Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Supermokh Sebuah Muzikal papar kehidupan legenda Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST Satu daripada babak dalam teater Supermokh Sebuah Muzikal yang kini dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur sehingga 18 November ini. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid KUALA LUMPUR 7 Nov. - Pementasan teater berkisar kisah hidup legenda bola sepak tanah air iaitu Supermokh Sebuah Muzikal ternyata berjaya apabila pementasan pertamanya mendapat sambutan daripada peminat yang memenuhi segenap dewan Panggung Sari, Istana Budaya. Jelas penerbit dan pengarahnya iaitu Hans Isaac, segala penat lelah seluruh tenaga produksi terbayar apabila pementasan berskala besar ini berjaya dipentaskan bersama dengan kualiti yang dibawa oleh jalan cerita serta para pelakon. "Berdasarkan teater muzikal ini, masyarakat umum khususnya peminat legenda tersebut dapat melihat cabaran dan dugaan hidup yang ditempuh oleh beliau dan isteri. "Selain daripada itu, terdapat juga elemen-elemen yang tidak diketahui oleh ramai pihak mengenai hidup beliau dan ini pastinya merupakan suatu pengalaman unik buat pengunjung," katanya. Hans berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai pementasan pertama teater yang bermula semalam dan akan berakhir pada 18 November ini. Antara nama besar yang membintangi teater tersebut termasuklah Awie, Maya Karin, Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Clarence Kuna, Oliver Johanan dan Radhi Khalid. Mendukung watak sebagai Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Awie menjelaskan dia amat berpuas hati dengan pementasan malam pertama namun akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan momentum pada persembahan berikutnya. "Di dalam pementasan teater, perkara paling mustahak adalah latihan dan kerjasama berpasukan dan saya amat berpuas hati dengan kejayaan pementasan pertama ini. "Saya berharap kepada masyarakat umum untuk hadir menyaksikan teater ini kerana sebenarnya banyak yang kita tidak tahu berhubung kisah hidup legenda yang pernah menjulang nama negara dalam arena bola sepak tanah air suatu ketika dahulu," ujarnya. Bagi yang berminat untuk menyaksikan teater tersebut, tiket-tiket berharga daripada RM38 sehingga RM306 boleh didapati dengan berkunjung terus ke Istana Budaya atau boleh layari laman web www.ticket2u.biz. |
Konsert The Journey of Nur kemuncak PIIACuF 2013 Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST PUTRAJAYA 7 Nov. - Kemuncak Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya 2013 (PIIACuF) akan diserikan dengan konsert The Journey of Nur di Dataran Putrajaya, Presint 3, di sini pada 9 November ini. Konsert eksklusif itu membariskan artis-artis terkemuka antarabangsa dan tanah air iaitu Maher Zain, Opick, Zain Bhikha, Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip, Raef serta kumpulan nasyid Raihan dan In-Team. Mereka akan mendendangkan lagu masing-masing antaranya Andalusia, Bumi Rumi Menari, Kias Fansuri, Barakallahulakuma, Maulaya, For The Rest of My Life, Rapuh dan Ya Maulana. Perbadanan Putrajaya dalam kenyataan menyebut, konsert yang bakal menampilkan kepelbagaian jenis genre muzik Islam itu akan membawa pengunjung ke satu dimensi perjalanan bermula cetusan Tamadun Islam di Andalusia sehingga kepada perkembangan sinar Islam ke seluruh pelosok dunia. "Konsert ini akan memberi satu kelainan dengan dendangan lagu-lagu kerohanian dalam satu penceritaan sepanjang persembahan," katanya. PIIACuF 2013 menyasarkan kira-kira 500,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa sepanjang sepuluh hari acara itu berlangsung. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |