Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Memanfaatkan masa bersama yang tersayang Posted: Memanfaatkan masa bersama yang tersayangOleh NIZHA PERIASWAMY PARA ibu moden yang sibuk dengan urusan kerjaya terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anak dan masa terluang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya termasuk merapatkan hubungan antara ibu dan anak. Justeru, susu tepung, Friso Gold, melancarkan program Be a G.U.T Mom bagi menyeru ibu-ibu di Malaysia untuk menghayati makna dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka. Pengarah Pemasaran Dutch Lady Milk Industries Berhad, Anja Henze berkata, pihaknya percaya bahawa waktu membesar adalah pengalaman paling indah dalam kehidupan seseorang. "Oleh itu, kami menggalakkan ibu bapa menghargai pengalaman ini dan berkongsi detik-detik berharga dengan membesar bersama anak-anak," katanya. Henze berkata, kajian menunjukkan bahawa seorang kanak-kanak membesar dengan baik menerusi pengalaman dan penerokaan. Peranan seorang ibu adalah penting dalam menggalakkan anak-anak menerokai dunia ini.
"Adakalanya anak-anak mungkin jatuh ketika cuba melakukan sesuatu, tetapi bimbingan dan kata-kata semangat oleh ibu bapa merupakan satu bentuk sokongan terbaik untuk mereka melakukannya," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir, pelakon dan hos televisyen, Sazzy Falak; pelakon, model dan hos televisyen, Belinda Chee; pereka fesyen dan pengarah kreatif label fesyen PU3, Putri Azalea Ramli serta hos televisyen, pengeluar filem dan Pengarah Kakiseni, Low Ngai Yuen. Pada majlis berkenaan, kesemua selebriti itu berkongsi pengalaman masing-masing dalam membesarkan anak-anak mereka. Ngai Yuen, yang merupakan ibu kepada empat orang anak berusia satu hingga sembilan tahun, berkata: "Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk melalui kehidupan bersama empat orang anak yang hebat. Walaupun menjadi contoh kepada mereka, saya juga banyak belajar tentang kehidupan daripada anak-anak apabila bersama-sama membesar sebagai sebuah keluarga. Melihat setiap anak membesar dengan gembira dan sihat selain menonjolkan minat dan personaliti masing-masing, membuatkan saya berasa sangat gembira dan bangga menjadi ibu mereka."
Lebih berdikari Sazzy pula bercerita tentang pasangan anak kembarnya. "Anak saya, Iman Lily dan Tiara Rose, berusia dua tahun pada awal tahun ini. Saya cuba untuk tidak terlalu menyekat ketika meneroka sesuatu agar mereka belajar daripada kesilapan yang dilakukan. Mereka tampak lebih berdikari dan ini jelas dilihat melalui semangat mereka untuk makan sendiri dan amat suka pergi ke tadika untuk mempelajari ilmu bersama rakan-rakan seusia," katanya. Bagi Sazzy, antara kebimbangan terbesar sebagai seorang ibu ialah apabila anak-anaknya jatuh sakit. "Saya perlu memastikan bahawa mereka sentiasa kuat dan sihat agar dapat menikmati pengalaman membesar yang menyeronokkan. Antaranya, mengalakkan mereka mengambil makanan yang berkhasiat," jelasnya. Menurut Chee, anaknya Danielle suka bermain pada sebelah pagi di kawasan taman kediaman mereka. "Dia tentunya akan berpeluh, namun saya biarkan dia bermain dan tidak kisah jika tangannya kotor kerana saya percaya pengalaman itu penting untuk mengajarnya," katanya. Dalam pada itu, sungguhpun sibuk dengan kerjayanya, Putri Azalea sentiasa memastikan agar dirinya tidak ketinggalan meluangkan masa bermain bersama anaknya, Alriz, setiap hari. IBU-IBU berjanji untuk menjadi G.U.T Mother, salah satu kempen anjuran Frisco Gold. "Saya ke Dubai untuk percutian bersama keluarga dan kami melawat ke sebuah gim bayi di sana. Pengalaman itu mengeratkan lagi hubungan kami," ujarnya. Sebagai tanda menyokong gerakan Friso Gold, ibu-ibu pada majlis pelancaran tersebut, termasuk ibu-ibu selebriti memakai pin Be a G.U.T Mom, dan berjanji untuk menyokong dan komited dalam menghayati pengalaman membesar bersama anak-anak mereka. Duta Friso Gold, Sazzy dan Chee turut menggesa para ibu di seluruh negara menyertai mereka dalam menghayati pergerakan tersebut. Salah satu cara ialah dengan menyatakan sokongan dan menyertai gerakan itu dengan memuat turun simbol Be a G.U.T. Mom di Facebook Friso Gold Malaysia. Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.friso.com.my atau hubungi FrisoCareline di talian 1800-88-1647. | ||
Suara remaja perjuang alam sekitar Posted: Suara remaja perjuang alam sekitarOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR BARISAN peserta program Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan mampu menjadi contoh kepada generasi muda yang lain. DALAM usaha melindungi alam sekitar, sekumpulan pelajar dari 39 buah sekolah telah menyertai program Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan yang dijalankan oleh organisasi bukan kerajaan, Treat Every Environment Special (TrEES) dengan kerjasama Affin Bank Bhd. (Affin Bank) Sama seperti benih yang memerlukan keadaan yang sesuai untuk tumbuh subur, begitu juga dengan program itu bertujuan memupuk keyakinan pada golongan remaja terhadap kebolehan diri di samping mencungkil bakat semula jadi mereka. Program tersebut membantu para pelajar mencapai potensi diri dengan membolehkan mereka menukar idea yang kreatif kepada suatu hasil yang nyata. Pada masa sama, setiap peserta memberikan perspektif baharu dan menghasilkan penyelesaian unik dalam menangani cabaran menghijaukan gaya hidup harian masyarakat hari ini. Memasuki penganjuran tahun ketiga, ia berjaya menarik minat pasukan pelajar dari sekolah-sekolah di sekitar Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan. Daripada 39 buah sekolah yang turut serta, 13 pasukan telah menerima geran pemula untuk melaksanakan idea kehijauan mereka, sekali gus berpeluang memenangi hadiah pada penghujung program yang akan berlangsung November depan. AKSI para peserta sewaktu mengikuti bengkel latihan bersama pihak penganjur baru-baru ini. Agen pengubah Dalam suasana persaingan mesra, setiap pasukan mengasah daya kepimpinan masing-masing apabila menghasilkan penyelesaian bagi masalah berkaitan alam sekitar yang dihadapi di sekolah. Para peserta telah mempelajari cara bekerja sebagai satu pasukan untuk membuat keputusan, menguji, mengkaji dan menyelesaikan masalah. "Para pelajar merupakan agen pengubah, menghasilkan penyelesaian berunsurkan keremajaan untuk menghijaukan sekolah dan menyatuhatikan seluruh warga sekolah agar bersama bertindak. "Sepanjang proses ini, pelajar menjalani transformasi diri melalui pengalaman yang ditimba dengan meningkatkan kepercayaan terhadap diri sendiri," kata Pengarah TrEES, Leela Panikkar. Bagi membantu kumpulan pelajar ini mengembangkan idea mereka menjadi satu projek yang boleh diusahakan, TrEES dan Affin Bank telah menjalankan siri bengkel selama tiga bulan. Bengkel-bengkel ini menyediakan rangka kerja yang membolehkan pelajar mengembangkan idea masing-masing menjadi rancangan projek sambil mencelikkan minda mereka tentang peranan mereka melindungi alam sekitar. Antara latihan yang diadakan termasuk perancangan kewangan dan dalam pengurusan akaun. "Pelajar dalam usia lebih muda boleh mempelajari kemahiran baharu dengan mudah. Dengan mengaplikasikan apa yang telah dipelajari melalui program ini, pengetahuan itu akan menjadi sifat semula jadi pada diri mereka apabila meningkat dewasa," kata Pengarah Eksekutif Operasi Affin Bank, Shariffudin Mohamad. SETIAP pelajar menunjukkan daya kreativiti masing-masing dalam usaha memelihara alam sekitar. Pelaksanaan Pengurusan kewangan juga menjadi aspek yang penting semasa memilih 13 buah sekolah teratas kerana pilihan berdasarkan kecekapan menggunakan peruntukan yang disediakan untuk memaksimumkan kesan projek alam sekitar pasukan. Kesemua pasukan terpilih itu akan melaksanakan projek di sekolah masing-masing dan menjalankan kempen turun ke padang selama dua bulan. Antara projek yang diusahakan oleh pasukan pelajar itu termasuk mengurangkan sisa kertas dan plastik, mengumpul minyak masak terpakai, menghasilkan kompos dan menggunakannya sebagai baja organik serta menggubah taman asli di sekolah. Kejayaan setiap pasukan melaksanakan projek masing-masing akan dinilai oleh panel juri untuk menentukan pemenang tahun ini. Ikuti aktiviti para pelajar ini dalam perjalanan mereka menjadikan impian melindungi alam sekitar suatu realiti dengan melayari http://www.facebook.com/ YV4C.TrEES atau www.trees.org.my. Program Suara Remaja Memperjuangkan Pemuliharaan ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran. | ||
Posted: Anak anugerah AllahANAK-ANAK Malaysia yang berada di Madinah mendapat layanan mesra daripada Muhd. Kamil dan keluarga. HAMPIR seminggu kami bercuti di Malaysia. Ia sentiasa merupakan saat-saat mengujakan. Pertama, inilah peluang bertemu anak-anak yang tidak bersama kami di Madinah. Kedua, kami juga dapat bertemu dengan keluarga, anak-anak murid, rakan dan mereka yang mengikuti perkembangan kami sekeluarga. Pertemuan seumpama ini sentiasa membawa keceriaan. Ia seolah-olah memperbaharui hubungan silaturahim. Namun, faktor bertemu anak-anak sentiasa mempunyai tempat istimewa di sudut hati. Mereka merupakan anugerah Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan oleh-Nya melalui ayat 49-50 surah Asy-Syura yang bermaksud: "Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendakiNya), dan Dia menjadikan mandul sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa." Bila berjauhan terasa rindu. Isteri saya, Roza sering termenung mengingati anak-anak yang berjauhan ketika memasak hidangan kegemaran mereka. Anak bongsu kami, Sofea pula sering menyebut-nyebut nama kakak dan abangnya apabila kami sekeluarga menikmati sesuatu yang menjadi kegemaran bersama. Saya juga merindui anak-anak. Namun rindu seorang ayah sedikit berbeza. Ia bukan soal makan atau minum. Tidak juga tentang kerinduan mereka kepada ibu dan ayah yang berjauhan. Hati saya lebih risaukan beberapa perkara asas sebagai anak seorang Islam. Jiwa sering tertanya-tanya, apakah segala pesan dipatuhi atau dihindari? Isu utama ialah solat. Misalnya, setiap kali membuat panggilan kepada anak lelaki, saya pasti bertanya, "Sudah solat?". Jika jawapannya, "Ya", maka soalan kedua pula akan muncul. "Solat di mana?". Allah ya Allah.. jika jawapannya di rumah, maka ia menjadi kemurkaan yang sudah diketahui mereka. Kami mendidik anak lelaki agar tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid. Anak-anak perempuan solat pada awal waktu. Di depan mata ia terkawal. Bila beribu batu terpisah, hanya doa yang mampu dipohon. Namun, hati menjadi damai apabila mengingatkan janji-janji Allah yang menyatakan, zat Allah SWT turun ke langit dunia ketika satu pertiga malam masih tersisa dan Allah menyeru: "Adakah antara hamba-Ku yang berdoa kepada-Ku, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampun kepada-Ku, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku, supaya Aku memenuhinya?". Hadis sahih Bukhari dan Muslim ini sangat melegakan hati dan perasaan. Ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai apa-apa apabila berjauhan dengan anak-anak. Mereka hilang kuasa. ANAK bongsu Muhd. Kamil, Sara bersama jiran kecilnya yang dikenali sebagai Juri. Didikan awal Allah SWT juga memberi sesuatu yang sangat istimewa dalam konteks hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Doa ibu bapa sangat mustajab. Ia tidak menunjukkan lokasi. Maksud saya, ibu bapa perlu berdoa walau di mana mereka berada. Janganlah hanya beria-ia semasa berada di Mekah atau Madinah. Ibu bapa tetap ibu bapa walau di mana kita berada. Allah Maha Mendengar. Namun, anak-anak juga merupakan ujian yang diberi oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Bayangkanlah berapa ramai ibu bapa yang tidak sanggup mengajak anak-anak lelaki ke masjid untuk solat berjemaah pada waktu fajar. Aneh, mereka takut anak mengantuk di sekolah. Itulah salah satu pembohongan didikan anak-anak yang sering berlaku. Kesannya bukan sekarang. Ia hanya meresap dan tertusuk di hati apabila anak-anak di peringkat remaja dan awal kedewasaan kelak. Anak zaman ini sangat bijak. Namun, rata-rata sangat sukar berjemaah di masjid. Rumah Allah menjadi tempat asing. Jika bapanya juga begitu, maka ia menjadi lebih parah. Akhirnya anak dan bapa menjadi satu acuan yang sama. Saya sering terkenang kisah sahabat yang mahu anaknya menutup aurat selepas timbul kesedaran betapa kehidupan dunia hanya sementara. Anak perempuannya menjawab tanpa berlapik: "Mama pun baru menutup aurat ketika usia mama 45 tahun. Ketika mama seusia saya pun mama tidak lakukannya." Menuntut ilmu Benar, anak merupakan anugerah Allah. Benar juga ia boleh mendamai dan merisaukan hati. Di Madinah, kami terasa damai di hati melihat anak-anak muda Melayu Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Islam Madinah. Lebih kurang 200 siswa menadah ilmu di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD). Terdapat juga sekumpulan kecil pelajar yang memulakan pengajian dengan mempelajari bahasa Arab. Tenang dan damai. Benar, hati saya damai menyaksikan mereka berkumpul dan menghafal al-Quran, menelaah nota-nota atau berbincang di Masjid Nabawi usai kuliah-kuliah rasmi yang biasanya tamat sebelum waktu Zohor. Saya selalu terfikir dan mahu nyatakan kepada ibu bapa mereka di Malaysia, "Berbahagialah kerana anak-anak tuan di sini begitu bersungguh-sungguh menuntut ilmu. Mereka selalu berada di masjid yang dirindui jutaan manusia." Saya fikir, alangkah beruntungnya mereka kerana mampu berada di dalam masjid ini sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan. Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunan-Mu ya Allah. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |