Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kerajaan Pusat salur RM65,500
- Gajah liar ganggu penduduk ditangkap
- 800 penduduk sertai perarakan Maulidur Rasul
Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST Oleh ROSMIZAN RESDI Zaluzi Sulaiman (tengah, berbaju biru) bersama sebahagian daripada pelajar cemerlang pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2013 bagi Sekolah-sekolah Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 17 Jan. - Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM65,500 kepada 566 orang pelajar cemerlang di seluruh Parlimen Pengkalan Chepa. Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman berkata, peruntukan tersebut melibatkan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Beliau berkata, sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan kepada pelajar terbabit agar mereka lebih bersemangat dan berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran. "Daripada jumlah tersebut, seramai 178 pelajar adalah mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR manakala seramai 388 adalah pelajar cemerlang PMR. "Setiap pelajar yang terpilih akan menerima wang tunai sebanyak RM100 bagi UPSR dan RM150 untuk PMR," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2013 Bagi Sekolah-sekolah Parlimen Pengkalan Chepa di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalannya, Ismail Omar, Ketua Pemuda UMNO bahagian, Harris Hussin dan Naib Ketua UMNO bahagian, Wan Shahrul Azwan Wan Abdul Aziz. Zaluzi berkata, pihaknya juga sentiasa memberi penekanan terutamanya dalam soal pendidikan anak-anak di Parlimen Pengkalan Chepa tanpa mengira fahaman politik. "Kita sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk pencapaian pelajar-pelajar bagi melahirkan pewaris kepimpinan yang lebih cemerlang. "Selain itu, kita juga telah menubuhkan Biro Pendidikan Khas yang bertindak untuk melihat serta meninjau segala aktiviti pendidikan anak-anak di kawasan ini," katanya. Sementara itu, seorang penerima, Amirul Ashraf Mohd. Syafian, 13, berkata, dia yang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR tahun lalu gembira menerima sumbangan tersebut. "Dengan sumbangan ini, saya dapat membeli keperluan sekolah seperti buku rujukan serta kelengkapan lain," katanya. |
Gajah liar ganggu penduduk ditangkap Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST Gajah liar jantan (kanan) berjaya dinaikkan ke atas lori pengangkut khas dalam satu operasi bagi dipindahkan ke Sungai Ketiar, Hulu Terengganu dari hutan Kampung Keruak, Hulu Besut, Terengganu, kelmarin. - BERNAMA BESUT 17 Jan. - Kebimbangan penduduk Kampung Keruak di sini berikutan kemunculan beberapa ekor gajah liar di kawasan kediaman mereka sejak beberapa bulan lalu semakin berkurangan apabila seekor daripada haiwan itu berjaya ditangkap minggu lepas. Gajah jantan yang berjaya ditangkap di kawasan hutan simpan berhampiran ladang kelapa sawit kampung itu dibawa keluar untuk dilepaskan di Sungai Ketiar, Hulu Terengganu, semalam. Sebanyak sembilan anggota Unit Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang dan lebih 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) terlibat dalam operasi pemindahan tersebut. Operasi yang bermula pukul 9 pagi itu dijalankan dengan bantuan dua ekor gajah denak betina yang dikenali sebagai Kala dan Rambai berjalan lancar dan berakhir kira-kira lima jam kemudian. Pengarah Perhilitan negeri, Yusoff Sharif berkata, dengan kecekapan dua ekor gajah denak tersebut, gajah liar itu akhirnya berjaya ditarik kira-kira satu kilometer sebelum dinaikkan ke atas lori. Sebelum ini katanya, penduduk Kampung Keruak sering mengadu mengalami masalah untuk ke kebun menjalankan pekerjaan harian ekoran kehadiran gajah liar tersebut. "Dianggarkan antara empat hingga lima ekor gajah liar yang dilihat oleh penduduk berada di kawasan hutan simpan berhampiran kebun kelapa sawit itu. "Gajah jantan yang berjaya ditangkap ini akan dilepaskan ke Sungai Ketiar, Hulu Terengganu selepas ini," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi memindahkan gajah itu di sini semalam. |
800 penduduk sertai perarakan Maulidur Rasul Posted: 17 Jan 2014 09:59 AM PST Sebahagian penduduk menyertai perarakan Maulidur Rasul anjuran Jawatankuasa Masjid Kampung Putera Jaya, Setiu, Terengganu, baru-baru ini. SETIU 17 Jan. - Kira-kira 800 penduduk menyertai perarakan Maulidur Rasul anjuran Jawatankuasa Masjid Kampung Putera Jaya di sini Selasa lalu bagi menjadikan hari cuti umum itu lebih bermakna dengan memperingati perjuangan Rasullullah. Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pak Kancil dan JKKK Putera Jaya itu turut disertai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera Jaya, Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya, Sekolah Menengah Agama Setiu dan Universiti College Bestari (UCB). Pengerusi penganjur, Romeli Ismail berkata, program itu diadakan setiap tahun sejak enam tahun lalu dan bermula dengan selawat Nabi Muhammad SAW dan mereka berarak di sekitar Kampung Pak Kancil sejauh dua kilometer. Beliau berkata, sambutan kali ini agak meriah kerana disertai kira-kira 400 hingga 500 orang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat yang tinggal di sekitar kawasan itu. Sempena dengan majlis itu, Pejabat Daerah Setiu menyediakan hadiah untuk pasukan yang menyertai perarakan itu dan tempat pertama dimenangi oleh SK Putera Jaya, tempat kedua (SMK Putera Jaya) dan ketiga ialah UCB. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |