{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Program jaga kesihatan jantung

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusan.johor@yahoo.com

Ayub Rahmat (dua dari kiri) melepaskan peserta cyclethon sempena Hari Jantung Sedunia di Hospital Pakar Regency, Bandar Seri Alam, Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU 17 Okt. - Sejak 13 tahun lalu, penduduk dunia akan menyambut Hari Jantung Sedunia pada hari Ahad terakhir setiap September dalam meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan jantung.

Tarikh itu kemudiannya ditukar pada 29 September bermula 2011.

Bersama dengan ahli-ahlinya, yayasan tersebut menegaskan ke seluruh dunia bahawa sekurang-kurangnya 80 peratus daripada kematian pramatang akibat penyakit jantung dan strok boleh dielakkan sekiranya tiga faktor risiko utamanya dielakkan iaitu tembakau, diet tidak seimbang dan amalan hidup tidak sihat.

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa penyakit jantung dan strok adalah punca utama kematian di dunia dan meragut 17.3 juta nyawa setiap tahun dengan kadar kematian semasa memungkinkan angka tersebut meningkat kepada 23 juta menjelang 2030.

Hospital Pakar Regency adalah antara hospital yang menyahut seruan itu supaya orang ramai sedar bahawa angka-angka terbabit adalah membimbangkan dan memerlukan tumpuan dan tindakan segera.

Hospital swasta yang terletak di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang itu memulakan sambutan Hari Jantung Sedunia sehari lebih awal iaitu 28 September lalu dengan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai.

Dimulakan dengan sesi memanaskan badan melalui senamrobik pada sebelah pagi, sambutan Hari Jantung Sedunia dirasmikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Datuk Benjamin Hasbie; Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Ruslan Zainuddin; Ketua Lembaga Pelawat hospital berkenaan yang juga Pengurus Besar Seri Alam Properties, Frankie Tan Kiat How dan Ketua Pegawai Eksekutif hospital, Chin Wei Jia.

Dua acara utama dalam sambutan oleh Hospital Pakar Regency itu ialah cyclethon dan walkathon yang masing-masing dilepaskan oleh Ayub dan Normala.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak hospital tersebut pada hari itu ialah pemeriksaan kesihatan percuma dan sesi pertanyaan dengan doktor pakar iaitu Dr. Paul Ling Kah Hing dalam bidang kardiologi dan perubatan dalaman serta Dr. Patrick Cheah Wei Chen yang mahir dalam perubatan kecemasan.

Daya tarikan lain adalah tiga sesi cabutan bertuah yang disusuli dengan cabutan bertuah utama selain acara mewarna untuk kanak-kanak dan demonstrasi pembuatan sushi.

Terdahulu Ayub dalam ucapannya menyeru rakyat di seluruh negeri menjaga kesihatan seiring dengan kempen Cara Hidup Sihat yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan rakyat dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti dan kualiti kehidupan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai amalan cara hidup yang tidak sihat dalam kalangan pemuda-pemudi yang ramai menghisap rokok, meminum arak dan lebih teruk segelintir yang terlibat dengan najis dadah.

Menurutnya, masyarakat dinasihatkan sentiasa melakukan senaman 'setimpal' dengan pengambilan makanan terutamanya mengandungi kolesterol tinggi yang menjadi punca penyakit kardiovaskular dan jantung.

"Pengambilan makanan berserat tinggi, rendah lemak, kurang garam dan berhenti merokok mampu membantu mengelakkan penyakit jantung yang menjadi pembunuh nombor satu di negara ini. Ada yang mengambil makanan berat dan tinggi kolesterol, tetapi kurang bersenam.

"Sepatutnya mereka perlu ambil tahu tahap kolesterol yang ada dalam makanan dan melakukan senaman yang boleh membakar kolesterol itu untuk mendapatkan gaya hidup sihat," katanya ketika ditemui.

Pengunjung, peserta akui manfaat program kesihatan

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Senamrobik adalah antara acara yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung sempena Hari Jantung Sedunia di Bandar Seri Alam, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 17 Okt. - Sambutan Hari Jantung Sedunia oleh Regency Specialist Hospital tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu dengan kehadiran dan penyertaan 1,000 pengunjung.

Antara yang turut memeriahkan acara ialah pelajar dari sekolah berhampiran dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar hospital tersebut serta beberapa kumpulan berbasikal yang aktif di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Penyelaras bagi Happy Riders Connect, Albert Chia, 49, berkata, kumpulan peminat aktiviti berbasikal itu melibatkan ahli dari pelbagai kaum dan menyertai cyclethon yang dianjurkan dalam sambutan tersebut.

"Kami juga bekerjasama dengan polis dan kawasan perniagaan dalam program Ronda Riadah seiring usaha meningkatkan pencegahan jenayah. Malah, saya difahamkan Hospital Pakar Regency akan mewujudkan kawasan khas untuk menggalakkan aktiviti berbasikal," katanya.

Seorang peserta walkathon, Bahrin Amran, 42, pula memberitahu yang dia menyertai sebagai salah seorang penduduk Bandar Seri Alam dan menyambut baik penganjuran sambutan ini kerana elok untuk kesihatan.

Kesempatan itu juga, katanya, membolehkan orang ramai saling kenal-mengenal dan beramah mesra sambil menimba pengetahuan dan tip penjagaan kesihatan daripada doktor-doktor pakar.

Antara yang turut hadir ialah seorang penuntut Asia Metropolitan University, Hemaroopini Varatharaju, 20, yang datang bersama sekumpulan rakan sekuliahnya.

"Program walkathon dan cyclethon ini baik untuk jantung. Saya ikut serta berjalan kaki sejauh enam kilometer dan ini merupakan kali kedua saya mengikuti sambutan di Hospital Pakar Regency selepas julung kali diadakan tahun lalu," katanya.

Anggota Women JB Rider, Ariffah Ariffin pula bersama 15 rakan lain turut serta dalam cyclethon sejauh 20 kilometer dan merasa gembira kerana selain aktiviti sihat, dia juga berkesempatan untuk mengadakan perjumpaan bersama ahli lain dan menjalankan aktiviti bersama.

Lebih menarik, Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), Datuk Benjamin Hasbie turut serta dalam acara berbasikal tersebut bersama Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Ruslan Zainuddin.

Menyifatkan program tersebut sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pencemaran karbon, beliau menyambut baik usaha diambil hospital berkenaan dan pihaknya dalam usaha mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya tentang keselamatan penunggang basikal.

"Sasaran kita jelas, kita akan wujudkan lorong berbasikal bukan sahaja di Nusajaya tetapi di semua flagship dalam Iskandar Malaysia. Dalam usaha ini, kita akan berusaha untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya, selain menerapkan berbasikal sebagai satu budaya," katanya.

Medium tingkat pembangunan

Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Mohd. Shafie Apdal diberi penerangan sewaktu meninjau tapak Pusat Transformasi Luar Bandar Johor di Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA 17 Okt. - Projek Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kulaijaya yang akan beroperasi hujung tahun ini mampu menjadi medium terbaik untuk meningkatkan pembangunan masyarakat sekitar, sekali gus memacu kemajuan Johor dan Malaysia amnya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, RTC Kulaijaya yang dibina di atas tanah seluas 2.4 hektar itu merupakan pusat transformasi kelima selepas Perak, Kelantan, Melaka dan Pahang yang mampu menjana pendapatan lumayan kepada peniaga.

Beliau berkata, pusat sehenti tersebut bukan sahaja boleh meningkatkan taraf hidup rakyat, malah mampu memenuhi tuntutan penduduk terutama golongan belia yang memerlukan bimbingan dalam mencari pekerjaan.

"Keluasan kawasan memang agak terbatas, tapi pusat ini boleh memenuhi keperluan masyarakat setempat kerana dilengkapi segala kemudahan termasuk menempatkan institusi kewangan, keusahawanan, sumber manusia serta pusat latihan kendalian agensi terlibat.

"Apa yang penting, RTC yang dibina dengan kos RM7.2 juta ini mampu mencapai matlamat untuk menjadi pangkalan kepada penduduk sekitar sama seperti RTC lain," katanya selepas meninjau tapak RTC Kulaijaya di sini hari ini.

Menurutnya, RTC bukan sahaja menjadi pusat perniagaan pelbagai barangan bagi penduduk luar bandar, malah turut menyediakan pelbagai jenis kursus terutama melibatkan golongan belia yang berminat dalam bidang keusahawanan.

"Sebagai contoh, menerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), mereka akan memberi bimbingan keusahawanan serta kursus-kursus dalam bidang tertentu, sekali gus meningkatkan keupayaan belia terhadap sektor tersebut," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat