{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Sikap politik kiasu DAP

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

ENTAH kenapa apabila disebut perkataan kiasu, kita terus merujuk kepada sikap dan budaya politik orang Singapura. Penulis punya ramai teman dari Singapura sewaktu menuntut dahulu, namun tidak seorang pun yang dirasakan membawa imej dan sikap kiasu. Kebanyakan mereka adalah warga Singapura yang sangat mesra dan mudah didekati.

Merujuk kepada khidmat bantuan bahasa yang ditawarkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara dalam talian, kiasu tidak mempunyai makna. Tetapi jika dirujuk kepada kamus Bahasa Inggeris, kiasu merujuk kepada sikap penting diri (a grasping, selfish attitude). Menurut kamus Bahasa Inggeris lagi, asal usul perkataan kiasu ini adalah daripada budaya Cina yang membawa aura scared to lose, takut kepada kekalahan.

Sebagai sebuah parti di dalam ikatan politik longgar pembangkang, DAP sudah mencatat keuntungan yang luar biasa besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Lonjakan sokongan kepada DAP sangat jelas dan nyata. Kemenangan 38 daripada 51 kerusi Parlimen yang ditandingi adalah bukti yang sangat nyata. Secara keseluruhan, DAP mencatatkan peratusan kemenangan yang sangat besar - 70 peratus (%) daripada kerusi yang mereka tandingi.

Mungkin di atas keseronokan kemenangan itulah, DAP tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Model politik pakatan, walaupun longgar dan penuh kecurigaan, boleh dijadikan asas kepada DAP untuk menampilkan parti tersebut sebagai jagoan dalam ikatan politik tersebut. Mempunyai hampir 43% kepentingan dalam saham politik pakatan membawa makna yang besar.

Sebanyak 43% saham politik belum cukup untuk melonjak kedudukan politik DAP. Disebabkan itu, menggunakan alas politik Impian Sarawak - DAP mahu membuat perhitungan politik lebih bersungguh di kawasan luar bandar di negeri tersebut. Dalam tempoh lima tahun, DAP menginginkan ekuiti lebih besar dalam ikatan politik pakatan pembangkang.

Walaupun menggunakan penjenamaan Impian Sarawak, apa yang mahu disorokkan adalah niat politik ultrakiasu, pentingkan diri yang berterusan. DAP kecewa dengan kelemahan rakan politik mereka yang gagal menarik sokongan lebih besar di kawasan luar bandar. Pas yang diberikan lesen mutlak tahaluf siyasi tidak mampu menarik minat pengundi luar bandar. DAP wajar bergerak sendirian pada masa akan datang.

Daripada sudut politik, sikap kiasu politik DAP bertempat. Gegak gempita kemenangan majoriti puluhan ribu DAP di Kepong, Seputeh, Tanjung, Petaling Jaya Utara, Cheras, Bukit Mertajam, Bukit Gelugor dan Bagan - tidak akan mampu melonjak ekuiti sebenar DAP dalam formula politik pakatan.

Berasaskan semangat politik kiasu, DAP mahu sesuatu yang lebih daripada itu. Kita boleh mengagak dan membuat kesimpulan awal, sikap politik kiasu DAP akan membawa retak yang jelas dalam ikatan politik mereka sedikit masa lagi.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman punya pengalaman peribadi yang jelas mengenai isu ini. Rasa kecewa dengan sikap kiasu ala pendewaan politik di Pulau Pinang, diperjelas dalam minit mesyuarat yang akhirnya menjadi bualan umum. Apa yang berlaku, walaupun mungkin mencalar imej Ketua Menteri, namun tidak mengurangkan undi kepada DAP di negeri tersebut.

Mungkin, di atas sebab sikap kiasu politik jugalah menyebabkan pakatan pembangkang melambat-lambatkan pengumuman Kabinet bayangan yang menjadi isu mutakhir ini. Jika benar berpakat, tidak ada sebab untuk melewatkan pengumuman Kabinet bayangan. Pembangkang wajar menggunakan sesi Parlimen berikutnya sebagai medan menamakan Kabinet yang mahu ditampilkan.

Penulis mengucapkan tahniah kepada sebuah artikel bertajuk Changing face of Malaysia - in Lee Kuan Yews eyes yang disiarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini. Sekurang-kurangnya, penulis artikel tersebut berani membicarakan realiti politik Malaysia yang perlu difahami jelas oleh mereka yang terlalu yakin dan ultrakiasu.

Ini diperkukuh dengan fakta hanya 45 kerusi Parlimen majoriti pengundi Cina daripada 222 keseluruhan kawasan Parlimen di Malaysia. Penulis artikel yang sama turut menyatakan jika semua pengundi Cina tidak mengundi BN sekalipun - kerajaan tidak akan tumbang.

Kita tidak perlu meletakkan suasana politik sedemikian ekstrem. Yang nyata, sejarah membuktikan, pendulum sokongan pengundi Cina boleh berubah mengikut musim dan suasana politik. Ada ketikanya, BN akan menikmati sokongan yang baik. Dengan strategi yang betul, diikuti dengan penjernihan imej yang berkesinambungan, BN boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.

DAP tidak pernah mengubah strategi politik. Semuanya masih bersandarkan kepada jalur rasisme kental dan semangat perkauman. Semangat meritokrasi, ideal transparensi dan akauntabiliti hanyalah saduran. Di dalam jiwa dan semangat politik, DAP masih lagi punya semangat yang sama.

Kita boleh lihat bagaimana pemimpin DAP seperti Kit Siang yang menggunakan pengumuman Agenda Bumiputera minggu lalu sebagai senjata ampuh untuk menyerang tindakan kerajaan. Beberapa artikel yang jelas menonjol semangat perkauman seperti Di Mana Kerajaan Saya?' (http:// blog.limkitsiang.com/2013/09/17/where-is-my- government/#comments) dan http://blog. limkitsiang.com/2013/09/16/has-najib-finally- abandoned-the-new-economic-model-nem/ sangat bersesuaian dengan semangat kiasu mereka.

BN perlu membuat analisis politik lengkap lagi jujur dalam mendepani cabaran politik yang dibawa DAP. Kaedah gerakan mereka nampak sangat tertumpu dan mempunyai sasaran jelas. Tidak dapat tidak, pendekatan politik drastik mesti diambil dalam memastikan UMNO dan BN tidak terus bermasalah mendapat sokongan di bandar.

Kaedah politik lama, menyediakan makan malam dengan hadiah cabutan bertuah mungkin sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Wajah politik perlu dijernihkan. 2,040 pusat daerah mengundi (PDM) bermajoriti pengundi Cina termasuk lebih 940 daripadanya mempunyai majoriti lebih 70% pengundi Cina memerlukan model politik baharu.

Jika perlu, mungkin sudah tiba masanya BN melantik Sekretariat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (SKRBN) di kawasan Parlimen yang strategik dan boleh dimenangi. Pilih orang muda yang bersih dan berintegriti untuk memberi khidmat kepada rakyat. Hierarki kepartian yang melembabkan dan melemahkan transformasi politik mesti diubah.

Kalangan yang tidak benar-benar menjiwai semangat BN wajar diketepikan terus. BN perlu tegas dengan disiplin politik untuk mendapat hormat dan penghargaan rakyat. Selagi mana mereka yang mensabotaj BN, mampu terus mendekati rakyat, selagi itulah BN akan kehilangan maruah dan integriti.

PENULIS ialah penganalisis politik dan sosial.

Nasib, rezeki juga jadi penentu...

Posted: 18 Sep 2013 11:03 AM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Proses pengundian bagi menentukan kedudukan calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan jawatan UMNO Pusat yang lain pada kali ini adalah berbeza dengan pemilihan yang lalu. - gambar hiasan

LUSA , 21 September ini gegak-gempitalah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila mereka yang menawarkan diri bertanding ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

MT meliputi tiga jawatan Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden selain 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi.

Seorang pegawai di ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn memberitahu penulis, pemilihan parti gaya baharu yang sejajar pergerakan transformasi politik dibawa Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menarik minat yang luar biasa daripada media antarabangsa.

"Kalau AP (Associated Press), AFP (Agence France-Presse), Reuters, Bloomberg itu perkara biasa tetapi kali ini ada 'pendatang' baharu daripada media-media daripada BBC News, Jepun, Thailand dan Australia.

"Mereka menelefon saya bertanyakan pemilihan UMNO kali ini agak unik, tidak pernah berlaku di negara mereka. Malahan satu-satunya pertandingan menentukan kedudukan seseorang itu dalam politik yang pertama seumpamanya di dunia.

"Jadi, mereka minta kebenaran hendak tengok prosesnya (penyerahan borang) Sabtu ini," kata pegawai berkenaan.

Menurut pegawai itu, majlis penyerahan borang pencalonan sehari suntuk dari pukul 8 pagi hingga 5 petang akan mencungkil rahsia mereka yang disebut-sebut akan bersaing ke jawatan Presiden seperti mana diuarkan-uarkan Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan akan berbuat demikian. Juga, kemungkinan akan ada pemimpin muda yang mengisi persaingan slot Naib Presiden.

"Untuk semua peringkat parti seperti bahagian (Ketua Bahagian, Timbalan dan Naib), kelayakan minimum hanyalah sekurang-kurangnya tiga tahun menjadi ahli UMNO. Untuk jawatan MT pula termasuk peringkat tertinggi, minimum tiga tahun menjadi AJK (ahli jawatankuasa bahagian) atau tiga tahun ahli MT.

"Kalau nak dikira pada Sabtu lepas, 14 September sudah ada individu yang mahu bertanding ahli MT seperti blogger 'Sang Kelembai'. Juga, ada pemuda yang tidak pernah ada jawatan pun di cawangan atau bahagian mahu menawarkan diri," katanya.

Waima apa pun diperdebatkan mengenai pemilihan UMNO, prosesnya adalah penting dan menjadi perhatian dunia. Ini kerana parti ini diketuai oleh seorang Presiden UMNO yang juga merupakan Perdana Menteri negara ini.

Belum pernah dalam sejarah negara ini, Perdana Menteri datangnya daripada bukan Presiden UMNO.

Pemilihan Perdana Menteri daripada kalangan ketua UMNO lebih merupakan satu tradisi politik. Ia bukannya peruntukan undang- undang kerana Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik menjadi PM atau TPM.

Sejak 1955, hanya bangsa Melayu dilantik sebagai PM dan memandangkan bangsa Melayu merangkumi lebih 65 peratus penduduk negara, perkara ini tidak dipersoalkan, apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 Mei lalu, kerusi yang diraih UMNO sendiri lebih tinggi daripada mana-mana kalangan parti komponennya malah meninggalkan jauh setiap satu parti pembangkang.

Cuma, dalam pemilihan UMNO yang akan membuka tirai sebenar Oktober nanti, jangan dilupai bahawa nasib dan ketentuan masa adalah penting. Anda mungkin bijak tetapi nasib yang diperlukan dan rezeki yang mendatang, cita-cita akan hancur begitu sahaja.

Allahyarham Tun Ghazali Shafie atau King Ghaz seperti mana beliau dikenali dalam kalangan rakan-rakan, melonjak daripada peringkat bawah perkhidmatan awam dan diplomatik. Beliau dikagumi dan dihormati sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

Kemudian, beliau terus meningkat apabila dilantik oleh Tun Abdul Razak sebagai Menteri Luar yang ranggi dan pada akhir 1970-an sebagai Menteri Dalam Negeri yang sangat digeruni dalam kerajaan Datuk Hussein Onn (1976-1981). Beliau mempunyai daya pemikiran, kebijaksanaan dan mendapat perhatian daripada Tun Abdul Razak dan Tun Hussein. Walaupun mempunyai kualiti seorang Perdana Menteri, beliau tidak dapat menjadi PM.

Hussein pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sebagai Perdana Menteri sebenarnya bukanlah orang yang paling pandai atau terbaik untuk jawatan itu. Ia cuma kerana seperti mana beliau berfalsafah - nasib beliau kerana berada di tempat dan pada waktu yang sesuai.

Hussein tidak menyembunyikan pilihan beliau terhadap King Ghaz yang boleh pergi lebih tinggi dalam hierarki parti dan kerajaan. Malahan tahun 1970-an merupakan kecemerlangan Ghaz. Apabila Hussein mengganti Tun Razak pada 1976, Ghaz merupakan orang yang paling hangat diperkatakan. Tetapi beliau bukan Naib Presiden UMNO. Oleh yang demikian, beliau tidak mendapat jawatan sebagai TPM.

Sebaliknya yang dapat menjadi nombor 2 adalah Dr. Mahathir, salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO pada 1976. Dan beliau bukanlah orang yang mendapat undian paling tinggi dalam kalangan Naib Presiden.

Mengikut konvensyen, seseorang yang tidak menjadi Naib Presiden UMNO yang dipilih, peluang untuk dilantik sebagai TPM adalah terlalu tipis walaupun Perlembagaan negara tidak pernah mengatakan apa-apa tentang keperluan itu.

Dalam kes Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam, ramai yang menganggap mereka sebagai bakal PM. Namun, entah bagaimana telah terhenti di landasan dalam perjalanan mereka mendaki tangga kemuncak politik.

Apa yang telah berlaku? Ramai yang terkejut dengan perubahan-perubahan yang berlaku tetapi mereka yang berpengalaman dalam politik tahu, walaupun keberatan untuk menyatakan bahawa pengaruh Team B telah menjadikan ia amat sukar untuk menjatuhkan Dr. Mahathir daripada pucuk pimpinan UMNO. Pada 1987, Dr. Mahathir hanya mendapat 43 kelebihan undi ke atas Razaleigh yang kemudiannya membentuk Parti Melayu Semangat 46.

Suatu ketika, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, dalam fasa terakhir kerajaan Dr. Mahathir, merupakan seorang lagi ikon politik yang sepatutnya telah melangkah naik bersama-sama bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek dan beberapa orang yang lain. Kedua-dua pemimpin ini bersinar dalam MCA, fasih dalam bahasa Malaysia, bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris serta mendapat pengesahan yang besar daripada puak B dalam MCA.

Semasa wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS), Kementerian Kesihatan dipimpin Jui Meng menanganinya dengan baik dan beliau merupakan salah seorang pembentang yang meyakinkan dalam Kabinet Dr. Mahathir. Tetapi Jui Meng akhirnya tidak dapat mengatasi gaya kepimpinan tambah nilai (value-added) yang dibawa oleh Tan Sri Ong Ka Ting.

Sabtu ini, ratusan individu akan mengemukakan borang pencalonan pemilihan UMNO sama ada di PWTC mahupun di lokasi-lokasi ditetapkan Badan Perhubungan UMNO negeri. Kemudian, dalam tempoh sehari dua akan ada cooling off period (tempoh bertenang). Dalam 72 jam selepas itu akan diberi ruang kepada mana-mana individu untuk meneruskan persaingan atau menarik diri.

Juga, yang teramat penting pasukan pemantau akan menyelidiki sama ada seseorang itu bebas daripada rasuah atau muflis. Dan sejurus kemudian, parti akan mengumumkan siapa yang akan masuk gelanggang.

Cuma harus 'diukur baju di badan sendiri'. Selain bijak, nasib dan rezeki juga penentunya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat