Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Senaman pilates bantu kawal kencing Posted: Senaman pilates bantu kawal kencingSEPERTI lazimnya L. Kanaga melayan pelanggan yang datang ke kedai runcitnya di Puchong, Selangor. Ketika mereka saling berurusan Kanaga secara tiba-tiba menyedari kainnya basah. Air kencingnya mengalir seolah-olah tiada kawalan pada dirinya. Dia tertanya-tanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Dia sendiri sukar menggambarkan perasaannya ketika itu. Rasa malu dan terkejut bercampur baur apatah lagi pada masa itu dia sedang melayan pelanggan. Bagi memastikan apa yang berlaku pada dirinya tidak disedari pelanggan, Kanaga hanya berdiri secara statik di sebalik penghadang di kedainya. Dia bukan saja rasa tidak selesa, bahkan dia mahu urusan antara mereka dapat diselesaikan sesegera mungkin. Sebaik pelanggannya pulang, Kanaga cepat-cepat menukar pakaian, membersihkan diri dan tempat tersebut. Bagi mengelakkan kejadian yang memalukan itu berulang dia memakai tuala wanita sepanjang masa. Kepada Kanaga, kejadian itu cukup memalukan dirinya dan sukar dilupakan. Berurut Peristiwa tersebut meninggalkan trauma yang bukan sedikit. Dia semakin menjauhkan diri daripada rakan-rakan, sanak saudara begitu juga majlis-majlis sosial. Masanya lebih banyak dihabiskan di rumah. Sebelum terjadinya peristiwa itu, pada peringkat awal, Kanaga mengakui dia tidak boleh menahan kencing. "Saya akan sentiasa memastikan berada dekat pintu jika mahu ke sesebuah majlis supaya senang keluar masuk ke tandas. Kalau pergi ke mana-mana, perkara pertama yang saya cari ialah tandas," kata Kanaga yang menderita masalah tersebut selama lapan tahun. Atas nasihat seorang jiran, Kanaga yang ketika itu berusia 45 tahun cuba mengatasi masalah yang dialaminya dengan berurut. Selepas berurut, tukang urut memberitahu seolah-olah ada sesuatu di dalam rahimnya. Kata tukang urut tersebut, ada kemungkinan itulah penyebab dia berdepan dengan masalah kencing tidak terkawal. YVONNE menunjukkan beberapa gerak senam fisio pilates yang boleh diamalkan untuk menyokong sistem otot pada bahagian abdomen sekali gus merawat inkontinens. Bagaimanapun, urutan tersebut tidak mengubah keadaannya. Sebaliknya, rasa sakit di bahagian bawah perutnya berterusan. Akhirnya, Kanaga mengambil keputusan berjumpa doktor dan dia disahkan mempunyai ketumbuhan di dalam rahim. "Ketumbuhan itu menekan pundi kencing dan menyebabkan saya tidak dapat menahan kencing. Semakin ia membesar, ketumbuhan itu terus mengganggu fungsi pundi kencing saya," terang anak ketiga daripada lima beradik itu. Selepas menjalani pembedahan, Kanaga yang kini berusia 53 tahun, menjalani kehidupan normal. Kini Kanaga turut mengamalkan beberapa senaman fisio dan yoga bagi menjaga kesihatannya. Kanaga merupakan salah seorang daripada 17 peratus populasi dunia atau 1.2 juta rakyat Malaysia yang menghadapi masalah kegagalan mengawal kencing (inkontinens). Ia merupakan satu keadaan yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat menahan atau mengawal kencing. Diamkan diri Hal ini menjurus kepada keadaan air kencing sering terbocor sebelum sempat dikeluarkan atau pesakit hanya sedar mereka terkencing selepas kawasan sulit mereka basah. Keadaan lain turut termasuklah kencing ketika tidur, terkucil semasa batuk, bersin atau ketawa kuat dan sebagainya. Pakar Urologi dan Presiden Yayasan Kontinens Malaysia, Dr. Peter Ng ketika ditemui di klinik beliau di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya memberitahu, mereka yang berdepan dengan masalah inkontinens selalunya menderita dalam diam berbanding mendapatkan rawatan. "Inkontinens berlaku seiring dengan peningkatan usia, tetapi ia boleh dirawat. Malah, 80 peratus daripada pesakit inkontinens berjaya dirawat dengan senaman, pembedahan dan ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, masalah utama inkontinens dalam masyarakat kita ialah keengganan pesakit mendapatkan bantuan. KELEMAHAN pada dinding pelvis adalah sebab lazim berlakunya masalah kebocoran air kencing. Statistik Yayasan Kontinens Malaysia mendedahkan sekitar 10 hingga 13 peratus rakyat Malaysia berhadapan dengan masalah ini. "Terkucil apabila batuk, bersin, ketawa, tidak mampu menahan kencing, pundi kencing yang terlalu aktif, kekerapan membuang air dan terkencing antara simptom inkontinens," ujar Peter kepada Kosmo!. Masalah ini bermula pada usia sekitar sekitar 20-an atau 30-an. Keadaan menjadi serius apabila usia meningkat 60-an. Kaum wanita pula dilihat paling banyak berdepan dengan gangguan ini dengan purata seorang dalam setiap empat wanita. Menurut beliau, struktur fizikal organ wanita yang mempunyai uretra iaitu saluran pundi kencing yang lebih pendek, kehamilan, melahirkan anak dan menopaus antara faktor penyumbang masalah tersebut. Namun, hakikatnya, baik lelaki atau wanita risikonya adalah sama. Jenis inkontinens "Kecederaan neurologi, strok, sklerosis pelbagai dan masalah fizikal yang berhubung kait dengan penuaan juga menyumbang kepada inkontinens," jelas beliau. Peter menyenaraikan beberapa jenis inkontinens dan yang paling umum ialah inkontinens tekanan. Ia merupakan satu keadaan berlakunya tekanan pada lantai pelvik yang menekan otot pundi kencing. Kesannya, apabila berlaku pergerakan fizikal seperti batuk dan bersin, pundi kencing yang lemah menyebabkan seseorang gagal mengawal kencing. Masalah inkontinens yang lain ialah seperti inkontinens terdorong. Ia berlaku kerana keinginan berterusan untuk membuang air dan sukar menahannya. Inkontinens bercampur pula disebabkan tekanan dan terdorong, apabila kedua-dua faktor berlaku pada masa yang sama. Terdapat juga keadaan yang dinamakan inkontinens berterusan apabila berlaku kebocoran pada pundi kencing. Antara sebab lain berlakunya masalah inkontinens termasuklah berat badan berlebihan. Obesiti menyebabkan lemak menekan pundi kencing, sembelit juga dipercayai boleh meningkatkan kebarangkalian inkontinens. Begitu juga dengan amalan mengangkat berat yang berlebihan dan pembesaran prostat bagi lelaki. Sementara itu, rawatan alternatif juga boleh membantu seseorang merawat atau mengelak masalah inkontinens daripada menjadi parah. OBESITI salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah inkontinens. Bagi pelatih fisio-pilates, Yvonne Kuang Geok Hui, 42, yang mengajar senaman pilates fisioterapi di Studio Signature Pilates di Taman Subang Mewah di USJ, Subang Jaya, berkata, pergerakan fizikal dan teknik pernafasan berupaya merawat masalah inkontinens. Terapinya bertumpu di seluruh bahagian bawah abdomen. Menurut beliau teknik pernafasan yang betul menguatkan otot bawah abdomen. "Duduk tegak menarik nafas seolah-olah diafragma membentuk lengkungan atas, sama rasanya seperti anda sedang minum air menggunakan straw. Tahan dan hembus perlahan-lahan seperti meniup belon. Pada kedudukan ini, diafragma dalam keadaan rehat. Teknik ini mencapai bahagian bawah abdomen tanpa sebarang tekanan kepada dinding pelvik," katanya ketika ditemui. Otot abdomen Kaedah nafas ini menenangkan minda, merehatkan otot dan mempengaruhi abdomen untuk rawatan dalaman. Berkelayakan dalam bidang pemulihan Kecederaan dan Populasi Khas (ISP), Yvonne juga berkongsi beberapa pergerakan merawat inkontinens. Gerakan mengukuh otot abdomen secara efisien dengan duduk di atas bola gim, bersaiz besar, postur 90 darjah dan menyandarkan bahagian badan ke belakang sedikit. Pergerakan lain ialah melutut dengan badan menghadap bola gim, pada kedudukan 45 darjah dan menunduk sepenuhnya dengan memastikan kepada menyentuh bola. Gerakan ini menguatkan bahagian tulang saraf tunjang dan mengurangkan masalah sakit belakang yang menyumbang kepada inkontinens. "Gerakan terakhir ialah membaringkan diri di atas tikar dengan badan berada pada posisi lurus dan kaki dilipat ke kiri dan kanan. Selain itu, postur mengangkat tubuh badan dengan kaki dipanjatkan di atas sesuatu objek juga antara lain yang membantu pesakit inkontinens secara keseluruhan," ujar Yvonne yang menasihatkan terapi tersebut sebaik-baiknya dilakukan tiga seminggu. Bagaimanapun, pesakit dinasihatkan supaya mendapatkan khidmat terapi daripada pakar yang bertauliah. Kepada yang berminat, Yvonne boleh dihubungi di talian 012-364 7807 atau terus ke Signatur Pilates Studio, No. 28, tingkat bawah, Jalan USJ1/1C, Regalia Business Centre, Taman Subang Mewah, Subang Jaya. |
Firma terkaya wajib kongsi keuntungan Posted: Firma terkaya wajib kongsi keuntunganSEORANG wanita bersama dua orang anaknya meminta ihsan daripada orang ramai di tepi jalan. KERAJAAN India masih lagi bergelut untuk menyediakan kemudahan asas kepada masyarakat setempat apabila beratus-ratus juta daripada mereka hidup dalam kemiskinan. Bagi mengekang kemudaratan itu daripada terus meruncing, India telah mengambil langkah agresif dengan meminta semua firma terkaya di negara berkenaan memikul tanggungjawab itu. Di bawah pindaan undang-undang Akta Syarikat yang diluluskan oleh Dewan Parlimen bulan lalu, semua perniagaan maju telah diminta untuk memberikan dua peratus daripada keuntungan mereka setiap tahun sebagai antara tanggungjawab sosial korporat (CSR). "Ideanya ialah jika kita boleh mengagihkan sedikit tenaga korporat dan cara ia melakukan perniagaan ke dalam sektor pembangunan untuk negara seperti India mungkin dapat membantu membuat perubahan besar," kata Ketua Institusi Perhubungan Korporat India (IICA), Bhaskar Chatterjee. Wabak rasuah CSR dalam undang-undang ini antara lain ditakrifkan sebagai program pembiayaan untuk pendidikan, pembasmian kemiskinan, melindungi alam sekitar atau menangani penyakit. Undang-undang baharu itu adalah yang pertama di dunia menjanjikan wang ganjaran untuk organisasi-organisasi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran, dana itu juga dilihat segelintir pihak sebagai satu cara yang mungkin memburukkan lagi keadaan dengan wabak rasuah di negara itu. CSR telah dijalankan oleh kebanyakan syarikat korporat di India. Semua jenis perniagaan dengan keuntungan lebih dari 10 bilion rupee (RM494 juta), jumlah nilai bersih 5 bilion rupee (RM254 juta) atau kadar keuntungan 50 milion rupee (RM2.5 juta) diwajibkan untuk menyumbang ke dalam dana tersebut. Pemilik syarikat perlu mewujudkan ahli lembaga untuk melaksana dan melaporkan polisi CSR syarikat sebagai kaedah memastikan purata dua peratus keuntungan bersih syarikat yang dicatatkan tiga tahun sebelum disumbangkan secara tahunan. Pengarah syarikat boleh dikenakan denda dan berkemungkinan dipenjarakan jika gagal untuk memberikan laporan perbelanjaan atau apa-apa keperluan pendedahan maklumat berkaitan kewangan syarikat. Sebuah kumpulan perniagaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Perhubungan Awam India, ICCA melaporkan, sebanyak 7,000 buah syarikat layak dan terlibat dalam usaha pengumpulan dana tersebut. Angka itu menjangkakan kemungkinan limpahan dana dengan nilai sebanyak 120 hingga 150 billion rupee (RM6.1 hingga RM7.6 billion) setahun. SEGELINTIR daripada masyarakat di India terpaksa tinggal di dalam khemah bawah jambatan ekoran tiada pendapatan tetap. Tentangan Bagaimanapun, Presiden Perniagaan Kumpulan FICCI, Sidhart Birla berkata, pihak korporat India bersungguh-sungguh menentang undang-undang tersebut. "Jika undang-undang itu sudah wajib dipatuhi, jadi apa yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa lain untuk menghentikannya daripada membebankan syarikat?," katanya. Undang-undang tersebut menyatakan bahawa semua syarikat perlu mengetepikan dua peratus daripada keuntungan syarikat sebagai dana CSR dan mesti melaporkan aktiviti-aktiviti mereka. Di sebalik langkah proaktif kerajaan negara itu, pengusaha masih boleh menarik nafas lega kerana tiada sekatan yang dikenakan di atas kegagalan syarikat untuk membelanjakan wang berkenaan. "Kami telah diberitahu bahawa pengusaha boleh melaporkan tentang ketidakmampuan untuk menyediakan dana berkenaan," kata Birla. Menurut Pemerhati Asas Kajian, Samir Saran, kejayaan revolusi CSR bergantung kepada bagaimana syarikat mengambil pendekatan terhadap undang-undang baharu itu. Namun, dana itu juga boleh disalahgunakan oleh ahli-ahli politik yang mengambil wang tersebut dan mengaburi mata rakyat dengan menjalankan kebajikan atau menyalurkannya dalam syarikat NGO di bawah kelolaan mereka. "Kami perlu memastikan ini bukan satu lagi polisi dengan niat yang baik tetapi mendatangkan kesan yang buruk. Ia tentang bagaimana ia dilaksanakan dan itu akan menentukan kejayaannya," katanya. Saran secara keseluruhannya menyokong kewajipan CSR sebagai untuk mewujudkan suasana korporat yang baik. India kini mempunyai jumlah kepadatan penduduk seramai 1.2 billion dengan keluasan 3,287,590 kilometer.- AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |