Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Jangan ghairah buang sistem negara - Raja Nazrin
- Sudah tiba masa kandungan Internet ditapis - Tun M
- Laut bergelora: Nelayan dinasihat tidak ke laut
Jangan ghairah buang sistem negara - Raja Nazrin Posted: 10 Nov 2013 01:13 AM PST KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mengingatkan semua pihak khususnya orang Melayu supaya tidak terlalu ghairah dengan tuntutan pemodenan sehingga mudah "membuang" sistem negara termasuk institusi Raja-raja Melayu. Malah, titah baginda, di sebalik gelombang globalisasi, rakyat perlu bijak mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan terhadap pemodenan supaya 'air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit'. "Institusi raja pernah berdepan ujian getir sekitar 80-an dan 90-an, ketika orang Melayu begitu ghairah, merasakan dirinya cukup gagah, cukup hebat. (Ingatlah), institusi raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan, payung mahkota negara. Ia mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya. "Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana 'riak melihat fajar yang sedang menyingsing. Ingatlah, hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, rakyat mula teraba-raba, hilang haluan diselubungi kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi," titah baginda dalam Kongres Profesor Negara II di sini hari ini. Kongres anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) itu turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi MPN, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid. Raja Nazrin bertitah, raja adalah simbol penyatuan dan payung kedaulatan negara yang memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan kabilah politik. - UTUSAN ONLINE |
Sudah tiba masa kandungan Internet ditapis - Tun M Posted: 10 Nov 2013 01:08 AM PST DR. Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Canselor Uniten, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas (kanan) pada Majlis Konvokesyen Uniten ke-16 di Bangi, Selangor har ini. - UTUSAN KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi mengawal serta menapis isi kandungan dalam Internet dan menghentikan akses kepada laman web yang tidak bermanfaat. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun beliau sebelum ini tidak bersetuju kandungan Internet ditapis, namun peningkatan jumlah kes jenayah ketika ini memerlukan kerajaan mengambil langkah tersebut dengan segera. Menurutnya, lambakan kandungan Internet yang menjurus kepada pornografi, penyebaran fitnah dan berita palsu telah memusnahkan nilai-nilai moral baik dalam kalangan generasi muda. "Walaupun kerajaan sudah berjanji tidak akan menapis Internet tetapi perjanjian itu dibuat sebelum Internet berkembang luas. Hari ini, kita dapati media sosial mudah disalah guna dan menyumbang kepada bertambahnya jenayah termasuk melibatkan kes rogol dan bunuh," katanya. Beliau berucap selepas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pengurusan Komunikasi dan Teknologi Maklumat pada Istiadat Majlis Konvokesyen Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke-16 di sini hari ini. Tambah Dr. Mahathir, walaupun langkah yang bakal diambil itu tidak selari dengan kebebasan bersuara serta hak asasi manusia, namun perlu dilakukan demi keamanan negara. - UTUSAN ONLINE |
Laut bergelora: Nelayan dinasihat tidak ke laut Posted: 10 Nov 2013 12:41 AM PST Oleh TOREK SULONG PASIR PUTEH 10 Nov. - Lebih 3,000 nelayan tradisional dan laut dalam di Kelantan dinasihatkan tidak turun ke laut berikutan keadaan laut bergelora dan berbahaya kepada sebarang aktiviti menangkap ikan mulai sekarang. Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Mohd. Adnan Wan Ibrahim berkata, nelayan mesti akur terhadap nasihat pihak berkuasa terutama amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi yang lebih arif tentang keadaan semasa cuaca. "Kita tidak mahu nelayan dari empat jajahan iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat mengambil tindakan sendiri untuk mencari rezeki di laut. Sebarang tindakan keluar masuk ke laut perlu dilaporkan atau dilakukan secara berkumpulan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |