Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Jalan runtuh akan dibaik pulih
- Peniaga di pasar diminta jaga kebersihan
- JKJR sasar penurunan kadar kemalangan
Jalan runtuh akan dibaik pulih Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST Oleh ROSMIZAN RESDI beginilah keadaan tebing di laluan utama menghubungkan Kampung Jal dan Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas, Kelantan yang runtuh akibat banjir baru-baru ini. KOTA BHARU 23 Jan. - Masalah jalan runtuh yang dihadapi hampir 1,000 penduduk Kampung Jal dan Kampung Batu Tinggi, Kok Lanas di sini sejak dua bulan lalu akan selesai apabila laluan utama itu akan dibaik pulih dengan segera. Jalan yang menjadi laluan penduduk setempat untuk ke Pekan Kok Lanas dan Ketereh itu runtuh sejak November lalu akibat banjir yang melanda kawasan tersebut baru-baru ini. Seorang penduduk, Zainal Abidin Ismail, 68, dari Kampung Jal meluahkan rasa syukur kerana projek membaik pulih jalan tersebut akan memudahkan penduduk setempat untuk menjalani aktiviti seharian. "Kejadian tanah runtuh memberi masalah kepada kepada penduduk memandangkan ia adalah laluan utama termasuk untuk ke masjid serta sekolah-sekolah berhampiran. "Masalah ini akan selesai tidak lama lagi memandangkan peruntukan sudah disalurkan untuk kerja-kerja baik pulih jalan terbabit," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Seorang lagi penduduk, Ismail Mat, 56, turut meluahkan rasa gembira kerana jalan yang menjadi laluan utama penduduk setempat akan dibaiki dengan sempurna tidak lama lagi. "Apabila laluan ini dibaiki, penduduk di sini tidak perlu lagi menggunakan jalan lain yang lebih jauh dan ini memberi kemudahan kepada kami," katanya. Bagi Md. Hussin Abdul Rahman, 60, dari Kampung Batu Tinggi, kerja-kerja membaiki laluan itu juga akan menjamin keselamatan penduduk kampung yang melalui jalan tersebut. "Sebelum ini, laluan ini telah dibaiki tetapi ia masih lagi berlaku runtuhan ketika banjir melanda dan masalah ini turut membimbangkan kami terutama kanak-kanak yang melalui jalan ini pada waktu malam. "Walau bagaimanapun, masalah ini selesai tidak lama lagi dan kami sangat gembira dengan keprihatinan serta bantuan yang disalurkan untuk membaiki laluan ini," katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, peruntukan segera sebanyak RM60,000 disediakan untuk kerja-kerja membaik pulih jalan terbabit. Beliau berkata, pelaksanaan serta kerja pembaikan akan dilakukan segera demi menjamin keselamatan dan ke kesejahteraan penduduk di kawasan itu. "Dengan peruntukan ini, kita akan membaiki jalan serta laluan air bagi memastikan masalah tanah runtuh tidak akan berulang lagi apabila musim banjir," katanya. |
Peniaga di pasar diminta jaga kebersihan Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST Pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan menyita laksam di sebuah gerai apabila mendapati peniaganya gagal menutup makanan itu dan dikesan ada bekas gigitan haiwan perosak sewaktu Ops Penggredan Premis Makanan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 23 Jan. - Peniaga di pasar-pasar di negeri ini dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kebersihan premis makanan bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan dan penularan wabak penyakit. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, tahap kebersihan premis makanan di pasar masih berada pada paras sederhana walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan kesedaran berhubung perkara itu. Menurut beliau, sikap berkenaan akan mencalarkan imej negeri ini berhubung soal kebersihan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) kerana negeri ini menjadi salah satu destinasi tumpuan pelancong dari dalam atau luar negara. "Pengusaha premis makanan juga tidak seharusnya memandang remeh perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan dan kesihatan orang ramai. "Mereka harus memastikan aspek kebersihan diberikan keutamaan dan tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya kepada pemberita selepas melakukan Ops Penggredan Premis Makanan di Pasar Siti Khadijah, di sini hari ini. Ahmad Razin berkata, Persekitaran premis makanan yang kotor turut menimbulkan suasana tidak sihat kepada pengunjung yang datang terutama orang luar. "Keadaan yang kotor itu tidak boleh dibiarkan berterusan dan perlu diambil tindakan segera bagi mengelak pencemaran bau dan kekotoran yang boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit," kata beliau lagi. . |
JKJR sasar penurunan kadar kemalangan Posted: 23 Jan 2014 11:28 AM PST KOTA BHARU 23 Jan. - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan menyasarkan kadar kemalangan maut di Kelantan dapat diturunkan sehingga 20 peratus pada tahun ini. Pengarah JKJR negeri, Yusrina Md. Yusof berkata, pihaknya menjangkajumlah nahas maut dapat diturunkan daripada 378 orang tahun lalu kepada 300 orang tahun ini. Beliau berkata, pada tahun lalu, sebanyak 286 kes kemalangan maut dilaporkan dan ia menurun sebanyak 14 kes pada tahun 2012. "Kalau nak bandingkan kadar kemalangan maut antara 2012 dan 2013, memang ada penurunan tetapi jumlah perbezaan itu hanyalah 14 orang sahaja. "Untuk mendapatkan kemalangan sifar adalah perkara mustahil, namun itu bukan bermakna kadar kematian akibat kemalangan tidak boleh dikurangkan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2014 di sini hari ini. Hadir sama, Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood. Dalam perkembangan lain, Yusrina berkata, 85 peratus kemalangan maut berpunca daripada sikap pengguna itu sendiri. Sehubungan itu katanya, JKJR negeri melancarkan kempen keselamatan jalan raya pada musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini. "Banyak kenderaan yang masuk ke Kelantan pada musim perayaan, jadi kita ingin meminta kerjasama daripada semua pihak untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kesesakan lalu lintas. "Kemalangan banyak terjadi juga disebabkan sikap pengguna jalan raya yang mementingkan diri dengan melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas seperti meletak kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan dan memandu di lorong yang salah," katanya. Tambah Yusrina, kadar kemalangan hanya dapat dikurangkan jika orang ramai mengamalkan sikap berhati-hati dan tidak mementingkan diri apabila berada di jalan raya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |