi memelihara kesucian, kedaulatan agama Islam dan keharmonian kaum.

"Kami bimbang jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh mencetuskan ketegangan dan huru-hara berpanjangan di antara kaum di negara ini," katanya.

Misi anak Terengganu tawan Everest dapat sambutan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

Khalid Yunus (tengah) memberikan penerangan mengenai peralatan mendaki gunung kepada para peserta semasa Majlis Pelancaran Program dan Pemilihan Pendaki Terengganu De' Everest 2015 di Stadium Tertutup Gong Badak Kuala Terengganu, semalam. Turut kelihaan, Rozi Mamat (dua dari kiri).

KUALA TERENGGANU 11 Jan. - Sesi pemilihan peserta untuk Program Terengganu De' Everest 2015 mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 100 belia anak negeri termasuk wanita hadir pada hari pertama sesi berkenaan diadakan.

Mereka terdiri daripada kalangan pelajar, kakitangan awam serta swasta dengan rata-ratanya tidak mempunyai pengalaman mendaki ke puncak tertinggi di dunia itu.

Saringan pertama bermula minggu ini dengan 40 peserta akan mara ke peringkat seterusnya sebelum lapan dipilih menyertai misi itu bersama lima calon simpanan.

Senarai pendek peserta yang layak mengikuti misi itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya pada penghujung April ini.

Presiden Persatuan Kembara Negara, Datuk Khalid Yunus berkata, pihaknya menyediakan program latihan lengkap termasuk di luar negara bagi membantu peserta yang akan bersaing merebut tempat.

"Bagi sesi dalam negeri, peserta perlu berlatih lima hari seminggu iaitu tiga hari pergi ke gimnasium untuk latihan menguatkan otot, satu hari latihan berenang dan satu hari lagi kena berlari selain mendaki sebuah gunung pada setiap bulan di negara ini.

"Sementara sesi latihan di luar negara pula, melibatkan pendakian puncak tertinggi di benua Afrika, Gunung Kilimanjaro diikuti latihan teknikal di Banjaran Annapurna, Nepal pada Mac dan April.

"Ini disusuli latihan mendaki kedua di Gunung Elbrus, Rusia pada Ogos serta latihan mendaki ketiga yang juga boleh disifatkan sebagai praekspedisi ke Everest iaitu di Gunung Baruntse, Nepal pada September," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sesi pemilihan dan pelancaran program Terengganu De' Everest 2015 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Jelas Khalid, selain mengadakan sesi latihan berterusan, peserta juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa bagi memastikan kecergasan mereka sentiasa pada tahap terbaik.

"Dalam masa yang sama, kita juga akan memberi penerangan tentang halangan terutama sekali dari segi cara-cara dan teknik mendaki, soal pemakanan serta lain-lain yang berkaitan dengan pendakian itu," ujar beliau.

Projek Gunung Everest kali ini yang dijangka bermula pada Mac 2015, adalah hasil usaha sama kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Kembara Negara yang bertindak sebagai penggerak program.

Peniaga Pekan Rantau Panjang rayu bantuan

Posted: 11 Jan 2014 11:45 AM PST

RANTAU PANJANG 11 Jan. - Para peniaga yang terlibat dalam kebakaran di Pekan Rantau Panjang, di sini Selasa lalu merayu kepada kerajaan negeri supaya mempercepatkan pemberian bantuan sebagaimana dijanjikan.

Menurut peniaga terbabit, bantuan segera amat diperlukan bagi meringankan beban yang dihadapi memandangkan premis-premis perniagaan mereka musnah sama sekali dalam kebakaran tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Peniaga Melayu Rantau Panjang, Ramli Abdullah yang turut mengalami kerugian kira-kira RM30,000 berkata, selain bantuan segera, mereka merayu Majlis Daerah Pasir Mas membenarkan mereka berniaga sementara di sebuah kawasan lapang tidak jauh dari lokasi kejadian.

Selain itu katanya, mereka berharap diberikan kemudahan pinjaman segera tanpa faedah oleh mana-mana institusi kewangan bagi memulakan semula perniagaan yang terjejas.

"Sudah lima hari berlalu, maknanya sudah lima hari kami tidak berniaga dan hilang punca pendapatan. Setakat hari ini kami belum terima sebarang bantuan yang kerajaan negeri janjikan.

"Ada wakil kerajaan negeri datang melawat namun mereka hanya mengambil gambar. Tabung bencana pun tidak ada mana-mana peniaga terima lagi walaupun difahamkan memang ada kutipan bantuan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meluangkan masa melawat para peniaga terbabit di lokasi kejadian itu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, para peniaga yang terjejas berasa lega apabila Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi jaminan akan mencari jalan bagi membantu mereka.

Sementara itu, salah seorang peniaga barangan dapur, Hamzah Mohamad berkata, dia amat memerlukan bantuan terutama tapak niaga dan modal untuk memulakan perniagaan sebelum kedatangan Tahun Baru Cina.

"Setiap kali musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, orang ramai berpusu-pusu ke Rantau Panjang untuk membeli belah. Jadi kalau boleh, kami mohon sangat dapat bantuan sekurang-kurangnya dalam bentuk pinjaman untuk membeli barang-barang secepat mungkin," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat