Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Pencawang SESB terbakar, 8,000 pengguna terjejas
- Kucing kurap: Kakitangan MPPP 'serang' Jeff Ooi di pasar
- Swasta tidak terikat cuti Jumaat, Sabtu - MB Johor
Pencawang SESB terbakar, 8,000 pengguna terjejas Posted: 24 Nov 2013 03:03 AM PST KOTA KINABALU 24 Nov. - Gangguan bekalan elektrik kira-kira dua jam yang dialami kira-kira 8,000 pengguna di sekitar kawasan Likas, Kolombong, Lintas dan Iramanis berpunca pencawang elektrik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) di Tanjung Lipat terbakar kira-kira 6.55 pagi Ahad. Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Muhamad Nazri Pazil berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati salah satu alatubah di pencawang itu mengalami kerosakan menyebabkannya terbakar. "Bekalan elektrik kepada semua pengguna di kawasan terlibat berjaya dipulihkan secara berperingkat dan pulih sepenuhnya pada 9 pagi," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu. Katanya, anggaran awal kerugian yang dialami akibat kebakaran itu ialah RM2 juta. Muhamad Nazri berkata, pasukan Teknikal SESB sedang giat menjalankan pemeriksaan ke atas alatubah berkenaan bagi mengenal pasti punca sebenar kerosakan dan bentuk tindakan selanjutnya yang akan diambil. Pengguna digalakkan menghubungi talian Hotline SESB di 15454 atau 088-515000 sekiranya kawasan mereka terputus bekalan elektrik dan semua aduan melalui saluran aduan rasmi 24 jam itu akan diambil tindakan segera, katanya. - BERNAMA |
Kucing kurap: Kakitangan MPPP 'serang' Jeff Ooi di pasar Posted: 24 Nov 2013 02:45 AM PST Oleh AZELI ALI JEFF Ooi (kanan, berkaca mata) enggan menemui kakitangan MPPP, Mohd. Rofi Osman (kiri, mengangkat tangan) yang meminta Ahli Parlimen Jelutong itu menarik balik perkataan 'kucing kurap' tang digunakannya merujuk kakitangan awam di Pulau Pinang, ketika beliau melawat Pasar Awam Jelutong di sini hari ini. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN PULAU PINANG 24 Nov. - Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang sedang melawat Pasar Awam Jelutong di sini hari ini 'diserang' seorang kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang tidak berpuas hati dengan perkataan 'kucing kurap' yang digunakan wakil rakyat DAP itu bagi merujuk penjawat awam di negeri ini. Mohd. Rofi Osman, 58, dengan lantang mendesak Jeff menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf secara terbuka kepada semua kakitangan MPPP. Bagaimanapun, Jeff seolah-olah tidak mengendahkan tuntutan Mohd. Rofi yang ditemani isterinya, Aminah Abdullah dan cuba mengelak daripada bersemuka dengan mereka. Beberapa pembantunya cuba menghalang kedua-dua mereka daripada menghampiri ketika Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri itu mengadakan sidang akhbar berhubung penjaja haram di kawasan berkenaan. Berikutan 'serangan' tersebut, Jeff terpaksa menamatkan segera sidang akhbar berkenaan lalu beredar dari situ. - UTUSAN ONLINE |
Swasta tidak terikat cuti Jumaat, Sabtu - MB Johor Posted: 24 Nov 2013 02:41 AM PST PASIR GUDANG 24 Nov. - Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak swasta tidak terikat dengan pelaksanaan pertukaran cuti hujung minggu dari Sabtu dan Ahad ke Jumaat dan Sabtu di negeri ini bermula awal tahun depan. "Terpulang kepada pihak swasta untuk mengikutnya atau tidak," katanya kepada pemberita selepas aktiviti gotong royong di Taman Dahlia di sini Ahad. Beliau berkata, sebelum ini Johor pernah melaksanakan cuti hujung minggu pada Jumaat iaitu sebelum 1994 dan ia dijangka tidak akan memberi kesan besar terhadap ekonomi Johor. Mohamed Khaled berkata, sektor perniagaan dan pelaburan tidak akan terkesan secara negatif malah mendapat lebih manfaat kerana pejabat kerajaan negeri beroperasi pada Ahad. "Sebelum ini terdapat rungutan bahawa sektor swasta tidak dapat berurusan dengan jabatan kerajaan negeri kerana kesibukan urus niaga tetapi sekarang dengan pertukaran tersebut kita harapkan mereka akan datang kerana kita akan bekerja pada Ahad," katanya. Sebuah media Singapura, Channel News Asia melaporkan keputusan itu akan menjadikan Johor sedikit kurang menarik untuk pelaburan selain ia tidak tepat pada masanya berikutan kerjasama dalam pelbagai sektor semakin meningkat antara Johor dan republik itu. Mohamed Khaled berkata, sememangnya akan ada perbezaan pendapat apabila sesuatu yang baharu dilaksanakan namun yakin ia tidak memberi kesan besar terhadap ekonomi. Kerajaan negeri, katanya, akan memaklumkan kerajaan pusat mengenai pertukaran cuti hujung minggu itu sebelum 1 Januari tahun depan. "Ini akan memberi masa untuk kerajaan pusat mengkaji sebelum membuat keputusan sama ada jabatan dan agensi kerajaan pusat akan mengikuti keputusan untuk tidak bekerja pada Jumaat dan Sabtu," katanya. Pertukaran cuti hujung minggu itu dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada majlis Doa Kesyukuran, Majlis Terimaan, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Muar Sabtu. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |