{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Horizon

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Horizon


Kuala Kangsar bak bandar kolonial British

Posted:

Kuala Kangsar bak bandar kolonial British

Kuala Kangsar bak bandar kolonial British

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

MULA berkecimpung dalam bidang seni tekat sejak 35 tahun lalu, Azizah Adam cukup mahir menyulam benang emas di atas kain baldu.

Wanita berusia 53 tahun itu menyulam benang yang diimport dari Jepun dan Jerman mengikut mempulur atau acuan kertas untuk membentuk bunga kerawang pada kain baldu di atas pemidang bersaiz sederhana di hadapannya.

Hasil tekatan tangan Azizah bersama 10 pekerja syarikat miliknya iaitu Azydar Enterprise amat teliti dan halus.

Setiap hari, kerja-kerja tekatan itu dilakukan di bengkel yang terletak bersebelahan kediamannya di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak.

Menurut beliau, pada zaman dulu tekat merupakan aksesori mewah dan eksklusif bagi golongan kerabat diraja.

Tekat popular dalam kalangan masyarakat Melayu terutama pada majlis-majlis rasmi. Azizah merupakan individu penting dalam pembuatan pelamin perkahwinan tiga orang cucu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Tekat biasanya digunakan dalam istiadat dan upacara simbolik adat Melayu seperti kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan dan majlis khatam al-Quran," jelas beliau.

Seni tekat terbahagi kepada dua iaitu tekat timbul bunga emas dan tekat gubah. Tekat timbul bunga emas menggunakan benang berwarna emas dan acuan kertas untuk membentuk rekaan bunga di atas kain baldu manakala tekat gubah pula menggunakan benang pelbagai warna serta tanpa acuan.

Rekaan tekat timbul bunga emas hanya menggunakan corak tradisional turun-temurun iaitu bunga kekwa, bunga padi, bunga raya dan bunga kerawang. Benang emas ditekat di atas kain baldu berwarna merah, biru dan hitam untuk dijadikan set tempat tidur, pelamin, tepak sirih dan cenderamata.

"Harga bagi set perkahwinan seperti tilam, bantal, cadar, kusyen dan kipas tangan antara RM3,000 hingga RM6,000. Ia juga boleh mencecah hingga ratusan ribu ringgit bergantung kepada rekaan," katanya yang pernah mengadakan demonstrasi kraf tangan dan pelancongan di India, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Perancis.


ISTANA Kenangan atau Muzium Diraja Perak kini dalam proses penyelenggaraan dan dijadualkan dibuka dalam masa terdekat.


Bandar kolonial

Bekas syiling, tepak sirih kecil dan perhiasan kereta merupakan produk pelancongan tekat popular di Kuala Kangsar. Ia dijual pada harga RM18 hingga RM20 setiap satu.

Tekat merupakan antara produk pelancongan yang sinonim dengan daerah Kuala Kangsar selain industri labu di Kampung Sayong, pembuatan parang dan keris di Kampung Padang Changkat.

Berkunjung ke Kuala Kangsar seperti berada di sebuah bandar kolonial British. Seni bina British masih jelas kelihatan di sekitar bandar Kuala Kangsar terutama pada bangunan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford.

Keluasan kawasan pentadbiran daerah Kuala Kangsar meliputi 204.94 kilometer (km) persegi. Bagi yang ingin berkunjung ke daerah bersejarah di negeri Perak itu, pastikan anda membuat sedikit kajian mengenai destinasi-destinasi yang ingin dilawati.

Dengan hanya berjalan kaki, pelancong dapat menerokai tempat-tempat menarik di sekitar bandar Kuala Kangsar. Jeti penambang yang terletak di Dataran Sungai Perak atau Lembah merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan pelzancong di bandar itu.

Dengan bayaran RM1, anda boleh menaiki bot menyeberangi Sungai Perak ke Persisiran Sayong. Bagi yang ingin merasai pengalaman berbeza, anda perlu menyediakan tambang sebanyak RM6 untuk menikmati pemandangan Istana Iskandariah di Bukit Chandan dan jambatan Sultan Abdul Jalil dengan menaiki bot.

MOHD. RIZMAN masih mengekalkan ramuan asli dalam laksa di restorannya.


Pondok telefon

Sekiranya berkunjung ke Dataran Sungai Perak pada hari Ahad, anda berpeluang ke Pasar Minggu Lembah untuk membeli barangan runcit, buah-buahan dan makanan tempatan yang dijual oleh masyarakat setempat.

Selain itu, kawasan Dataran Putra yang terletak di tengah-tengah bandar Kuala Kangsar menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong. Replika jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia dan pondok telefon merah seperti di ibu kota London pasti mencuri perhatian anda.

Tidak lengkap kunjungan anda ke Kuala Kangsar tanpa mencuba laksa Kuala Kangsar di restoran Laksa Pak Ngah di Jalan Dato Sagor. Restoran yang menghidangkan hidangan tradisi daerah itu menjadi tumpuan pelancong terutamanya pada hari minggu.

Jenama Laksa Pak Ngah bermula sejak tahun 1950-an oleh Md. Rashid Uda Jaafar yang menjual laksa dengan menaiki basikal di sekitar Kuala Kangsar.

Mohd. Rizman, 37, merupakan generasi keempat menguruskan restoran tersebut sejak mengambil alih daripada bapanya, Mohd. Tajidi Abd. Rashid pada tahun 2000.

"Kuah laksa Kuala Kangsar lebih cair berbanding laksa negeri lain. Ikan sardin, cili kering, garam dan asam gelugur merupakan ramuan penting kuah laksa ini.

"Laksa yang dihidangkan juga lebih tebal dan lembut kerana ia diproses sendiri menggunakan tepung gandum, air panas dan garam sebagai bahan utama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Setelah puas menikmati laksa, luangkan masa seketika untuk melawat Jambatan Victoria di Karai yang dibina pada tahun 1897. Ia terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar Kuala Kangsar dan merupakan antara landasan kereta api tertua di Malaysia.


REKAAN bangunan MCKK berasaskan seni bina Greece dan Rom merupakan tempat yang wajib dikunjungi pelancong.


Terdapat sebuah kubu Perang Dunia yang masih kukuh yang dibina berhampiran jambatan itu.

Menurut seorang penduduk yang tinggal di Kampung Seberang Karai, Mohd. Fuad Nordin, 50, jambatan itu menjadi laluan utama penduduk kampungnya ke pekan Karai sama ada dengan menaiki motosikal ataupun berjalan kaki.

"Seminggu sekali, saya akan memancing di Sungai Perak menggunakan koyan di atas jambatan ini. Sungai Perak terkenal sebagai lubuk ikan lampam, jelawat, lawang dan kelah.

"Walaupun jambatan ini berusia lebih 100 tahun, ia masih utuh dan menjadi tumpuan para pelancong malah pengarah filem terkenal, Mamat Khalid juga pernah mengadakan penggambaran di sini," ujarnya yang bekerja sebagai penoreh getah dan membuat labu di kampungnya.

Budaya unik Istanbul menggamit memori

Posted:

Budaya unik Istanbul menggamit memori

Budaya unik Istanbul menggamit memori


KAPAL persiaran di Selat Bosphorus memberi peluang kepada pelancong yang ingin menikmati keindahan selat yang memisahkan benua Eropah dan Asia.


NAPOLEON BONAPARTE, pencetus revolusi Perancis, pernah berkata, jika dunia ini ialah sebuah negara, maka Istanbul ibu kotanya.

Keagungan kota Istanbul bukan hanya terletak pada nama semata-mata, namun pada sejarahnya yang melewati hampir 16 abad.

Hakikatnya, kota itu yang dahulunya dikenali sebagai Constantinople pernah menjadi pusat pemerintahan bagi Empayar Roman, Byzantine, Latin dan Uthmaniah, selain menjadi punca pertumpahan darah kerana kedudukannya yang strategik.

Sejarah pendudukan pelbagai empayar menjadikannya sebuah kota yang kaya dengan budaya tersendiri dan hasil seni bina klasik yang masih utuh sehingga ke hari ini.

Ini sekali gus menjadi daya tarikan bagi mereka yang ingin ke bandar raya itu. Penulis yang baru-baru ini ke Istanbul atas tujuan kerja turut terpegun dengan keindahan yang disajikan Bandar Dua Benua ini.

Keletihan berada dalam pesawat selama 11 jam dari Kuala Lumpur seakan-akan hilang tatkala melihat panorama malam Istanbul yang disirami dengan rangkaian cahaya berwarna-warni dari tingkap pesawat sejurus sebelum mendarat di Lapangan Terbang Ataturk.

Penulis tiba pada pertengahan bulan Ogos lalu, ketika Istanbul masih lagi mengalami musim panas. Dengan suhu antara 23 hingga 30 darjah Celsius, ia merupakan waktu paling sesuai untuk meneroka kota raya itu.

Mercu tanda

Lawatan pertama penulis di sini adalah ke Masjid Sultan Ahmet atau lebih dikenali dengan nama Masjid Biru. Dibina antara tahun 1609 hingga 1616, gelaran Masjid Biru diberikan kerana jubin biru menghiasi dinding di bahagian dalam masjid.

Menurut penduduk tempatan, masjid itu dibina oleh Sultan Ahmed I kerana dipercayai untuk menandingi kompleks Hagia Sophia yang dibina oleh penakluk Kristian pada 537 Masihi.

Masjid yang berkapasiti hampir 10,000 orang itu juga merupakan salah satu daripada tarikan utama pelancong ke Istanbul. Ia pernah menerima kunjungan hormat dari Paus Benedict XVI pada tahun 2006.


PEMANDANGAN pada waktu petang di Taman Gezi dan Dataran Taksim.


Lebih kurang 500 meter berhadapan Masjid Sultan Ahmet tersergam indah bangunan Hagia Sophia. Berdiri teguh sejak 1,500 tahun yang lalu, bangunan itu merupakan simbol keagungan Empayar Byzantine sebelum Istanbul ditawan tentera Uthmaniyah pimpinan Sultan Mehmet II, satu figura kebanggaan rakyat Turki.

Bermula sebagai sebuah gereja, Hagia Sophia kemudian ditukar menjadi masjid oleh Sultan Mehmet II sebelum menjadi sebuah muzium oleh pengasas Republik Turki, Mustafa Kamal Ataturk.

Dengan tiket masuk berharga TRY25 (RM40), para pengunjung pasti akan terpegun melihat pertembungan senibina Islam, Roman Katolik dan Kristian Ortodoks pada sebuah bangunan yang sama.

Bagi mereka yang gemar membeli-belah, Grand Bazaar ialah destinasi yang wajib dikunjungi. Salah satu daripada pasar tertutup yang terbesar dan tertua di dunia, Grand Bazaar menyajikan pelbagai barangan, daripada pakaian hingga perhiasan perak pada harga yang berpatutan.

Dengan lebih 3,000 buah kedai di 60 lorong untuk diterokai, pengunjung pasti rambang mata melihat aneka pilihan barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Menerima kunjungan antara 250,000 hingga 400,000 pelawat sehari, kesesakannya memerlukan pelancong asing sentiasa berwaspada daripada menjadi mangsa penyeluk saku.

Perjalanan kaki selama 10 minit dari Grand Bazaar membawa penulis ke sebuah lagi pasar terkenal di Istanbul iaitu Spice Bazaar di Fatih.

Dahulunya terkenal sebagai pusat perdagangan rempah di Istanbul, Spice Bazaar merupakan destinasi terbaik untuk mendapatkan buah-buahan kering dan kekacang, rempah, buah zaitun dan minyak pati terbaik.

Sekiranya anda ke sini, jangan lupa untuk membeli manisan terkenal Turki, Turkish Delight dan makanan lain yang sukar didapati di Malaysia.

Pengangkutan awam

Perjalanan dari satu tempat ke tempat lain dipermudahkan dengan rangkaian pengangkutan awam yang baik di Istanbul. Pelancong boleh bergerak dengan menggunakan tren, bas metro dengan laluan khas dan trem yang telah diintegrasikan pada satu sistem yang sama.

Pelancong juga boleh menaiki teksi, namun jangan terkejut dengan cara pemanduan penduduk di sini kerana mereka lebih 'mahir' memandu berbanding pelakon filem aksi.

Selain itu, pelancong yang ingin ke sini dinasihatkan untuk mempelajari bahasa Turki asas kerana rata-rata masyarakat di sini tidak fasih berbahasa Inggeris.

Menaiki bas menyeberangi Golden Horn melalui Jambatan Galata, penulis menuju ke utara Istanbul dan tiba ke Dataran Taksim, pusat tercetusnya demonstrasi berdarah pada bulan Mei lalu.

Kunjungan penulis 'disambut' dengan kehadiran trak polis dan pasukan anti-rusuhan yang berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang insiden yang tidak diingini.

Walaubagaimanapun, keadaan selamat dan tidak menghalang pelancong asing untuk bersiar-siar di situ.

Kawasan Taksim dipenuhi dengan deretan restoran dan pusat beli-belah. Bagi mereka yang ingin merasai suasana malam Istanbul, Taksim dan kawasan sekitarnya adalah satu lokasi yang sempurna.

PENJUAL ais krim ini menarik perhatian pelanggan dengan gayanya yang unik.


Bandar dua benua

Umum mengetahui mengenai keunikan Istanbul yang merupakan sebuah negara yang terletak di dua benua iaitu Eropah dan Asia.

Bosan berjalan di benua Eropah, pelancong boleh menaiki feri menyeberangi Selat Bosphorus ke bahagian Asia dengan bayaran semurah TRY2 (RM3.22).

Dari dek feri, penulis digamit dengan keindahan Selat Bosphorus dan Laut Marmara saujana mata memandang. Kicauan burung camar dan hembusan bayu laut sepanjang perjalanan mewujudkan suasana romantik yang pasti menaikkan keterujaan terutamanya kepada pasangan yang datang untuk berbulan madu.

Tidak banyak tempat untuk dilawati di bahagian Asia kerana kebanyakan kawasan tumpuan terletak di sebelah Eropah.

Ketika berada di benua Asia, penulis sempat mengunjungi Bukit Camlica untuk menikmati pemandangan bandar raya Istanbul dari ketinggian 268 meter dari aras laut.

Terdapat restoran di puncak bukit itu bagi pelancong yang ingin menghayati pemandangan indah sambil menghirup secawan coklat panas.

Sebelum menaiki feri pulang ke benua Eropah, penulis sempat singgah di kafe di pinggiran Laut Marmara untuk menikmati secawan teh Turki, minuman popular bagi penduduk di situ.

Menikmati teh panas sambil melihat matahari terbenam di ufuk barat seolah-olah memisahkan jiwa penulis dengan hiruk-pikuk suasana bandar raya tersebut.

Dalam ketenangan itu, penulis teringat kata-kata Sultan Mehmet II sebelum beliau menakluk kota Istanbul: "Sama ada aku yang menawan Istanbul, atau Istanbul yang akan menawanku."

Tidak mampu menyaingi keteguhan Sultan Mehmet II, penulis terpaksa mengalah kerana hati penulis benar-benar tertawan dengan keajaiban yang disajikan di bumi Uthmaniah ini.

Platform penerjun BASE di Malaysia

Posted:

Platform penerjun BASE di Malaysia

Platform penerjun BASE di Malaysia

KEKUATAN angin berupaya mempengaruhi arah pergerakan payung terjun peserta.


PERTAMA kali Kat Donahue, 32, melakukan terjunan BASE di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, Selangor, hatinya berdebar-debar. Namun, perasaan itu bertukar teruja dan gembira selepas mendarat dengan sempurna di kawasan padang di hadapan gua tersebut.

Kat bukanlah seorang pendatang baharu dalam arena sukan ekstrem itu. Dia telah berjaya melakukan lebih 150 terjunan BASE di negara asalnya iaitu Amerika Syarikat (AS) sebelum melakukan terjunan pada acara Terjunan BASE Sibu 2013 pada 19 hingga 22 September lalu.

Taman Ekstrem Gua Damai merupakan destinasi persinggahan Kat dan seorang rakannya sebelum melakukan terjunan pada acara Terjunan BASE Menara Kuala Lumpur 2013 yang berlangsung pada hari Jumaat hingga Ahad ini.

Menurut penerjun yang berasal dari Brooklyn, New York itu, perancangan rapi perlu dilakukan oleh penerjun terutamanya dari aspek keselamatan, kelengkapan dan mental.

"Setiap kali melakukan terjunan, saya perlu fokus untuk membuka payung terjun dan mengetahui kadar tiupan angin agar tidak tersasar dari kawasan mendarat. Pada sesi pagi hari pertama terjunan di sini, saya melakukan dua kali terjunan dan berjaya mendarat dengan sempurna.

"Taman Ekstrem Gua Damai merupakan destinasi terbaik untuk persiapan mental dan fizikal saya sebelum ke acara Terjunan BASE Menara Kuala Lumpur 2013," jelas pengurus lokasi produksi filem Hollywood, Columbia Pictures itu.

BASE merupakan nama singkatan bagi lokasi peserta untuk melompat atau terjun bangunan (building), antena (antenna), rentangan seperti jambatan (span) dan tebing bumi (earth).


MELIPAT payung terjun dengan betul merupakan langkah keselamatan penting sebelum terjunan dibuat.


Dengan yuran sebanyak RM50, penerjun dapat membuat terjunan sebanyak mungkin sepanjang sesi pagi dan malam dalam acara Terjunan BASE 2013 di taman tersebut.

Aktiviti terjunan BASE di Gua Damai itu bermula kira-kira enam tahun lalu yang dikelolakan oleh syarikat yang menguruskan gua yang terletak di Pinggiran Batu Caves iaitu Wira Adventure Consultant.

Acara terjunan BASE Taman Ekstrem Gua Damai dianjurkan setiap tahun sejak ia dibuka kepada orang ramai. Taman itu merupakan platform kepada penerjun melakukan terjunan BASE di Malaysia.

Pemilik tunggal Wira Adventure Consultant, Mustapha Albakri Omar, 53, memberitahu, penganjuran acara terjunan BASE pada tahun ini berjaya menarik seramai 40 penerjun tempatan dan luar negara.

"Pada tahun lalu, seramai 27 peserta dari tujuh negara telah menyertai acara ini. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, bilangan peserta semakin bertambah.

"Selain daripada melakukan terjunan, penerjun BASE di Gua Damai berpeluang mendaki gua setinggi 96 meter sebelum melakukan terjunan. Ia merupakan satu pengalaman yang menarik untuk para peserta terutama apabila melakukan terjunan pada waktu malam," ujarnya yang bercadang untuk mengadakan pertandingan terjunan BASE di taman tersebut pada tahun hadapan.

Selain daripada aktiviti terjunan BASE, Taman Ekstrem Gua Damai juga menyediakan sukan lasak lain seperti memanjat batu, abseiling dan merentas gua.

Sementara itu, seorang penerjun tempatan yang mewakili pasukan Damai BASE, Haziq Azlan, 25, memberitahu, acara tahunan yang dianjurkan oleh Wira Adventure Consultant itu merupakan lapangan untuk dia bertemu dengan penerjun berpengalaman dari luar negara.

"Saya berpeluang bertemu dengan penerjun dari AS iaitu Sean Chuma. Penerjun-penerjun dari luar negara mempunyai pengalaman yang luas terutama dalam kemahiran pengendalian payung terjun dan teknik terjunan mereka. Secara tidak langsung, banyak perkara yang dapat dipelajari daripada mereka," ujar graduan jurusan Perundangan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu.- MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat