Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Perlu peka hiasan ayat al-Quran
- Semarak semangat patriotisme sepanjang masa
- PWPK perlu proaktif dalam ekonomi
Perlu peka hiasan ayat al-Quran Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT Oleh HARIS FADILAH AHMAD Nasharuddin Ngah (dua dari kiri) menanda beberapa kesalahan tanda baca dan penulisannya pada hiasan al-Quran dalam Operasi Pemantauan Media Bersama JAIP, Pejabat Agama Islam daerah dan Unit Penguat Kuasa Majlis Daerah Lipis di Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini. KUALA LIPIS 8 Okt. - Umat Islam di negeri ini perlu peka ketika membeli peralatan hiasan dan bahan interaktif yang memaparkan ayat al-Quran berikutan wujud beberapa kesalahan tanda baca dan penulisannya. Penolong Pengarah Penyelidikan Unit Penapisan Media, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Nasharuddin Ngah berkata, walaupun hanya satu tanda bacaan tertinggal atau tersilap, tetapi impaknya besar kerana makna serta sebutan ayat itu akan berubah. "Mereka yang menjual perhiasan berasaskan paparan ayat al-Quran ini juga wajar menyemak dengan bantuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum dipasarkan kepada orang ramai. "Ayat al-Quran ini bukan sahaja dijadikan perhiasan di dinding, tetapi juga akan dibaca oleh setiap orang melihatnya, sekiranya wujud kesilapan sekali gus mengundang maksud berlainan," katanya selepas Operasi Pemantauan Media Bersama JAIP, Pejabat Agama Islam daerah dan Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Lipis, di sini baru-baru ini. Menurutnya, JAIP mengambil berat mengenai perkara tersebut kerana memberi kesan terhadap pengetahuan dan kehidupan umat Islam. Nasharuddin berkata, keadaan tersebut dilihat berleluasa dan kerap ditemui dalam kalangan peniaga menyalahgunakan ayat al-Quran bagi tujuan menarik pelanggan atau melariskan bahan hiasan yang dijual. "Ini termasuk peniaga berkenaan tidak tertib dan tidak bertanggungjawab. Ketika pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan mendapati barangan hiasan termasuk jam yang mempunyai ayat al-Quran diletakkan di lantai dan kaki lima premis. "Selain itu, perbuatan menggantung perhiasan ayat tersebut pada dinding kedai makan dan restoran dalam kalangan pengusaha bukan Islam bertujuan menarik pelanggan Islam juga perbuatan mencemarkan kesucian agama ini dan tidak bertanggungjawab," katanya. |
Semarak semangat patriotisme sepanjang masa Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT MARAN 8 Okt. - Semangat patriotisme dalam kalangan murid serta pelajar sekolah perlu disemarak sepanjang masa bagi melahirkan modal insan yang mampu meneruskan sumbangan kepada negara pada masa depan. Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Pahang, Datuk Yusof Jamaluddin berkata, penerapan nilai jati diri itu perlu supaya generasi muda memahami sejarah negara. "Memahami sejarah negara dapat mengelak mereka terpengaruh dengan pihak tertentu yang cuba mengubah fakta sejarah bagi tujuan kepentingan politik masing-masing," katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah kebangsaan LKTP Jengka 16, di sini baru-baru ini. Katanya, peranan guru dan ibu bapa perlu bagi memperkukuh semangat jati diri kepada generasi baharu dalam menghadapi cabaran hidup akan datang. Menurutnya, semangat cintakan negara dalam kalangan remaja sejak kebelakangan ini semakin luntur mungkin disebabkan terpengaruh dengan pelbagai maklumat di laman sosial dan blog. "Keadaan itu semakin sukar apabila isu dibawa oleh individu yang mempunyai kepentingan politik dipesongkan dan boleh melunturkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda," ujarnya. Katanya, sebuah bangsa yang kuat akan sentiasa mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara dengan apa cara sekalipun. "Semangat cintakan negara ini mesti dididik melalui pemahaman sejarah supaya mereka mengetahui fakta sebenar seterusnya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak," katanya. |
PWPK perlu proaktif dalam ekonomi Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT Nur Hidayah Mohd. Shahaimi (kiri) menyampaikan sumbangan RISDA kepada salah seorang penerima dalam Majlis Kasihi Wanita Pekebun Kecil di Maran, baru-baru ini. MARAN 8 Okt. - Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) diminta proaktif dalam memperkukuh peranan mereka bagi memantapkan institusi keluarga, ekonomi dan kemasyarakatan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Nur Hidayah Mohd. Shahaimi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian berikutan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melaksanakan pelbagai program latihan dan bimbingan kepada golongan itu. Tambahnya, antara program diadakan ialah pengurusan rumah tangga, keusahawanan, pengurusan produk serta kewangan. Menurutnya, penubuhan sebanyak 827 Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) dengan disertai lebih 14,000 ahli di seluruh negara sebagai pemangkin ke arah pemantapan institusi keluarga. "Ahli PWPK perlu keluar daripada imej negatif yang kurang berdaya saing dan perlu membuktikan mereka mampu mengorak langkah menghadapi cabaran mendatang. "Peranan golongan itu akan lebih diperakui jika mereka dapat menjana ekonomi serta melahirkan modal insan berkualiti dalam kalangan anak-anak," katanya. Beliau berucap dalam Majlis Kasihi Wanita Pekebun Kecil dan sumbangan korporat RISDA terhadap empat Sekolah Tahfiz, di sini baru-baru ini. Dalam pada itu, beliau memuji agensi itu kerana tidak mengabaikan generasi muda pekebun kecil berikutan pelbagai peluang diberi untuk mengikuti kursus di Kolej RISDA. Katanya, penubuhan Pelan Strategik Usahawan RISDA (Pestura) mampu memberi nilai tambah dalam meningkat dan memantapkan usahawan pekebun kecil tempatan. "Pekebun kecil wanita dilatih dengan kemahiran dan teknik meningkatkan kualiti produk, pembungkusan, pengurusan kewangan dan pemasaran. "Kemahiran tersebut sangat penting bagi memastikan produk dihasilkan adalah berkualiti dan kompetitif sekali gus meningkatkan hasil jualan mereka dengan lebih baik," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |