Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Nedim, Nora realistikSEORANG lelaki berbaju Melayu hitam yang hadir pada satu majlis doa selamat baru-baru ini menjadi sasaran penulis. Dia, Mohamed Nedim Nazri atau dikenali juga sebagai Nedim Nazri Aziz. Lelaki ini kini setia mendampingi aktres paling laris masa kini, Nora Danish. Kisah hubungan akrabnya dengan Nora duduk pada barometer paling tinggi dalam dunia hiburan tempatan. Masakan tidak, sejak akrab pada tahun lalu, Nedim tidak pernah membuka mulut kepada media tentang hubungan mereka. Sebagai seorang yang tidak pernah ditemu bual media, Nedim menyambut pelawaan penulis untuk ditemu bual dengan sedikit dingin. Ujarnya, jika dia membenarkan penulis menemubual dirinya, maka ia umpama membuka pintu buat semua media mendekati dan menemubualnya. Penulis beri Nedim kata dua, dia boleh menolak terus pelawaan tersebut, atau memberi jawapan paling selamat, 'no comment' pada soalan-soalan yang penulis ajukan. Tetapi jika sudi, mari beralih meja, kita berbicara. Nedim tidak terus setuju dengan cadangan tersebut. Lama dia terdiam, memikirkan tentang tindakan dan impak yang bakal berlaku pada masa depan, barangkali. Tidak lama kemudian, selepas diulang ajak secara baik, Nedim menyambut kemas pelawaan penulis. Dia duduk di hadapan penulis dan seorang lagi teman media. Dengan senyuman dan bicara yang sopan teratur dia mula berbicara. "Minta maaf, saya memang seorang yang defensif dan mengambil masa untuk mempercayai seseorang atas banyak faktor masa lampau. "Saya bimbang jika apa yang kita bicarakan, akan dimanipulasi pada kemudian hari," ujarnya sopan. Ya, masakan tidak. Sebagai anak kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, dia punya hak untuk berasa defensif kerana sejak akrab dengan Nora, hal kisah hati mereka mudah diputar menjadi kisah politik dengan beberapa serangan bersifat peribadi. Namun, penulis jelaskan kepada Nedim bahawa ini hanya perbualan tentang cerita hubungan dan perasaan orang dewasa. Cerita tentang hati orang yang telah pernah remuk kerana pengalaman hidup berumah tangga sebelum ini dan sedang dicantum bahagiannya semula. AKRAB, Nora dan Nedim bagaimanapun sepakat untuk memberi fokus terhadap kerjaya masing-masing sebelum melangkah ke fasa yang lebih serius dalam hubungan mereka. Dia bersetuju, namun masih dengan syarat agar setiap bicara yang bakal direkodkan dalam sebuah artikel nanti tidak mengundang rasa kurang senang bagi mana-mana pihak. Lantas, cerita kasih mereka, disusun rapi ayat, sebaik mungkin, agar pada kemudian hari, apa yang pernah keluar daripada mulut mereka tidak akan menyakitkan kehidupan mereka pada kemudian hari, seandainya hubungan akrab yang dijalin sekarang tidak berpenghujung indah. Mula duduk dengan selesa di hadapan penulis, kami berbicara mengikut arus. Persoalan pertama yang ditembak, tentulah terhadap hubungannya dengan Nora. Sambil tersenyum, Nedim menjawab ringkas: "Ya, dia wanita paling rapat dengan saya buat masa ini." Diserang dengan persoalan mengapa tidak sahaja mengaku bahawa mereka merupakan pasangan kekasih yang sedang meniti rasa bahagia, jelas Nedim, dia tidak mahu meletak label kekasih pada hubungan mereka atas beberapa faktor. "Sebab utama saya bimbang mengatakan bahawa kami sepasang kekasih kerana pada kemudian hari apabila hubungan ini berakhir, kami yang akan nampak buruk. "Sebagai seorang yang telah melalui satu pengalaman hidup berumah tangga dahulu, saya amat berhati-hati berbicara soal perasaan. "Dalam masa yang sama, saya juga perlu menghormati Nora. Dia punya pendirian sendiri tentang bagaimana meletakkan hubungan kami. "Jadi, cukup jika saya mengaku memang dia wanita yang paling rapat dengan saya sekarang," ujarnya yang mengaku perlu membuang perasaan tidak suka ditanya apabila mula rapat dengan seorang selebriti seperti Nora. Penjelasan tersebut sekali gus mematikan gosip yang mendakwa Nedim dan Nora bakal berkahwin pada tahun ini. "Belum, belum lagi. Kami tidak pernah berbicara tentang perkahwinan. Apa yang saya tahu, pada tahun ini, kami mahu memberi fokus dan memperkemas kerjaya masing-masing," katanya lagi. Tambah Nedim, sebagai seorang lelaki yang pernah punya pengalaman gagal dalam perkahwinan, dia tidak terburu-buru untuk kembali berumah tangga. Akui lelaki berumur 31 tahun ini, buat masa ini dia bahagia dengan seorang anak dan kehadiran Nora sebagai wanita yang banyak menyokong dan memberi semangat buatnya setiap hari. Itu sudah memadai. Imej buruk Ditanya mengapa hatinya memilih untuk 'membeku' bersama Nora buat masa ini, jawab Nedim kerana Nora boleh berdikari dan kuat bekerja. Pada masa yang sama, sepanjang mengenali aktres yang mula menggamit perhatian menerusi iklan telekomunikasi lebih 10 tahun lalu ini, Nora telah banyak membantu membersihkan imejnya yang dilabel sebagai seorang gengster. "Sebenarnya, saya sudah mengenali Nora sejak lapan tahun yang lalu kerana saya berkawan dengan kakaknya. "Namun kemudian tanpa disedari, hubungan kami jadi akrab. Kami banyak meluangkan masa bersama dan mempunyai minat yang serupa. "Malah, sejak mengenali Nora dengan lebih akrab, dia telah banyak merubah imej dan tanggapan negatif segelintir pihak UJAR Nedim, dia tidak berasa tekanan berkawan dengan Nora, tetapi mengaku defensif bila ada terhadap saya seperti kononnya saya seorang gengster dan label yang negatif buat saya. "Dia secara tak langsung selalu memberitahu peminat bahawa saya bukan seperti yang disangkakan menerusi media sosial apabila ada yang mengecam saya. "Saya akui, pada mulanya, hubungan akrab kami memang tidak disenangi banyak pihak, namun lama-kelamaan kami telah mempunyai pengikut sendiri dan persepsi negatif khalayak terhadap saya telah mula terhapus sedikit demi sedikit kerana Nora," katanya yang kini mempunyai akaun Instagram peribadi untuk berinteraksi dengan peminatnya di alam maya. Diminta membuat kesimpulan tentang hubungannya dengan Nora, Nedim hanya berkata, dia gembira mempunyai wanita seperti Nora di sisinya sekarang, bagaimanapun menyerahkan soal masa dengan iaitu jodoh kepada yang maha Esa. Selesa Sementara itu, Nora yang terkenal sebagai aktres yang tenang berdepan dengan kalut sensasi banyak tersenyum sepanjang temu bual berlangsung. Dia yang duduk di sebelah Nedim, tidak menyampuk, malah enggan membantu lelaki yang paling rapat dengan dirinya itu menjawab soalan-soalan yang diajukan, sehingga persoalan beralih kepada dirinya pula. Tidak pernah berahsia tentang hubungan akrabnya dengan Nedim, jelas Nora, dia realistik dan tidak mahu terburu-buru untuk melangkah ke fasa seterusnya termasuk mengikat dirinya dengan hubungan sebagai suami isteri bersama Nedim. Sudah lima tahun memegang status ibu tunggal kepada Putera Rayqal, dia sudah terbiasa menjalani kehidupannya tanpa kehadiran lelaki bernama suami. "Selama ini saya tidak punya masalah menjadi ibu tunggal. Jujur, soal mahu berkahwin semula juga bukan satu isu besar buat saya. "Fokus saya kini ialah memberi yang terbaik buat Rayqal. Saya juga mahu komited terhadap karier saya kerana tahun ini, Alhamdulillah, rezeki masih murah buat saya," katanya yang ditemui usai majlis doa selamat sempena sambutan ulang tahun kelima Rayqal sambil memanjat kesyukuran. Terlanjur berbicara tentang Rayqal yang menginjak usia lima tahun pada 7 Januari lalu, kata Nora, dia tidak mahu memberi tekanan dengan menetapkan soal masa depan anaknya. Sebagai ibu, apa yang dia harap agar Rayqal menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada semua orang. "Apa yang penting, saya memberi dia pendidikan agama yang sempurna, dan selebihnya, saya serahkan kepada Rayqal untuk memilih corak masa depannya kelak," ujar Nora. Ditanya semula tentang perancangannya berkahwin dengan Nedim, Nora seirama dengan Nedim. Katanya mereka tidak pernah berbicara tentang perkahwinan. Sebaliknya, dia percaya apabila getar itu berputar lengkap dalam hati masing-masing, perkara tersebut pasti berlaku. Ah, cinta datang tak terasa, datang tak diminta. Jika sampai jodoh dan tepat masa, bersatu juga kalian, Nedim dan Nora. | |
Dia yang enggan jumpa - Zed Zaidi Posted: Dia yang enggan jumpa - Zed Zaidi
POLEMIK Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak berakhir walaupun Zed Zaidi hilang mandat sebagai presiden persatuan itu pada November lalu. Sampai ke hari ini, perang dingin antara Zed Zaidi dan pelakon veteran Abu Bakar Omar masih berterusan. Mereka berbalas-balas kenyataan dan saling menuding jari sesama sendiri. Zed Zaidi pernah menggalas jawatan Presiden Seniman namun dilucutkan jawatannya setelah mahkamah memihak kepada Abu Bakar yang menuntut agar mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-14 yang diadakan pada 25 Mei 2002 dibatalkan. Zed mendakwa Omar tidak mempunyai inisiatif untuk menghidupkan kembali persatuan itu dengan menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang baharu bagi memudahkan urusan ahli-ahli yang bernaung di bawahnya kelak. Sebelum ini, Sensasi Bintang pernah menyiarkan kekecewaan Abu Bakar Omar berhubung kecaman Zed itu. Tegasnya, banyak usaha sudah dilakukan bagi mendapat kata sepakat antara dia dan ahli-ahli yang lain. Bagaimanapun, semuanya umpama hampa kerana Zed tidak mahu bekerjasama. Terpanggil untuk memberikan respons, Zed sekali lagi tampil meluahkan apa yang terbuku di dada. "Dia (Abu Bakar) tidak pernah mengajak saya secara peribadi untuk menghadiri sebarang perjumpaan bagi menyelesaikan isu yang dibangkitkan olehnya sebelum kes ini dibawa ke mahkamah," selar Zed Zaidi mengenai mengenai kenyataan Abu Bakar. Tambah Zed Zaidi, kenyataan Abu Bakar sebelum ini tidak berasas dan tidak benar sama sekali. SENSASI BINTANG: Benarkah dakwaan Abu Bakar yang mengatakan anda tidak menghiraukan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar olehnya untuk berjumpa dan menyelesaikan masalah ini secara baik? ZED ZAIDI: Dia yang enggan berjumpa dengan kami sebelum isu ini dibicarakan di mahkamah. Puas kami memujuknya untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tetapi dia tetap berkeras dengan keputusannya. Saya berasa pelik kerana dia mendakwa saya tidak membalas SMS yang dihantar sedangkan, saya mendapat tahu tentang perjumpaan itu melalui berita yang disiarkan di sebuah portal hiburan dan SMS yang dihantar oleh rakan-rakan. Anda mendakwa pernah memujuk Abu Bakar untuk menyelesaikan masalah ini secara baik tanpa perlu dibawa ke mahkamah. Apakah reaksinya ketika itu? Kami cuba untuk menghubunginya untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik, namun, dia tetap dengan pendiriannya untuk menyaman saya. Segala panggilan telefon dan SMS tidak pernah berjawab. Jadi, apa tindakan anda setelah dia mempelawa anda untuk bertemu bagi mengadakan sebuah sesi dialog secara terbuka bersama? Mengapa dia perlu mengajak saya untuk berdialog selepas kes ini dibawa ke mahkamah? Sedangkan, saya dan beberapa ahli Seniman yang lain sudah cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan perkara ini sebelum ia diperbesarkan sebelum ini namun tidak diendahkan. Apa pula komen anda apabila dia mendakwa anda enggan mengemukakan rekod dan data mengenai keputusan kewangan dan audit keahlian? Sebetulnya, saya mahu membentang rekod-rekod tersebut pada penganjuran Mesyuarat Agung ke-15 tetapi ia tergendala disebabkan keputusan nekadnya memohon injuksi mahkamah pada ketika itu. Lagipun, rekod-rekod tersebut tidak ada dalam simpanan saya kerana semua data-data berkaitan Seniman ada tersimpan di pejabat. Adakah isu-isu seperti ini menjejaskan perjalanan Seniman? Ya. Banyak rancangan yang direncana Seniman untuk membantu artis-artis yang memerlukan sepanjang tahun ini terbantut akibat masalah ini. Apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh pihak anda? Saya akan menunggu tarikh akhir penganjuran AGM seperti yang ditetapkan oleh mahkamah pada 21 Januari ini. Selepas itu, saya akan mengadakan sebuah sidang akhbar bagi menerangkan satu persatu secara kronologi mengenai isu ini. Apa lagi yang anda ingin bentangkan pada sidang akhbar yang bakal diadakan nanti? Seperti yang diminta, saya akan membentang data-data keahlian Seniman serta rekod kewangan persatuan secara satu persatu. Mungkin dengan cara itu ahli-ahli Seniman lain dapat mengetahui status sebenar mereka dalam persatuan. | |
Saya layak jadi hero - Sofi Jikan Posted: Saya layak jadi hero - Sofi JikanBARISAN karyawan dan pelakon yang hadir pada majlis pelancaran filem GengsteRock - Kasi Sengat! di Mines Resort City, baru-baru ini. SOSOK tubuh yang kurus melengkung, kulit gelap serta rambut paras bahu langsung tidak memberikan gambaran siapa sebenarnya Sofi Jikan. Dalam kalangan orang industri filem dan drama, Sofi memang sudah cukup dikenali seorang yang cukup lantang dan bersungguh-sungguh dalam serba-serbi. Bicara, gerak-tubuh serta persembahan lakonan Sofi, kebanyakannya diberikan efek 'besar' tetapi itu semua tidaklah memberi makna bahawa dia seorang yang suka bercakap besar tanpa isi. Mungkin kedengaran sedikit berdegar-degar tetapi apa juga misi yang dilakukannya dalam lakonan dan kini berjinak-jinak dengan pengarahan, semuanya semakin berhasil. Lakonannya telah diiktiraf. Menerusi filem KL Gangster, pembawa watak Ajib Sengat itu pernah dijulang sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24 dua tahun lalu. Tahun ini, Sofi berganjak setapak lagi untuk membuktikan bahawa misinya yang mahu bersara sebagai pelakon harus ditelan dan dibuktikan kepada semua pihak. "Saya cakap hendak bersara dari lakonan bukan maksud mahu bersara terus tapi saya tidak mahu asyik berlakon sahaja sebaliknya saya juga mahu bina industri saya sendiri. Berbelas tahun kerja dengan industri, berapa banyak kali kena tipu dan macam-macam lagi. Itu semua 'membunuh' saya dan sekarang ini, ibarat mati hidup semula. Sekarang, saya nak ketuai angkatan saya, saya mahu jadi orang yang buat keputusan dan bawa misi kepada karya saya sendiri," katanya selepas majlis pelancaran filem sulungnya GengsteRock - Kasi Sengat! di Mines Resort City, Seri Kembangan, Selasa lalu. Bekerjasama dengan YKS Film Maker, Sofi mendapat mandat penuh sebagai pengarah dan penulis skrip filem berkenaan. Bukan itu sahaja, Sofi yang pertama kali mendapat kepercayaan untuk mengarahkan sebuah naskhah filem itu turut menggalas tanggungjawab besar sebagai pelakon utama filem aksi berkenaan. "Rasanya saya yang paling layak untuk pegang watak utama, sebab saya tulis skrip filem itu, saya yang arahkan. Kalau hendak cari orang lain, boleh. Saya tiada masalah tapi saya tak jumpa orang yang sanggup bawa watak itu. Lagipun, bajet filem ini tidak besar. "Saya letak harapan tinggi sebab sudah enam tahun merancang dan tulis untuk filem ini. Kalau filem itu berjaya saya akan terus buat filem, tapi kalau gagal, mungkin ia akan jadi filem terakhir saya," katanya yang sudah menyiapkan rakaman Sengat, sebuah projek filem eksperimental untuk GengsteRock. Projek Sengat juga sebuah filem yang konon-kononnya akan menjadi filem yang ditonton oleh Shake, watak utama dalam filem GengsteRock kelak. Untuk filem sulungnya itu, Sofi memberi kepercayaan kepada Khir Rahman, Aqasha, Syafie Naswip, Wan Hanafi Su, Nam Ron dan Izzara Aishah sebagai pelakon yang akan menggerakkan penceritaan. "Walaupun mereka kawan-kawan, saya (tetap) kena uji bakat termasuk Khir dan Nam Ron. Saya ambil Izzara sebab nampak dia antara pelakon muda yang ada potensi. Lagipun kalau hendak jatuh cinta, orang macam Izzara akan boleh buat saya jatuh cinta. Kiranya dia penyeri sebab sudahlah muka saya macam pecah rumah," kata Sofi yang menggunakan khidmat Nasir Jani sebagai penasihat pereka bentuk produksi. Mengakui banyak mendapat ilham daripada filem Kembara Seniman Jalanan, Sofi juga merakamkan beberapa buah lagu termasuklah lagu GengsteRock Stail sebagai lagu tema untuk filem berkenaan. "Saya sendiri menulis lagu dan lirik lagu itu tapi Edrie Hashim bertindak sebagai komposer. Sebenarnya, bukan satu lagu, tapi saya merakamkan beberapa lagu lain termasuk Kasi Sengat, Aku Ada Kamu, Batu Dalam Sepatu dan Rasa Gunung Kertas akan diterbitkan dalam sebuah album. Sekarang pun single pertama saya, Madu bersama bersama Aisunam sedang disiarkan di radio," kata Sofi yang baru sahaja memulakan penggambaran GengsteRock sehari lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |