Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Hodak yakin kemampuan Kelantan Posted: Hodak yakin kemampuan KelantanOleh KHAIRI MOHAMAD
"SESIAPA sahaja yang saya pilih dalam kesebelasan utama nanti harus melaksanakan tugas dengan baik". Demikian tegas ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak dalam usaha meredakan kebimbangan para penyokong setia mereka yang resah menantikan keputusan yang akan dibuat jurulatih dari Croatia itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan tonggak pertahanan penting mereka, Obinna Nwaneri. Menurutnya, tiga pemain, Farisham Ismail, Azizi Matt Rose dan Nik Shahrul Azim Ab. Halim hampir pasti akan turun beraksi dalam kesebelasan utama pada final Piala Malaysia 2013 menentang Pahang di Stadium Shah Alam malam ini. "Berdasarkan latihan malam ini (malam kelmarin) saya sudah mendapat bayangan pemain yang akan berada di posisi tersebut namun, saya masih mahu melihat latihan terakhir esok (semalam) untuk memastikan mereka benar-benar layak berada dalam kesebelasan utama. "Saya tidak bimbang kerana kami mempunyai tiga lagi pemain pertahanan untuk mengisi kekosongan itu, kami memiliki Zairul Fitree Ishak, Rizal Fahmi Rosid dan K. Nanthakumar. Zairul Fitree dan Rizal Fahmi tiada masalah untuk diturunkan dan mereka mempunyai pengalaman beraksi di final. "Nanthakumar pernah beraksi di bahagian pertahanan ketika mewakili negara dan dia pernah diturunkan untuk beraksi selama 90 minit, siapa sahaja yang diturunkan mereka adalah yang terbaik dan perlu membuktikannya," katanya. Tambahnya, penyerang import Pahang, Matias Conti sudah pastinya antara individu yang akan diberi perhatian khas kerana kemampuannya melakukan sesuatu terutama apabila berada di dalam kotak penalti. Katanya, ketiadaan Nwaneri mungkin memberi sedikit masalah untuk merantai Conti namun, dia tetap menaruh kepercayaan tinggi terhadap keupayaan pemain pertahanan tempatan yang dilihat masih mampu untuk menyaingi keupayaan pemain import kelahiran Argentina. Dalam pada itu, mengulas mengenai jentera serangan pasukan Kelantan, beliau yakin kesemuanya dapat berfungsi dengan baik berdasarkan moral pemain yang berada pada tahap tertinggi selain pengalaman yang disifatkan sudah memadai untuk beraksi di pentas final . "Anda boleh lihat dalam empat perlawanan terakhir, kami telah menjaringkan 12 gol. Mereka (jentera serangan) semakin baik dan berada dalam keadaan yang cukup sempurna. Saya yakin mereka boleh melaksanakan tugas dengan baik," ujarnya. Jentera serangan The Red Warriors akan diketuai oleh pemain import dari Dickson Nwakaeme dan dibantu oleh kapten 'Marvel', Mohd. Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Muhamad. | |
Kita tengok siapa lebih hebat - Alex Posted: Kita tengok siapa lebih hebat - AlexOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI AZAMUDDIN (kanan) akan pastikan Pahang tidak pulang hampa pada final Piala Malaysia malam ini. "KITA tunggu siapa lebih hebat." Demikian tegas penyerang Pahang, Azamuddin Akil menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 menentang Kelantan di Stadium Shah Alam malam ini. Azamuddin yang juga dikenali sebagai Alex, mendedahkan, dia bersama rakan-rakan sepasukan sudah bersedia untuk menghadapi aksi getir itu, sekali gus menyekat hajat Kelantan. Justeru, Alex percaya prestasi semasa skuad kendalian Dollah Salleh itu mampu mengimbangi rentak Kelantan biar pun skuad Kijang dilabelkan sebagai pasukan pilihan berdasarkan persembahan konsisten sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini. "Kita akan tengok siapa lebih hebat pada malam esok (malam ini). Saya yakin moral barisan pemain Pahang dalam keadaan terbaik menghadapi perlawanan ini. "Apa yang pasti, kami tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka biarpun menyedari pasukan lawan telah menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan ini berlangsung. "Kami akan pastikan ada kejutan bakal berlaku di Stadium Shah Alam," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. Tambah anak jati Kuala Lipis, Pahang itu, dia tidak menganggap ketiadaan tonggak pertahanan Obinna Nwaneri bakal mengubah rentak Kelantan pada aksi final nanti. Alex percaya The Red Warriors masih memiliki beberapa pemain berkualiti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain kelahiran Nigeria itu. Sebagai rekod, Obinna tidak dapat beraksi di pentas final Piala Malaysia selepas mengutip kad kuning kedua ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi separuh akhir, bulan lalu. "Ketiadaan Obinna pun, Kelantan tetap mantap," katanya. | |
Posted: Norfarhan anggap diri bertuahOleh KHAIRI MOHAMAD
MUSIM 2012 menyaksikan Kelantan menutup musim gemilang mereka dengan gelaran trebel selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan akhir Piala Malaysia, namun bagi penyerang terbilang The Red Warriors, Norfarhan Muhammad ia adalah saat yang mendukakan. Apa tidaknya, beliau yang membantu Kelantan menjaringkan lima gol sepanjang 10 penampilan kempen Piala Malaysia musim lalu terpaksa menyaksikan rakan-rakan meneruskan perjuangan dari tempat duduk penonton gara-gara digantung perlawanan akibat memungut dua kad kuning. Bagaimanapun, Norfarhan mungkin sebahagian daripada pemain bola sepak yang bertuah apabila pasukan yang diwakilinya sekali lagi berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut. Perlawanan akhir kali ini menyaksikan Norfarhan terpaksa memikul tekanan yang agak tinggi kerana beliau dilihat sebagai tonggak jentera serangan paling penting selepas mempamerkan aksi yang begitu sempurna terutama kemampuannya menjaringkan gol dalam beberapa perlawanan genting. "Musim lepas saya kecewa kerana tidak dapat beraksi, biarpun kami memenangi Piala Malaysia sebagai pemain bola kepuasan itu tidak sampai. Tahun ini merupakan peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan. "Selain misi untuk mempertahankan kejuaraan untuk Kelantan, saya juga akan turun dengan misi peribadi membalas kepercayaan pihak pengurusan dan jurulatih selain menambah koleksi penampilan dan jaringan saya pada pentas perlawanan akhir," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Bagaimanapun tambahnya, kekuatan yang ada pada Pahang tidak boleh diambil mudah kerana mereka juga mempunyai jentera tengah yang begitu solid dan penguasaan pada posisi berkenaan menjamin kejayaan pada perlawanan akhir berkenaan. Sementara itu, Norfarhan turut menyedari bahawa harapan yang tinggi terpaksa dipikul terutama apabila beliau juga menjadi salah seorang pemain yang akan diberi tumpuan khusus oleh benteng pertahanan Pahang. "Dalam setiap perlawanan pasti ada tekanan, saya harap saya mampu untuk menyerap tekanan tersebut dan bermain seperti biasa. Memang kita kena beri sepenuh fokus, ini perlawanan terakhir musim ini dan saya mahu memberi sepenuhnya. "Musim lepas saya kecewa kerana tidak dapat beraksi, musim ini saya tidak mahu kecewa kerana kekalahan. Kita akan turun bermain dengan strategi yang diarahkan oleh jurulatih dan saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar," ujarnya. Norfarhan pastinya akan menjadi tumpuan selepas menjadi antara tonggak penting Kelantan musim 2013 dengan menjaringkan 11 gol bersama 40 penampilan dalam beberapa kejohanan walaupun sekadar memahat tiga gol pada 10 aksi Piala Malaysia namun, dia juga terlibat dalam merencanakan tujuh hantaran yang berjaya disudahkan dengan jaringan oleh rakan sepasukannya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |