Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Norizam jadikan sebagai testimoni
- Lahir 30,000 anak celik al-Quran
- Satar punya potensi besar untuk dikomersial
Norizam jadikan sebagai testimoni Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB Norizam Husin (kiri) bersama Rohana Sarman menunjukkan produk Apple Fiber Stem Cell di Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 17 Okt. - Dugaan yang cukup berat silih berganti menghimpit kehidupannya tetapi Norizam Husin, 46, enggan dilemahkan oleh keadaan dan dia berusaha untuk terus menghadapi keadaan sehingga mampu bangkit akhirnya. Ketika usianya 19 tahun, pada hari dia sepatutnya disandingkan, kemalangan meragut seluruh kegembiraaan apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bas, memaksakan terlantar selama sebulan di hospital. Kisahnya itu mendapat sorotan meluas pihak media dan kemalangan tragis itu memaksanya terlantar selama 40 hari di hospital dan pihak doktor mengambil masa 14 jam untuk membaiki wajahnya yang bagaikan dikoyak. Ketika dia singgah di pejabat Utusan Malaysia di sini baru-baru, kami langsung tidak mengenalinya, namun dia mengimbas masa silam itu dengan mengingatkan semula tentang liputan yang saya lakukan ketika itu. Meskipun perkahwinan gadis Kampung Buluh Gading yang membantu emaknya berniaga di pasar lambak itu diteruskan, rumah tangganya berantakan, kebahagiaan musnah dan dia membesarkan lima anak di Kuantan dalam serba kepayahan setelah menjadi ibu tunggal. ''Akhirnya saya diterima bekerja di sebuah syarikat dan pada masa sama, saya berjinak-jinak berniaga dalam jualan langsung untuk membantu menambahkan pendapatan keluarga. ''Awalnya saya malu untuk bertemu ramai orang dengan wajah yang kelihatan buruk tetapi saya telah menemui produk yang telah beransur-ansur menenggelamkan parut dan kesan lebam serta diri lebih cergas," ujarnya. Justeru, katanya, dia ingin menghasilkan produk sendiri dan dirinya sebagai satu testimoni kepada pelanggan, lalu menubuhkan syarikat sendiri, Norlizz Beauty Trading pada penghujung 2011 bagi mengeluar dan memasarkan pelbagai produk kesihatan dan kecantikan. Beliau bersyukur kerana suaminya kini, Saifullizam Abdullah, 39, banyak memberi dorongan dan akhirnya turut memberi tumpuan penuh masa untuk menjayakan syarikat yang diasaskan di Kuantan. ''Saya memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM200,000 dan sekarang sudah mencecah RM600,000 manakala nilai jualan pelbagai produk melalui 13 stokis utama di seluruh negara mencecah sekitar RM100,000 hingga RM200,000 sebulan. ''Pengalaman selama 10 tahun dalam perniagaan ini ditambah dengan latihan dan kursus di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (Mara), di samping bantuan yang disalurkan serta sokongan penuh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu memberikan keyakinan kepada saya," ujarnya. "Produk kami, Apple Fiber Stem Cell yang berlogokan Beta Beauty adalah minuman kesihatan yang dapat mengurangkan berat badan tanpa rasa letih, lesu dan penat, mengatasi masalah selulit dan kulit menggelebeh, menganjalkan kulit, antijeragat serta jerawat," katanya. Beliau menyasarkan produk itu dengan khasiat yang dianggap sukar disaingi di pasaran, mampu mencapai sasaran jualan RM2 juta tahun ini berdasarkan sambutan diterima setakat ini. Katanya, selain itu, syarikatnya turut memasarkan sabun susu beras (pencuci muka), air Alfafal (minuman daun herba), teh pelangsing (Beta Slimix), kopi Beta Gold, jamu berasaskan rempah Beta Up dan sabun basuh, Beta Clean. "Walaupun terpaksa bersaing dengan produk keluaran pelbagai syarikat, dengan harga yang mampu dimiliki, dijangka akan terus mendapat sambutan menggalakkan," katanya. Beliau menyasarkan keseluruhan jualan produk mampu mencecah RM5 juta dalam tempoh beberapa tahun akan datang. ''Ini tidak dapat dilakukan dengan pantas kerana modal pusingan yang masih terhad untuk bekalan stok secukupnya dan menyediakan prasarana sokongan termasuk promosi berterusan," katanya. Sehubungan itu, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk mendapatkan pinjaman bagi menampung sebahagian daripada RM1 juta yang diperlukan. ''Saya pernah jatuh dalam perniagaan ketika masih terlalu baru bertapak. Saya tidak patah semangat untuk berjaya kerana ini bidang yang sememangnya perlu keberanian," ujarnya. |
Lahir 30,000 anak celik al-Quran Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT KUALA TERENGGANU 17 Okt. - Hasrat kerajaan negeri untuk melihat Yayasan Islam Terengganu (YIT) berterusan menyelaras 30,000 kanak-kanak khatam al-Quran setiap tahun mencapai sasaran tahun ini. Pengarah YIT, Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, pada tahun ini, hampir seramai 35,000 kanak-kanak akan mengikuti majlis khatam al-Quran berbanding kira-kira 31,000 orang tahun lepas. "Alhamdulillah, kita telah dapat menunaikan hasrat kerajaan negeri itu dari setahun ke setahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Kamaru Al-Amin berkata, tujuan utama kerajaan negeri itu adalah melihat kanak-kanak prasekolah celik al-Quran dan bidang agama Islam sebelum mereka melangkah ke tahun satu. Beliau berkata, majlis pertama yang akan diadakan pada 26 Oktober ini ialah program khatam al-Quran dalam kalangan pelajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang berumur tujuh hingga 11 tahun melibatkan seramai 23,000 orang. "Sementara program kedua pula ialah majlis khatam Program Pintar al-Quran untuk kanak-kanak tadika YIT, Kemas, Perpaduan Negara dan prapendidikan negeri yang melibatkan seramai 10,805 kanak-kanak berumur antara lima dan enam tahun," katanya. Katanya, majlis tersebut akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak dan dijangka dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. - BERNAMA |
Satar punya potensi besar untuk dikomersial Posted: 17 Oct 2013 10:56 AM PDT Mohd. Sahir Mohd. Nor menunjukkan satar yang siap dibungkus dan sedia untuk dibakar ketika ditemui di gerainya di Kampung Batu Rakit, Setiu, Terengganu, baru-baru ini. SETIU 17 Okt. - Satar dan otak-otak yang merupakan sejenis makanan tempatan yang dijadikan sajian ringan waktu minum petang kini telah menjadi sumber pendapatan kepada pengusaha, Mohd. Sahir Mohd. Nor, 31. Makanan yang dibungkus dengan daun pisang sebelum dipanggang dan dijual di warung atau gerai di pinggir jalan mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan. Mohd, Sahir yang mewarisi pengalaman dan kemahiran kerja bapanya menjadikan perniagaan satar dan otak-otak sebagai sumber pendapat bagi menyara kehidupan keluarganya. Jenama satar, Mohd. Nor Satar cukup terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan penggemar makanan itu. Jenama itu yang diwarisi oleh Mohd. Sahir daripada ayahnya, Mohd. Nor Omar yang meninggal pada tahun 2007. Dengan resipi yang sama dalam adunan pelbagai hasil laut, kelapa dan rempah, Mohd. Sahir, pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal Automotif dari Politeknik Kota Bharu, Kelantan itu meneruskan perniagaan keluarga. Tidak lagi statik di gerai kecil di Kampung Batu Rakit, perniagaan itu mula dikembangkan ke negeri lain apabila turut mengeluarkan produk dingin beku yang boleh disimpan lebih lama dan dijual oleh peniaga, selain keperluan pengunjung dari luar negeri untuk dibawa pulang. Di samping itu, pihaknya juga sedang berusaha untuk menembusi pasaran melalui pasar raya di negeri ini buat permulaan. Mohd. Sahir yang sebelum ini pernah bekerja sebagai Penyelia di Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Dewan Undangan Negeri Batu Rakit menggerakkan usaha ini bersama kakaknya, Norizan, 46, dengan dibantu tujuh pekerja dalam kalangan keluarga. Kini, satar dan otak-otak diperbuat daripada pelbagai jenis ikan dan makanan laut seperti sotong, ketam dan udang bagi memberi lebih pilihan kepada penggemarnya. Menurut Mohd. Shahir, makanan itu semakin digemari oleh orang ramai dari negeri-negeri lain apabila diperkenalkan lebih meluas. ''Awalnya, kami membekalkan dua jenis sahaja iaitu kira-kira 5,000 biji sebulan untuk pelanggannya di Melaka dan Selangor. Tetapi kini telah mencecah lebih 10,000 biji sebulan dan berjaya menembusi pasaran ke negeri-negeri lain," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Mohd. Sahir turut dibantu oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang memberikannya pelbagai khidmat nasihat termasuk aspek pengurusan kewangan, pemasaran, kualiti, pembangunan produk dan mendapatkan persijilan halal. Agensi kerajaan negeri itu juga memberi peluang kepadanya untuk mempromosikan produk melalui tawaran gerai. ''Dengan sumbangan yang dihulurkan oleh YPU ini telah membangkitkan lagi semangat saya untuk mengusahakan makanan secara komersial sehingga saya kadang-kadang tidak terfikir mencari pekerjaan lain lagi. Rezeki kami mungkin di sini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |