Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Sisi berbeza Choi Ji-woo
- Hajat Jamal selepas bergelar Datuk
- Tunku Hanis rancang nikah anak saudara Datuk K
Posted: Sisi berbeza Choi Ji-wooSEBELUM penyanyi K-pop seperti Psy dan Big Bang diminati di seluruh dunia, aktres Choi Ji-woo terlebih dahulu muncul sebagai duta tidak rasmi Korea Selatan pada tahun 2002 menerusi drama romantik Winter Sonata, lakonannya bersama aktor Bae YongJ-joon. Bermodalkan air mata dengan imejnya yang suci dan jalan cerita tragis drama Winter Sonata telah melonjakkan namanya ke seluruh Asia. Secara tiba-tiba Ji-woo atau nama sebenarnya Choi Mi-hyang menjadi tumpuan. Tidak berakhir di situ, gelombang Ji-woo diteruskan dengan kejayaan drama Stairway To Heaven. "Saya akui yang saya terperangkap dalam imej suci dan baik untuk beberapa buah drama. Hampir 15 tahun, sebelum saya mengubahnya dengan berlakon dalam drama romantik komedi Can't Lose pada 2011. "Sejak itu saya juga membebaskan diri saya dengan menyertai banyak program hiburan yang sebelum ini saya tidak sertai seperti Running Man, Happy Sunday dan One Night Two Days. "Apa yang saya lihat, saya dapat mengumpul lebih ramai peminat dan saya juga mempunyai masa yang seronok bersama teman artis," katanya dalam satu temu bual. Kini, ramai peminat dapat melihat sisi yang berbeza daripada Ji-woo. Tidak hanya bermain dengan air mata, dia juga mampu membuat penonton tertawa dengan aksinya setiap kali muncul di televisyen. Bagaimanapun, aktres yang meraih lebih 20 anugerah sepanjang kerjayanya sebagai pelakon itu juga pernah melalui episod sukar. Populariti tidak menjanjikan kecemerlangan berpanjangan buatnya, apabila dua buah filem yang dibintanginya, Now and Forever dan Everybody Has Secrets mendapat kritikan hebat serta tidak laris di pasaran negaranya sendiri, Korea Selatan, sebaliknya cukup laris di Jepun.
Tidak berhenti di situ, menyedari dirinya diminati di luar negara, Ji-woo mengembangkan kerjaya lakonannya dalam sebuah drama bersiri di China berjudul 101st Proposal dan drama bersiri di Jepun berjudul Rondo bersama aktor popular Jepun, Yutaka Takenouchi. "Saya bersyukur kerana diterima bukan sahaja peminat dalam negara sendiri, tetapi juga di luar negara. Bekerja dengan produksi luar agak berbeza, tetapi saya berbangga kerana saya bukan sahaja mempertaruhkan bakat sendiri tetapi juga nama Korea Selatan," katanya. Impian Mengimbas tentang perjalanan hidupnya, Ji-woo sememangnya menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang bintang terkenal ketika dia masih kecil. Mengambil jurusan tarian di Kolej Wanita Pusan, Ji-woo kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Hanyang dalam jurusan teater dan filem. Sungguhpun begitu, anak kelahiran daerah Paju, Gyeonggi itu hanya sempat menghabiskan kuliahnya pada semester pertama sahaja sebelum berhenti daripada universiti kerana jadual lakonannya yang cukup padat. "Saya memang bercita-cita untuk bergelar pelakon. Terlibat dalam dunia lakonan ketika masih belajar di universiti sesuatu yang amat mengujakan. "Berdiri dan masih berada dalam industri sehingga hari ini di samping ramai pendatang baharu membuatkan saya sangat bersyukur," ujarnya yang kini berusia 39 tahun. Tidak hanya berlakon, disebabkan minatnya yang mendalam terhadap makanan Korea, Ji-woo telah terlibat dalam program Choi Ji Woo's Delicious Korea. "Sebelum ini saya banyak terlibat dengan penggambaran drama di luar negara. Waktu itu saya tetap akan mencari restoran Korea untuk dimakan bersama kru dan pelakon lain.
"Bermula daripada situ, tercetus idea untuk saya membuat dokumentari tentang makanan Korea," katanya. Tambahnya, dia cukup berbesar hati dengan populariti yang diraihnya di luar negara sehingga berjaya menarik penonton untuk meminati masakan Korea. "Makanan Korea sangat enak, berkhasiat dan juga cantik dipandang. Sebab itu saya mahu orang di luar Korea dapat merasai keenakan itu. "Saya tidak kisah untuk menjelajah ke merata tempat asalkan dapat menunjukkan sesuatu yang menarik kepada penonton. Saya anggap, ini hanya sumbangan kecil saya untuk negara," ucapnya. Disebabkan minat yang mendalam terhadap makanan Korea, Ji-woo memiliki beberapa buah restoran, kedai kopi dan restoran makanan kesihatan di negara tersebut. Jadi pembantu rumah Selepas dua tahun menyepi tanpa sebarang projek drama, tahun ini, Ji-woo kembali ke layar kaca sebagai pembantu rumah misteri bernama Park Bok-nyoe dalam drama bersiri The Strange Housekeeper. Drama arahan Kim Hyung-shik yang diadaptasi daripada drama bersiri popular di Jepun berjudul Housekeeper Mita itu telah menonjolkan sisi lain daripada aktres tersebut. Wataknya tidak lagi lucu, romantik mahupun penuh dengan deraian air mata sebaliknya, dia merupakan pembantu rumah yang dilihat seperti tiada emosi. Bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang bapa tunggal dengan empat orang anak yang baru kematian isteri akibat bunuh diri, Ji-woo dilihat berjaya membawa wataknya dengan baik. Namun, tersembunyi sebalik tugasnya sebagai pembantu rumah tersimpan misteri yang tidak pernah dibongkarkan, bahkan dia juga tidak menolak andai ditugaskan untuk membunuh. "Saya tidak menolak untuk membintangi drama ini kerana terpikat dengan jalan ceritanya yang menarik. Watak saya juga sangat unik dan rasanya saya tidak pernah membawa watak seperti ini. "Penonton dan peminat saya akan melihat sisi baharu saya dalam dunia lakonan selepas mereka menonton drama ini," kata anak bongsu daripada dua adik-beradik itu.
Sementara itu, menurut aktor Lee Sung-jae yang memegang watak bapa tunggal, Eun Sang-chul, dia cukup senang berlakon di samping Ji-woo walaupun pada asalnya dia menganggap wanita itu berlagak diva. Namun, sangkaannya meleset apabila Ji-woo cukup ramah di set penggambaran dan banyak membantu pelakon lain. "Biasanya agak sukar untuk mendekati aktres popular, tetapi berbeza dengan Ji-woo. Dia seorang yang bersikap terbuka dan sangat ramah. "Kru dan pelakon lain juga tidak kekok untuk berbincang dengannya. Kami dapat berkerjasama dengan baik, kadang-kala sibuk berbincang sehingga tidak sempat untuk ke tandas," kata Sang-chul. Drama The Strange Housekeeper telah mula ditayangkan pada 21 Oktober lalu setiap hari Isnin dan Selasa pada pukul 8.55 malam di One HD, Astro. | |||
Hajat Jamal selepas bergelar Datuk Posted: Hajat Jamal selepas bergelar DatukOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
PENYANYi terkenal, Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali baru-baru ini dianugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-83. Gelaran Datuk diberikan kepada Jamal, 54, berkat sumbangannya dalam industri hiburan lebih 30 tahun. Biarpun hidup Jamal dahulu pernah terpalit dengan kontroversi dadah, namun lelaki gigih itu membuktikan dia mampu mengecapi kejayaan. Berkongsi rasa setelah bergelar Datuk, luah Jamal, dia tidak menjangkakan penganugerahan tersebut, namun bersyukur di atas kurniaan yang diberikan kepadanya "Saya sebenarnya tidak menjangkakan gelaran ini (Datuk). Bagaimanapun, saya rasa gembira dan bersyukur pada Tuhan di atas anugerah yang tinggi ini," ungkapnya ketika dihubungi Kosmo! semalam. Berjanji untuk menjaga nama baik sendiri dan juga nama baik Tuanku yang telah menganugerahnya gelaran tersebut, ikrar Jamal lagi, dia juga akan meneruskan baktinya sebagai anak seni kepada masyarakat sampai bila-bila. Biarpun dikurniakan dengan gelaran Datuk, jelas Jamal, dia tetap akan bersikap seperti dahulu. "Tiada apa-apa perubahan pada diri saya selepas ini. Apa yang berubah cuma saya lebih bersikap rendah diri dan mudah didekati. "Saya juga berterima kasih kepada peminat-peminat yang menyalurkan ucapan tahniah kepada saya," tuturnya sambil merendah diri. Berkongsi mengenai harapannya selepas ini, kata Jamal, dia berhajat untuk berkongsi pengalaman hidup dengan golongan yang pernah terjerumus sama sepertinya dahulu iaitu bergelumang dengan najis dadah. Kata Jamal, dia mahu mereka (penagih) sedar dan tahu manusia mampu berubah ke jalan yang lebih baik yang mana semuanya bergantung pada usaha. "Sebagai manusia, semua orang boleh berubah ke jalan yang lebih baik. Jadi saya mahu kongsi pengalaman ini dengan semua orang," katanya. Disoal sama ada dia berasa terbeban dengan gelaran Datuk yang mana dia sentiasa perlu menjaga tingkah laku agar tidak terpalit dengan sebarang kontroversi lagi, luah Jamal: "Selama sembilan tahun saya sudah berubah dari segi tingkah laku dan tidak lagi terjebak dengan dadah biarpun gelaran Datuk itu belum dikurniakan kepada saya. "Kini, setelah menerima gelaran Datuk, saya mahu masyarakat terus menyokong dan menyayangi saya." Jamal turut berkongsi kegembiraannya bersama dua orang anaknya iaitu Osama Yamani, 11, dan Ahmad Zaki Yamani, 7, mengenai penerimaan anugerah tersebut. "Anak kedua saya, Ahmad Zaki Yamani, 7, mungkin belum mengerti bila saya beritahu mengenai penerimaan gelaran ini. Tetapi anak sulung saya iaitu Osama Yamani, 11, agak terkejut apabila saya khabarkan tentang penerimaan gelaran Datuk kepadanya. "Saya gembira kerana dapat kongsikan kegembiraan ini pada anak-anak, ibu tiri saya, Norsiah Mat Noor dan peminat-peminat saya," katanya. Mengulas mengenai projek seninya selepas ini, ujar Jamal, syarikat miliknya iaitu Bintang Channel Sdn. Bhd. akan menganjurkan sebuah konsert solonya di Kota Bharu, Kelantan pada bulan Januari depan. | |||
Tunku Hanis rancang nikah anak saudara Datuk K Posted: Tunku Hanis rancang nikah anak saudara Datuk KOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
PERNAH tertarik hati sehingga menjalinkan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang pada tahun lalu telah mengundang fobia buat pelakon Tunku Hanis Tunku Salman. Bagaimanapun, ia bukanlah salahnya 100 peratus memandangkan dia sendiri langsung tidak mengetahui bahawa lelaki yang menjalinkan hubungan dengannya itu sudah beristeri. "Sejujurnya saya agak terkejut apabila mendapat tahu lelaki berkenaan sudah berkahwin sehinggalah saya telah diserang oleh isterinya. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat buruk dalam kehidupan saya. "Ternyata perkara berkenaan telah membuatkan saya berasa fobia untuk menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu bercinta dalam masa terdekat selepas dilanda kekecewaan dahulu," ujar pelakon berusia 23 tahun itu. Biarpun pernah mengambil keputusan untuk tidak bercinta, namun pelakon yang ditemui semasa penggambaran telemovie Cerita Sebenar Mengenai Bibah baru-baru ini mendedahkan hatinya kini sudah dimiliki seseorang. Enggan mendedahkan identiti tentang jejaka yang bertakhta di hatinya itu, pelakon tersebut akhirnya memberitahu bahawa jejaka berkenaan merupakan anak saudara kepada suami penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau lebih popular dengan panggilan Datuk K. "Saya mengaku yang kekasih saya itu merupakan anak saudara kepada Datuk K, tetapi saya tidak boleh beritahu identitinya. Ketika ini hubungan yang terjalin antara kami sudah berlangsung selama setahun. "Sepanjang perkenalan kami, saya melihat dia seorang lelaki yang sangat baik dan pandai mengambil hati. Cuma, dia kurang menggemari saya untuk berkecimpung dalam bidang seni," jelasnya. Apabila ditanya tentang sejauh mana serius hubungan yang terjalin itu, Tunku Hanis menjelaskan bahawa mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga. "Ketika ini keluarga kami tahu mengenai hubungan yang terjalin dan mereka amat merestuinya. Lagipun ahli keluarga kami sudah beberapa kali bertemu antara satu sama lain. "Insya-Allah, kalau tiada sebarang halangan kami berdua sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga paling awal pada tahun hadapan," jelasnya yang tidak kisah berkahwin dalam usia yang muda.
Tolak tawaran Sudah hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Tunku Hanis meluahkan kegembiraannya apabila rezekinya kini semakin banyak dengan tawaran yang tidak putus-putus. Namun begitu, pelakon berkenaan menyatakan bahawa atas minatnya yang mendalam terhadap bidang yang diceburinya itu, dia telah menolak untuk menyambung pelajaran ke luar negara. "Pada tahun lepas saya ada menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di United Kingdom. "Bagaimanapun, ketika tawaran menyambung pelajaran itu diperolehi, dalam masa yang sama juga tawaran berlakon yang diterima pula agak banyak. Akhirnya saya telah tolak tawaran untuk sambung belajar," ujarnya. Berkenaan dengan penerimaan ahli keluarganya terhadap pembabitannya dalam bidang seni sekarang ini, Tunku Hanis memberitahu bahawa mereka begitu memahami kehendak dan minatnya itu. "Pada mulanya ibu selalu memarahi saya kerana selalu balik lewat ke rumah selepas selesai menjalani penggambaran. "Kemudian, pada satu hari, saya telah mengajak ibu ke lokasi untuk melihat saya bekerja dan barulah dia memahami cara kerja seorang pelakon. "Sementara ayah saya pula cuma berpesan supaya saya perlu pandai menjaga diri dan tidak melakukan perkara yang boleh memalukan keluarga," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |