Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Misi mengikis imej bandar kotor
- Usaha MPKB-BRI langkah terbaik ubah persepsi negatif pelancong
- LPP perkenal sistem edaran baharu
Misi mengikis imej bandar kotor Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Oleh SITI NURAZLINA JAMALUDIN Para pelajar Universiti Sains Malaysia mengumpulkan sampah semasa program Gotong-royong dan Operasi Pemutihan Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu. KOTA BHARU 20 Jan. - Pada saat-saat akhir sebelum melepaskan jawatan, bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa kecewanya kerana gagal untuk mengubah sikap rakyat negeri ini untuk menjaga kebersihan. Apa tidaknya lebih 20 tahun Kota Bharu dilabel sebagai bandar kotor. Tiada perubahan ketara berlaku biar pun Kerajaan Pas Kelantan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengubah tanggapan tersebut namun sehingga sekarang usaha ini masih lagi gagal. Imej tersebut sedikit sebanyak mencalar Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) kerana negeri ini menjadi salah satu tumpuan pelancong dari dalam atau luar negara. Justeru, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah mengambil langkah tepat apabila aktiviti gotong-royong bersama peniaga Pasar Besar Siti Khadijah pada Sabtu lalu sebagai permulaan untuk mengikis imej buruk itu sempena TMM 2014.. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, pasar tersebut dipilih sebagai lokasi pertama bagi aktiviti gotong-royong kerana lokasi ini menjadi destinasi tumpuan pelancong. Katanya, sebagai permulaan tahun baharu 2014, kerajaan negeri perlu memupuk sikap masyarakat terutama para peniaga yang menjadi duta kecil pelancongan menjadi lebih peka dan prihatin terhadap kebersihan di kawasan sekeliling mereka. "Aktiviti yang dianjurkan ini, diharapkan dapat membina sikap baharu dalam kalangan peniaga untuk mencantik dan menceriakan gerai masing-masing. "Pada masa yang sama, kita memberi panduan kepada para peniaga untuk membuang barang-barang yang tidak diperlukan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Gotong-Royong dan Operasi Pemutihan Pasar Besar Siti Khadijah di sini baru-baru ini. Kira-kira 300 orang terdiri daripada peniaga, kakitangan MPKB-BRI dan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya menyertai aktiviti gotong-royong tersebut. Menurut Abdul Fattah, langkah menyisih barang-barang yang tidak diperlukan amat penting bagi mengelakkan bahan itu terjatuh dalam longkang tanpa disedari dan menyekat pengaliran air sehingga menimbulkan bau busuk. Tambah beliau, dengan aktiviti sebegini juga kerajaan negeri dapat mendekati para peniaga dan mendengar pandangan mereka secara langsung untuk menaik taraf pasar tersebut. "Kita sentiasa mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada para peniaga mahupun orang ramai sendiri bagi sama-sama memastikan Pasar Besar Siti Khadijah ini terus menjadi tumpuan pelancong," katanya. Sementara itu Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, tidak sepatutnya orang ramai menyerahkan tanggungjawab membersihkan bandar ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sahaja. Kata beliau, untuk mencapai matlamat sampah sifar di negeri ini, sikap suka membuang sampah merata-rata serta mementingkan diri itu perlu diubah untuk mencapai matlamat kerajaan negeri untuk mewujudkan bandar raya bersih. "Di Pasar Besar Siti Khadijah misalnya, bukan sahaja pihak MPKB-BRI sahaja yang bertanggungjawab menjaga kebersihan di sini tapi peniaga juga perlu prihatin dengan persekitaran mereka bagi memastikan para pengunjung berasa selesa untuk membeli," katanya. Kata Fauzi, pihaknya akan bertindak lebih tegas dan tidak akan bertoleransi dengan peniaga mahupun orang ramai kerana tidak menjaga kebersihan dan membuang sampah di merata-rata. "Jika ada yang ditangkap kerana membuang sampah di merata-rata, pihak MPKB-BRI tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun," tegas beliau. |
Usaha MPKB-BRI langkah terbaik ubah persepsi negatif pelancong Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST KOTA BHARU 20 Jan. - Usaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengadakan aktiviti gotong-royong bersepadu di Pasar Besar Siti Khadijah dilihat sebagai langkah positif dan terbaik untuk mengubah persepsi negatif pelancong selama ini. Menurut seorang peniaga santan di pasar itu, Nurul Asmak Abd. Rahman, 35, kerjasama tersebut diharap dapat memberi keselesaan kepada peniaga dan pembeli untuk menjalankan urusan jual-beli. Katanya, kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memudahkan para peniaga untuk mengenal pasti barang yang tidak diperlukan lagi. "Sebagai peniaga saya mengharapkan pihak MPKB-BRI dapat menjalankan aktiviti sebegini secara berterusan bagi memastikan produk pelacongan Kelantan ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan ceria. "Penglibatan majlis perbandaran dalam program sebegini juga dapat membantu peniaga-peniaga di sini untuk membersihkan gerai masing-masing," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Bagi peniaga ikan, Mohd. Hassan Idris, 65, pula, aktiviti gotong-royong yang diadakan besar-besaran itu dapat membersihkan Pasar Besar Siti Khadijah secara menyeluruh. "Adakala terdapat sisa-sisa buangan yang terjatuh dalam sistem perparitan yang menyebabkan longkang tersumbat dan mengeluarkan bau busuk. "Aktiviti membersihkan pasar secara menyeluruh ini secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah tersebut," katanya. Dalam pada itu, Mohd. Hassan mengharapkan pihak MPKB-BRI dapat menambah bilangan penutup longkang yang terdapat dalam pasar terutama pada bahagian peniaga-peniaga ikan. Tambahnya, persatuan peniaga-peniaga ikan telah membuat permohonan namun sehingga kini belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan. Sementara itu, penuntut Universiti Malaya (UM), Muhammad Syafiz Salman, 20, yang pertama kali berkunjung ke Kelantan terkejut apabila melihat keadaan Pasar Besar Siti Khadijah yang nampak tidak terurus dan kotor. Dia juga tidak menyangka ikon pelancongan di Kelantan tidak dijaga dengan baik. "Pasar Besar Siti Khadijah yang saya lihat dalam gambar ternyata jauh berbeza dengan keadaan realiti. "Untuk itu saya bersemangat untuk membersihkan pasar ini supaya pelancong yang berkunjung ke sini tidak rasa tertipu," katanya yang menyertai program khidmat masyarakat bersama 50 mahasiswa lain. |
LPP perkenal sistem edaran baharu Posted: 20 Jan 2014 10:39 AM PST Oleh YATIMIN ABDULLAH Md. Zahari Abdullah (empat kanan) menyampaikan zakat kepada golongan asnaf di LPP Chetok, dekat Pasir Mas, Kelantan, semalam. PASIR MAS 20 Jan. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kelantan memperkenalkan sistem edaran yang baharu bagi memasarkan produk yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) secara terus kepada peniaga. Pengarah LPP negeri, Md. Zahari Abdullah berkata, sistem edaran itu dijangka mengurangkan kebergantungan pertubuhan tersebut kepada orang tengah yang sebelum ini banyak mengaut keuntungan hasil daripada memasarkan barangan tersebut. Beliau berkata, sebanyak 600 PPK di negeri ini akan bertindak sebagai ejen bagi memasarkan kesemua produk yang dihasilkan sekali gus menjana pendapatan lumayan pertubuhan itu untuk diagihkan kepada ahli bagi manfaat bersama. "Setakat ini kita telah memasarkan tiga produk keluaran PPK iaitu beras cap kangkong keluaran PPK Kangkong, budu cap peladang (PPK Repek Tualang) dan cili boh (PPK Bukit Awang). "Beberapa lagi produk terbaru keluaran PPK akan turut berada dipasaran pada tahun ini iaitu kerepek dan rempeyek serta serunding daging," katanya selepas menyampaikan zakat berjumlah RM13,500 kepada 90 ahli PPK yang terdiri daripada golongan asnaf di LPP Chetok, dekat sini hari ini. Md. Zahari memberitahu, sistem edaran tersebut turut memberikan manfaat besar kepada pengguna kerana mereka dapat membeli produk keluaran PPK dengan harga yang berpatutan dan tidak membebankan. "Konsep kita mudah, mereka yang berminat untuk menjual produk keluaran PPK tidak perlu mengeluarkan modal sebaliknya hanya menjualnya. Komisen akan diberi berdasarkan jualan. "Peniaga tidak perlu risau jika barangan tersebut tidak laku kerana kita akan mengambilnya semula dan menggantikan dengan yang baharu. Setiap minggu kita akan mengambil barangan yang tidak terjual. Ini bagi memastikan kualiti barangan yang dijual di kedai sentiasa berkualiti dan segar," ujarnya. Tambahnya, PPK akan membuat pemantauan pada setiap minggu bagi memastikan barangan yang berada di pasaran sentiasa segar dan berkualiti. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |