Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Amy, Bunkface buru peluangKOLABORASI antara dua entiti muzik yang datang dari latar generasi berbeza bukanlah dianggap asing dalam dunia hiburan tempatan. Sementelah, jika karya-karya yang dihasilkan melalui kolaborasi tersebut mendapat saluran promosi yang betul dan menerima sambutan hangat daripada para peminat. Itulah yang diharapkan oleh penyanyi rock legenda, Amy Search, 55, selepas dia menyatakan persetujuannya untuk bergabung suara melalui single Rentak Laguku bersama band indie popular, Bunkface yang dianggotai Ahmad Farhan Hashim (Paan), Farouk Jaafar (Youk) dan Shamsul Anuar Mohd. Baharom (Sam). Menurut Amy, band baharu seperti Bunkface perlu diberi peluang sama rata untuk menunjukkan bakat yang mereka ada supaya sesuatu luar biasa dapat diberikan kepada para peminat. "Kebanyakan stesen televisyen kurang membuka peluang kepada band-band indie untuk menonjolkan bakat, lebih-lebih lagi dengan lambakan artis (program) realiti yang dihasilkan stesen televisyen tertentu saban tahun. "Apabila hanya sesetengah artis sahaja kerap muncul, mereka yang berdiri sendiri seolah-olah tidak diendahkan, sekali gus semakin pudar dan dilupakan tanpa sebarang promosi," tegas figura itu yang popular dengan lagu Laila Namamu Teratas. Jelasnya lagi, jika peluang hanya termaktub untuk artis-artis tertentu sahaja, maka bakat yang ada sudah pasti tidak akan dapat berkembang ke tahap yang lebih tinggi. "Jika bakat yang baik gagal untuk berkembang, maka taraf industri seni kita tetap akan berada di takuk lama tanpa melalui sebarang arus perubahan," ujarnya. Lagu balada Dalam berkarya, pasti lagu-lagu yang ditulis mengikut rencah dan resipi band-band itu sendiri. Walhal, cita rasa pendengar juga perlu diambil kira. Kongsi Amy, walaupun sesetengah band indie mengetengahkan genre rock atau rock alternatif, tidak semestinya mereka perlu menghasilkan album tanpa kehadiran lagu balada.
"Bagi saya, lagu balada yang baik perlu ada dalam setiap album, tidak kira apa genre muzik yang dibawa oleh band tersebut. "Jika lagu berentak balada ditulis sempurna untuk penyanyinya dan pada masa yang sama kena dengan masa, insya-Allah lagu tersebut pasti mendapat sambutan ramai," katanya lagi. Mengulas mengenai nasihat yang dapat diberikan kepada Bunkface sempena dengan kolaborasi tersebut, ujar Amy, apa sahaja peluang yang ada perlu direbut walaupun ia bukan seperti apa yang dicita-citakan. "Pada saya, banyak band Indie kurang mendapat perhatian kerana enggan mengambil peluang yang diberikan kepada mereka. "Sebagai contoh, mereka sering memandang negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan Britain untuk mengembangkan karier, sedangkan negara paling dekat dan mempunyai kuasa pendengar yang ramai hanya dipandang sepi," tegas Amy. Menurut Amy lagi, mereka seharusnya cuba untuk menembusi pasaran yang berkongsi bahasa dan tradisi lebih kurang sama dengan rakyat di negara ini sebelum cuba untuk melangkah lebih jauh ke negara Barat. "Bukan mudah untuk mengatur karier ke peringkat yang lebih tinggi. Jika band-band tempatan dapat menguasai 250 juta pendengar di Indonesia dan menembusi pasaran muzik di sana, saya yakin ia sudah cukup memadai untuk membentuk perkembangan karier yang sihat," jelasnya. Dalam pada itu, Amy turut berkata, dia telah memberikan apa yang termampu menerusi kolaborasi tersebut. Selebihnya, dia menyerahkan kepada band yang pernah popular dengan lagu Silly Lily itu. "Sebagai penyanyi yang lebih senior, saya sudah memberikan bahagian saya. Apa yang penting selepas ini adalah kerja keras mereka," jelasnya lagi. Bermula dari bawah Bagi tiga anak muda yang menganggotai Bunkface ini, mereka berdiri bersandarkan usaha keras dan hanya berpaksikan pada bakat yang ada. Menurut salah seorang ahlinya, Ahmad Farhan Hashim atau lebih senang disapa Paan, karier awal kumpulan itu bermula sama seperti kumpulan-kumpulan Indie yang lain.
"Ketika zaman permulaan, kami sering menyertai pertandingan Battle of the Band dan pertandingan-pertandingan lain. "Pada masa yang sama kami juga turut menjual album EP secara persendirian selepas tamat setiap persembahan. "Itu sahaja cara yang kami ada ketika itu untuk mempromosikan kumpulan kami. Atas usaha itu jugalah kami mempunyai pengikut tersendiri," ujarnya. Tangkis kontroversi Dalam memperjuangkan karya muzik mereka, Bunkface turut tidak terkecuali daripada dilanda pelbagai kontroversi suatu ketika dahulu. Walaupun agak lali dengan tohmahan yang dilemparkan, mereka tetap bersemangat dan berusaha untuk terus memperjuangkan muzik mereka. Kembali berdiri, mereka menegaskan, setiap band harus menjadikan 'zaman gelap' sebagai suatu pengajaran dalam memperbaiki diri untuk terus maju ke hadapan. Menurut Paan: "Kami harus bijak menangkis kontroversi dan menjadikan ia sebagai pedoman untuk memperbaiki diri. "Pada masa yang sama, alternatif lain turut difikirkan agar pendengar dapat merasai evolusi muzik kami dan tidak bosan dengan karya-karya yang sama setiap kali album baharu dikeluarkan." Lagu yang ditulis sepenuhnya oleh Bunkface ini berkisar seratus peratus mengenai kumpulan itu. Irama, lirik dan komposisinya turut senada dengan apa yang ingin disampaikan oleh mereka. "Lagu ini menggambarkan Bunkface. Apa yang diceritakan dalam lagu ini semuanya berkisarkan tentang kumpulan kami. "Ditambah dengan gabungan suara Amy Search, membuatkan lagu ini menjadi lebih istimewa," ujar mereka yang baru sahaja menyanyikan lagu tersebut pada Anugerah Planet Muzik 2013 di Singapura baru-baru ini. Bunkface turut berkongsi cerita, mereka akan mengadakan persembahan di Jakarta sempena festival JackCloth pada 7 Disember depan. | ||
Posted: Fasha anggap tidak seksiOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA SATU babak filem Penanggal yang menggandingkan Fasha bersama Zul Arifin. AKTRES Fasha Sandha yang ditemui pada malam prebiu filem Penanggal lakonannya baru-baru ini kelihatan semakin jelita dengan baju gaun hitam yang membaluti tubuhnya. Tidak keseorangan, ibu kepada Putra Rayfal Ramli, tujuh bulan, itu hadir bersama suami tersayang, Rizal Ashram atau Jejai. Biarpun bukan peminat filem seram tetapi aktres berusia 29 tahun itu berani menyahut cabaran membintangi Penanggal yang turut dibintangi oleh Ummi Nazeera, Azri Iskandar dan Zul Ariffin itu. Membawakan watak gadis Arab bernama Sharifah Zahrah, ada beberapa babak yang memaparkan keseksian aktres itu dalam mengenakan busana Arab. Fasha menjawab mengenai hal itu selain bercerita mengenai cabaran membintangi filem sulung arahan aktres hebat Elly Suriati itu. Ikuti temu bual bersama Fasha selanjutnya. Kosmo!: Khabarnya masih belum sihat tetapi datang juga ke malam prebiu filem Penanggal? FASHA: Ya, masih demam sejak hari itu. Ketika saya demam, risau pula mahu beri anak susu, takut berjangkit. Mujur saya tanya kakak saya yang sudah memiliki anak tiga orang sama ada boleh menyusukan anak atau tidak. Dia cakap boleh, tak berjangkit sebab susu ibu ada antibodi. Cuma dia cakap jangan kerap cium anak takut berjangkit tetapi saya cium juga (ketawa). Apakah perasaan tonton lakonan anda dalam Penanggal? Ini kali pertama saya menonton Penanggal. Sebagai pelakon, memang akan ada rasa untuk perbaiki lagi mutu lakonan tetapi kalau pengarah puas hati, saya lega. Saya suka keseluruhan filem ini walaupun ada beberapa babak yang dipotong. Kenapa babak tersebut dipotong dan apakah babaknya? Ia babak membabitkan lakonan saya. Mungkin ia dipotong disebabkan terlalu panjang. Babak membabitkan apa tidak perlulah saya beritahu.
Maaf bertanya. Ada beberapa babak dalam Penanggal yang memaparkan Fasha dalam keadaan yang seksi. Kostum Arab yang dikenakan terlalu terdedah sehingga terlihat lurah dada anda. Komen Fasha? Bagi saya, tidaklah seksi sangat. Benda itu biasa sahaja. Tidak perlu jadikan isu. Fasha tidak berasa malu? Tidak malu, malah berasa bangga menonton lakonan sendiri. Apakah cabaran membawakan watak Sharifah Zahrah? Semua babak susah terutama babak yang memerlukan saya berdialog dalam bahasa Arab. Memang kita boleh belajar dan hafal tetapi bagaimana nak buat lenggok bahasanya jadi semula jadi seperti orang Arab bercakap, itu yang susah. Fasha suka filem seram? Saya boleh tengok tetapi tidak berapa suka. Suami pernah kenakan saya ajak tengok cerita komedi tetapi sebenarnya cerita seram. Saya lebih suka cerita komedi. Bila tertekan dekat set penggambaran, saya akan lega bila tengok cerita komedi. Kebiasaannya bagi pelakon yang membintangi cerita seram akan ada pengalaman berjumpa hantu. Bagaimanakah pula dengan Fasha sendiri? Memang penggambaran Penanggal bermula dari pukul 6 petang hingga 7 pagi. Namun, saya tidak mengalami apa-apa peristiwa yang menakutkan. Selama 10 tahun terbabit dalam dunia lakonan, saya pernah terlibat dalam dua buah drama seram dan sebuah filem seram iaitu Gong. Namun Alhamdulillah, saya belum lagi mengalami peris- tiwa seram. Bagaimanakah pengalaman bekerja di bawa arahan Elly Suriati? Dia tahu naluri seorang pelakon. Jadi, dia tahu bagaimana nak cakap dengan pelakon. Dia sangat teliti dan semua perkara dititikberatkan. Bukan mudah seorang pelakon sepertinya mahu buat naskhah seperti ini. Selain daripada Penanggal, apakah drama atau filem lakonan anda yang bakal keluar? Drama Racun Ibu untuk slot Cerekarama TV3 serta dua buah drama bersiri untuk RTM dan TV3. | ||
Saya nampak jelmaan diri sendiri - Mikael Andre Posted: Saya nampak jelmaan diri sendiri - Mikael AndreOleh IZWAN MOHD. ISA MIKAEL (dua dari kanan) dirakam pada majlis tayangan perdana filem Kisah Paling Gangster di Kuala Lumpur baru-baru ini. KELAINAN yang ditampilkan oleh Mikael Andre menerusi filem sulungnya yang berbentuk dokumentari seram berjudul Highland Tower nampaknya membuahkan hasil. Segelintir daripada peminat menggemari cara penyampaian filem tersebut kerana ia digarap dengan menggunakan teknik penceritaan dokumentari tanpa bergantung kepada skrip semata-mata. Namun, ada juga yang mengkritik hebat filem itu dengan mengatakan elemen-elemen seram yang dipaparkan adalah tidak benar dan kewujudan entiti di dalam filem tersebut merupakan lakonan semata-mata. Ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Kisah Paling Gangster baru-baru ini, Mikael jujur memberitahu bahawa 70 peratus babak daripada filem itu merupakan rakaman benar. Katanya, hanya beberapa rakaman sahaja yang dilakonkan semula agar persembahan cerita tampak lebih kemas dan menarik. "Sebagai pengarah dan pelakon filem Highland Tower, saya boleh pastikan bahawa lebih separuh babak dalam filem tersebut adalah rakaman yang kami dapat sepanjang tiga hari membuat pengambaran. "Babak lakonan Atikah Suhaimi sebagai Cliper dirasuk adalah benar. Malah, babak-babak yang melibatkan suara-suara ganjil yang kedengaran juga adalah benar. "Kelibat orang berjalan yang berjaya kami rakamkan juga adalah benar. Namun, saya tidak pasti adakah itu entiti atau hanya kelibat penagih dadah yang merewang di dalam bangunan itu," jelasnya. Anak kepada aktres Khatijah Tan itu turut berkongsi pengalaman seram yang dialaminya ketika sedang melakukan pengambaran. "Terus terang, pengalaman yang paling menyeramkan adalah ketika melihat jelmaan saya sendiri muncul dalam rakaman yang telah dirakam, sedangkan pada waktu itu saya memegang kamera. "Lebih menakutkan, jelmaan saya itu mirip wajah badut yang sedang tersenyum," ujar jejaka ini lagi. Menurut Mikael, walaupun terdapat banyak kelemahan dari segi teknikal, filem sulung pertamanya itu tetap mendapat sambutan yang memberangsangkan. "Alhamdulillah, secara tidak rasmi, jumlah kutipan tiket untuk filem ini dianggarkan kira-kira RM3.5 juta. "Ini menguatkan lagi semangat untuk saya berkarya pada masa akan datang," katanya yang ingin terus meneroka tempat-tempat yang dikatakan 'keras' di seluruh negara bagi dijadikan sebuah lagi filem dokumentari. Dalam pada itu, dia menaruh harapan yang tinggi melalui lakonannya dalam Kisah Paling Gangster. "Kisah Paling Gangster merupakan filem kedua saya setakat ini. Walaupun judulnya tampak sedikit ganas tetapi jalan cerita dan teknik penceritaannya lebih menjurus ke arah permainan emosi. "Dalam filem ini saya memegang watak sebagai anak kepada ketua kongsi gelap yang diberi tanggungjawab untuk membunuh musuh bapanya, iaitu ketua kumpulan kongsi gelap lain yang dianggotai oleh Remy, lakonan Shaheizy Sam," katanya lagi. Kisah Paling Gangster yang diarahkan oleh Brando Lee bakal menemui penonton pada 21 November ini. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |