Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Chong Wei mampu bergelar juara Posted: Chong Wei mampu bergelar juaraOleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
JURULATIH perseorangan negara, Rashid Sidek optimis Datuk Lee Chong Wei akan meraih gelaran ketiga Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong 2013 pada aksi final hari ini. Jelas Rashid, pemain No. 1 dunia itu tidak akan menghadapi masalah untuk merampas gelaran yang diraih pada 2009 dan 2010 itu jika dia mampu mengekalkan rentak konsisten seperti yang dipamerkan pada aksi separuh akhir semalam. Chong Wei sekali lagi menepati ramalan selaku pilihan utama kejohanan apabila mengesahkan slot final selepas menewaskan pemain Thailand, Boonsak Ponsana 21-12, 21-7 semalam. "Saya rasa dia boleh menang pada perlawanan akhir jika permainannya kekal konsisten sebegini, tetapi jangan pandang rendah kepada keupayaan lawan juga," kata Rashid. Ditanya mengenai prestasi Chong Wei sehingga aksi separuh akhir semalam, Rashid mengakui pemain elit negara itu tampil dengan aksi yang lebih baik selepas diberikan rehat ekoran kecederaan buku lali kanan minggu lalu. "Dia nampak lebih bertenaga dan tenang. Dia juga tidak mengadu mengenai sebarang kecederaan, saya percaya semuanya dalam keadaan terkawal," tambah Rashid. Pada aksi separuh akhir itu, Chong Wei sekadar memerlukan masa 34 minit untuk mengesahkan kemenangan ke-20 ke atas Boonsak sejak mereka mula bertemu pada aksi suku akhir Terbuka Malaysia 2006. Mengulas mengenai kemenangan yang dicatatkan semalam, Chong Wei berkata, kekerapan bertemu dengan pilihan kelapan itu turut memberi kelebihan kepadanya. "Sebenarnya saya lebih fokus dengan perlawanan saya sendiri tetapi saya juga sudah bertemu dengannya banyak kali, kali terakhir di Perancis. "Begitupun, keutamaan saya tetap kepada permainan sendiri. Kalau boleh apa yang saya mahu, saya dapat keluarkan ketika beraksi. "Menang 20 kali mungkin bukan satu rekod yang mudah tetapi apa yang penting ialah kekuatan mental," jelas Chong Wei. Sebelum menewaskan Boonsak di Perancis Oktober lalu, Chong Wei juga pernah menumpaskan pemain Thailand tersebut pada Terbuka India (April) dan Terbuka Indonesia (Jun) untuk rekod tahun ini. Pada aksi final hari ini, Chong Wei akan bertemu pemain veteran Indonesia, Sony Dwi Kuncoro apabila menewaskan rakan senegaranya, Tommy Sugiarto yang menarik diri kerana kecederaan ketika ketinggalan 14-21, 3-8. "Saya rasa bagus kerana masih dapat beraksi esok. Saya harap kemenangan dapat diraih pada aksi final esok (hari ini). "Walaupun saya pernah bertemu dengan dia (Sony) tetapi keutamaan saya tetap kepada corak permainan sendiri," tambah Chong Wei. Chong Wei tewas kepada pemain China, Lin Dan pada separuh akhir Terbuka Hong Kong 2011 sebelum disingkirkan Chen Long pada final edisi 2012. Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita China, Wang Yihan menewaskan Porntip Buranaprasertsuk dari Thailand 17-21, 21-15, 21-13. Yihan akan menentang rakan senegaranya, Wang Shixian yang turut yang turut mara selepas menumpaskan Minatsu Mitani dari Jepun 21-13, 21-17. Bagi aksi acara beregu campuran pula, pasangan England Chris Adcock-Gabrielle White membuat kejutan apabila menewaskan pilihan utama China, Zhang Nan-Zhao Yun Lei 21-12, 21-16 untuk mara ke final. Adcock-White akan bertemu pasangan China, Liu Cheng-Bao Yixin yang turut mara selepas menewaskan gandingan Hong Kong, Lee Chun Hei-Chau Hoi Wah 17-21, 21-10, 23-21. Perlawanan beregu wanita bakal menyaksikan dominasi dua pasangan China di pentas final iaitu antara Ou Dongni-Tang Yuanting dan Bao Yixin-Tang Jinhua. Dongni-Yuanting menewaskan Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl (Denmark) 21-13, 21-15 manakala, Yixin-Jinhua menyingkirkan Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi (Jepun) 21-17, 21-12. Aksi akhir beregu lelaki pula antara pasangan Korea Selatan, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang yang akan menentang Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong. Ki Jung-Sa Rang menewaskan beregu England, Chris Adcock-Andrew Ellis 21-13, 21-14 manakala, Yong Dae-Yeon Seong menumpaskan Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) 22-20, 22-20. | |
Posted: Pelantikan Annuar sah - MSNMAJLIS Sukan Negara (MSN) selaku sekretariat Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara, memaklumkan bahawa pelantikan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa (gambar) selaku ahli jawatankuasa program berkenaan, adalah dianggap sah. Ia tidak bercanggah dari segi perundangan ekoran penggantungan beliau yang didapati bersalah melanggar Artikel 88 FAM sebelum ini. MSN telah merujuk status Annuar yang digantung oleh FAM sehingga 4 Oktober 2014 kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan yang berpandangan secara dasarnya bahawa beliau boleh dilantik sebagai ahli jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. MSN dalam satu kenyataan semalam menjelaskan, berdasarkan penggantungan terhadap Annuar, ia adalah di bawah peruntukan perlembagaan atau statut FAM sendiri dan bukannya Akta Pembangunan Sukan (APS) 1997. Peruntukan Seksyen 25 APS 1997 tidak terpakai terhadap Annuar kerana peruntukan ini adalah berkenaan akibat tindakan penggantungan atau pembatalan yang dikenakan oleh Pesuruhjaya Sukan ke atas badan sukan atau mana-mana orang dan bukannya oleh FAM. Status Annuar juga dianggap sah kerana kuasa untuk melantik mana-mana individu sebagai ahli dalam apa-apa jawatankuasa yang difikirkan perlu adalah kuasa yang diperuntukkan oleh APS 1997 kepada Menteri Belia dan Sukan. Sebagai makluman, Annuar mempunyai pengalaman yang luas dan idea-idea bernas dalam arena bola sepak tanah air dan pelantikannya adalah berdasarkan kepada merit berkenaan untuk membantu jawatankuasa merancang, merangka dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pembangunan bola sepak negara. Jawatankuasa juga berperanan sebagai platform setiap ahli memberikan cadangan dan pendapat bagi menambah baik perancangan pembangunan bola sepak negara. Ia juga dianggotai wakil daripada FAM dan mana-mana ahli yang dilantik oleh Menteri Belia dan Sukan, bukannya bertujuan untuk melaga atau mengeruhkan hubungan baik sedia terjalin antara MSN khususnya dan Kementerian Belia dan Sukan amnya dengan FAM atau mana-mana pihak kerana jawatankuasa berkenaan adalah semata-mata untuk menjayakan aspek pembangunan bola sepak negara khususnya membabitkan pemain berumur dari tujuh hingga 17 tahun. | |
Posted: Kim Swee kekal fokusOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI KIM SWEE (berdiri dua dari kanan) tidak mahu memikirkan tawaran yang diterimanya daripada Myanmar selagi misi di Sukan SEA 2013 belum selesai. JURULATIH Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu memikirkan tentang tawaran lumayan yang diterimanya daripada Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF). Sebaliknya, dia mahu fokus dengan tugasannya dalam usaha mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, bulan depan. Biarpun menyedari Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF) dilaporkan mahu memancing khidmantnya, Kim Swee lebih berminat untuk memberikan perhatian terhadap skuad kendaliannya. Sebelum ini, MFF dikatakan berminat mendapatkan sentuhan pengendali kelahiran Melaka itu dalam usaha menjadi salah satu kuasa besar bola sepak di Asia Tenggara. Keseriusan itu telah terpancar apabila MFF dilaporkan bersedia untuk membayar habuan lumayan AS$70,000 (RM224,280) setiap bulan jika Kim Swee bersetuju untuk membimbing pasukan kebangsaan Myanmar. Namun, Kim Swee kekal tenang, enggan mengulas lanjut berhubung masa depannya bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mana kontraknya dengan badan induk bola sepak negara itu bakal berakhir pada 31 Disember depan. "Saya lebih berminat untuk memberikan tumpuan terhadap persediaan menghadapi Sukan SEA daripada memikirkan tawaran tersebut. "Misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar adalah lebih mustahak," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam. Selain masa depan Kim Swee, FAM dijangka bakal memutuskan kedudukan sebenar jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal dalam Mesyuarat Exco FAM di Kelana Jaya, hari ini. Seperti Kim Swee, kontrak Rajagobal akan berakhir pada 31 Disember dan keputusan untuk melanjutkan kontrak semasa bekas pengendal Selangor itu bakal terjawab hari ini. Skuad Harimau Malaya gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 selepas tewas 0-1 kepada Qatar pada siangan kelayakan peringkat Kumpulan D di Stadium Shah Alam, Selasa lalu. Rajagobal sebelum ini mengakui berhasrat untuk menyelesaikan tugasannya bersama skuad negara untuk aksi terakhir menentang Yemen pada 5 Mac depan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |