Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Konsep keseronokan dalam ketakutan Posted: Konsep keseronokan dalam ketakutan
KAWASAN tanah lapang di Seksyen 7, Shah Alam dahulunya gelap dan tidak ada siapa pun yang teringin untuk mendekatinya. Tidak keterlaluan jika ada yang membuat andaian terdapat makhluk halus atau hantu berkeliaran di kawasan yang dahulunya dipenuhi semak-samun dan berhutan. Namun sejak tahun 2010, kawasan tersebut menjadi terang-benderang dek cahaya kerlipan lampu-lampu digital berwarna-warni dengan pelbagai rupa bentuk pokok dan haiwan seperti merak dan rusa dapat dilihat di kawasan seluas 29 hektar itu. Baru-baru ini, walaupun sudah diterangi dengan lampu yang beraneka warna, kecoh juga apabila ada yang melihat kelibat hantu di salah satu bangunan seluas 11,394 meter persegi di situ. Malah ada yang mendakwa bangunan mirip rumah agam istana zaman dahulu itu dipenuhi dengan tengkorak manusia, bilik kurungan, bilik memotong, kawasan tanah perkuburan dan juga puntianak serta pocong yang bergantungan. Menyeramkan! Demikian pandangan penulis sewaktu dibawa menghadap bangunan dua tingkat yang terletak di atas kawasan bukit i-City tersebut. Perasaan lebih menyeramkan apabila tiba-tiba muncul satu makhluk yang memakai jubah hitam dengan muka yang mempunyai barisan gigi yang menyeringai. Langkah kaki semakin perlahan dengan degupan jantung yang semakin berdetak kuat sebaik mula masuk ke dalam bangunan tersebut. Perasaan lebih berdebar tatkala mendengar bunyi-bunyian pelik yang menyeramkan datang dari satu ruang menempatkan sebuah almari yang usang dan dipenuhi dengan sarang labah-labah. Lebih mendebarkan tatkala tiba-tiba bunyi langkah kaki yang seakan-akan mahu mengejar membuatkan beberapa pengunjung dalam bangunan itu mula berpegangan tangan dan bersedia untuk mengatur langkah. KESELURUHAN rumah agam tidak berpenghuni ini dipenuhi dengan hiasan dan bunyi-bunyian yang bertujuan menaikkan perasaan seram pengunjung. Jeritan kuat mula kedengaran apabila satu objek tiba-tiba keluar dari satu pintu rahsia rumah agam yang tidak berpenghuni itu. Kumpulan pengunjung termasuk penulis mula berjalan dalam satu kumpulan. Langkah kami mula perlahan dan badan satu sama lain mula rapat, bimbang dengan apa lagi yang menunggu di hadapan terutamanya keadaan rumah agam yang suram dengan pencahayaan yang sangat terhad dan malap. Malah, mata juga terpaksa dikecilkan bagi memberi fokus kepada objek yang hanya boleh dilihat di bawah sinaran lampu yang ada. Jeritan Memasuki ruang bilik mandi, mata masing-masing tertumpu pada satu objek seakan wanita yang dibaluti kain berwarna putih. Dengan rambut panjang mengurai, wanita yang pada kedudukan asalnya membelakangkan kami tiba-tiba bergerak dengan pantas dan berpaling mendedahkan keadaan perutnya yang terburai. Belum sempat mahu mengambil nafas, tiba-tiba tiga objek bergerak pantas mula mengejar kumpulan kami menyebabkan masing-masing bertempiaran lari dan menjerit sepanjang laluan yang mengambil masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke pintu keluar rumah agam tersebut. Sepanjang laluan, kami dikejutkan dengan mayat yang tiba-tiba bangkit dari keranda dan juga tahanan di bilik kurungan dalam keadaan yang mengerikan. Demikian antara pengalaman mengerikan yang ditempuh sepanjang memasuki House of Horror@i-City (House of Horror). Pengalaman itu sungguh menyeramkan sehingga membuatkan pengunjung terpaksa berpegangan tangan antara satu sama lain dari mula sehingga keluar dari tarikan terbaharu itu. JERITAN pasti kedengaran apabila pengunjung 'terserempak' dengan rangka hiasan ini. Keyakinan Pengurus Informasi I-Berhad, Tang Soke Cheng yang setia menunggu di pintu luar House Of Horror memberitahu, merasai sendiri perasaan seram ketika berada dalam bangunan itu dapat meningkatkan lagi keyakinan diri seseorang terhadap suasana gelap. Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya tidak menggalakkan wanita mengandung dan juga mereka yang mempunyai sakit jantung untuk memasuki rumah hantu tersebut. Ujarnya, kanak-kanak juga hanya dibenarkan masuk dengan pengawasan ibu bapa atau penjaga bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. "House Of Horror dibina dengan kos RM10 juta dengan konsep seram dan mencabar bagi memberi keseronokan dan keterujaan pada pengunjung. "Dengan konsep dan juga lukisan tiga dimensi (3D) pada dinding dan lantai, kami percaya ia mampu memberikan kesan tragik dan menyeramkan buat pengunjung di sini," ujarnya. Soke Cheng memberitahu, kumpulan sasar tarikan itu terdiri daripada golongan remaja, dewasa dan yang telah berkeluarga. "House of Horror bersama muzium lilin interaktif Malaysia pertama, Red Carpet, yang telah dibuka pada Ogos lalu merupakan tarikan terbaharu i-City dan merupakan sebahagian daripada tarikan Tahun Melawat Malaysia 2014," jelas beliau. HOUSE of Horror merupakan tarikan terbaharu i-City yang mencabar keberanian pengunjung dalam persekitaran gelap dengan efek-efek khas yang menakutkan. Tarikan Bagi pekerja swasta, Mohamad Rizman Mohamad Yahya, 33, tarikan terbaharu di Seksyen 7 itu dilihat menambahkan lagi keseronokan Shah Alam yang selama ini sememangnya terkenal sebagai salah satu lokasi pelancongan popular negara ini. Menurut lelaki yang menetap di Seksyen 24, Shah Alam sejak lebih 20 tahun itu, tarikan itu membolehkannya membawa rakan-rakan ataupun sanak saudara yang sesekali datang bertandang ke rumahnya. "Sejak i-City dibuka, rakan-rakan selalu bertanya mengenai keindahan lampu-lampu digital di sini dan saya sendiri dapat melihat dengan jelas kerlipan lampu itu dari Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Plaza Tol Sungai Rasah. "Apabila datang sendiri ke sini, ia sebenarnya lebih daripada kerlipan lampu apabila banyak lagi pilihan tarikan menarik yang boleh dialami sendiri termasuk perasaan seram ketika memasuki ke rumah hantu ini," katanya. PEMBANGUNAN bersepadu i-City di Seksyen 7, Shah Alam melibatkan pembinaan kediaman, pusat hiburan dan gaya hidup, hotel dan bangunan pejabat. Sementara itu, bagi Fatin Mohd. Sahid, 23, yang berasal dari Kedah, i-City merupakan satu destinasi sempurna baginya untuk menyambut hari lahir bersama rakan-rakan ekoran kepelbagaian tarikan yang disediakan, bukan sahaja House of Horror. Penuntut Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor itu mengakui membuat perancangan dengan rakannya dan memilih cuti hujung minggu untuk datang ke situ semata-mata untuk melihat sendiri keindahan lokasi itu setelah melihat gambar-gambar menarik yang dimuat naik oleh rakan-rakannya di laman sosial Facebook. "Mereka juga sering berbual tentang keseronokan yang dirasai ketika datang ke sini. Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk datang dan memasuki tarikan lain seperti Museum Art Trick yang memberikan kami peluang bergambar dengan karya-karya seni 3D yang kelihatan benar di mata kasar," ujarnya. Waktu operasi House of Horror ialah dari pukul 11 pagi hingga 2 pagi setiap hari. Harga tiket bagi memasuki House Of Horror@i-City bagi pemegang Mykad adalah RM25 untuk dewasa, RM20 (kanak-kanak), manakala buat bukan pemegang Mykad pula adalah RM30 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak). | |
Berakhirnya derita monyet jalanan Posted: Berakhirnya derita monyet jalananSEEKOR monyet bertopi koboi didukung oleh penjaganya. PASUKAN keselamatan dan pihak berkuasa di Jakarta, Indonesia menjalankan serbuan di seluruh bandar raya itu sebagai usaha menyelamatkan monyet-monyet yang digunakan untuk persembahan jalanan. Arahan yang dikeluarkan oleh Gabenor Jakarta, Joko Widodo atau lebih dikenali, Jokowi, mahu semua persembahan monyet tepi jalan atau lebih dikenali sebagai topeng monyet dihentikan menjelang tahun hadapan. PIHAK berkuasa di Jakarta merampas monyet dalam satu serbuan di bandar raya itu baru-baru ini. Katanya, selain meningkatkan ketenteraman awam dan menghentikan penderaan haiwan, ia juga sebagai langkah mencegah penyakit yang dibawa oleh monyet. Kerajaan akan membeli semula semua monyet yang digunakan dalam persembahan jalanan pada harga kira-kira 1 juta rupiah (RM286) dan diberikan perlindungan di kawasan seluas satu hektar di Zoo Ragunan Jakarta. Pengendali dan penjaga monyet topeng pula akan diberi latihan vokasional untuk mendapatkan pekerjaan baharu. Kumpulan hak asasi haiwan telah lama berkempen agar mengharamkan persembahan jalanan yang melibatkan monyet bertopengkan kepala anak patung bayi. Monyet-monyet ini dirantai di leher dan dilatih berjalan menggunakan kaki. Gigi monyet pula ditarik ke hadapan agar mengelakkan haiwan itu menggigit. Monyet-monyet ini ketika melakukan persembahan lengkap berpakaian, bertopi koboi dan membawa payung atau menunggang motosikal kecil. Femke den Haas, dari Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta berkata, sebanyak 22 ekor monyet telah diselamatkan sejak serbuan dilakukan dan dikuarantin atas isu-isu kesihatan. Haas menganggarkan kira-kira 350 ekor haiwan lagi digunakan sebagai penghibur jalanan di Jakarta. Haiwan ini juga diakui tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di zoo mahupun di hutan. SEMUA monyet yang ditangkap dihantar ke Zoo Ragunan Jakarta untuk dilatih semula agar boleh mengadaptasi kehidupan di sana. Pada tahun 2011, pihak berkuasa menyelamatkan 40 ekor monyet bertopeng berikutan merebaknya pelbagai penyakit termasuk batuk kering dan hepatitis. Kebanyakan monyet ini dilatih di kawasan setinggan di timur Jakarta yang dikenali sebagai 'Kampung Monyet'. Seekor monyet terlatih boleh dijual sehingga 1.5 juta rupiah (RM429). Sarinah, 37, memiliki 13 ekor monyet memberitahu, larangan ke atas monyet jalanan telah menjejaskan kehidupannya. Tujuh daripada 13 monyet itu dirampas dalam serbuan baru-baru ini. "Sudah tentu saya kecewa, tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa," kata Sarinah, ibu kepada tiga orang anak. "Haiwan itu adalah sumber kehidupan kami, bagaimana kami boleh bertindak kejam terhadapnya?" soal wanita itu. Dia mendapat kira-kira 33,536 rupiah (RM9.50) setiap hari dari setiap monyet yang disewakan kepada penghibur jalanan. Dia juga mahu menyembunyikan baki monyet yang ada sementara menunggu kerja baharu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |