{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


ECERDC ubah taraf hidup peserta

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh JAZALY AMRY JAAFAR
utusankelantan@utusan.com.my

rumah-rumah dan projek penanaman sekunder di sekeliling rumah peserta bagi projek agropolitan fasa kedua di Taman Agropolitan Limau Manis, Gua Musang, Kelantan.

GUA MUSANG 24 Okt. - Seramai 271 peserta Projek Agropolitan Rantau Manis di sini berjaya dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan sekali gus mengubah taraf hidup keluarga mereka.

Program yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan itu bermula pada tahun 2009 untuk mengubah taraf hidup miskin tegar kepada kehidupan yang mempunyai masa depan yang cerah dan berpendapatan tetap.

Program yang telah mencapai fasa kedua tersebut melibatkan hasil pertanian koko serta kelapa sawit.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Yaacob (gambar) berkata, peserta yang dipilih untuk menyertai program tersebut rata-ratanya hanya memperolehi pendapatan di bawah RM350 sebulan.

"Alhamdulillah, apabila (peserta) menyertai program ini, mereka mampu menjana pendapatan antara RM1,100 ke RM1,300 sebulan dengan mengusahakan ladang sawit dan penanaman sekunder iaitu koko ditanam dengan keluasan suku ekar di sekeliling rumah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan media ke tapak projek agropolitan berkenaan, kelmarin.

Zulkifli berkata, selain daripada aktiviti pertanian, banyak lagi aktiviti yang melibatkan ahli keluarga peserta juga dijalankan.

"Para suri rumah turut berpeluang menyumbang kepada pendapatan keluarga dengan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ekonomi sampingan seperti menjahit, membuat kuih dan sebagainya.

"Anak-anak peserta program pula berpeluang menyertai program latihan akademik yang dijalankan oleh ECERDC di mana kelas-kelas pemulihan dan sesi-sesi motivasi diadakan untuk membantu mempertingkatkan prestasi akademik anak-anak tersebut," katanya.

Projek Agropolitan melibatkan penempatan semula peserta-peserta yang terdiri daripada golongan miskin ke rumah-rumah baharu dibina oleh pihak ECERDC dengan kesemua mereka diberi latihan dan pekerjaan dalam projek-projek pertanian yang dilaksanakan oleh majlis itu.

Bermula pada 2009, aktiviti utama di Agropolitan Kelantan Selatan melibatkan perladangan kelapa sawit di kawasan seluas 1,490 hektar serta penanaman koko sebagai aktiviti sekunder dan para peserta telah diberi latihan khusus.

Selain rumah, pelaksanaan program agropolitan juga menyediakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai, tadika, surau, dan kedai-kedai untuk mewujudkan sebuah komuniti dalam kalangan peserta dan keluarga.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, projek untuk fasa yang ketiga telah dijalankan dan dijangka siap pada tahun 2015.

"Projek untuk fasa ketiga iaitu pembangunan ladang kelapa sawit seluas 835 hektar telah dijalankan Mei lalu dan pembinaan lagi 300 unit rumah dijangka siap sepenuhnya awal 2015.

"Bagi penanaman koko pula, kita akan jalankan pada pertengahan tahun 2014," katanya.

Pada masa yang sama, ECER turut membantu golongan usahawan di negeri ini dengan menyediakan pelbagai program sejajar dengan tujuan penubuhannya untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.

Untuk itu, Program Pembangunan Keusahawanan ECER (EEDP) telah dilancarkan pada tahun 2011.

Objektif utama EEDP adalah untuk menjadikan industri kecil dan sederhana (IKS) serta pelaburan bumiputera sebagai kumpulan sasaran ke arah membantu mereka mengembangkan perniagaan dan meningkatkan hasil pendapatan perniagaan.

Program itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu dengan kerjasama Agro Bank (EEDP-Agro Bank) dan SIRIM (EEDP-SIRIM).

EEDP-Agro Bank menjuruskan tumpuan kepada bantuan pembiayaan kepada para usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat membangun dan mengembangkan perniagaan.

Melalui program itu, pembiayaan diberikan kepada usahawan berkelayakan dengan kadar faedah pinjaman yang lebih rendah kerana sebahagian daripada faedah tersebut ditanggung ECERDC.

Pembiayaan kepada usahawan mikro adalah sebanyak RM50,000 manakala untuk usahawan IKS sehingga RM250,000 dengan tempoh pembayaran balik pinjaman selama 96 bulan.

Sehingga kini, seramai 552 usahawan seluruh ECER telah terpilih menyertai program EEDP Agro Bank dengan Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 230 usahawan, Pahang (204), Kelantan (102) dan Mersing, 16 usahawan.

Program EEDP-SIRIM pula dirangka khusus untuk membantu pembangunan dan bimbingan usahawan sedia ada di wilayah ECER yang berhasrat mengembangkan perniagaan mereka.

Pendekatan ini merangkumi aspek-aspek pengurusan kewangan, pembangunan produk, pemasaran, penyelidikan, pensijilan halal, kawalan peningkatan kualiti dan pembungkusan.

Seramai 28 peserta berjaya meningkatkan hasil jualan mereka melebihi 25 peratus sebulan dan kesemua produk itu berjaya didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

ECER telah membuktikan bahawa mereka telah memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan ekonomi di wilayah Pantai Timur.

Terima teguran dengan terbuka

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my

Farida Mohd. Ali (tiga dari kanan) bersama sebahagian pemenang pembentangan kategori lisan dan poster bagi Konvensyen Jaminan Kualiti Peringkat Kebangsaan Ke-7 2013 di Dewan Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Kota Bharu, Kelantan, semalam.

KOTA BHARU 24 Okt. - Pegawai dan kakitangan perkhidmatan kesihatan dari semua peringkat digesa bersikap terbuka kepada sebarang teguran dan perasaan tidak puas hati yang dilontarkan masyarakat kepada mereka.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Farida Mohd. Ali berkata, selaku penjawat awam, mereka sewajarnya perlu sentiasa bersedia mendengar masalah yang dibangkitkan tanpa mengira latar belakang.

Beliau berkata, isu pelanggan atau pesakit terpaksa menunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan dan rawatan di perkhidmatan kesihatan adalah antara perkara penting yang mesti difikirkan jalan penyelesaian.

"Saya sendiri pernah turun padang dan turut merasai masalah menunggu terlalu lama yang merupakan isu popular di hospital negara kita.

"Jawapan yang diberi pihak hospital kadang-kadang ada kewajaran tetapi bagi saya kita boleh buat teguran dan betulkan keadaan, jangan kita hanya menutup mata sahaja.

"Jangan kecil hati atau marah apabila menerima kritikan, saya gembira kalau ada teguran kerana dapat tahu ada perkara yang tidak betul berlaku, jadi kita boleh buat sesuatu daripada kita tidak tahu dan mereka atau rakyat di luar sana yang menanggung sengsara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutup Konvensyen Jaminan Kualiti Peringkat Kebangsaan Ke-7 2013, 'Transformasi Sistem Kesihatan - Meletakkan Kualiti Di Barisan Hadapan' di Dewan Auditorium, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Kelantan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Maimunah A.Hamid.

Farida juga mengingatkan agar kesemua 250,00 warga Kementerian Kesihatan mengubah sikap diri dan organisasi dalam membuat tindakan bagi memastikan penyampaian sistem kesihatan berkualiti yang berterusan.

Dalam pada itu, katanya, beliau menaruh keyakinan peruntukan untuk sektor kesihatan dalam pembentangan Bajet 2014 esok bakal bertambah daripada jumlah RM19.3 bilion yang diterima tahun ini.

"Sungguhpun kenaikan adalah banyak tetapi sebenarnya dari segi nilai perbelanjaan yang kita tanggung dari tahun ke tahun adalah lebih tinggi daripada peningkatan yang kita dapat.

"Saya berharap kita terus pastikan perbelanjaan berhemah iaitu mengutamakan nilai untuk wang dan menumpukan kepada keberhasilan," katanya.

Pada majlis penutup konvensyen tersebut, Farida menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada barisan pemenang pembentangan kategori poster dan lisan iaitu wang tunai berjumlah RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga.

Kategori pembentangan poster telah dijuarai kumpulan pembentang dari Hospital Tengku Fauziah, Hospital Pulau Pinang (kedua) dan Hospital Selayang (ketiga) manakala kategori lisan pula dimenangi Hospital Tengku Ampuan Afzan selaku juara, Hospital Tuanku Jaafar (kedua) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (ketiga).

RM2.5 juta bangunkan tanaman kelapa matag

Posted: 24 Oct 2013 12:04 PM PDT

BACHOK 24 Okt. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta dalam usaha membangun dan mengembangkan tanaman kelapa matag di negara ini mulai tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Sabtu Slamat berkata, tanaman kelapa berkenaan berupaya menghasilkan pendapatan tiga kali ganda berbanding kelapa biasa sekiranya diusahakan menerusi amalan dan teknologi pertanian yang betul.

Menurutnya, berdasarkan kajian bahagian penyelidikan pertanian, sehektar tanaman kelapa matag mampu menghasilkan pulangan sebanyak RM20,000 setahun berbanding hanya RM5,000 kelapa biasa.

"Ia adalah spesies pokok yang cepat berbuah dengan kualiti hasil yang tinggi pastinya merangsang pendapatan petani berbanding pokok kelapa yang lambat berbuah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Khemah Kerja dan Hari Peladang peringkat negeri Kelantan di Kampung Melawi di sini hari ini.

Lebih 100 petani dari seluruh jajahan menyertai upacara itu yang turut disertai Pengarah Pertanian Kelantan, Ab. Lah Ismail.

Sabtu berkata, kelapa baka baharu hasil kacukan benih Malaysia-Filipina itu boleh dikomersialkan untuk membuat kuih-muih termasuk perusahaan jeli kelapa dan santan yang bermutu tinggi.

Setakat ini, katanya, terdapat juga pengusaha yang turut mengusahakan penghasilan benih dan memasarkannya di pasar tani seluruh negara.

"Pada tahun 2017, disasarkan kita dapat membekalkan benih kelapa mencukupi bagi permintaan petani yang bercadang mengusahakannya secara besar-besaran.

"Bagi mencapai matlamat itu, kawasan seluas 70 hektar di Kampung Leking, Johor sudah dikenalpasti sebagai ladang pengeluaran benih terbesar di negara ini," katanya.

Sabtu berkata, pada masa ini kementerian memberi tumpuan yang lebih yang membabitkan negeri Perak, Johor, Selangor dan Kelantan.

Di Kelantan, katanya, kawasan seluas 60 hektar sedang diusahakan dengan tanaman itu bagi menggantikan kelapa Malaysia Tall (kelapa biasa) di pesisiran pantai di Kampung Melawi yang membabitkan tiga fasa bermula 2011.

"Jabatan Pertanian Kelantan memperuntukkan sejumlah RM240,000 bagi menjayakan projek tanaman ini yang dapat memberi faedah kepada 160 petani," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat