{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Amaran kepada guru KAFA

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my

Zaluzi Sulaiman (lima dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan guru KAFA kepada Penyelaras Guru KAFA Sekolah Kebangsaan Chica Menyabong di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 26 Jan. - UMNO Bahagian Pengkalan Chepa akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan berkenaan yang terlibat secara tidak langsung dengan mana-mana parti politik.

Ketuanya, Zaluzi Sulaiman berkata, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan kerajaan sebelum ini telah memperuntukan RM50 juta setiap tahun kepada guru-guru KAFA ini.

Beliau berkata, peruntukan yang disalurkan itu seharusnya dihargai oleh guru-guru KAFA bagi mendokong setiap hasrat kerajaan bagi membantu memantapkan sektor pendidikan ini.

"Guru-guru KAFA yang dilantik seharusnya perlu bersyukur dan menghargai setiap insentif serta bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada mereka selama ini.

"Kita tidak mahu melihat mereka bekerja dalam kepura-puraan sebaliknya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik yang mendokong matlamat kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Guru-Guru KAFA bagi Parlimen Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Ismail Omar; Naib Ketua UMNO Bahagian; Wan Shahrul Azuan Abdul Aziz dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Haris Hussin.

Dalam majlis tersebut, seramai 301 guru KAFA di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa telah disambung perkhidmatan dan menerima watikah pelantikan masing-masing.

Tambah Zaluzi, pihaknya juga akan terus memantau segala aktiviti guru-guru KAFA yang dilantik supaya mereka melaksanakan tanggungjawab seperti mana yang diamanahkan.

"Walaupun kita mendapati perkara tersebut tidak begitu serius di Parlimen ini namun pencegahan awal perlu dilakukan bagi melahirkan pendidik yang lebih mantap," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Amran Mamat berkata, langkah meneliti setiap aktiviti yang dilakukan oleh guru-guru KAFA terbabit adalah sangat wajar.

"Pada tahun ini, kita membuat tapisan yang cukup terperinci bagi memilih mereka yang betul-betul layak serta berkemampuan dalam mendidik anak-anak bangsa," katanya.

39 murid terima Lencana Bistarian 5A sempena Maulidur Rasul

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Sharifah Faridah Syed Bulat (berdiri tengah) bersama 39 murid menunjukkan Lencana Bistarian 5A sempena sambutan Maulidur Rasul di Sekolah Kebangsaan Parang Puting, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 26 Jan. - Seramai 39 murid Sekolah Kebangsaan Parang Puting menerima 'Lencana Bistarian 5A' sempena sambutan Maulidur Rasul di sekolah itu hari ini.

Lencana tersebut sebagai motivasi bagi menggalakkan murid di sekolah itu berusaha mencapai keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September depan.

Guru Besarnya, Sharifah Faridah Syed Bulat berkata, pihaknya perlu merangka pelbagai program galakkan untuk pelajar-pelajar kerana kebanyakan mereka datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Sekolah ini terletak di pinggir Pengkalan Chepa dalam kategori luar bandar, jadi kami warga pendidik perlu kreatif untuk menarik minat para pelajar.

"Lencana ini telah diwujudkan sejak beberapa tahun lalu dan ia memberikan kesan di mana seramai 16 murid mendapat 5A pada tahun lalu dan 12 pelajar pada tahun 2012," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan seramai 30 pelajar mendapat 5A dalam keputusan UPSR tahun ini.

Tambahnya, sasaran itu boleh dicapai dengan pelbagai bantuan yang disalurkan oleh kerajaan termasuk komitmen guru-guru untuk membentuk pelajar cemerlang.

Kerajaan Pusat bantu bangunkan Tok Bali

Posted: 26 Jan 2014 11:02 AM PST

Zawawi Othman (tengah) bersama Ismail Dollah (kiri) memotong riben pelancaran membina dua buah kapal penumpang aluminium di Tok Bali dekat Pasir Puteh, Kelantan, semalam.

PASIR PUTEH 26 Jan. - Pembangunan pesat industri perikanan dan usaha merealisasikan Tok Bali sebagai bandar baharu nelayan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya tampuk pentadbiran negeri Kelantan diambil alih Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman berkata, kawasan berpotensi dimajukan sebagai pusat ekonomi Pantai Timur berasaskan industri perikanan, sektor perkapalan dan aktiviti hiliran pelancongan itu sepatutnya dipacu pesat oleh Kerajaan Pas Kelantan.

Beliau berkata, sehingga kini, semua projek yang dirancang oleh Kerajaan Pas Kelantan dengan kerjasama pihak swasta di kawasan tersebut seperti yang diumumkan pada pilihan raya umum yang lalu masih belum dilaksanakan.

"Setakat ini, apa yang ada di sini dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat seperti pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM90 juta dan penempatan semula nelayan Tok Bali oleh LKIM di kawasan seluas lebih 44 hektar menerusi 300 unit rumah oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berjumlah lebih RM18 juta.

"Sehingga kini seramai 200 nelayan telah mendiami rumah berkenaan dengan penyediaan projek hiliran seperti menternak ikan air tawar dan air payau serta pembinaan jeti khas nelayan kecil bernilai RM1.2 juta dalam lokasi pelabuhan LKIM yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran pembinaan dua buah kapal penumpang aluminium oleh Semerak Shipyard & Maritime Engineering Sdn. Bhd., (SSME) dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat Seawealth Maritime Services Sdn. Bhd., (SMS) di Tok Bali, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SSME, Ismail Dollah dan Ketua Pegawai Eksekutif SMS, Mohd. Azir Marzuki.

Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, kepesatan pembangunan di kawasan itu juga perlu diberi fokus utama oleh Kerajaan Pas Kelantan kerana ia adalah lokasi yang menjadi pemangkin baru perkembangan ekonomi di negeri ini selain bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

"Selain itu, Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen untuk pangkalan bekalan bagi tujuan industri minyak dan gas luar pantai kepada East Coast Terminal Sdn. Bhd., untuk beroperasi di Tok Bali juga bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pekerjaan.

"Berdasarkan perancangan, pelabuhan tersebut akan memberi kemudahan kepada kapal-kapal dagang dari Laut Cina Selatan mengeskport produk mereka ke negara-negara ASEAN, Jepun dan Korea Selatan pada masa akan datang di samping menggalakkan peningkatan eksport barangan tempatan ke negara luar," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat