Utusan Online - Pendidikan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pendidikan |
PBS penuhi Falsafah Pendidikan Negara Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT Abdullah Abdul Rahman Guru Besar SK Pasoh 1 (F) Simpang Pertang, Negeri Sembilan KETIKA ini Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sudah berjalan di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Di sekolah rendah PBS kini telah dilaksanakan di tahun 1, 2 dan 3. Pada tahun hadapan PBS akan dijalankan pula di tahun 4. Di sekolah menengah, PBS bermula pada tahun 2012. PBS bukanlah satu sistem baharu malah kalau kita masih ingat, pentaksiran inilah yang selama ini dijalankan di sekolah-sekolah. Sebagai contoh mudah kita (guru) ada memberi murid kerja rumah, kuiz, projek, soal jawab, mengisi tempat kosong dan lain-lain lagi. PBS ketika ini merupakan penambahbaikan kepada PBSA yang terdahulu dengan mengetengahkan pentaksiran merujuk standard dan penggunaan sistem PBS (SPPBS) untuk membantu guru-guru merekod pencapaian murid secara tersusun dan berterusan. Soalnya mengapa pula PBS dilaksanakan ketika ini adalah disebabkan ia seiring dengan program transformasi kerajaan untuk menghasilkan modal insan bertaraf dunia. PBS yang dibincangkan kini bukanlah isu walaupun ramai dalam kalangan guru yang tidak berapa suka dengan menganggap PBS ini membebankan malah telah meluahkan reaksi mereka melalui pelbagai medium. Reaksi ini memang dijangka berpunca daripada ketidakfahaman mereka. Apabila sudah difahami, kerja menjadi mudah untuk dilaksanakan walaupun sedikit memenatkan. Sememangnya saya bersimpati dengan perkara ini tetapi ini adalah dasar kerajaan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan perkara ini dengan niat yang baik setelah sekian lama pendidikan terabai daripada murid dan para pelajar. Sebenarnya PBS ini dilaksanakan bagi tujuan pertama untuk meningkatkan pencapaian pelajar, kedua memperbaiki kelemahan atau masalah murid dalam pembelajaran, ketiga meningkatkan keyakinan kepada murid untuk belajar dan keempat untuk tujuan mengubahsuai strategi pengajaran. Selama ini mereka dipadatkan dengan keampuhan peperiksaan yang meletakkan mereka tersasar daripada landasan sebenarnya. Peperiksaan bererti mengutamakan keupayaan akademik dan hanya menilai aspek kognitif sahaja lantaran itu aspek yang bukan akademik tercicir dan terabai dek mengejar kualiti dan kuantiti 100 peratus. Hal ini mengakibatkan lahirnya insan-insan yang tidak seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Menonjol dalam akademik, lemah dalam aspek rohani dan jasmani, kemahiran sosial dan nilai-nilai murni yang lain. Tidak dinafikan sebelum PBS ini dilaksanakan semua guru yang terlibat telah mendapat maklumat mengenainya tetapi sebelum maklumat ini sampai ke sekolah telah berlaku ketirisan maklumat. Akibatnya ada maklumat yang tertinggal dan ada maklumat yang sukar difahami malah mungkin disalah tafsir. Guru-guru di bilik darjah akan menjadi tidak begitu faham sedangkan merekalah yang melaksanakan semua ini. Pada saya, guru tidak wajar dipersalahkan namun kita adalah penggerak di peringkat akar umbi - mahu atau tidak kita kena cepat belajar dan memahami mengapa PBS ini hendak dilaksanakan di sekolah-sekolah. PBS adalah untuk insan-insan bakal pemimpin pada masa akan datang. Melahirkan insan yang cemerlang, berketerampilan, mempunyai akhlak dan jati diri terpuji dalam pelbagai bidang sememangnya tugas manusia bernama guru. Kita tidak mahu yang pekak hanya membakar meriam, yang kurap hanya memikul buluh, yang buta hanya bertongkat. Setiap insan mempunyai kelemahan dan kekurangan tetapi semua itu adalah cabaran yang memberi kekuatan, keazaman, ruang dan peluang. Untuk mendapatkan semua itu PBS adalah jawapannya! |
Kem Nilam galak budaya membaca Posted: 01 Sep 2013 10:49 AM PDT WAHID Hashim menerangkan kaedah menggunakan sisipan ADaP untuk membuat lembaran kerja dan latih tubi dalam Kem Nilam daerah Hulu Langat di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Bagi menyemaikan dan menggalakkan minat membaca di kalangan murid, Pejabat Pelajaran dan Pusat Kegiatan Guru daerah Hulu Langat dengan sokongan Unit Pendidikan Utusan Malaysia menganjurkan Kem Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. Pegawai Teknologi Pendidikan Pusat Kegiatan Guru Kajang, Nor Mazrah Baharum berkata, program itu yang diwajibkan dilaksanakan di setiap sekolah oleh kementerian adalah untuk mengenal pasti murid yang mencapai tahap cemerlang dalam pembacaan mereka dan layak menerima anugerah Nilam. ''Kem Nilam merupakan saluran tertinggi bagi aktiviti Nilam untuk mengiktiraf murid-murid yang cemerlang dan dianjurkan sehingga ke peringkat kebangsaan pada setiap tahun,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam program itu yang bertemakan 'Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca'. Sebanyak 40 murid Tahun Lima dan Tingkatan Empat daripada daerah Hulu Langat terpilih menyertai kem kali ketujuh yang dianjurkan bersama Bahagian Teknologi Pendidikan Selangor itu. Dalam majlis itu, pejabat Pelajaran dan Pusat Kegiatan Guru Daerah Hulu Langat melanggan kira-kira 220 akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan akhbar pendidikan terbaru, Tutor untuk diedarkan kepada murid dan guru yang menyertai bengkel tersebut. Selain itu menurut Nor Mazrah, berdasarkan kesedaran tersebut, pihaknya merasakan program berkenaan wajar digerakkan bagi mengetengah bakat murid ke peringkat negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan. "Melalui program ini, murid mendapat pelbagai pendedahan dalam literasi maklumat melalui faedah membaca, mengikuti pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan menyeronokkan. "Di samping itu, mereka dapat bersaing secara sihat untuk berusaha menempatkan diri sebagai calon Nilam mewakili negeri dan kebangsaan,'' katanya. Terdahulu, bengkel itu yang diselitkan dengan slot ceramah mengenai lembaran kerja dan pengurusan pusat sumber berlangsung selama dua jam, dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim. Peserta yang sebahagian besarnya terdiri daripada murid tahun lima mewakili sekolah rendah dalam daerah Hulu Langat turut berpeluang membuat latihan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam sisipan pendidikan ADaP dan Tutor dalam slot tersebut. Antara aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang tiga hari program berlangsung termasuklah sesi Ice Breaking, ujian bertulis, temuduga murid merangkumi, isu semasa dan soalan berkaitan karya dan pengucapan awam. Acara lain termasuk kuliah subuh, aktiviti dalam kumpulan, riadah, perkongsian ilmu, aktiviti jejak maklumat, aktiviti rakan membaca dan program lawatan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pendidikan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |