{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Perigi Portugis sarang maksiat

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanjohor@utusan.com.my

PERSEKITARAN perigi Portugis di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau yang tidak terurus dan didakwa menjadi 'port' pasangan bercinta melakukan perbuatan tidak bermoral.

JASIN 4 Okt. - Kawasan pelancongan Perigi Portugis di Kampung Pengkalan Samak, Merlimau dekat sini kini menjadi tempat pasangan bercinta melakukan perbuatan tidak bermoral.

Keadaan sunyi dan gelap di perigi tersebut menjadi punca banyak pasangan kekasih mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak bermoral di kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa kegiatan gejala sosial itu kerap berlaku sejak setahun lalu sehingga menimbulkan keresahan mereka yang melihat perkara berkenaan kerana boleh memburukkan nama kampung berkenaan.

Selain itu, penduduk turut mendakwa keadaan persekitaran perigi tersebut tidak dijaga dan dibersihkan.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan tersebut juga mendapati pondok rehat dan lampu telah rosak serta dipenuhi sampah sarap dan botol-botol arak yang bertaburan di kawasan semak berhampiran.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lina berusia 28 tahun itu berkata, kebiasaannya kawasan itu akan dikunjungi pelajar sekolah menghabiskan masa melepak pada siang hari.

Katanya, pada waktu malam pula dia sering ternampak sekumpulan remaja bermotosikal dan kereta berada di tempat letak kenderaan di perigi berkenaan.

''Saya pernah terlihat pasangan remaja berkelakuan tidak senonoh, selain menghabiskan masa hingga lewat malam di situ dalam keadaan kawasan yang gelap dan sunyi," katanya.

Lina menambah, kedudukan perigi itu yang terletak lebih kurang 500 meter dari jalan raya dan tersorok daripada orang ramai menjadikan tempat itu sebagai 'port' untuk melakukan maksiat, melepak dan minum arak.

Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Fatimah, 38, berkata, persekitaran perigi kotor dan perbuatan maksiat yang berlaku itu menjejaskan nama kampung berkenaan.

Katanya, ketiadaan kawalan dan penjagaan rapi di tempat bersejarah itu menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan remaja melakukan perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, perigi itu kebiasaannya akan dikunjungi ramai ketika cuti hujung minggu terutama daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), keluarga serta pelancong dalam dan luar negara.

"Kunjungan mereka ke sini adalah untuk melihat Perigi Portugis itu yang mempunyai sejarahnya tersendiri selepas singgah di Makam Tun Teja yang terletak tidak jauh dari sini," katanya.

Fatimah berkata, berkemungkinan kawasan Perigi Portugis yang tidak berpagar dan dilihat sudah lama tidak diselenggara menjadi antara faktor yang mengundang kepada kejadian gejala sosial berlaku.

DUN Belia penuhi keperluan generasi muda

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

MOHAMAD Hasan (tengah) beramah mesra serta menyampaikan sijil tauliah kepada ahli DUN Belia selepas merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia di Klana Resort, Seremban, semalam.

SEREMBAN 4 Okt. - Penubuhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Sembilan membuktikan kerajaan negeri sedar akan keperluan dan kehendak belia agar suara mereka didengari dalam sebarang bentuk pembentukan dasar melibatkan golongan itu di negara ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, penubuhan DUN Belia ini merupakan salah satu landasan yang tepat bagi belia menyuarakan pandangan-pandangan serta idea mereka untuk menjadikan sesuatu dasar itu lebih memberi manfaat kepada generasi muda.

''Menerusi DUN Belia ini nanti, mereka dapat memberikan pandangan serta idea untuk kepentingan golongan berkenaan dan tidak hanya taksub untuk berpolitik semata-mata. Lupakan soal politik dan bincanglah soal hala tuju ke mana nanti belia pada masa depan.

''Kita tidak mahu melihat bahawa belia ini sebagai alat disuruh arah. Kita mahu jadikan mereka mempunyai jati diri, kepakaran dan wawasan dalam membangunkan generasi akan datang mengikut acuan mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Persidangan DUN Belia negeri kali pertama di Klana Resort dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Speaker DUN, Datuk Dr. Awaluddin Said serta Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS), Wan Salwati Abdullah.

Dalam sesi hari ini, sebanyak 36 wakil dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama 30 anggota yang dilantik daripada pelbagai sektor profesional termasuklah perbankan, perubatan, perkilangan dan sebagainya hadir.

Jelas Mohamad, selaku kerajaan, pihaknya juga bersedia untuk menerima sebarang resolusi ataupun keputusan yang akan dikeluarkan oleh DUN Belia untuk diperhalusi bagi dijadikan agenda Rancangan Pembangunan Belia akan datang.

Apatah lagi kata beliau, komposisi belia di negeri ini mewakili 50 peratus daripada pelbagai sektor dan pandangan mereka amat diperlukan dalam merencanakan hala tuju dasar yang boleh memanfaatkan golongan itu nanti.

''Jika kita telah memberikan kebebasan kepada mereka, selaku kerajaan kita tidak perlu takut apa sahaja pandangan yang disuarakan. Mana yang baik, kita akan utarakan dan mana yang tidak, akan perhalusi agar mengikut cita rasa belia.

''Apa guna kalau kita buat sesuatu dasar tetapi gagal untuk mencapai matlamat yang dikehendaki kepada golongan sasar. Kita mahu dengar apa yang ada dalam minda mereka untuk dicanaikan menjadi satu dasar bermanfaat untuk mereka kelak," jelas beliau.

Empat klinik kesihatan baharu bakal dibina dalam RMK-10

Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT

MELAKA 4 Okt. - Sebanyak empat klinik kesihatan baharu akan dibina dan telah siap di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk dimanfaatkan oleh penduduk di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, dua buah yang sudah beroperasi ialah Klinik Kesihatan Tanjung Kling dan Klinik Kesihatan Tengkera.

Menurutnya, dua lagi klinik baharu yang akan dibina ialah Klinik Kesihatan Rembia dan Klinik Kesihatan Batu Berendam.

''Terdapat dua klinik yang dinaik taraf iaitu Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru dan Klinik Kesihatan Ayer Molek," katanya dalam Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Seri Negeri semalam.

Ab. Rahaman (BN-Pantai Kundor) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Ng Choon Koon (BN-Bemban) berkenaan senarai klinik-klinik perubatan yang telah dirancang atau dilaksanakan pada RMK-10.

Menurut Ab. Rahaman, klinik desa yang telah dinaik taraf ialah tujuh dari jenis 2G dan tiga klinik jenis 1G.

Beliau berkata, tujuh klinik desa 2G yang sedang dibina itu dijangka siap tahun ini.

Tujuh klinik tersebut katanya ialah Klinik Desa Telok Mas, Klinik Desa Krubong, Klinik Desa Pantai Kundor, Klinik Desa Tanjung Bidara, Klinik Desa Pulau Sebang, Klinik Desa Nyalas dan Klinik Desa Kesang Dua.

"Tiga klinik desa 1G akan mula dinaik taraf tahun hadapan ialah Klinik Desa Lendu, Klinik Desa Semujuk dan Klinik Desa Ramuan China Besar," jelasnya.

Sementara itu tambahnya, sehingga kini terdapat sebanyak 16 Klinik 1Malaysia (K1M) di seluruh negeri dan empat Klinik 1Malaysia yang baharu bakal dibuka tahun ini.

"Empat K1M yang baharu itu ialah K1M Sungai Udang, K1M Merak Mas (Durian Tunggal), K1M Chenderah (Merlimau) dan K1M Batang Melaka (Jasin)," ujarnya ketika menjawab soalan jumlah K1M yang akan dibuka pada 2013.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat