Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Fathia, Miera teruja di Uzbekistan Posted: Fathia, Miera teruja di UzbekistanKHAIRUL AMRI HASSAN SINAR mentari tidak pernah lekang daripada pandangan mata sepanjang tujuh hari berkampung di ibu kota yang paling padat penduduk, Tashkent, Uzbekistan. Benar, jadual yang padat bagi meraikan Minggu Kesenian Style.Uz dan Forum Filem Antarabangsa Tashkent bermula 19 hingga 24 Oktober lalu bagai tidak terasa penatnya. Hal yang sama diakui sendiri oleh pelakon filem Pecah, Miera Leyana yang pertama kali menjejakkan kaki di bumi bertuah Uzbekistan. "Cuaca yang menyamankan telah membuatkan kita lupa sebentar hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur. Walaupun matahari bersinar sepanjang masa, udara sejuk yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengubat tekanan bekerja tanpa henti sepanjang tahun ini," tutur Miera sambil menghirup secangkir teh tradisional di sudut hotel yang dinamakan chaikhana. Sambil melontarkan pandangan ke laluan Jalan Dedeman, menyaksikan pejalan kaki pulang usai bekerja lewat pukul 6 petang, tambah Miera, ketenangan sebegini yang selama ini sering dicari-cari olehnya untuk bersantai, berehat dan bermuhasabah sejenak. "Lihat sahaja seni bina Islam di tengah-tengah pusat bandar, contohnya Kompleks Hizrati Imam, sudah membuatkan hati tersentuh dek keagungan dan kemasyhuran perkembangan Islam sekitar abad ke-15 dulu. "Unik, gah dan menyimpan sejarah menarik untuk diterokai sebenarnya. "Alangkah indah kalau saya diberikan lebih banyak ruang masa untuk meneroka segenap isi ruang kota ini," ujar pemilik nama sebenar Miera Leyana Kasmi, 21.
Penerbangan menaiki Uzbekistan Airways mengambil masa kurang lapan jam dari kota Kuala Lumpur dan sela masa waktu tempatannya cuma lewat tiga jam. Ironi Uzbekistan digelar City Of Sun memandangkan sang mentarinya tidak pernah segan-silu menampilkan diri sepanjang tahun biarpun peralihan musim. Kata Miera, dia dimaklumkan oleh penduduk tempatan bahawa panorama pada musim salji sekitar yang bakal menyusul pada bulan Januari tidak lama lagi, sangat menakjubkan. "Bayangkan, masjid serta madrasah di sini yang berwarna coklat bakal dilitupi salji putih sepanjang musim sejuk nanti. Ketika itu, kata penduduk di sini, pemandangannya sungguh luar biasa," kongsi Miera. Meskipun sukar pada mulanya untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan penduduk tempatan terutama ketika berjual beli memandangkan kebanyakan mereka menggunakan bahasa Uzbekistan dan Rusia sebagai perantara, perkara itu menjadi 'alah bisa tegal biasa'. "Mula-mula memang sukar untuk berkomunikasi kerana mereka tidak mahir menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara melainkan pelajar yang menuntut di universiti di sini. "Namun, lama-kelamaan apabila sering menggunakan isyarat badan, perkara itu bukan alasan untuk tidak membeli-belah di sini. "Perkara yang menarik perhatian saya adalah cenderamata dan fabrik kapas yang ditenun cantik di sini. "Coraknya seakan-akan sama dengan kain pua kumbu dari Sarawak tapi motif dan warnanya lebih meriah dan terang membezakan fabrik-fabrik di sini," katanya.
Cuaca nyaman Tarik perhatian Sempena acara karpet merah Forum Filem Antarabangsa Tashkent yang berlangsung pada 19 Oktober lalu, Miera dan Fathia diberikan kesempatan mewakili Malaysia dan negara di Asia Tenggara untuk melewati permaidani acara paling berprestij itu. Menariknya, Miera dan Fathia masing-masing berjaya mencuri tumpuan beberapa produser dan selebriti terkenal Uzbekistan dan Rusia untuk disunting membintangi karya terbaharu mereka. Miera telah ditawarkan untuk mendukung peranan utama dalam sebuah filem berjudul Jealous arahan Said Muxtozor, seorang pengarah dari Rusia yang akan memulakan penggambaran tahun depan. Fathia pula mendapat perhatian luar biasa daripada selebriti tempatan yang menyangka dia adalah sebahagian penduduk tempatan Uzbekistan, selain ditawarkan untuk tampil dalam sebuah klip video penyanyi tersohor negara itu, Atarbek Dotsent Maxashev yang akan menjalani penggambaran di Kuala Lumpur. "Ini kali kedua saya menjejakkan kaki ke Uzbekistan. Kali pertama ketika festival Asrlar Sadosi pada bulan Mei lalu dan situasi yang sama berlaku kepada saya. Mereka tetap anggap saya penduduk tempatan Uzbekistan. "Sampailah saya perlu menerangkan kepada mereka bahawa saya berasal dari Malaysia dan tidak boleh bercakap bahasa Uzbekistan, kemudian barulah mereka mula bertanyakan asal-usul saya," cerita pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff, 25, bersungguh-sungguh. Makam bersejarah Melihat pada faktor sosiobudaya dan ekonomi penduduk di Uzbekistan, kata penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, ia tidak jauh berbeza dengan Malaysia. "Uzbekistan adalah sebuah negara Islam yang membangun lebih kurang Malaysia juga, mereka ada kawasan perkampungan dan bandar yang sedang pesat membangun. "Cuma yang berbeza daripada kita adalah budaya, cara hidup, pemakaian, dan makanan mereka. Negara ini banyak menghidangkan makanan berasaskan sayuran dan buah-buahan. "Daripada saya seorang yang bukan penggemar sayuran tiba-tiba menjadi pencinta sayur. Malah, hidangan di sini juga mempunyai rasa yang berbeza dan lebih rasa rempah-ratusnya," kata Fathia yang menggemari hidangan seakan Nasi Bukhari yang diberi jolokan Bloaf.
Delegasi juga dibawa melawat ke wilayah sebelah barat Uzbekistan iaitu Samarkand menggunakan penerbangan domestik yang mengambil masa 45 minit dari Tashkent. "Samarkand menyimpan sejarah dan rahsia lampau yang sangat unik. Di sini terletaknya makam pahlawan paling disegani di Uzbekistan, Amir Temur serta makam perawi hadis dan sahabat Rasulullah SAW, Imam Bukhari. "Syukur Alhamdulillah saya diberikan peluang untuk melawat ke lokasi-lokasi ini. "Cantiknya tempat ini memang sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata, malah ketika lawatan hati tiba-tiba menjadi sayu dan sebak," ujar Fathia. Benar kata orang, jauh berjalan luas pengalaman. Umpama sebuah hikayat suatu ketika dulu yang semakin lama disimpan semakin tinggi nilainya, begitu juga darjat sebuah pengalaman. Manis, menyentuh hati dan merengkuh emosi. Itulah uniknya Uzbekistan! | |||
Posted: Barbie 'hidup' di MalaysiaPEMENTASAN Barbie dipersembahkan dengan aura moden yang penuh elegan. NOSTALGIA indah. Pementasan ala teater patung Barbie dan rakan-rakannya selama hampir dua jam di Amphitheatre, Sunway Lagoon dilihat mampu mengimbau kembali zaman kanak-kanak, khususnya golongan wanita yang inginkan sedikit hiburan yang berlainan pada hujung minggu ini. Acapkali teman lelaki membawa teman wanita serta ibu bapa membawa anak-anak mereka berjalan pada hujung minggu ke tempat yang klise seperti pusat membeli-belah, menonton wayang, taman rekreasi dan tempat yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Apa yang pasti, mereka mempunyai pilihan yang lebih unik pada minggu ini kerana sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-19, Galaxy Group telah menerbangkan khas dan buat pertama kalinya, Barbie Live! Musical Show ke Malaysia. Persembahan penuh muzikal tersebut bermula dengan sorakan lebih 1,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Amphitheatre, Sunway Lagoon yang terletak di Subang Jaya itu. Barbie Live! Musical Show dimulakan dengan set berlatar belakang dan bertemakan pentas muzik Hollywood yang mana Barbie dan rakan baiknya, Teresa sedang rancak membuat latihan sebelum menjalani pengambaran filem baharu lakonan mereka. MENARIK... Tarian tradisional yang ditarikan oleh Barbie dan pasangannya sambil diiringi para penari latar. Plot dikembangkan dengan Teresa digambarkan sebagai mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah dan tidak percaya akan bakat serta keupayaan lakonannya. Barbie lalu membantu Teresa dengan menayangkan beberapa cakera padat video (VCD) lakonannya yang terkenal seperti Swan Lake, Princess and the Popstar dan Maripos & Fairy Princess dengan harapan sahabat baiknya itu dapat mengambil pengajaran dan moral yang tersurat serta tersirat dalam cerita-cerita tersebut. Pelbagai cabaran dan dugaan yang menarik ditempuh oleh Barbie dan Teresa sepanjang tempoh tersebut supaya Teresa dapat peroleh kepercayaan diri sambil mengukuhkan tali persahabatan yang terjalin antara mereka. Pementasan yang berbentuk muzikal ini dimainkan dengan penuh warna-warni serta tidak mengecewakan penonton yang hadir menonton dengan niat untuk bergembira dan bersantai bersama orang tersayang Selain itu, pelbagai jenis lagu dipersembahkan secara langsung oleh para pelakon dengan penuh keceriaan dan antara yang mendapat perhatian penonton seperti Rise Above it All, Be A Friend dan Look How High We Can Fly. Tarian juga memainkan peranan yang penting dalam pementasan ini dan babak yang paling mengujakan adalah ketika mereka menari sambil menyanyikan lagu Get Your Sparkle On. Pementasan ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama diselitkan empat babak berasingan seperti The Rehearsal, Swan Lake, Barbie's Dressing Room dan Mariposa. TARIAN moden yang dipersembahkan oleh para pelakon sangat bertenaga. Bahagian kedua mempunyai dua babak seperti Outside & Inside Barbie's Dressing Room. Hampir 60 peratus yang datang menyaksikan pementasan pada malam pembukaan itu merupakan kanak-kanak bawah 12 tahun. Sesungguhnya terdapat senyuman kepuasan pada wajah mereka ketika persembahan itu tiba ke penghujung. Bagi penggemar watak patung comel ini dan berniat untuk melihat sendiri bagaimana kesudahan cerita yang penuh menarik itu, masih boleh mendapatkan tiket di Kaunter Tiket Galaxy di Boulevard, Mid Valley atau Sungai Wang Plaza dengan segera kerana persembahan yang julung-julung kali dianjur dan dipentaskan di Malaysia selama enam hari bermula 29 Oktober lalu itu akan berakhir pada 3 November ini (Ahad). Selain itu, tiket yang berharga RM93 hingga RM303 itu juga boleh dibeli melalui laman sesawang, www.ticketcharge.com.my. Untuk informasi lebih lanjut, sila hubungi Galaxy Group di talian 03-2282 2020 atau layari laman web www.galaxy.com.my. | |||
Wajah anak angkat Almy mirip Fizz Posted: Wajah anak angkat Almy mirip FizzOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA Fizz yang kelihatan mesra bersama Nur Afrina yang memanggilnya dengan gelaran papa. RAMAI yang terkejut apabila pelakon Fizz Fairuz memberitahu bakal berkahwin dengan bekas kekasihnya, pelakon Almy Nadia. Malah, ramai juga yang mempertikaikan tindakan Fizz, 34, berkahwin dengan Almy, 27, selepas apa yang telah dilakukan pelakon filem Nur Kasih itu terhadap Almy. Bahkan, ada juga yang pelik kenapa Almy sanggup menerima Fizz kembali selepas lelaki itu mengambil keputusan bertunang dengan wanita lain. Bagaimanapun, ada sumber yang memberitahu Kosmo!, keputusan Fizz mahu berkahwin dengan Almy kerana mereka sudah mempunyai cahaya mata. Cahaya mata yang dimaksudkan sumber itu ialah anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya, 4. Sumber itu juga mendakwa, wajah kanak-kanak perempuan itu juga persis muka Fizz. Terkejut dengan berita tersebut, Kosmo! segera mendapatkan kenyataan kedua-dua pelakon itu. Kosmo!: Ada yang mendakwa bahawa anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya merupakan anak sebenar kalian. Benarkah? FIZZ: (Terkejut). Nur Afrina itu memang anak angkat Almy. Dia tiada kena-mengena dengan saya. Bagaimanapun, ketika hendak mengambil anak angkat dulu, Almy pernah memberitahu saya. Namun, segala proses pengambilan semuanya diuruskan oleh Almy. Budak itu juga diambil Almy sejak bayi lagi. ALMY: Saya rasa sangat kelakar. Kalau betul apa yang didakwa, pergilah selidik semua hospital ada atau tidak nama Almy melahirkan anak. Tolong jangan ragui status anak angkat saya. Saya ambil dia (sebagai anak angkat) sejak 27 April 2010. Ada yang mendakwa Almy pernah menghilangkan diri selama setahun lebih kerana mengandung? Sila komen. ALMY: Sebenarnya saya tidak hilangkan diri. Ketika itu saya masih berlakon, cuma mungkin orang tidak perasan sebab saya hanya muncul untuk RTM sahaja. Ketika itu juga saya akui berat badan naik tetapi bukan disebabkan mengandung. Adakah Almy terkejut dengan dakwaan tersebut? ALMY: Saya tidak terkejut. Saya sudah bersedia sejak awal lagi dengan dakwaan seperti ini. Sebelum ini lagi ramai yang pernah meragui status anak tersebut. Malah, ramai juga yang beritahu muka Nur Afrina lebih kurang sama dengan Fizz apabila saya memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram. Bagaimanakah hubungan Fizz dan Nur Afrina? FIZZ: Hubungan saya dengan dia (Nur Afrina) baik. Dia juga panggil saya papa dan hadir ke sambutan hari jadi saya pada 22 Oktober lalu. Kami mulai rapat sejak tiga bulan lalu. ALMY: Mereka menyanyangi antara satu sama lain. Malah, Nur Afrina sendiri sudah menganggap Fizz bapanya dan memanggil dia papa. FIZZ menyatakan yang dia akan merisik Almy Nadia pada minggu depan. Apakah yang dimaksudkan oleh Fizz bahawa Nur Afrina menganggap anda sebagai bapanya? FIZZ Sebelum ini dia tidak mempunyai bapa. Tiba-tiba dapat kasih sayang seorang bapa. Itu yang dia seronok dan anggap Fizz sebagai bapanya. Apakah perkembangan terbaharu majlis perkahwinan kalian? Sudah ada tarikh? FIZZ: Buat masa ini belum ada sebarang tarikh kahwin. Namun, saya akan merisik Almy pada minggu depan dengan membawa sebentuk cincin. ALMY: Saya tetap tidak mahu memberi sebarang kenyataan selagi majlis belum berlangsung. Bila sudah selesai, Fizz sendiri akan memberitahu perkara selanjutnya. Biar dia sahaja yang bersuara. Sudah buat sebarang persiapan perkahwinan? FIZZ: Saya menyerahkan semuanya kepada keluarga. Mereka yang menguruskan perkahwinan kami. Apakah perasaan Fizz apabila hubungan kalian akan berakhir di jinjang pelamin? FIZZ: Ada orang cakap yang saya ini sudah ludah jilat balik. Bagi saya, tutup buku lama dan buka buku baharu. Kita hanya merancang dan ia juga bergantung pada jodoh. Kenapakah hanya anda sahaja yang memberi kenyataan tetapi Almy pula menutup mulut? FIZZ: Saya sendiri yang beritahu dia jangan buka mulut sebab takut bercanggah kenyataan pula. Beralih pada soalan lain, apakah perkembangan anda dalam bidang seni? FIZZ: Saya telah berhenti berlakon seketika hingga 5 Januari depan kerana ingin memberi tumpuan pada Akademi Fantasia 2013 (AF2013). Pada masa yang sama, saya juga sedang sibuk dengan program Liga Lawak Superstar. Sekarang ini juga saya sedang membina badan untuk watak saya iaitu Super Bro dalam filem Cicak Man 3 yang akan menjalani penggambaran pada awal tahun depan. ALMY: Dalam dua bulan lagi saya akan kembali dengan perniagaan saya iaitu karipap sejuk beku. Saya juga sedang menjalani penggambaran drama untuk RTM berjudul Gadis Saza. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |