{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Infiniti

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Infiniti


Jaminan rasa, keaslian minuman

Posted:

Jaminan rasa, keaslian minuman

Jaminan rasa, keaslian minuman

PANAS terik ketika pulang dari kelas harian, membuatkan tekaknya kering dan mendambakan tegukan air sejuk. Lantas dia menuju ke sebuah kedai serbaneka berhampiran untuk membeli minuman botol perisa kacang soya.

Ketika menikmati kesegaran minuman kegemarannya sejak kecil itu, Aishah Kamaruddin, 24, tertanya-tanya bagaimana proses pembotolan dilakukan.

"Setiap kali membeli minuman botol, pasti saya tertanya bagaimana ia diproses. Adakah minuman dalam botol itu akan memberi kesan terhadap tahap kesihatan seseorang dalam jangka masa panjang?," katanya ketika ditemui Infiniti baru-baru ini.

Keraguan pelajar jurusan ekonomi di sebuah kolej swasta di ibu negara itu merupakan antara persoalan yang sering bermain di fikiran sesetengah pengguna yang prihatin terhadap kesihatan diri dan alam sekitar.

Kesedaran pengguna berhubung makanan sihat dan keselamatan makanan yang diproses pada hari ini menuntut pihak pengeluar untuk mencari alternatif baharu dalam menghasilkan makanan atau minuman seperti yang dapat dilihat dalam industri pembotolan.

Sehingga kini, pelbagai inovasi telah dilakukan dalam mencari solusi kepada penghasilan botol yang berkualiti dan selamat digunakan.


RASA minuman menjadi lebih enak dan menyegarkan selepas menggunakan teknologi isian sejuk aseptik.


Teknologi baharu

Salah satu syarikat yang komited dalam mengejar teknologi terkini dalam industri minuman tempatan ialah Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo's). Baru-baru ini, syarikat itu telah memperkenalkan teknologi isian sejuk aseptik dalam penghasilan produk minuman dalam botol.

"Sebelum ini, ia telah dipraktikkan dalam penghasilan minuman kotak dan tin Yeo's. Menerusi kajian yang dilakukan, kaedah sama boleh digunakan dalam produk botol," kata Ketua Pegawai Operasi Yeo's, Ong Chay Seng dalam pertemuan baru-baru ini.

Proses itu merupakan kaedah pembotolan produk yang telah dinyahkuman dalam suhu bilik terkawal. Ia dilakukan untuk mengekalkan nutrien minuman yang menggunakan bahan-bahan semula jadi seperti kacang hijau dan soya dan bunga kekwa.

"Ramuan-ramuan tersebut diekstrak dengan air tulen yang telah dipanaskan. Hasilnya kemudian melalui proses rawatan suhu ultratinggi (UHT) selama 6 saat.

"Kebaikan proses ini ialah ia dapat menghapuskan mikroorganisma yang mungkin memudaratkan kesihatan pengguna. Minuman kemudian disejukkan pada suhu bilik," ujarnya.


TEKNOLOGI yang diperkenalkan Yeo's dilihat berpotensi menjadi penanda aras dalam industri makanan dan minuman tempatan.


Chay Seng menambah, minuman tersebut kemudian dimasukkan ke dalam botol polietilena tereftalat (PET) yang disteril. Botol itu seterusnya ditutup ketat dengan penutup yang juga disteril.

Keseluruhan proses pembotolan minuman itu telah dijalankan dalam keadaan terkawal.

Peningkatan pengeluaran

Teknologi baharu itu nyata membawa Yeo's maju setapak ke hadapan dan menjadi pelopor kepada proses pembotolan di Malaysia. Walaupun demikian, teknologi isian sejuk aseptik telah diterokai lebih awal di Thailand.

"Pemprosesan aseptik tersebut membantu meningkatkan jumlah penghasilan botol dalam sehari. Tujuh biji botol minuman dapat dihasilkan dalam sesaat. Jumlah itu bersamaan 500,000 botol sehari.

"Oleh itu, sebanyak 130 juta botol minuman dalam pelbagai perisa akan mampu dihasilkan dalam tempoh setahun," kata Chay Seng.

Antara perisa minuman yang dikeluarkan Yeo's menggunakan teknologi itu adalah teh kundur, susu soya hitam, susu soya, laici dan teh bunga kekwa yang juga merupakan antara minuman kegemaran rakyat di negara ini sejak 100 tahun lalu.

Jenama Yeo's menjadi pilihan kerana ia tidak mengandungi pewarna tiruan dan sebarang pengawet tambahan. Produk minuman Yeo's bukan sahaja menepati cita rasa masyarakat tempatan, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Syarikat Yeo's telah diasaskan oleh Yeo Keng Lian dan telah beroperasi sejak tahun 1900 di Singapura. Ia mula berkembang ke Malaysia pada tahun 1940 dan menjadi jenama terkenal sehingga kini.


KECANGGIHAN teknologi isian sejuk aseptik mampu menghasilkan sehingga 130 juta botol setahun.


Selain produk minuman, Yeo's juga mengeluarkan beberapa produk makanan antaranya makanan dalam tin seperti kari ayam, kicap soya dan daging rendang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif I Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud, menyokong usaha Yeo's yang memperkenalkan inovasi terbaharu dalam industri makanan dan minuman melalui kaedah pemprosesan terbaharu itu.

"Syarikat itu mengambil langkah proaktif dalam memastikan mereka sentiasa mengikuti perubahan semasa dengan menghasilkan produk-produk yang mengikut piawaian yang tinggi," ujarnya.

Beliau menambah, teknologi yang diperkenalkan Yeo's dilihat bakal menjadi penanda aras kepada industri makanan dan minuman di negara ini.

Tragedi Haiyan ragut jutaan nyawa

Posted:

Tragedi Haiyan ragut jutaan nyawa

Tragedi Haiyan ragut jutaan nyawa


DEMI mencari sesuap nasi, kanak-kanak terpaksa meminta simpati daripada pengguna jalan raya di Cebu.


TARIKH 8 November 2013 akan terus dikenang oleh penduduk dunia terutamanya rakyat Filipina apabila Taufan Super Haiyan melanda kepulauan Samar di tenggara Manila.

Taufan dengan kelajuan 315 kilometer itu merupakan antara bencana terburuk yang berlaku pada tahun ini.

Biro kaji cuaca tempatan melaporkan, taufan tahap lima itu menjadi lemah selepas melanda enam kawasan di negara itu. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Cebu, Leyte dan Bohol.

Mengikut statistik rasmi yang dikeluarkan pihak pemerintah negara itu, sebanyak 3,631 mayat telah dijumpai sehingga Ahad lalu. Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan jumlah mangsa yang terkorban adalah lebih tinggi.

Jumlah mangsa yang cedera seramai 12,487 orang manakala 1,187 orang dilaporkan masih hilang. PBB dalam laporannya menyatakan seramai 4,460 mangsa mati dalam taufan itu.


PENDUDUK kampung terdesak mendapatkan sumber makanan sehingga mencetuskan rusuhan dan pergaduhan.


Hulur bantuan

Kali terakhir Filipina dilanda taufan teruk ialah pada tahun lalu menerusi Taufan Bhopa yang meragut kira-kira 2,000 nyawa.

Keperitan yang dihadapi mangsa-mangsa bencana turut meruntun hati masyarakat dunia. Pelbagai bantuan dihulurkan bagi meringankan beban mereka.

Walaupun banyak sumbangan dihulurkan, bekalan masih belum mencukupi kerana hampir sembilan juta mangsa terjejas akibat taufan itu.

Sebuah gudang yang menempatkan penyimpanan beras diserbu oleh penduduk setempat dengan membawa lari 33,000 guni beras. Setiap satu guni itu beratnya ialah 50 kilogram. Dalam keadaan yang terdesak, mangsa-mangsa mengkritik kerajaan Filipina kerana lambat memberi respons terhadap tragedi itu.

Setiausaha Keselamatan Dalaman, Mar Roxas menyedari ancaman dan kritikan tersebut dengan memberi alasan bantuan tergendala akibat kebanyakan anggota penyelamat juga merupakan mangsa yang terlibat.

"Penyelamat-penyelamat daripada agensi kerajaan juga merupakan mangsa taufan. Mereka turut terkesan kerana kehilangan ahli keluarga masing-masing," ujarnya kepada agensi berita antarabangsa.

Lari tinggalkan bandar

Beliau menambah, agensi kerajaan hanya mempunyai 16 trak yang masih boleh digunakan sepanjang proses menyelamat dan pencarian mangsa.

Lapan daripadanya digunakan untuk menghantar ubat-ubatan, empat trak untuk memproses pembersihan dan empat lagi untuk mengutip mayat yang bergelimpangan.

Pasukan persatuan amal dari Medecins Sans Frontieres menggambarkan situasi 45,000 mangsa di Guiuan, timur Samar sebagai sangat menyedihkan.

SEORANG warga tua menyarungkan kepalanya dengan pelapik meja ketika menuju ke perhimpunan di sebuah gereja lama yang runtuh akibat Taufan Haiyan.


Tidak mahu terus berada di 'neraka dunia', kebanyakan penduduk terus menunggu lama di lapangan terbang Tacloban sebagai percubaan untuk keluar dari bandar itu. Keadaan yang tegang itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa melepaskan tembakan bagi meleraikan pergaduhan antara penduduk dan pihak polis.

Bantuan dari beberapa buah negara terus dihulurkan dari segi kewangan, material dan pasukan kecemasan. Kerajaan Malaysia akan menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM3.2 juta dalam tempoh terdekat. Selain bantuan kewangan, negara turut menghantar pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Taufan Haiyan bagi membantu mangsa-mangsa.

Kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat, USS George Washington, menghantar sejumlah makanan dalam tin ke bandar-bandar seperti Guiuan, Leyte dan Tacloban.

Kerajaan Britain menghantar pesawat HMS Illustrious yang membawa bantuan perubatan berjumlah RM102.56 juta, pakar-pakar kesihatan dan pesawat pengangkutan RAF.

China menghulurkan barang-barang bantuan berjumlah RM5.13 juta walaupun berdepan konflik perebutan wilayah dengan Filipina.

Menangani kebocoran privasi di media sosial

Posted:

Menangani kebocoran privasi di media sosial

Menangani kebocoran privasi di media sosial

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


MAKLUMAT peribadi yang diletakkan dalam laman sosial boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.


JIKA Piramid Giza di Mesir disenaraikan sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia, internet sewajarnya mendapat pengiktirafan yang sama kerana membolehkan komunikasi tanpa sempadan yang begitu efektif.

Internet menjadi pemangkin kepada perkembangan media sosial yang membolehkan kita bertukar-tukar maklumat, menambah kenalan, berkongsi gambar dan banyak lagi. Namun di sebalik fenomena media sosial ini, ramai yang masih tidak menyedari sejauh mana maklumat, gambar atau video yang dikongsikan boleh memberi impak kepada kehidupan seharian.

Sama ada sedar atau tidak, sebagai seorang pengguna laman media sosial, beberapa maklumat sering dikongsikan antaranya jantina, umur, nombor telefon, alamat e-mel dan lain-lain.

Namun, maklumat tersebut boleh menjadi tatapan umum, tidak terhad kepada kenalan sahaja. Sebagai contoh, pengguna menghantar status (termasuk gambar atau video) sebagai 'public' (umum) tanpa mengehadkan akses di bahagian Aturan Privasi.

Sesetengah maklumat boleh dilihat oleh umum secara automatik. Dalam keadaan ini, pengguna perlu mengubah sendiri aturan privasi bagi memastikan maklumat tersebut boleh diakses oleh kenalan sahaja. Laman media sosial boleh mengubah polisi privasi anda pada bila-bila masa sahaja.

Jika ini berlaku, kandungan yang dulunya dikongsikan dengan aturan privasi tertentu mungkin boleh dilihat umum sebaik sahaja polisi tersebut diubah oleh penyedia laman sosial

Disebabkan itu kenalan di dalam rangkaian sosial boleh memuat turun sesuatu gambar, mengambil cekupan skrin status mahupun mengepos semula yang melangkau segala aturan privasi yang telah ditetapkan.

Risiko kebocoran privasi

Maklumat peribadi yang dikongsikan dalam laman sosial boleh disalah guna oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Penggodam mudah mengumpul maklumat peribadi pengguna laman sosial sehingga dapat mengakses aset dalam alam maya seperti akaun bank.

FIKIR dengan akal waras sebelum meletakkan sebarang gambar atau maklumat peribadi dalam laman media sosial.


Sebagai contoh, dengan mengetahui umur, jantina, alamat e-mel dan nombor telefon, penggodam boleh menggunakan taktik menghantar e-mel yang menyerupai e-mel daripada institusi perbankan bagi mendapatkan butiran perbankan elektronik.

Butiran peribadi yang diperoleh juga boleh digunakan untuk meyakinkan mangsa dengan taktik menyamar sebagai wakil pihak bank bagi membuat pengesahan kad kredit, kad ATM dan fasiliti perbankan yang lain. Pengguna boleh tertipu kerana butiran yang dibacakan adalah tepat dan menyangkakan panggilan itu dibuat oleh pihak bank.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat pelbagai video peribadi yang dikongsikan kepada jutaan pengguna internet yang lain. Video yang mungkin pada asalnya hanya dikongsikan oleh teman di dalam laman media sosial telah dikongsikan dan dimuat naik ke laman Youtube bagi tontonan umum.

Pemilik video tersebut pastinya berasa tertekan dengan situasi tersebut kerana tidak menyangka ia boleh tersebar luas.

Meminimumkan kebocoran privasi

Sebagai pengguna laman media sosial, kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang dikongsikan. Tip berikut boleh dijadikan panduan untuk mengehadkan perkongsian maklumat, video mahupun gambar daripada diakses oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Elakkan dari menetapkan status, memuat naik gambar mahupun video yang boleh mengguris perasaan individu lain. Tanya diri sendiri sama ada apa yang ingin dikongsikan itu boleh menyentuh peribadi seseorang, agama mahupun sensitiviti kaum.

Kongsikan gambar atau video hanya kepada teman rapat dan bukan sewenang-wenangnya kepada semua kenalan di media sosial. Tidak semua kenalan dalam laman media sosial itu dikenali di dalam dunia realiti.

Wujudkan kumpulan pengguna bagi memudahkan perkongsian media. Contohnya, gambar majlis perkahwinan saudara kita, dikongsikan hanya dalam kumpulan pengguna 'keluarga'.

Sentiasa menganggap ada 'mata dan telinga' di sebalik ratusan 'teman' di rangkaian media sosial yang sentiasa menjadi 'perisik' dan memerhatikan aktiviti kita. Ia dapat membantu kita dalam membuat keputusan 'perlu atau tidak' untuk berkongsi sesuatu maklumat itu

Gunakan akal yang waras dan bukan emosi dalam mengepos status. Tiada gunanya memaki hamun atau memarahi mereka yang tidak ada di dalam rangkaian media sosial kita, sebaliknya ia menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan teman-teman kita. Ia juga mencerminkan keperibadian kita yang sebenar.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat