{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Pesan politik buat generasi muda

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

DATUK A AZIZ DERAMAN ialah Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia-Kelantan dan AJK GAPENA.

Abad ke-21 adalah abad orang muda sekarang. Dalam tempoh terdekat, Malaysia akan berada di tangan atau di bahu kepemimpinan orang muda. Sewaktu menjelang fajar hari pertama 2020, anak-anak yang lahir pada hari pertama tahun 2000 akan menyambut hari jadi ke-20. Mereka yang lahir 20 tahun sebelum tahun 2000 akan berumur 40 tahun. Pada usia matang itu, ada kalangan mereka sudah berada di barisan kepemimpinan dan pentadbiran negara.

Golongan Pemuda dan Puteri UMNO sekarang tentu mengalami pahit maung berada dan bertarung di gelanggang politik. Mereka yang berada di luar politik atau dalam parti politik yang lain sekalipun masing-masing ikut merasai gelombang kehidupan berpolitik.

Apakah senario politik dekad pertama abad ke-21, antaranya perpecahan umat Islam-Melayu dan perkauman akan terbawa sama dua tiga dekad lagi? Apakah masalah dan isu sikap generasi akan mengubah senario masa hadapan?

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, tahun 2008 majoriti generasi muda tidak memihak kepada kerajaan atau menyokong parti kerajaan. Mereka berada di seberang sana. Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dan UMNO kena memandang serius akan ketandusan pemimpin muda. Mereka merupakan pelapis dan penerus arus perjuangan.

Soalnya bagaimanakah bakat mereka boleh dipupuk sehingga subur sejak peringkat awal lagi. Jika barisan pemimpin muda dikenal pasti daripada awal, maka bakat dan wibawa mereka tidak akan tersia-sia.

Kini orang Melayu tergugat dari semua arah. Secara diam atau nyata ada sahaja ancaman puak-puak tertentu. Para pembesar pula masih tidak menemui formula khusus untuk menanganinya.

Pada saya, Pemuda dan Puteri UMNO sebagai sayap parti hendaklah segera bangkit berjuang seperti para pejuang dahulu. Pemuda sebagai tiang negara dan pemudi harapan bangsa teladankanlah integriti, jauhi jenayah terutamanya rasuah, amalkan ketelusan dan memperagakan keterampilan.

Generasi muda yang berada di luar gelanggang politik, terutama mereka yang berkhidmat di sektor awam, lakukan gerak langkah yang sama, jangan jadi 'Pak Turut'. Lengkapkan diri dengan tahap intelektualisme (yakni ilmu dan pengetahuan) dan rasionalisme (yakni kebijaksanaan, hemah dan hikmah). Kemenangan dan kejayaan akan dapat dicapai melalui kerja kuat dan usaha tanpa kenal penat lelah.

Gerakan politik Pemuda dan Puteri dengan bimbingan pimpinan induk parti, pedoman pergerakan Wanita dan veteran politik mesti memahami pelbagai wawasan, gagasan, dasar, konsep misalnya tentang kenegaraan dan falsafah negara bangsa. Biarlah tertanam subur di jiwa untuk mempertahankan kesucian Islam, jati diri bangsa dan kedaulatan ibu pertiwi.

Hayati aspirasi tonggak-tonggak Perlembagaan dengan kefahaman yang mendalam, misalnya dalam mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, Islam sebagai agama rasmi, bahasa rasmi dan keadilan. Kesemuanya itu adalah hak-hak negara dan jangan dianggap sebagai semata-mata hak Melayu. Konsep sebuah negara kebangsaan mesti dihayati semua.

Sepatutnya tempoh dua dekad pertama abad ini dijadikan misi politik bersama para pemimpin Melayu dan Islam untuk menyatukan perpecahan sesama sendiri. Hasrat merebut kuasa politik dan jawatan tertinggi dalam mana-mana parti sekalipun perlu berlaku dalam konteks adab dan adat.

Mungkin ada orang akan mengatakan mana mungkin hal sedemikian boleh terjadi? Ya kalau sebagai Muslim semua orang berpegang kepada tali Allah dan mengelakkan terjadinya pecah belah, maka di situ perpaduan terserlah.

Apabila politik perkauman, ekstremisme dan cauvinistik nyata kelihatan dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013, agaknya makin banyak disepakati strategi dan taktik orang Cina mengatur langkah untuk menguasai Dewan Rakyat. PRU-14 akan datang menjadi matlamat susulan mereka, menolak calon-calon orang Cina dari parti kerajaan.

PRU-13 semacam menunjukkan orang Melayu, Cina dan keturunan India pembangkang menidakkan gagasan 1Malaysia dan transformasi kerajaan. Jadi apakah 1Malaysia mendapat sokongan orang bukan Melayu? Atau apakah pimpinan politik pembangkang mahukan perpaduan, keharmonian dan kebangsaan Malaysia?

Pada zaman Allahyarham Tun Razak, kita menyaksikan bagaimana banyak peluang diberikan kepada kepemimpinan muda. Tun Dr. Mahathir, Musa Hitam, Tengku Razaleigh antara yang muncul sebagai pemimpin muda yang banyak membawa kekuatan kepada parti dan kerajaan.

Kini, dengan adanya sistem pemilihan kaedah baharu dan transformasi parti, UMNO sebenarnya sudah menyediakan ruang yang sama bagi orang muda menyalurkan khidmat bakti. Parti dan negara boleh terselamat sekiranya penghayatan kepemimpinan zaman Tun Razak diperkembangkan.

Seorang Ketua Pemuda atau Ketua Puteri patut melihat potensi ini, selain membina diri sendiri. Cari seberapa banyak ilmu politik dan cara berpolitik, bandingkan antara politik Melayu dengan kaum yang lain di Malaysia dan lihatlah senario politik global. Proses dan persediaan bagi PRU Ke-14 tahun 2018 bermula dari sekarang.

Orang muda mungkin agresif dalam semua perkara. Dunia makin luas terbuka dan mereka tidak tahu setiap perkara tentang Melayu dan perjuangannya. Mereka kurang pengetahuan tentang kenegaraan.

Politik mereka boleh maju dengan adanya nasihat dan tunjuk ajar para pemimpin terdahulu. Jadi golongan veteran politik jangan sekali-kali ditinggalkan jika kita benar-benar mahu membawa kesejahteraan untuk semua. Pengalaman dan teguran mereka terdahulu itu bak mutiara gemerlapan yang sangat tinggi nilai mutunya yang tidak terdapat dalam mana-mana sumber buku rujukan.

Kadang kala seseorang pejuang boleh bertukar menjadi petualang. Mungkin apabila diri mula dibelit rasa tamak haloba, rakus dan dendam belitan iblis, seseorang itu mudah lupa akan agama, bangsa dan tanah airnya. Pengkhianatan sedikit demi sedikit bercambah dalam diri sehingga membesar menjadi pohon yang tidak menaungi kepentingan agama, bangsa dan negara lagi.

Ada juga yang terjebak dengan nafsu 'buat harta atau kaut kekayaan'. Kerap pula ada kelicikan usaha mendekati pihak berkuasa parti, rela menjadi kuncu-kuncu untuk faedah diri. Maka sebab itu Melayu kehilangan panglima dan wira-wiranya yang hebat.

Risiko pasti ada tetapi politik tidak boleh meminggirkan mereka bahkan perlu disediakan saluran bagi mereka bergerak, tunjangan dana dan moral. Selalunya tidak semua kepimpinan dapat membaca antara yang menyokong dengan menentang bahkan seseorang individu intelek yang kerajaan berikan kemudahan suatu waktu dahulu boleh muncul sebagai penentang yang sangat keras.

Kalau UMNO sudah pun mempunyai Akademi Latihan sendiri, maka program dan kegiatannya mesti diadakan berterusan, bukan sekadar 'ambil ada' atau melepaskan batuk di tangga.

Sungguhpun tahun 2013 tidak sama dengan tahun 1946, tetapi semangat UMNO dan perjuangan Melayu untuk menyelamatkan bangsa dan mempertahankan sebuah negara merdeka menjadi suatu kewajipan dan pegangan yang berkekalan.

Orang Melayu tidak harus merelakan watan Malaysia ini dicerobohi dari dalam atau luar. Jangan biarkan Malaysia menjadi sebuah tanah jajahan lagi sekali dan Melayu pula pupus di dunia.

Adakah kaedah pemilihan sahaja berbeza?

Posted: 15 Oct 2013 11:22 AM PDT

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

WALAU tiada terdengar suara sumbang mempertikai keputusan Pemilihan UMNO peringkat Bahagian dan peringkat exco tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, sebenarnya ada beberapa kekurangan yang boleh diatasi pada masa depan. Sebaik-baiknya jika ada aduan mengenai ketidaktelusan pihak pengendali pemilihan ia hendaklah disiasat mengikut keperluan dengan seberapa segera.

Isu seperti pemilihan exco dari sayap tertentu berpandukan senarai (chai) calon tertentu perlu diperhalusi kerana ia menunjukkan bukan sahaja politik wang perlu ditangani malahan kewujudan senarai yang dianggap legenda kempen tersebut menyebabkan ada calon yang mempunyai potensi diabaikan daripada senarai pemilihan.

Kewujudan kempen melibatkan lebih ramai pemilih memang cantik dan molek demi membasmi politik wang yang begitu popular menjelang pemilihan agung UMNO sejak tahun 1980-an.

Adakah kita mahu menghapuskan politik wang semata-mata demi meningkatkan ketelusan dan menjadikan UMNO lebih menarik ramai orang Melayu dan bumiputera menyertainya?

Sedangkan pada pemilihan baru-baru ini, kita dapat saksikan adakah UMNO semakin terbuka dan berjaya melakukan transformasi atau trend for mercy ( memilih berdasarkan undi kasihan). Lalu mengabaikan aspek keterampilan calon sebagai pemimpin.

Pemilihan kali ini menyaksikan UMNO memberi kebebasan kepada sesiapa yang merasakan diri mereka layak untuk bertanding. Calon Exco Pemuda Pusat menyaksikan hampir 80 orang bertanding tetapi yang hendak dipilih hanya 20 orang sahaja. Maka setelah kempen diadakan dan calon diperkenalkan kepada akar umbi, adakah tercapai konsep keterampilan dengan hanya mengedarkan kad dan tampil ke depan pentas.

Bayangkan pada sesi pengenalan di sebuah negeri ada calon yang mendapat sorakan lebih dan ada yang seperti tidak wujud semasa sesi pengenalan dibuat.

Bayangkan anda datang dari Johor dan menempah tiket ke Sabah untuk sesi pengenalan calon dengan hasrat berkempen, tiba-tiba tiada siapa yang mempeduli kehadiran anda dengan alasan anda bukan budak atau chai sesiapa. Kalau beginilah gayanya maka kempen tersebut semata-mata makan anginlah jawabnya.

Adakah kita Melayu yang mudah lupa, empat tahun lalu (Oktober 2009), perwakilan Perhimpunan Agung Khas UMNO meluluskan pindaan perlembagaan iaitu 146,500 perwakilan bakal menentukan kepemimpinan parti itu.

Serentak pindaan itu, sistem kuota dihapuskan. Sistem kuota yang diguna pakai sebelum ini dilihat antara punca wujudnya amalan rasuah dan lebih memihak kepada individu tertentu terutama penyandang jawatan yang tertinggi.

Penghapusan sistem kuota itu memberi mesej kepada umum bahawa UMNO serius untuk berubah dan memberi ruang sebebas-bebasnya kepada ahli parti untuk memilih pucuk pimpinan mereka daripada peringkat cawangan, bahagian hingga Majlis Tertinggi (MT).

Soalnya bagaimana akar umbi hendak memilih pucuk pimpinan jika mereka hanya kenal nama dan senarai calon yang telah ditetapkan pihak tertentu.

Tidakkah ia memerlukan UMNO kembali mengemukakan resolusi untuk memastikan semua orang mendapat kempen yang adil. Jangan pula kita lupa pemimpin yang akan kita pilih ini yang mungkin akan kita junjung dan berkempen untuknya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak.

Pada masa itu adakah kita ingat rakyat akan memilih mengikut chai pemimpin tertentu. Jangan sampai PRU-13 kembali berulang. Apabila ada pemimpin yang dipilih sebab mereka orang pilihan pihak tertentu maka mereka akan dipilih oleh rakyat. Ia pandangan yang salah dan di Selangor ia telah menjadi badi yang sukar diubati lagi.

Justeru, UMNO perlu melihat kembali adakah memberi mandat kepada akar umbi sebagai satu mekanisme terbaik untuk memilih pemimpin atau sekadar kaedah yang berbeza tetapi hasilnya tetap sama?

Bukan menidakkan kekuatan pemimpin yang menang tetapi lihatlah kepada kekuatan pemimpin yang kalah tetapi tidak mempunyai wadah selesa untuk berkempen kepada para pengundi. Mereka ibarat bernafas dalam lumpur kerana terpaksa bersaing dengan 'orang lama' yang mempunyai kekuatan di segenap penjuru.

Perkara baru memang banyak cacat dan cela tetapi biarlah post mortem yang akan dibuat dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit. Namun jika sampai ada yang menghempas mikrofon seperti berlaku di Kelantan maka Presiden Parti perlu menilai hala tuju kebebasan memilih yang diberi kepada 146,500 perwakilan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat