Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Harga murah, produk berkualiti Posted: Harga murah, produk berkualitiROSLI ABDUL WAHAB sanggup menjelajah dari sebuah kedai ke kedai lain semata-mata mencari peralatan muzik terpakai. Walaupun agak memenatkan, lelaki berusia 48 tahun itu tidak kisah asalkan barangan tersebut berkualiti dan harganya lebih murah. "Sebelum membeli barangan terpakai, saya kaji secara mendalam tentang sesuatu produk itu dahulu. Sekiranya ia berbaloi dengan wang yang dibelanjakan barulah saya membelinya. "Misalnya, jika satu set sistem bunyi terpakai dan baharu harganya sama, kita perlu lihat dari segi jenama dan buatannya. Barangan terpakai itu buatan Amerika dan barangan baharu pula buatan China, pasti anda boleh menilai sendiri kualiti barangan yang patut dibeli," katanya yang mula meminati barangan terpakai sejak tujuh tahun lalu. Rosli yang menetap di Bandar Baru Ampang, Selangor mempunyai kumpulan muzik sendiri. Malah, dia sering mengunjungi kedai barangan terpakai bagi mencari peralatan muzik seperti sistem bunyi dan gitar. Tidak dinafikan golongan seperti Rosli cukup peka dengan kualiti sesuatu barangan sebelum berbelanja. Justeru, membeli barangan terpakai merupakan salah satu langkah terbaik. Tinjauan Kosmo! ke beberapa buah kedai barangan terpakai di sekitar Kuala Lumpur mendapati sambutan orang ramai terhadap produk tersebut amat baik. Antara barangan yang paling diminati pengguna ialah perabot, gajet, kenderaan dan barangan elektronik. Terdapat juga pelanggan yang mempunyai minat mengunjungi kedai-kedai barangan terpakai untuk mendapatkan barangan seperti alat-alat muzik, jam tangan berjenama, permainan video, buku dan barangan kulit. Bagaimanapun, barangan seperti pakaian, perkakas dapur, telefon bimbit dan barangan yang sangat peribadi kurang diminati. Faktor harga pastinya kriteria utama yang dinilai sebelum membeli barangan terpakai, apatah lagi bukan semua orang berminat memiliki barangan yang pernah digunakan oleh orang lain. Namun, jika ia masih dalam keadaan baik dan harganya jauh lebih murah berbanding barang baharu, mengapa tidak? Bagi Khairul Ahsan, 38, dia tidak menghadapi masalah menggunakan barangan terpakai kerana apa yang penting ialah barangan tersebut masih elok dan harganya murah. Dia yang tinggal di Ampang pernah membeli satu set permainan alat pembinaan terpakai untuk anaknya yang berharga RM45. "Saya biasanya akan melihat harga sebelum membeli, kecuali benar-benar meminati barangan tersebut. Lazimnya, harga barangan terpakai jauh lebih murah berbanding yang baharu. "Sesetengah barangan terpakai turut disertai sijil jaminan. Jadi, saya tidak bimbang jika ia rosak dalam tempoh jaminan kerana kita boleh menghantarnya semula kepada penjual untuk dibaiki atau ditukar," katanya yang turut mengunjungi kedai barangan terpakai bagi membeli barangan seperti jam tangan dan permainan video. SEORANG pelanggan memeriksa barangan terpakai sebelum membelinya. Sejarah Norziati Mohd. Rosman, 34, pula selain menimbangkan faktor harga, dia membeli barangan terpakai yang mempunyai nilai sentimental dan sejarah. Bekerja di sebuah syarikat penerbitan di Bandar Baru Bangi, Norziati yang juga seorang penulis memberitahu, dia biasanya membeli buku-buku seperti sastera, novel dan fiksyen berbahasa Melayu terutama bagi cetakan terawal. Selain itu, dia turut meminati novel Inggeris lama dan majalah terpakai. "Saya dapat melihat perubahan tulisan dan cara bahasa yang digunakan pada waktu itu berbanding hari ini. Contohnya, saya memiliki cetakan pertama novel Pertentangan karya Sasterawan negara S. Othman Kelantan pada tahun 1967. Memiliki buku lama bukan kerana ia murah tetapi nilainya," kata Norziati. Menurut Norziati, selepas membaca buku-buku tersebut, dia akan menyimpannya sebagai koleksi peribadi. Antara novel dalam koleksinya ialah Saga karya Abd. Talib Hassan dalam dua edisi, novel Perempuan Politikus Melayu (Faisal Tehrani) juga dalam dua edisi serta tiga edisi Salina karya Datuk A. Samad Said. "Sebagai penulis, buku-buku lama ini membantu memperkembangkan perbendaharaan kata sambil mempelajari cara penyampaian penulisan yang lebih halus dan menyentuh perasaan. "Memandangkan saya terlibat dalam transliterasi manuskrip, mendalami bahan-bahan lama merupakan satu keperluan kerana terdapat banyak perkataan yang tidak lagi digunakan hari ini, sehingga tidak wujud dalam kamus. Ini jelas berlaku pada manuskrip perubatan atau hikayat yang berkisar kepada keadaan setempat kerana ia menggunakan loghat tempatan," tambah Norziati. Pulangan berganda Selain buku, Norziati turut menyimpan mesin taip, seterika, lampu gasolin, televisyen lama, radio, jam tangan, jam dinding yang merupakan koleksi dan simpanan bapa beliau di kampung halamannya. Bagi seorang penjual barangan terpakai, Farid Hidayat Fadzil, 32, dari Seberang Perai, Pulau Pinang, barangan terpakai bukan sahaja menguntungkan pengguna, malah membawa pulangan berganda kepada penjual. Bagaimanapun, hanya beberapa barangan sahaja yang memberikan pulangan lumayan kepada penjual manakala selebihnya berdasarkan komisen. Farid memberitahu, pada mulanya dia hanya melakukan kerja pelupusan komputer. Pada masa itu, Farid yang mengendalikan bisnes pelupusan komputer secara berlesen mula menerima banyak permintaan terhadap barangan tersebut. Ia sekali gus menimbulkan minat untuk berjual beli secara kecil-kecilan. BUKU-BUKU terpakai milik Norziati yang sukar didapati di pasaran. "Rupa-rupanya, barangan lama ini ada nilainya. Sejak itu, saya mula menceburi bidang ini termasuk mendapat kenalan dalam kalangan penjual dan pembeli barangan terpakai lain," kata Farid yang memulakan perniagaannya pada hujung tahun 2011. "Permintaan sangat tinggi, khususnya perabot hotel. Pihak hotel biasanya menjual perabot terpakai yang kualitinya masih baik terutama hotel berstatus tiga bintang ke atas," katanya. Perabot terpakai itu kemudian dijual secara pakej dan mempunyai permintaan yang baik dalam kalangan pembeli yang percaya ia mampu tahan lama serta berbaloi dimiliki. Pada masa yang sama, sebagai penjual, hotel akan memberi komisen yang tinggi bagi memastikan urusan jual beli diselesaikan pada waktu yang ditetapkan. Bercakap mengenai perbandingan harga, Farid memberitahu permintaan pelanggan yang banyak berpunca daripada harga yang jauh lebih rendah berbanding barang baharu. Farid memberitahu pada harga RM1,000 hingga RM1,200, seseorang boleh membeli set katil, meja solek, meja tepi dan almari. "Harga itu sangat berbaloi kerana kualiti produk tersebut setaraf dengan barangan baharu yang dijual beberapa kali ganda lebih mahal," kata Farid. Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pasangan baru berkahwin, mereka yang berpindah ke rumah baharu dan pengusaha resort atau hotel bajet. "Saya beroperasi dalam talian kerana tidak mahu menyewa ruang menyimpan barang. Kalau terpaksa, baru saya sewa secara sementara," ujar Farid. Ditanya tentang jaminan yang ditawarkan kepada pembeli, Farid akui barangan terpakai biasanya tiada jaminan. Malah, dia tidak menafikan pelanggan terpaksa menanggung risiko khususnya sewaktu penghantaran. |
Pendakian bergaya di Korea Selatan Posted: Pendakian bergaya di Korea SelatanMENDAKI gunung dan pakaian berjenama menjadi trend di Korea Selatan. AKTIVITI pendakian di Korea Selatan semakin popular dalam kalangan rakyat negara itu. Namun, bagi yang mahu melibatkan diri dalam aktiviti tersebut, mereka perlu bersedia untuk membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membeli pakaian berjenama agar tidak kelihatan janggal. Jika dahulu, pemakaian jean dan baju-t mampu menarik perhatian, tetapi pada waktu ini, jaket ultra ringan jenama North Face yang dihasilkan dengan teknologi tiga lapisan Gore-Tex berharga RM2,166 dibeli tanpa rasa teragak-agak. Saban minggu, jutaan rakyat Korea akan memenuhi kawasan taman gunung di negara tersebut. Ia merupakan satu aktiviti yang biasa dilakukan sejak berdekad lamanya. Daripada aspek umur, stamina dan motivasi ketika melakukan aktiviti tersebut mungkin jauh berbeza, namun satu persamaan antara mereka ialah kegilaan terhadap peralatan dan pakaian berjenama. Sungguhpun puncak gunung tertinggi di Seoul, Gunung Bukhansa, mempunyai ketinggian sederhana iaitu 836 meter dari paras laut, kumpulan pendaki yang memanjat cerun itu berpakaian seperti ingin memanjat bahagian utara Gunung Eiger di Switzerland yang mempunyai ketinggian 1,800 meter. "Ia sememangnya mahal, namun semua orang berpakaian seperti ini dan saya tidak mahu kelihatan janggal. "Lagipun, pakaian ini mempunyai kualiti yang baik dan selesa dipakai," kata seorang suri rumah pertengahan usia yang lengkap berpakaian aktiviti luar berjenama terkemuka, Chung Da-hee kepada AFP. SEPASANG pendaki melepasi sebuah butik pakaian aktiviti luar di Gunung Bukhunsa. Populariti Populariti aktiviti luar di Korea Selatan melonjak pada akhir tahun 1980-an, seiring dengan peningkatan standard kehidupan rakyatnya selain mereka mendapat ilham melakukan aktiviti tersebut setelah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas pada tahun 1988. Menurut Jung Juno yang mengetuai pertubuhan World Walking Headquarters yang berpangkalan di Seoul, gelombang kedua lonjakan populariti aktiviti itu telah tercetus daripada krisis kewangan yang melanda Asia pada tahun 1997. Krisis itu menyebabkan Korea Selatan diselubungi kesukaran dan ramai rakyat kehilangan pekerjaan, khususnya lelaki pertengahan usia. "Ketika itu, pada waktu siang mereka tidak tahu hendak ke mana. Lantaran itu, slogan paling popular di negara ini iaitu 'kekal sihat untuk kembali beraksi' menyebabkan ramai antara mereka mengambil inisiatif berjalan di kaki di kaki-kaki bukit dan gunung," jelas Jung. Di samping itu, kerajaan pusat dan negeri turut memberi sokongan terhadap trend tersebut termasuk membuat denai dan menawarkan kursus mendaki di negara yang terkenal dengan panorama alam yang indah itu. Warga Korea Selatan menjadikan hobi pada masa lapang mereka sebagai satu perkara yang serius. Pemulihan ekonomi sehingga negara tersebut menjadi kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia turut memberi kesan positif kepada rakyatnya. Hasilnya, pasaran pakaian aktiviti luar melonjak daripada RM3.6 bilion pada tahun 2006 kepada RM17.6 bilion pada 2012. Perkembangan fesyen Persekitaran Seoul yang dikelilingi gunung menyebabkan banyak kedai pakaian berjenama antarabangsa seperti Merrell, North Face dan Berghaus dibuka di setiap laluan utama bersama jenama-jenama tempatan seperti Black Yak dan K2. Pengusaha pakaian dari Kolon Industry, Yang Moon-Young berkata, peningkatan permintaan yang mendadak telah membuatkan banyak syarikat memberikan cuti rehat selama dua hari kepada pekerja berbanding sehari sebelum ini. "Peningkatan masa santai yang digabungkan dengan pendapatan yang lebih tinggi telah melonjakkan pasaran pakaian aktiviti luar dalam tempoh yang singkat sejak lima tahun lalu," jelasnya. BUKAN setakat suka mendaki, penduduk Seoul turut mengilai pakaian lasak yang berjenama. Dia juga menekankan, pakaian aktiviti luar yang lebih bergaya kini diterapkan sebagai fesyen harian oleh generasi muda yang peka fesyen. "Lebih ramai penduduk, khususnya pengguna muda, memakai pakaian ini kerana ia kelihatan kasual," katanya. Tambah Moon-Young, pakaian aktiviti luar telah 'turun' dari gunung dan menakluki kaki lima jalan. Sementara itu, guru sekolah tinggi, Kim Mi-Hye, 53, yang gemar mendaki Gunung Bukhansan pada setiap hujung minggu mengakui almarinya penuh dengan pakaian mendaki. "Sesetengahnya begitu cantik dan bergaya ditambah pula dengan warna yang menawan. "Saya sering mengingatkan diri sendiri pakaian yang ada mencukupi, tetapi apabila melihat jaket baharu, saya gagal mengawal diri dan terus membelinya," ungkapnya tersenyum. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |