Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- 4,000 rumah dibina di Terengganu
- Kerajaan salur RM60,000 untuk pelajar
- Jalan rosak jejas 2,000 penduduk
4,000 rumah dibina di Terengganu Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH A. Latif Awang (dua dari kanan) menyerahkan bantuan peralatan sekolah kepada pelajar miskin sambil diperhatikan oleh Mohd. Nazrul Mohd. Arsad (kanan) di Wakaf Tapai, Marang, baru-baru ini. MARANG 27 Jan. - Kira-kira 4,000 unit rumah akan dibangunkan oleh Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) di negeri ini menerusi Projek Perumahan Mampu Milik 1Malaysia (Prima) dalam tempoh lima tahun. Pengerusi KPHPB, Datuk Seri Mohd. Nazrul Mohd. Arsad berkata, projek yang dianggarkan menelan kos RM400 juta itu akan dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri bagi penyediaan tapak untuk memudahkan rakyat memiliki rumah. Katanya, pada masa ini beberapa kawasan telah dikenal pasti untuk dibangunkan melalui projek berkenaan antaranya di Marang, Kemaman, Dungun dan Besut. Menurut beliau, sebagai permulaan dicadangkan sebanyak 1,000 unit di Marang manakala daerah lain seperti Besut sebanyak 800 unit, Dungun 700 unit dan Hulu Terengganu 100 unit. "Projek yang mampu disiapkan dalam tempoh 18 bulan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kelulusan segera proses pengurusan arahan pembangunan di peringkat negeri. "Langkah ini untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri dengan harga di bawah RM150,00 seunit,'' katanya selepas Majlis Penyampaian Peralatan Sekolah Parlimen Marang yang disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang di sini petang kelmarin. Pada majlis itu, sebanyak 800 pelajar menerima beg, peralatan alat tulis dan wang tunai sumbangan KPHPB yang berjumlah RM120,000. Beliau berkata, program Prima digerakkan bertujuan memberi peluang dan membantu rakyat yang tidak mempunyai penyata gaji dan tidak bergaji tetap mampu membeli rumah melalui Skim Jaminan Kredit (SJK) . Katanya, ia merupakan skim khas Kerajaan Pusat melalui KPHPB untuk memastikan rakyat di seluruh negara menikmati rumah mampu milik yang sekali gus membantu mencapai misi 'satu keluarga satu rumah.' Menurut beliau, dalam tempoh juga KPHPB akan membina kira-kira 20,000 unit rumah di seluruh negara kecuali di negeri pembangkang yang menolak program berkenaan dan bagi fasa pertama, sebanyak 10,000 unit dijangka siap tahun ini," katanya. Sementara itu A. Latiff memberitahu, kerajaan negeri menerima kira-kira 48,522 permohonan rumah daripada penduduk di negeri ini sehingga Ogos tahun lalu. Beliau berkata, bagi menampung keperluan secara berperingkat, sejak 2008 hingga tahun lalu, sebanyak 29 projek perumahan telah dilaksanakan dengan jumlah 9,078 unit di seluruh negeri melibatkan perbelanjaan sebanyak RM792.5 juta. "Pada tahun ini beberapa projek perumahan baru akan dilaksanakan yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM75 juta," ujarnya. |
Kerajaan salur RM60,000 untuk pelajar Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST KOTA BHARU 27 Jan. - Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM60,000 kepada 550 orang pelajar cemerlang di seluruh Parlimen Kubang Kerian. Pengerusi Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kubang Kerian, Mohamed Che Noh berkata, peruntukan tersebut melibatkan pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Beliau berkata, sebanyak 458 orang pelajar UPSR serta 92 PMR dari 30 buah sekolah di kawasan parlimen berkenaan menerima bantuan tersebut. "Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam UPSR menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang manakala bagi PMR pula RM150. "Kerajaan Pusat yang sentiasa konsisten memperuntukkan sumbangan ini membuktikan usahanya dalam memartabatkan bidang pendidikan dalam negara selain menghargai kesungguhan pelajar," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR dan PMR Tahun 2013 Parlimen Kubang Kerian di sini semalam. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani. Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohd. Azizi Mohamad Dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Anuar Safian. Menurut Mohamed, UMNO Kubang Kerian sentiasa memberi sokongan penuh kepada iltizam kerajaan yang mahu memperkasakan bidang pendidikan bagi melahirkan generasi berwawasan pada masa hadapan. Katanya, generasi berwawasan yang mempunyai daya kreatif dan inovatif sememangnya bakal penentu kegemilangan negara di alaf global. "Justeru kerajaan sedaya upaya berusaha dan mencari pelbagai bentuk pendekatan termasuk sumbangan seperti ini bagi memastikan anak bangsa dapat menguasai ilmu akademi serta kemahiran ke peringkat tertinggi," katanya. |
Jalan rosak jejas 2,000 penduduk Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST Oleh ROSMIZAN RESDI Sebuah kereta melalui jalan yang berlubang-lubang di Kampung Kota Jembal, Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 27 Jan. - Hampir 2,000 penduduk di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Bahar, Kota Jembal di sini terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah ekoran kerosakan jalan di Kampung Kota Jembal di sini yang semakin serius. Selain keadaan jalan yang berlubang-lubang, kerja-kerja membaik pulih longkang di sepanjang jalan berkenaan juga masih lagi terbengkalai sejak tiga bulan lalu tanpa sebarang tindakan. Keadaan tersebut turut menyebabkan kawasan yang menjadi laluan utama pelajar untuk ke sekolah itu mengalami limpahan air sehingga memasuki kawasan sekolah dan ke dalam kelas. Menurut seorang penduduk, Azharuddin Mat, 50, keadaan tersebut telah menimbulkan kesukaran kepada penduduk di kawasan berkenaan memandangkan ia adalah laluan utama mereka setiap hari. 'Projek baik pulih longkang serta jalan ini sepatutnya telah lama disiapkan namun ia masih terbengkalai sehingga hari ini dan mendatangkan kesulitan kepada penduduk di sini. "Saya berharap perkara ini diberi perhatian yang sewajarnya memandangkan jalan ini bukan hanya digunakan untuk pelajar-pelajar sekolah, malah turut menjadi laluan penghubung untuk beberapa buah kampung yang berdekatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. Seorang lagi penduduk, Mohd. Nasir Ismail, 43, berkata, dia menghadapi kesukaran setiap kali melalui jalan tersebut memandangkan keadaan laluan yang sempit serta berlubang-lubang. "Keadaan jalan ini cukup bahaya terutamanya kepada pengguna motosikal yang mana sebelum ini telah berlaku beberapa kemalangan hingga terpaksa di bawa ke hospital. "Justeru, tindakan segera perlu diambil oleh pihak-pihak yang berwajib bagi mengelakkan kejadian yang sama terus berulang dan lebih ramai lagi yang akan menjadi mangsa," katanya. Bagi seorang penduduk, Nik Mohd. Rosdi Nik Mat, 46, berkata, dia berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan. "Saya amat berharap, masalah ini dapat ditangani segera supaya laluan tersebut dapat dibaiki dengan sempurna untuk kegunaan semua," katanya. Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Haris Hussin turut memohon kepada pihak yang bertanggungjawab supaya segera menyiapkan kerja-kerja baik pulih ini secepat mungkin bagi mengelak masalah kepada penduduk setempat. "Sekiranya masalah ini masih lagi berlarutan, saya akan cuba membantu membawa masalah ini kepada pihak berkaitan selain merujuk kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi mempercepatkan usaha baik pulih," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |