Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT TAN Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, tokoh pendidik ini berseloroh kelmarin apabila ditanya akan usianya. Katanya, beliau lebih suka umurnya disebutkan terbalik, 67 daripada 76 tahun. Sambil tertawa kecil, beliau yang ditanya wartawan ZULKIFLI JALIL apa yang akan difikir dan direnungkan saat ini sebaik sahaja Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan mengeluarkan satu resolusi memperingatkan kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu, kata orang lama ini: "Saya tidak persoalkan dasar itu dan cuma kita perlu sesuaikan dengan keadaan. Mesti ada penilaian dari waktu ke waktu serta suatu pembetulan dilakukan. "Kalau ada satu perancangan seperti mana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kita mesti pastikan ia mencapai matlamat dan ini bergantung kepada kemampuan kita melaksanakannya. Dan akhir sekali, jentera yang melaksanakannya mestilah bersedia," kata beliau. Ikuti luahan hati Abdul Rahman dalam perbualan selama 15 minit dengan penulis menerusi telefon kelmarin. 1. Soal perpaduan n "Inilah yang saya risau sangat selepas selesai PRU-13 (Pilihan Raya Umum ke-13) yang akibatnya apa yang ternampak begitu nyata. Iaitu pertama, soal perpaduan negara masih tidak ada. Kedua, (sentimen) perkauman masih tebal. Kita sudah merdeka 56 tahun yang bertujuan untuk membentuk satu pasukan (bangsa Malaysia), namun sampai sekarang soal perpaduan tidak ada. Ada, tapi tak nampak. Kenapa? Barangkali sistem pendidikan kita yang menghala kepada dua sistem yang saya tidak tahu adakah negara lain mempunyai konsep yang sama. Bahasa pengantar kita bahasa Melayu dan satu lagi bahasa Cina dan Tamil walaupun di sekolah rendah. Sekarang, ada pula sekolah swasta Cina lagi. Kalau seseorang murid itu dari sekolah rendah, dia akan memasuki pula sekolah menengah Cina. Bila masanya akan ada perpaduan kalau tidak ada titik pertemuan. Dong Zong (Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia) pula mahukan guru-guru yang mengajar bahasa Melayu ke sekolah Cina mesti lulus bahasa Mandarin. Apa kaitan Bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu? Justeru, dalam hal ini, Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan yang berlangsung kelmarin bersetuju untuk memperbetulkan keadaan ini iaitu pasukan untuk pendidikan ini perlu teruskan pencapaian tiga matlamat." 2. Matlamat n "Tiga matlamat itu adalah yang pertama, sistem pendidikan perlu dibentuk untuk melahirkan perpaduan. Malaysia didiami masyarakat majmuk. Kalau dibiarkan soal ini dengan mengikut cara sendiri atau masing- masing, perpaduan tidak akan tercapai. Kalau ada perpaduan pula, oleh kerana kita di Malaysia, kita perlu junjung hasrat negara yang perlu ada sikap keMalaysiaan. Rancangan-rancangan berteraskan kaum perlu ada supaya jangan ada anasir-anasir yang 'pecah' iaitu anggap segala-galanya berlandaskan nasionalisme. Di Malaysia ini, perlu ada sifat kebangsaan, sejarahnya panjang dan perlu ada penilaian kesetiaan. Dan kalau ada perpaduan dan jika ada kewarganegaraan, itu pun masih belum lengkap. Pendidikan harus mencipta kemajuan untuk negara. Dari segi pendidikan, ia harus bertitik untuk kemajuan akan datang. Yang belum maju dimajukan. Ini bererti sekolah-sekolah luar bandar perlu dibantu untuk maju. Segala pendidikan perlu berteraskan aspek-aspek ini kalau tidak nanti akan bercanggah." 3. Jangan benarkan ia... n "Kalau kita bercakap soal mahukan perpaduan, maka apa yang dituntut oleh Dong Zong inilah yang boleh mengundang perpecahan. Orang ini akan minta kalau sesuatu itu bercanggah (dengan semua). Sepatutnya jangan dibenarkan tuntutan-tuntutan sebegini. Kalau dilayan, memanglah salah kita. Cuma, ia boleh dibenarkan asalkan memenuhi tiga syarat tadi. Kalau ini tidak ada sifat kewarganegaraan dan kebangsaan, jika dibenarkan, tak tahulah. Kalau ada perpaduan tapi tak ada kemajuan, salah juga. Kalau tidak ada keMalaysiaan, tak boleh juga. Perlu ini semua digabungkan. 4. Nak buat macam mana, masa berubah... n "Ya, saya setuju bahawa keadaan berubah dari semasa ke semasa. Dulu kita kekurangan, sekarang negara bertambah maju dan orang-orang ini ambil kesempatan nak itu ini. Bagi saya, dengan keadaan berubah ini menyebabkan kerajaan berasa kajian yang berlaku dulu harus diperbaiki supaya negara bertambah maju. Apa bentuknya masyarakat untuk masa hadapan? Kalau itu bentuknya, maka kita harus aturkan pendidikan ke arah itu. Misalnya, perlu belajar dua bahasa sedangkan dulu tidak ada keperluan ini. Sebabnya sekarang kita masuk dunia sejagat - dunia tanpa sempadan. Dulu kita cuma belajar, kini perlu juga mencipta. Kalau kita dulu lain, sekarang lagi lain untuk memenuhi kehendak masa depan. Jadi, dalam hal ini saya hendakkan satu ketegasan daripada pihak kerajaan. Bimbang, semua akan bimbang. Kalau tidak ada ketegasan lagilah kita bimbang dalam mencipta yang baik untuk negara. Jangan dialunkan oleh permintaan yang tidak sesuai dengan masa depan negara. Ini, politik, politiklah juga tapi perlu berlandaskan kepada sifat kenegaraan. Politik perlu sama dengan harapan kenegaraan. Politik ke arah salah jangan kita ikut. Justeru, Kongres mesti ambil kesempatan ini kerana keadaan akan berubah dari waktu ke waktu. Perlu sesuaikan dengan keadaan pendidikan hari ini kerana kita cukup takut kalau tersalah arah. Kalau penilaiannya di pertengahan jalan, kalau terserong, kita masih boleh perbetulkan balik. 5. Masalah besar kalau... n Orang yang fikirkan pelaksanaan dasar ini mesti pastikan ia selari dengan orang yang akan melaksanakannya. Fikiran mesti selari. Kalau orang bawah tak tahu, hanya orang atas sahaja yang faham, pasti pelaksanaan dan matlamatnya tidak akan sampai. Ini masalah besar. Kita ada hampir 500,000 guru. Ini bilangan yang cukup besar. Mesti ada gerakan untuk menyediakan mereka faham dasar ini dan boleh melaksanakannya. Ini kita kena fikir baik-baik bagi mengelak akhirnya matlamat tak sampai. Kita mesti ingat! keadaan cukup berbeza dari sekolah ke sekolah. Keadaan yang melingkungi orang (murid dan guru) di Kuala Lumpur berbeza dengan mereka di pedalaman dan luar bandar. |
Unsur tersirat di sebalik Tanda Putera Posted: 02 Sep 2013 11:13 AM PDT Oleh ABD. AZIZ ITAR SEBAGAI pembikin filem, Datin Paduka Shuhaimi Baba ketika ini bolehlah dikatakan menjadi mangsa segelintir ahli politik yang bukan sahaja buta sejarah. Malah, lebih parah lagi golongan itu belum bijak untuk membaca isi dan intipati di sebalik filem berjudul Tanda Putera arahan pengarah wanita tersebut. Pihak Kerajaan Pulau Pinang kelmarin dan semalam menafikan mengharamkan tayangan filem itu yang dikatakan berbau perkauman. Adegan tidak sampai 10 minit yang memaparkan tragedi 13 Mei 1969 itu dijadikan isu utama pengharaman tayangan tersebut. Tentunya pengumuman itu sesuatu yang amat mendukacitakan buat keseluruhan karyawan filem yang dibikin dengan kos keseluruhannya berjumlah RM4.7 juta itu. Mereka tentunya tidak sabar untuk melihat reaksi para penonton serta kesan penghayatan daripada tayangan karya terbabit. Ini bukanlah kali pertama Tanda Putera melalui detik-detik malang, sebaliknya filem terbitan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu telah pun mula merasai bahananya sejak tahun lalu lagi. Sepatutnya ia ditayangkan lebih awal lagi iaitu pada pertengahan September tahun lalu. Namun, kerana bantahan daripada segelintir ahli-ahli politik pembangkang filem itu terpaksa ditangguhkan tayangannya buat sementara waktu. Dalam hal ini, filem bertemakan kenegaraan itu terpaksa akur dengan sikap toleransi kerajaan yang mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah parti politik pembangkang. Sikap murni penerbit filem itu, Finas dan kerajaan yang mahu beralah serta mengambil kira kepentingan semua aspek menyebabkan perkara itu berlaku. Namun, selepas diteliti dan diperhalusi tidak nampak di mana mudaratnya Tanda Putera jika ia dipertontonkan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Sebab itulah tiada alasan mengapa filem itu tidak boleh ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh negara mulai hari ini. Kalaulah sentimen yang sempit dan sengaja dipolitikkan itu terus dimain-mainkan, maka kesannya bukan sahaja akan menimpa industri filem negara, malah Tanda Putera juga akan menanggung kerugian besar jika filem itu terus diperap begitu sahaja. Pada masa sama, para pembikin filem dalam genre patriotik dan kenegaraan tempatan yang lain juga akan menanggung trauma yang sama jika mereka mahu membikin filem seumpama itu pada masa depan. Setakat ini, belum terdengar bantahan daripada negeri-negeri lain termasuklah di Kedah dan Selangor yang turut dikuasai oleh parti pembangkang iaitu Pas serta Parti Keadilan Rakyat. Keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam di negeri yang diterajuinya itu mengejutkan banyak pihak kerana ia seperti dilihat bersendirian tanpa melibatkan bantahan daripada keseluruhan hampir 28 juta rakyat di negara ini. Dalam senario ini, di sinilah terletaknya cabaran Shuhaimi sebagai pembikin filem dalam genre tersebut. Banyak aspek yang beliau telah ambil kira terutama soal sensitiviti agama dan kaum rakyat berbilang bangsa di negara ini. Justeru, sekelumit adegan yang kononnya ganas dan berbau perkauman itu telah digembar-gemburkan sebegitu rupa. Sedangkan tidak mustahil banyak lagi adegan yang jauh lebih ganas boleh ditonjolkan dalam filem itu tetapi ia mungkin bukan keputusan yang berada dalam kotak fikiran pengarah terbabit. Tetapi fakta dan sejarah berkait rapat serta mustahil untuk dipisahkan begitu sahaja. Adalah tidak logik jika adegan yang mahu menggambarkan tentang peristiwa 13 Mei itu tidak disulami dengan adegan-adegan ganas tetapi sebagai pembikin filem Shuhaimi tetap ada batas-batas rasionalnya sendiri. Malah, tahap kerasionalannya itu jauh lebih besar berbanding adegan ciput yang kononnya dikatakan berbau perkauman yang cuba diperbesar-besarkan dalam filem tersebut. Sebaliknya, para penonton termasuklah ahli-ahli politik pembangkang seharusnya melihat lebih jauh ke dalam iaitu intipati serta maksud yang tersirat di sebalik Tanda Putera itu sendiri. Bagi yang telah menonton Tanda Putera, filem yang diterbitkan khusus untuk tayangan sempena Hari Kemerdekaan itu sebenarnya bukanlah memaparkan tentang elemen perkauman sebagai topik utamanya. Sebaliknya, Shuhaimi secara halus cuba mengalihkan tumpuan mereka yang karat pemikirannya dalam isu perkauman ke suatu dimensi pemulihan yang lebih cerah. Contohnya, dalam Tanda Putera, beliau sebenarnya cuba memaparkan perkara sebaliknya iaitu usaha-usaha yang telah dilakukan oleh tokoh UMNO seperti Tun Dr. Ismail dalam menangani isu perkauman terutama antara Melayu dan Cina seperti yang digambarkan dalam filem itu. Pelan itu diambil oleh tokoh terbabit sewaktu mulanya tercetus peristiwa berdarah 13 Mei yang antaranya digambarkan tercetus di Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira 44 tahun lalu. Malah, sebelum itu lagi, Tanda Putera turut terlebih dahulu memaparkan budi pekerti orang Melayu di sekitar Kampung Baru yang kuat dengan budi bahasa serta tolong menolong mereka tanpa mengira kaum apabila berlakunya insiden seperti itu. Adegan itu dipaparkan menerusi watak lakonan Kavitha Sidhu yang mewakili bukan Melayu yang terperosok sama dalam kancah sewaktu tragedi tersebut apabila dia mendapat layanan baik dan perlindungan daripada keluarga Melayu di kampung tersebut. Itu antara segelintir nilai-nilai murni yang seolah-olah mahu menidakkan unsur-unsur perkauman yang kononnya telah mewarnai serta mengotorkan perjalanan cerita Tanda Putera. Dalam hal ini juga banyak lagi elemen lain yang boleh dikupas bagi menepis terus tanggapan buruk dan penuh dengan prejudis golongan yang buta dalam menafsir bahasa dalam filem yang penuh dengan metafora. Cuma malangnya, apabila sentimen-sentimen politik lebih kuat melangkaui pemikiran dalam bahasa-bahasa filem, maka apa juga yang diputuskan matlamatnya adalah lebih menjurus ke arah matlamat berpolitik golongan terbabit. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |