Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Nelayan resah tangkapan kurang Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT Oleh FARIK SALLEH Rahman Aziz (kiri) dan Ialwai Rahmat menunjukkan laporan polis yang pernah dibuat mengenai tindakan pengusaha kolam udang di Kota Tinggi, kelmarin. KOTA TINGGI 19 Sept. - Nelayan di tiga perkampungan Tanjung Surat dekat sini mengeluh kerana sukar menjalankan aktiviti mereka berikutan tujuh batang sungai yang ditutup oleh pengusaha kolam udang di situ. Kebanyakan penduduk di Kampung Linting, Kampung Nyior dan Kampung Tanjung Surat terdiri daripada nelayan sungai dan beroperasi di sekitar Sungai Belongkeng, Sungai Sebilik, Sungai Sauh, Sungai Sisek, Sungai Belukap, Sungai Pumput dan Sungai Kawah. Seorang nelayan, Ialwai Rahmat, 50, berkata, sejak terdapatnya pengusaha kolam udang di kawasan itu beberapa tahun lalu, kehidupan mereka agak sukar kerana hasil tangkapan yang semakin berkurangan. "Pengusaha kolam ini tamak dan mementingkan diri sendiri, malah tindakan pengusaha terbabit seolah-olah menjadikan sungai tersebut sebagai milik mereka. "Mereka dengan sengaja menutup dan menambak muara sungai untuk dijadikan kolam sedangkan anak-anak sungai di situlah tempat kami mencari rezeki," katanya ketika ditemui di sini semalam. Rakannya, Rahman Aziz, 41, berkata, pendapatan mereka sebelum itu mampu mencecah RM100 dalam sehari namun kini terpaksa berpuas hati dengan hasil serendah RM30. "Perkara ini tidak harus dibiarkan berterusan kerana kehadiran mereka memberi pelbagai masalah kepada kami khususnya nelayan malah keadaan semakin meruncing setiap kali pengusaha kolam membersihkan kolam mereka dengan membuang sisa ke dalam sungai," ujarnya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak nelayan terlibat, Saadun Shariff, 47, berkata, masalah yang dihadapi penduduk dan nelayan tersebut telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan termasuk ketua kampung. "Kami telah membuat aduan kepada pihak berkuasa berkenaan namun belum ada sebarang tindakan diambil. "Apa yang kami lihat, pengusaha itu seperti kebal daripada sebarang tindakan. Saya harap pihak Menteri Besar campur tangan dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk di sini," katanya. |
Pendapat orang ramai diperlukan rencana pembangunan Iskandar Malaysia Posted: 19 Sep 2013 11:40 AM PDT JOHOR BAHRU 19 Sept. - Orang ramai dialu-alukan menyuarakan pendapat dalam usaha merencanakan pembangunan Iskandar Malaysia menerusi hari terbuka yang akan berlangsung selama dua hari bermula Sabtu ini bertempat di Aeon Bukit Indah, dekat sini. Hari terbuka bertemakan 'Suarakan Masa Depan Anda' itu akan mempamerkan segala maklumat terkini mengenai Iskandar Malaysia dan perjalanan pembangunan yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Komprehensif Pembangunan Iskandar Malaysia (CDP). Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, pihaknya akan membentangkan segala hasil yang diperoleh selama ini melalui CDP dan ini merupakan kali pertama orang awam dipanggil berkongsi idea serta cadangan untuk menambah baik pelan pembangunan itu. "Terdapat keperluan untuk mengkaji semula dasar berkaitan yang digariskan dalam CDP bagi memenuhi pertumbuhan pembangunan sosioekonomi di Iskandar Malaysia dan perubahan ketara perlu dibuat sejajar dengan Program Transformasi serta Program Transformasi Ekonomi kerajaan. "IRDA juga telah membangunkan beberapa pelan induk merangkumi aspek berkaitan alam sekitar, ekonomi dan strategi pembangunan sosial Iskandar Malaysia. Ini terdiri daripada pelan pelaksanaan dan program yang akan dibangunkan secara bersepadu dengan sewajarnya dalam CDP versi baharu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Program selama dua hari itu akan membincangkan lima topik utama iaitu Iskandar Malaysia sebagai destinasi pelancongan, hab logistik dinamik bertaraf dunia, model pentadbiran cekap dan berkesan, penanda aras bagi ekuiti keterangkuman sosial serta rantau rendah karbon dan hijau. Hari terbuka itu akan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |