Kosmo Online
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online |
- Penyertaan Malaysia dalam Chogm 2013 adalah relevan - Anifah
- Pemilik kereta pengsan jumpa mayat atas bumbung keretanya
- Bas mini rempuh pondok pengawal lintasan keretapi, 12 penumpang cedera
Penyertaan Malaysia dalam Chogm 2013 adalah relevan - Anifah Posted: Penyertaan Malaysia dalam Chogm 2013 adalah relevan - Anifah13/11/2013 10:42pm COLOMBO - Usaha Malaysia mengambil bahagian dalam Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (Chogm) 2013 di Sri Lanka adalah relevan kerana ia mempunyai banyak perkara untuk dikongsi dan belajar dari negara-negara Komanwel yang lain. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, dengan keanggotaan menjangkau semua lima benua di dunia, Komanwel berada dalam kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting bagi menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan di seluruh pelosok dunia seperti menggalakkan demokrasi dan tadbir urus yang baik, ekonomi, sosial dan budaya. Menurut Anifah, penyertaan Malaysia dalam Chogm tahun ini, yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadual tiba di ibu negara Sri Lanka pada Khamis, adalah satu bukti kepada komitmennya untuk menjadi hos mesyuarat sidang kemuncak dwitahunan pada 2019. "Ia menunjukkan kesediaan, bagaimana kesanggupan kita (menjadi hos pada 2019)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini. Malaysia menawarkan untuk menjadi hos Chogm 2019 semasa Chogm 2011 di Australia. Najib dilaporkan berkata tahun itu sangat signifikan kerana Malaysia menjadi hos pertama pada 1989 iaitu 30 tahun lepas. - Bernama |
Pemilik kereta pengsan jumpa mayat atas bumbung keretanya Posted: Pemilik kereta pengsan jumpa mayat atas bumbung keretanya13/11/2013 10:34pm GEORGE TOWN - Seorang lelaki pengsan apabila mendapati satu mayat lelaki terlentang di atas bumbung keretanya yang diparkir di Pangsapuri Sri Saujana, Lebuh Macallum di sini. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6 petang mengatakan terdapat pemandu tersepit dalam kereta jenis Proton Waja itu. "Apabila tiba di lokasi kejadian, kita dapati ada mayat lelaki di atas bumbung kenderaan yang remuk teruk manakala pemiliknya pengsan di hadapan kereta itu," katanya ketika dihubungi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, mangsa Liew Kam Ming, 49, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kaki kanannya hampir putus dipercayai akibat terjatuh daripada tingkat 24 pangsapuri berkenaan. Kong Meng berkata, mayat lelaki itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. "Kita sedang mengesan ahli keluarga Kam Ming untuk tampil membantu siasatan dan menuntut mayatnya," jelasnya. - Bernama |
Bas mini rempuh pondok pengawal lintasan keretapi, 12 penumpang cedera Posted: Bas mini rempuh pondok pengawal lintasan keretapi, 12 penumpang cedera13/11/2013 10:28pm KOTA KINABALU - Dua belas penumpang cedera, dua daripadanya parah selepas sebuah bas mini merempuh sebuah pondok kawalan lintasan keretapi di Jalan Kota Kinabalu-Putatan petang tadi. Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, DSP Norazizulkifli Mansor berkata, kejadian berlaku ketika hujan renyai-renyai kira-kira 6.30 petang yang menyebabkan pemandu bas mini itu turut cedera ringan. "Ketika kejadian, bas mini (jenis van) ini dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Putatan. "Apabila sampai di lokasi, pemandu bas mini ini hilang kawalan lalu merempuh pondok kawalan lintasan keretapi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini. Kata Norazizulkifli, siasatan awal mendapati pemandu bas mini itu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Kesemua mangsa yang terdiri daripada orang dewasa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |