Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
Kerajaan kaji jenama kraf tangan Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT Oleh Shahrinnahar Latib Sharkar Shamsudin (tengah) diiringi Zubair Mohd. Zain mencuba bakatnya melukis batik pada majlis Promosi Kraf Malaysia di East Coast Mall, Kuantan, kelmarin. KUANTAN 5 Okt. - Kerajaan negeri sedang mengkaji menjenamakan semua produk kraf tangan yang dihasilkan di negeri ini dengan satu nama yang dapat membezakan dengan produk negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, nama tersebut akan diputuskan dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Pengarah Kraftangan cawangan Pahang, Datuk Zubair Mohd. Zain. "Sebagai contoh mungkin Pahang Kraf atau Pahang Art, tetapi apa yang penting adalah melambangkan identiti bahawa produk itu dari negeri ini," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Promosi Kraftangan Malaysia peringkat negeri di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini semalam. Turut hadir, Zubair Mohd. Zain. Menurut beliau, pihaknya akan membuat pelancaran dan mengumumkan nama serta logo yang akan digunakan nanti. "Selepas ini, setiap produk kraf tangan yang dikeluarkan daripada Pahang akan mempunyai logo yang melambangkan datang dari negeri ini. "Ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk meningkatkan pendapatan pengusaha kraftangan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi Pahang," katanya. Mengenai cadangan membina perkhidmatan kereta kabel bermula dari Gap iaitu di kaki Bukit Fraser sehingga ke puncak pusat peranginan itu beliau berkata, setakat ini pihak terbabit masih dalam proses menyiapkan pelan pembangunan. "Saya juga ada menerima cadangan untuk tukar daripada kereta kabel kepada kerusi kabel yang lebih efisien di kawasan tersebut. "Ini kerana jarak yang dicadangkan membina kemudahan tersebut adalah agak dekat, maka kerusi kabel lebih baik," katanya. |
Guna dialek Pahang dalam novel perkenal negeri Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT HASHIM Zabidi menunjukkan novel Berkelana yang dihasilkannya menggunakan dialek Pahang di Kuantan, baru-baru ini. KUANTAN 5 Okt. - Penggunaan dialek Pahang dalam novel Hashim Zabidi merupakan antara usaha memartabat dan memperkenalkan negeri ini kepada peminat novel di seluruh negara. Menurut Hashim, karya pertamanya itu diberi sentuhan berbeza berbanding lambakan novel yang kini berada di pasaran. Katanya, bukan sekadar unik dengan penerapan dialek, malah dapat mengekalkan penggunaannya dalam kalangan pembaca yang kebanyakan generasi muda. "Saya berharap dialek Pahang ini akan dapat dikekalkan khususnya kepada generasi muda yang kebanyakannya masih tidak arif dengan bahasa tersebut. "Tambahan pula, dialek tersebut ada banyak dan berbeza di setiap daerah dan menjadikannya unik serta menarik untuk dikongsikan bersama pembaca," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Novel pertama Hashim yang bertajuk Berkelana itu merupakan semi sejarah yang mengisahkan kehidupan masyarakat zaman terdahulu dalam usaha membuka dan mewujudkan kampung di sekitar Pahang Barat. Novel keduanya yang bertajuk Mat Jan masih dalam proses penerbitan turut menerapkan unsur dialek negeri ini dan menceritakan tentang masyarakat desa suatu ketika dahulu. Katanya, beliau turut menyediakan penterjemahan dalam setiap novelnya bagi memudahkan pembaca membuat rujukan dan memahami perkataan loghat yang digunakan. "Saya berharap penggunaan dialek tersebut tidak akan dilupakan sekali gus dapat diteruskan kesinambungannya oleh generasi muda," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |