{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Masalah air di Desa Kujid selesai

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 12 Jan. - Masalah bekalan air yang dihadapi oleh kira-kira 1,500 penduduk Taman Desa Kujid, Panji di sini berakhir apabila pihak Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) mengambil langkah proaktif sejak dua minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Mazlan Yaacob memberitahu, sebelum ini beliau terpaksa menadah air pada waktu malam untuk kegunaan keluarga mereka pada keesokan hari.

"Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pihak AKSB yang bertungkus-lumus memasang sambungan paip baharu di kawasan ini.

"Saya berharap masalah bekalan air yang dihadapi penduduk taman ini tidak berulang kembali kerana akan menyusahkan kami untuk melakukan pelbagai aktiviti harian," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 29 Disember lalu, akhbar ini melaporkan para penduduk di kawasan perumahan itu kecewa apabila AKSB gagal untuk membekalkan air bersih dengan sempurna ke kawasan tersebut sejak empat bulan lalu biarpun hanya terletak kira-kira tujuh kilometer dari ibu negeri ini.

Bekalan air di kawasan tersebut sering terganggu, malah kadangkala berlarutan sehingga dua minggu.

Paling mengecewakan apabila aduan penduduk di talian hotline PINTAS, 1300 88 2572 tidak pernah mendapat maklum balas positif.

Ekoran daripada itu, penduduk kawasan perumahan itu terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi semata-mata untuk menadah air, namun masih tidak mencukupi bagi kegunaan harian memandangkan tekanan air amat rendah.

Seorang lagi penduduk, Dr. Syed Abdul Khalid Syed Abdul Hamid, 32, turut berharap masalah yang dihadapi sejak lebih empat bulan itu akan selesai.

"Kami bersyukur dengan langkah proaktif yang diambil oleh AKSB dan mengotakan janji mereka untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk dalam masa seminggu.

"Masalah bekalan air sebelum ini telah menyebabkan urusan harian seperti mandi, membasuh pakaian dijalankan dengan keadaan yang tidak selesa, bayangkan dalam masa empat bulan saya terpaksa menadah air untuk membasuh pinggan dan memasak," katanya.

Dalam pada itu, Shazana Latip, 51, memberitahu, sejak AKSB memasang paip baharu, urusan seharian keluarganya kembali normal.

"Aktiviti harian dapat dijalankan seperti biasa dan saya harap pihak AKSB memaklumkan terlebih dahulu kepada kami sekiranya berlaku gangguan bekalan air supaya memudahkan kami menyimpan bekalan air untuk kegunaan harian.

"Sebelum ini, penduduk kawasan perumahan ini terpaksa bangun seawal pukul 3 pagi semata-mata untuk menadah air, namun masih tidak mencukupi bagi kegunaan harian kerana tekanan air pada waktu tersebut amat rendah, tetapi kini tiada masalah lagi," katanya.

Sambil menyifatkan air sebagai antara keperluan asas yang amat penting, Shazana berharap pihak AKSB peka kepada setiap aduan berkaitan penyaluran bekalan air khususnya di kawasan itu.

JPJ Bikers Kelantan juarai Kejohanan Boling SBK Bikers 2014

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

Sebahagian daripada ahli kelab motosikal berkuasa tinggi yang menyertai Kejohanan Boling SBK Bikers 2014 di Pacific Bowl, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 12 Jan. - Pasukan bermotosikal kuasa tinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Bikers) Kelantan muncul juara dalam Kejohanan Boling SBK Bikers 2014 yang diadakan di Pacific Bowl di sini semalam.

Dalam pertandingan itu, JPJ Bikers unggul dengan kehebatan tersendiri apabila berjaya mencatatkan 1,258 jatuhan pin diikuti tempat kedua, X Bikers dengan 1,185 jatuhan pin manakala tempat ketiga pula milik Honda Repsol melalui 1,168 jatuhan pin.

Sementara itu bagi kategori individu, juara disandang oleh Hargani Mohd. Nor (EX Bikers) dengan 424 jatuhan pin, manakala tempat kedua milik Hazman Mohd. Nor (Honda Repsol) dengan 390 jatuhan pin dan ketiga, Azrin Abdullah dengan 385 jatuhan pin.

Kesemua pemenang menerima hadiah berupa hamper yang disampaikan oleh ahli perniagaan, Datuk Zamel Jaafar serta Presiden Kelbikes, Mohd. Ridthuan Ismail.

Kejohanan julung-julung kali dianjurkan oleh SBK Bikers dengan kerjasama Kelbikes, Maju Aneka Batik dan Kiara Batik itu telah menarik minat lebih 50 peserta.

Lebih menarik dan menjadi tumpuan pada kejohanan itu apabila turut disertai oleh peserta penunggang motosikal wanita iaitu pasukan Lady Baikels yang berjaya merangkul tempat keempat.

Pengarah kejohanan, Yusoff Shaari berkata, kejohanan tersebut dianjurkan bertujuan merapatkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan peserta serta ahli-ahli keluarga masing-masing yang hadir.

"Selain itu kejohanan ini menggalakkan aktiviti riadah dalam kalangan peserta-peserta bermotosikal di mana sebelum ini mereka hanya berkonvoi sahaja.

"Aktiviti ini juga dapat mengasah bakat terpendam para penunggang motosikal dalam sukan ini selain diharap dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain dan menyokong gaya hidup sihat," ujarnya.

Menurut Yusoff, pihaknya bercadang akan menganjurkan kejohanan kali kedua yang dirancang pada Mei depan berikutan sambutan yang amat menggalakkan.

Nelayan terima elaun sara hidup RM200 sebulan

Posted: 12 Jan 2014 10:49 AM PST

KOTA BHARU 12 Jan. - Kira-kira 2,000 nelayan tradisional di negeri ini akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 seorang pada setiap bulan menerusi akaun bank masing-masing mulai Rabu ini.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Adnan Wan Ibrahim berkata, elaun itu diharapkan mampu meringankan bebanan mereka yang hilang punca pendapatan akibat keadaan Laut China Selatan yang sedang bergelora.

"Kebanyakan nelayan di kawasan Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh tidak dapat menangkap ikan sepanjang musim tengkujuh yang dijangka berakhir sehingga Mac depan.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk tiupan angin kencang membataskan mereka untuk mencari rezeki sebagaimana sebelumnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat mingguan kakitangan jabatan itu di Pejabat LKIM Kelantan di sini hari ini.

Wan Adnan berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM400,000 sebulan bagi membiayai elaun berkenaan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM5 juta setahun.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan nelayan di negeri ini mematuhi amaran Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga 20 Januari depan.

Berdasarkan laporan jabatan itu juga, kawasan pantai negeri ini berkemungkinan terdedah kepada fenomena air pasang besar atau kenaikan paras air laut.

Sehubungan itu Wan Adnan berkata, nelayan boleh mencari sumber pendapatan sampingan yang lain untuk menambah pendapatan terutama melakukan penangkapan ikan di sungai-sungai dan kuala sementara menunggu keadaan cuaca laut kembali reda.

"Jangan anggap kehadiran Januari maka berakhirnya tengkujuh. Keadaan cuaca terutama laut bergelora akan berlanjutan sehingga Mac.

"Saya minta nelayan mematuhi laporan keadaan cuaca dan tidak bertindak sendirian ke laut yang boleh mengancam nyawa mereka," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat