Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Twitz.fm Sahana radio internet Tamil Posted: Twitz.fm Sahana radio internet Tamil
WALAUPUN baru setahun ke udara, Twitz.fm Sahana, sebuah stesen radio Tamil tempatan kini semakin popular baik dalam kalangan pendengar tempatan mahupun di luar negara. Stesen tersebut merupakan stesen radio Tamil pertama yang memperoleh lesen di Malaysia untuk beroperasi secara dalam talian menerusi laman web www.twitz.fm/sahana. Bekas deejay sebuah stesen radio Tamil yang popular di Astro, Gunaselvi Chelliah yang kini bertugas di stesen itu berkata, kewujudan stesen radio Tamil dalam talian memberikan pilihan kepada para pendengar untuk berhibur. "Kami mempunyai pendengar dari seluruh dunia. Antaranya termasuklah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Lebanon dan Sri Lanka. "Selaku sebuah stesen radio internet, kami dapat berhubung tanpa sempadan, malah stesen ini satu-satunya radio internet berbahasa Tamil di negara ini yang berlesen dan memperoleh kelulusan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP)," ujar Gunaselvi atau lebih dikenali sebagai Selvi. Twitz.fm merupakan stesen radio yang dimiliki syarikat rakaman Infinity, yang diusahakan oleh K. S. Kannadasan, 49. Sasaran pendengar radio tersebut ialah generasi muda, hype dan pelayar internet. "Cabaran utama kami ialah untuk memperkenalkan jenama Sahana menggunakan medium internet. Kami banyak melakukan promosi dalam talian seperti laman sosial Facebook dan Twitter. "Selain itu, kami juga meneruskan hubungan baik dengan beberapa syarikat hiburan di India sekali gus memudahkan untuk mendapatkan berita-berita hiburan terbaharu," kata Kannadasan. Di konti radio Twitz.fm Sahana, semua peralatan dan gajet yang digunakan adalah canggih dan terkini. Stesen tersebut turut mempunyai dua orang deejay lain iaitu Khartik Ganason, 24, yang dikenali sebagai DJ Khartik dan S. Samson Thomas, 26, iaitu DJ Saint. Dari kiri : DJ SAINT, Khartik dan Selvi sibuk melayan pendengar sambil memutar lagu pilihan di stesen radio internet Tamil, Twitz.fm Sahana. Pendengar setia Khartik ke udara pada waktu malam dari pukul 8 hingga 11 malam. Walaupun kurang fasih berbahasa Tamil tetapi beliau mempunyai gaya tersendiri yang menjadi tarikan pendengar. Selain itu, Khartik peka dengan berita hiburan Tamil dan Hollywood semasa. "Kami ada pendengar setia yang hanya mengenali kami melalui suara. Tetapi saya percaya bilangan tersebut akan bertambah pada masa akan datang. "Saya juga seronok menjadi sebahagian daripada keluarga Twitz.fm Sahana kerana pendedahan terhadap peralatan di konti yang canggih dan terkini membuatkan kerja menjadi mudah serta menyeronokkan. Kami juga sentiasa menyajikan berita-berita terbaharu mengenai hiburan Tamil di seluruh dunia," ujar Khartik. Dalam pada itu, DJ Saint mengendalikan sesi siaran dari pukul 11 pagi hingga 3 petang. Pada pendengarnya terdiri daripada pelajar kolej dan pekerja pejabat. "Ketika ini, kami membekalkan hiburan dan info hiburan yang lengkap tanpa banyak iklan komersial. "Ketika ke udara kami bebas bersembang bersama para pendengar dengan membincangkan isu-isu semasa. Kami juga turut menyenarai filem terbaik atau terburuk, topik-topik semasa berkaitan golongan muda, temuramah tetamu jemputan di samping menawarkan kebebasan kepada pendengar untuk berkongsi maklumat," kata DJ Saint. - NIZHA PERIASWAMY | |
Usaha Taiwan tangani iklim dunia Posted: Usaha Taiwan tangani iklim duniaOleh WAN HASNAN WAN HASAN TAUFAN Morakot pada Ogos lalu di Pingtung, selatan Taiwan telah mencetuskan bencana banjir. SEBAGAI pulau yang cantik di bahagian barat Lautan Pasifik, Taiwan secara amnya mempunyai cuaca yang baik sepanjang tahun. Namun, itu bukanlah tiket kepada Taiwan untuk bebas daripada ancaman bencana alam seperti taufan, kemarau dan gempa bumi. Malah, kejadian taufan dan kemarau yang melanda negara kecil itu semakin ganas ekoran perubahan iklim dunia. Tanpa disedari, perubahan iklim dunia hakikatnya telah memberi kesan drastik kepada Taiwan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan indikasi peningkatan paras laut. Kesannya, jutaan penduduk di pulau tersebut terpaksa menghadapi pelbagai siri bencana alam yang dahsyat dan menakutkan. Pemanasan global menyebabkan perubahan cuaca secara drastik, kemarau, banjir silih berganti dan ramalan taufan semakin sukar. Pada bulan Ogos lalu, Taufan Morakot telah membawa jumlah hujan yang banyak iaitu 2,686 milimeter dalam masa kurang empat hari di Pingtung, selatan Taiwan. Hujan lebat beserta taufan itu telah mencetuskan bencana banjir besar dan tanah runtuh yang teruk sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda. Langkah tegas Kejadian tersebut merupakan satu amaran kepada Taiwan supaya segera mengambil langkah tegas bagi menangani masalah perubahan iklim dunia. Berdasarkan laporan penyelidikan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) pada tahun 2007, punca utama berlakunya pemanasaan global ialah aktiviti industri yang tidak terkawal sehingga menyebabkan pelepasan gas karbon dioksida secara berleluasa. Menteri Pentadbiran Perlindungan Alam Sekitar Taiwan, Stephen Shu-hung Shen berkata, perubahan iklim dunia adalah satu fenomena yang memerlukan penyelesaian secara global. "Sebagai ahli yang bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa, Taiwan komited untuk mengatasi masalah ini. "Kami juga merupakan salah satu daripada beberapa buah negara di dunia secara sukarela mengumumkan sasaran pengurangan pelepasan gas karbon dioksida," katanya. Tegas beliau, Taiwan memerlukan sokongan dunia untuk berada dalam Konvensyen Rangka Kerja Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) bagi membolehkan negara itu menyalurkan kepakaran mereka. "Walaupun ketika ini, Taiwan tidak termasuk dalam organisasi UNFCCC tetapi Taiwan tetap berminat untuk menyertai usaha antarabangsa ke arah menjimatkan tenaga dan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida," tegasnya. Pada pendapat Shu-Hung Shen, Taiwan seharusnya dimasukkan ke dalam UNFCCC walaupun bukan sebagai ahli tetap memadai menjadi anggota pemerhati kerana negara itu tidak terkecuali menanggung beban kesan perubahan iklim dunia. PENUNGGANG motosikal bersesak-sesak di salah satu simpang jalan raya di Taipei pada waktu puncak. Shu-hung Shen memberitahu, sejak dua tahun lalu, Taiwan telah menerima pakai pelbagai langkah penyesuaian untuk memerangi isu pemanasan global dan perubahan iklim. Antara langkah yang telah diambil ialah dengan melancarkan kempen penjimatan tenaga dan pengurangan pelepasan gas karbon dioksida di negara itu. Dalam usaha untuk menyelamatkan dunia, Taiwan telah memulakan langkah tegas dengan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap penggunaan teknologi yang menjimatkan tenaga serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dalam pelbagai sektor di negara itu. Antara teknologi yang dibangunkan ialah mempertingkatkan penggunaan tenaga solar dalam menjimatkan tenaga. Sebelum tahun 2007, penggunaan tenaga dan tahap pelepasan karbon di Taiwan sangat tinggi dan kecekapan pengurusan tenaga di negara itu berada pada tahap yang sangat rendah. Bagaimanapun, selepas tahun 2008, pihak pemerintah Taiwan telah menetapkan pengurangan pelepasan karbon sebagai salah satu matlamat dalam pembangunan nasional. Antaranya memberi diskaun kepada orang ramai yang kurang menggunakan elektrik dan menggalakkan para pelabur menandatangani perjanjian pengurangan pelepasan gas karbon dioksida secara sukarela melalui penggunaan teknologi hijau. Sokong Taiwan Usaha untuk mengurangkan tenaga telah berjaya menjimatkan penggunaan elektrik sebanyak 6.3 terawatt sejam atau bersamaan dengan penggunaan elektrik untuk 1.87 juta isi rumah di bandar Tainan selama dua tahun. Bagi pengurangan pelepasan gas karbon pula, di bawah inisiatif itu, Biro Tenaga Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Taiwan mengeluarkan data yang menunjukkan bahawa tahap pengeluaran gas karbon dioksida negara itu pada tahun 2012 ialah sebanyak 248.7 juta tan metrik dan ia telah merosot sebanyak 1.9 peratus berbanding tahun 2011. Penurunan itu juga menunjukkan tahap pelepasan karbon dioksida pada tahun 2005 sebanyak 245.2 tan metrik. Sehubungan itu, masyarakat antarabangsa perlu menyokong penyertaan Taiwan dalam UNFCCC dengan memberikan status pemerhati kepada Pentadbiran Perlindungan Alam Sekitar Taiwan (EPA) untuk turut serta dalam organisasi badan dunia itu. "Melihat usaha-usaha yang telah kami lakukan, kami percaya bahawa Taiwan layak untuk menyertai UNFCCC sebagai pemerhati dan kami memohon bantuan anda untuk kemasukan Taiwan ke dalam badan dunia itu," Shu-hung Shen. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |