Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Ancam kesihatan manusia"BESARNYA tikus ini, mengalahkan anak kucing! Sudahlah berbulu-bulu, geli rasanya," rintih Bryan Adrian Narson, 11, kepada gurunya, Surianti Irwan. Bryan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, Menggatal, Sabah, antara puluhan pelajar yang hadir sewaktu pelancaran Kempen Kawalan Tikus Peringkat Kebangsaan di Dewan Pekan Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. Biarpun usianya masih muda, namun persepsi anak kecil ini terhadap tikus yang tergolong dalam keluarga mamalia, rodensia cukup membayangkan haiwan perosak itu mampu membawa masalah yang serius. Malah, secara umumnya semua mengetahui kehadiran tikus merupakan ancaman utama terhadap keselesaan dan kesihatan kepada masyarakat secara umumnya. Sekiranya tidak ditangani, ia mampu mendatangkan kesan buruk melalui penularan wabak penyakitnya terutama leptospirosis atau kencing tikus. "Saya rasa tikus ini mesti dapat makanan banyak sebab saiznya yang besar memandangkan banyak sisa makanan serta sampah di mana-mana sahaja di sekitar bandar raya ini. "Selepas ini, hendak minta keluarga sama-sama pasang perangkap supaya tikus dapat dihapuskan," jelasnya. Leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira sp. yang sangat tipis dan berbentuk pilin seperti mata gerudi. Bakteria Leptospira juga boleh hidup dalam air tawar selama sebulan malah ia juga boleh membiak di air masin. SIKAP manusia yang kurang menitikberatkan kebersihan menyebabkan tikus mudah membiak. Antara haiwan yang boleh menjadi pembawa kepada bakteria Leptospira termasuklah kucing, arnab, lembu, babi, kuda, anjing dan haiwan liar lain seperti rakun dan serigala. Pandangan kanak-kanak itu secara langsung menunjukkan bahawa manusia tidak mendapat sebarang kepentingan dalam hubungan bersama haiwan perosak. Dalam erti kata mudah, tikus boleh dianggap musuh manusia. Secara umumnya, terdapat sembilan jenis pengelasan binatang tersebut meliputi tikus rumah atau nama saintifiknya, Rattus Ratusdiardi, tikus mondok (Rattus Norvegicus), tikus rumah terkecil (Mus Musculus), tikus belukar (Rattus Tiomanicus) dan tikus rumah kecil (Rattus Exulans). Selain itu, jenisnya juga termasuk cencorot rumah (Suncus Murinus), tikus besar hitam (Bandicota Indica), tikus besar ekor pendek (Bandicota Bengalensis) dan tikus sawah (Rattus Argentiventer). Haiwan pengotor Masalah mengenai lambakan koloni tikus ini bukan sahaja dialami di Sabah malah di seluruh negara. Sedar atau tidak, ketika berjalan terutama di kawasan pasar dan gerai-gerai makanan pastinya akan melihat gelagat haiwan pengotor itu di sana sini. Tikus adalah haiwan perahsia dan biasanya hanya keluar pada waktu malam. Jika anda melihat seekor tikus pada waktu siang bermakna jumlah tikus di sesebuah kawasan itu cukup banyak sehingga memaksanya keluar dari tempat persembunyian. Bagi Surianti, kebersihan tetap merupakan amalan yang perlu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian.
Bertugas sebagai Guru Pendidikan Islam di SK Darau, sikap membuang sampah sarap sekali pun kecil seperti kotak-kotak makanan ringan, tin minuman dan sisa makanan melalui tingkap rumah, restoran dan sebagainya menyumbang kepada persekitaran yang kotor. Apabila timbunan sampah itu berlaku pasti akan merancakkan lagi kegiatan tikus tersebut dalam penularan wabak penyakit. "Secara zahirnya, banyak penyakit berjangkit menular di negara kita disebabkan pengabaian terhadap aspek kebersihan. "Walaupun ia kelihatan enteng, tetapi penjagaan kebersihan kawasan rumah dan sekitarnya adalah satu kewajipan. Jadi, aspek kebersihan tetap harus diutamakan sebagai langkah pencegahan proaktif," katanya. Sehubungan itu, Surianti menjelaskan ketidaktanggungjawaban itu membuatkan tikus akan melompat-lompat dan mencakar longgokan sampah mencari makanan selain menjadi tempat persembunyiannya. Pencemaran Pandangan itu turut disokong rakan sekerjanya, Lau Su Fun yang berharap kempen perdana sebegini dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran setiap anggota masyarakat terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar. ABDUL RAHMAN Rahman (dua dari kiri) melihat demonstrasi kawalan penyakit menggunakan teknik fogging. "Inisiatif ini juga akan membuat kita sensitif ke atas sebarang pencemaran atau apa jua gejala yang boleh menjejaskan kualiti alam sekeliling kita. "Kita juga harus menjadikan agenda komuniti atau program ini secara berterusan dengan mencegah kekotoran, menjaga kebersihan dan persekitaran menjadi tanggungjawab setiap warga negara," katanya. Masyarakat harus faham sekiranya rantaian bekalan makanan diputuskan, ia sekali gus mengelakkan tikus membina sarang di persekitaran. Jadi, masalah itu dapat diselesaikan dengan mudah. Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam ucapan pelancarannya berkata, sehingga 1 Jun 2013 sebanyak 18 kematian telah dilaporkan dengan 1, 768 kes kencing tikus. Katanya, ia secara langsung menunjukkan masalah infestasi tikus ini semakin meruncing dan wajar diberi perhatian. "Seperti yang dilaporkan Kementerian Kesihatan, jumlah kes itu meningkat daripada 2,268 kes dengan 55 kematian pada tahun 2011 kepada 3,665 kes dengan 48 kematian pada tahun 2012. "Seandainya kita tidak mengambil langkah pencegahan awal boleh menyebabkan angka kes dan kematian tahun ini turut meningkat," jelasnya. | |
Posted: Maine syurga udang karangPENINGKATAN suhu air tropika di perairan Maine dikhuatiri menjejaskan populasi hidupan marin termasuk udang karang. PENANGKAP udang karang, Steve Train mungkin dicemburui nelayan-nelayan komersial di seluruh dunia ekoran lonjakan populasi udang karang di Portland, Maine, Amerika Syarikat (AS) yang mencecah jumlah tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah. Para pelancong pula sanggup membayar AS$15 (RM50) atau lebih semata-mata untuk menikmati potongan udang karang yang dimakan bersama roti. Pencinta alam sekitar melihat populasi tinggi itu sebagai contoh kestabilan hasil laut yang jarang berlaku ketika dunia berdepan aktiviti perikanan berlebihan. Rekod tangkapan tahun lalu mencecah sehingga 57 juta kilogram (kg) meningkat dua kali ganda berbanding sedekad lalu. Ia menimbulkan persoalan kepada orang ramai sama ada harga makanan laut itu murah seperti makanan harian lain termasuk nuget ayam atau pek makanan sejuk beku. Ironinya, harga yang dibayar kepada nelayan udang karang di jeti telah merudum. Train memberitahu, bayaran yang diterima tidak mencukupi untuk pusingan modal bagi membeli umpan dan minyak kapal. "Sukar bagi merancang pelan perniagaan dengan situasi yang berlaku sekarang," luah penangkap udang karang berusia 46 tahun itu yang menjadi nelayan di perairan Teluk Casco sejak remaja. Walaupun kebanyakan nelayan di dunia berdepan kemerosotan hasil tangkapan, penangkap udang karang di Maine agak bertuah. Baru-baru ini mereka diiktiraf sebagai kawasan dengan aktiviti perikanan paling konsisten oleh Majlis Pengawasan Marin. Peningkatan mendadak "Saya yakin peladang jagung, gandum atau penternak ayam melalui situasi sama pada waktu tertentu," kata Pete Daley, Pengurus di Garbo Lobster Co di Hancock, Maine yang merupakan antara pengedar terbesar di AS. Tambah Daley: "Orang akan bercakap bahawa mereka tidak mendapat harga yang selalu diterima atau harga yang layak diperoleh. Namun, apa yang kita lalui sekarang sebenarnya adalah kesan daripada perkembangan industri." Tiada siapa tahu mengapa populasi udang karang meningkat secara drastik dalam tempoh yang pantas. Ahli biologi marin, Robert Steneck menjelaskan, ia mungkin disebabkan kombinasi suhu air tropika, penangkapan berlebihan pemangsa di pesisir pantai seperti ikan kod dan sejarah perancangan pemuliharaan berterusan yang dilaksanakan sejak dahulu. "Udang karang merupakan spesies yang sering menjadi sasaran nelayan lebih 150 tahun dahulu tetapi membiak lebih banyak berbanding masa lalu," ujar Steneck yang juga seorang profesor di Universiti Maine. KEMUNGKINAN udang karang akan berubah daripada sajian istimewa kepada hidangan biasa, sama seperti makanan laut lain. Petanda baharu terhadap perubahan ekosistem dan ekonomi dapat dilihat apabila dua pengedar udang karang terbesar di dunia, Garbo dan syarikat yang berpangkalan di Massachusetts, Makanan Laut Pantai Timur mencipta kejutan dalam industri perikanan. Dua musuh tradisi dalam bidang perniagaan itu mengambil keputusan untuk bekerjasama menukar kilang pengetinan sardin, Stinson Seafood Plant di Pelabuhan Prospect, Maine, kepada sebuah fasiliti memproses udang karang yang dilengkapi teknologi terkini. Tahun ini, sebuah kilang dengan nama Maine Fair Trade Lobster Co pula akan mengambil seramai 130 pekerja dan memproses 2.3 juta kg udang karang. Kesannya, jumlah kilang memproses udang karang di negeri itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding lima pada tahun 2010. Sementara itu, para pemerhati menegaskan bahawa masalah sebenar datangnya daripada padanan salah antara ekologi dan ekonomi, kurang kerjasama sesama nelayan dan persaingan harga melampau yang sering dikenakan para pembekal. Pada musim bunga dan awal musim panas, udang karang akan memenuhi kawasan pesisir pantai bagi menanggalkan cengkerangnya yang keras, menjadikan ia sasaran mudah kepada nelayan udang karang yang menggunakan bot-bot kecil di kawasan berhampiran. Bagaimanapun, ganjaran jangka pendek itu membentuk kitaran ganas apabila pasaran menjadi tepu dengan pantas dan membuatkan 5,300 penangkap udang karang negeri itu berdepan masalah bagi menurunkan harga pada nilai paling rendah. "Kita semua mahukan keuntungan. Namun jika anda berada dalam industri ini, anda tidak akan dapat menangkap lebih banyak hasil sekiranya anda tidak mampu menjual hasil sedia ada bukan?" ujar John Jordan, seorang penangkap udang karang yang juga presiden bagi Calendar Islands Maine Lobster Co. Jordan dan beberapa syarikat lain kini terdesak mencari jalan bagi memasarkan udang karang ke dalam pasaran makanan di luar zon sedia ada, daripada gazpaco iaitu sup campuran tomato, timun, lada benggala hijau, minyak zaitun dan cuka sehinggalah kepada pastri lapis dan quiche. Quiche merupakan doh pai yang banyak lemak dan mempunyai campuran kastard di atasnya. PUNCA sebenar peningkatan udang karang di Maine masih belum dapat dipastikan. Stok Bagaimanapun, sebelum nama-nama besar dalam industri itu mengubah status udang karang daripada tangkapan istimewa kepada sajian harian biasa, pakar industri berpendapat, pertalian dalam rantaian penawaran perlu berjalan lancar. Ketika ini, lebih banyak udang karang di Maine melibatkan kerja-kerja merebus, menyiang, membeku dan menyimpan makanan laut itu untuk dijadikan stok pada musim kekurangan bekalan. Bagaimanapun, para saintis memberi amaran bahawa alam semula jadi mungkin mempunyai mesej berbeza untuk disampaikan kepada manusia. Steneck mengatakan, di selatan New England, populasi udang karang merosot pada tahun 1990-an akibat suhu air tropika yang meningkat sehingga ia dijangkiti penyakit dan bergelut untuk pulih. Apabila air menjadi sedikit panas di Teluk Maine, pakar paling optimis terhadap udang karang. Mereka mengakui wujud peningkatan kebimbangan terhadap populasi hidupan laut di kawasan sekitar. Ia kini dapat dilihat menerusi pengurangan spesies kod dan hadok di perairan itu. "Tiada pelabur dalam dunia ini yang akan menyarankan anda agar melabur semua duit pada satu stok sahaja. Namun ini yang kami lakukan di Maine," kata Steneck. - Reuters |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |