Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI Aksi Mohd. Khairul Nizam Che Rani yang membuat pertunjukan bermain dengan ular tedung selar sempena Pameran Haiwan Berbisa 2013 di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 28 Okt. - Kehadiran haiwan berbisa dalam kehidupan manusia seolah-olah tidak boleh dipisahkan bahkan sering dikaitkan dengan pelbagai pantang larang orang dulu-dulu. Ada yang bercerita, jika wanita sedang hamil bertemu ular, dia tidak boleh membunuhnya kerana bimbang anak terkena 'badi' manakala ada juga yang mengaitkan jika bermimpi dipatuk ular, ada pihak mahu masuk meminang. Pelbagai persepsi masyarakat terhadap haiwan berbisa ini termasuk kala jengking dan labah-labah membawa gambaran menakutkan tetapi pada masa sama, ada menganggap ia haiwan eksotik dan sangat manja serta sesuai dipelihara. Lazimnya, masyarakat lebih banyak didedahkan dengan bahaya yang menanti sekiranya terserempak dengan haiwan itu tanpa menyedari ada sisi menarik lain untuk dibicarakan tentang keunikannya termasuk dari sudut perubatan. Mengambil inisiatif bagi memberi pengetahuan ilmiah kepada masyarakat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) kembali menganjurkan Pameran Haiwan Berbisa dengan pelbagai kegiatan sampingan termasuk persembahan penjinak ular, bermula dari 21 Oktober lalu sehingga 31 Disember ini. Ini merupakan sebahagian daripada langkah mengubah persepsi bahawa muzium sekadar gedung menyimpan dan mengetengahkan barangan purba dan bersejarah, sekali gus meningkatkan daya tarikan umum. Sewaktu pertama kali dilakukan pada 2010, pameran ini telah mendapat sambutan hampir 90,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri selain memberi 'nyawa' kepada pihak muzium. Dengan sasaran menarik 100,000 pengunjung, pada pameran kali ini, sebanyak 200 spesies haiwan berbisa dipamerkan termasuk 11 spesies ular dari luar negara seperti ular orok-orok, spitting cobra, timber rattlesnake dan lain-lain. Penolong Pengarah Sumber Alam dan Ekonomi LMNT, Zakaria Abdul Hadi berkata, pihaknya membuat kelainan apabila membawa ular yang tidak dapat ditemui di negara ini seperti orok-orok selain spesies ular tempatan seperti ular tedung, ular senduk, ular katang tebu dan ular air. "Kami memberi peluang pengunjung melihat spesies ini dari dekat selain mengetahui habitat serta kaedah untuk merawat jika terkena patukan atau gigitan melalui maklumat yang disediakan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Jelas Zakaria, pameran dibahagikan kepada beberapa segmen bermula dengan haiwan berbisa daripada jenis keluarga ular sebelum pengunjung dihidangkan dengan pelbagai haiwan berbisa lain seperti kala jengking serta spesies labah-labah termasuk tarantula yang digeruni. Pengunjung kemudian bukan sahaja berpeluang melihat haiwan akuatik berbisa yang biasa dilihat pada habitat di sekeliling penempatan seperti ikan keli, ikan depu serta ikan dengkis, malah yang jarang dilihat seperti landak laut, pari, obor-obor berwarna-warni serta ikan-ikan kecil yang juga boleh membawa maut jika terkena bisanya. Selain itu katanya, pengunjung boleh melihat secara dekat pelbagai spesies haiwan berbisa yang diawet dalam botol bagi tujuan pengambilan bisa serta kajian serta turut dipamerkan rangka tulang ular yang jarang dapat dilihat. Segmen terakhir pula menampilkan pelbagai jenis serangga berbisa seperti lebah, tebuan dan penyengat. |
Pengunjung pameran terhibur, tambah ilmu Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Pengunjung gembira hadir melihat Pameran Haiwan Berbisa 2013 di Kompleks Muzium Negeri Terengganu Kuala Terengganu, baru-baru ini. KUALA TERENGGANU 28 Okt. - Para pengunjung Pameran Haiwan Berbisa di sini menyifat pameran berkenaan amat menghiburkan di samping dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai pelbagai kehidupan di muka bumi ini. Khairul Anwar Rusli, 29, bersama isterinya, Naziyanti Abdul Rahman, 29, dari Bangi, Selangor memberitahu, lawatan ke pameran berkenaan menjadikan percutian bulan madu mereka lebih menarik. "Kami ke sini untuk berehat, namun dimaklumkan pihak pelancongan ada pameran ini, jadi, kami tidak melepaskan peluang memandangkan saya gemar melihat haiwan-haiwan berbisa," jelasnya. Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli 2, Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Harun, 15, berkata, melihat pelbagai haiwan berbisa di muzium berkenaan adalah pengalaman menyeronokkan. "Jika sebelum ini, biasa lihat ular yang ada dekat kampung-kampung sahaja tetapi hari ini dapat tengok ular dari luar negara yang lebih agresif selain saya dapat menyentuh ular sawa ketika persembahan ular yang diadakan," ujarnya. Seorang lagi pelajar, Nor Adilah Abd. Rahman, 15, berkata, kunjungan ke pameran tersebut memberi banyak ilmu pengetahuan kepadanya. Pameran dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang manakala hari Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan 3 petang hingga 5 petang manakala persembahan penjinak ular diadakan pada hari Sabtu hingga Khamis. Harga tiket ialah RM2 dan RM5. |
Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Oleh RADHUAN HUSSAIN KUALA TERENGGANU 28 Okt. - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memohon kerjasama semua pihak agar tidak lagi membawa masuk 'saudara baru' beramai-ramai dari luar Terengganu bagi memeluk agama Islam di negeri ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Rozali Ismail berkata, langkah itu bagi mengelak berlaku masalah penjagaan dan kebajikan berterusan terhadap golongan mualaf tersebut memandangkan mereka bukan berasal dari negeri ini. Beliau yang juga Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu memberitahu, sebaliknya, pihak berkenaan sepatutnya mengambil inisiatif melakukan usaha murni itu di negeri masing-masing bagi mengelak timbul kesulitan. "Adalah lebih baik kita ambil mereka yang dari Terengganu untuk masuk Islam di sini, tak perlu bawa orang luar Terengganu untuk memeluk Islam di sini," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Wacana Pemantapan Akidah - Mendepani Ancaman Kristianisasi, Liberalisme dan Syiah di Wisma Darul Iman di sini semalam. Mohd. Rozali tidak menafikan ada sesetengah mualaf yang bertindak kembali kepada agama asal atas beberapa faktor termasuk menjadi mangsa ugutan selain dipulau keluarga. Menurutnya, berdasarkan rekod, purata antara 90 hingga 100 orang setahun memeluk agama Islam di negeri ini dan ada kalangan mereka yang merupakan warga Myanmar, Filipina dan Thailand. Dalam pada itu, katanya, Maidam memperuntukkan kira-kira RM8 juta setahun bagi keperluan golongan asnaf mualaf di negeri ini. Beliau memberi jaminan pihaknya tidak akan mengabaikan golongan mualaf di negeri ini bagi mendapatkan bantuan dari segi kebajikan perubatan dan keperluan lain. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |