Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Mamu, Gerak, Zero layak sertai Posted: 08 Nov 2013 08:32 PM PST SHAH ALAM 9 Nov. - Kumpulan pelawak Gerak, Mamu dan Zero akhirnya melayakkan diri bertanding dalam Maharaja Lawak Mega 2013 bersama 13 lagi peserta pada musim ketiga pertandingan itu, 15 November ini. Tiga kumpulan itu menewaskan sembilan lagi peserta dalam kategori Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 iaitu Shake, Glory, Santan, Hai, Pajak, Kecik, 2Yol, Gadai dan Keross pada peringkat saringan Maharaja Lawak Mega 2013 yang diumumkan di sini semalam. Menurut Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani, dengan kelayakan itu, Zero, Mamu dan Gerak akan bersaing dengan 13 lagi peserta Maharaja Lawak Mega 2013 yang telah terpilih dalam pertandingan dengan hadiah keseluruhan RM980,000 itu. "Seramai 13 peserta lain iaitu Jambu, Boboi, Shiro, Saywho, Wala, Comey, Nabil, Osama, Tulang, Bocey, Sepahtu, Kucai dan SYJ telah terpilih secara automatik oleh pihak Astro berdasarkan bakat, populariti dan kriteria-kriteria yang lain. "Cuma bezanya pemenang Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 ditentukan 100 peratus oleh juri, manakala pemenang Maharaja Lawak Mega 2013 nanti pula 70 peratus melalui pilihan juri dan 30 peratus undian SMS," katanya kepada Utusan Online semalam. Pada peringkat Kerusi Panas Maharaja Lawak Mega 2013 jurinya ialah Datuk Aznil Nawawi, Datuk Hattan dan Azwan Ali, manakala juri Maharaja Lawak Mega 2013 terbitan Astro Warna itu pula akan diumumkan pada persaingan minggu pertamanya Jumaat ini. - UTUSAN ONLINE |
Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI SETIAP individu mempunyai aktiviti masa lapang sendiri. Ada di antara mereka melakukannya bagi mengisi masa lapang kerana ia hobi kegemaran mereka. Ada pula yang aktif bersukan. Namun, bagi jejaka berusia 24 tahun ini, perkara yang paling disukainya adalah memasak. Nik Michael Imran Nik Ezar mungkin masih muda, tetapi chef selebriti ini semakin dikenali sejak menyertai pertandingan realiti masakan popular, Masterchef Selebriti Malaysia dan program Dapur Panas pada bulan Ramadan yang lalu. Sungguhpun tidak mempunyai kelayakan dalam bidang masakan, namun kata Nik Michael, cintanya terhadap bidang masakan adalah sesuatu yang amat mendalam dan merupakan perkara utama dalam hidupnya kini. Saya mula aktif di dapur sejak dari kecil lagi. Ini kerana ayah saya merupakan seorang chef yang bertugas di Australia. Seingat saya, sejak berusia sembilan tahun, saya sudah menghabiskan banyak masa di dapur, dan minat tersebut semakin meningkat semasa usia remaja. Sungguhpun saya tidak menerima pendidikan formal dalam bidang masakan, namun saya yakin dengan kebolehan memasak yang saya perolehi daripada pengalaman dan dibantu pula oleh inspirasi daripada ayah saya, maka kesemua faktor itu membantu saya dalam mendalami dunia masakan," katanya. Nik Michael berkata demikian sewaktu majlis makan tengah hari program Dapur Panas terbitan TV3 yang mula bersiaran sejak 31 Oktober lalu pada pukul 11.30 pagi. Tambah Nik Michael yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang perbankan ini lagi, kepuasan terbesar yang diraihnya melalui bidang tersebut adalah hasil akhir. Bagi saya, kepuasan adalah sewaktu kita melihat kerja yang dilakukan berbayar dengan hasil masakan yang enak terhidang daripada campuran pelbagai bahan mentah dan teknik masakan berbeza. Selain itu, pastinya sebagai seorang tukang masak, kegembiraan buat diri saya adalah apabila melihat masakan saya habis dimakan dan pinggan yang kembali adalah pinggan kosong," tambahnya. Nik Michael yang mahir dalam teknik masakan makanan Perancis dan Itali itu berkata, jika dia tidak terlibat dengan sebarang tugas pengacaraan, kebanyakan waktunya akan dihabiskan di restoran miliknya, Picknik Comfort Food Cafe yang terletak di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Menurutnya, restoran itu telah beroperasi sejak lebih setahun lalu dan konsep dapur terbuka yang dipraktikkan membolehkan pelanggan melihat sendiri teknik masakan yang digunakan dalam menyediakan sesuatu sajian. Sebelum saya memulakan perniagaan ini, saya pernah mengusahakan sebuah gerai pasta ketika masih belajar di Cyberjaya. Hanya selepas tiga minggu berniaga, saya sudah mendapat pulangan modal. Namun, perniagaan itu terhenti setelah kira-kira dua bulan lebih beroperasi kerana saya tamat pengajian," ujarnya. Kini, jika Nik Michael tidak terlibat dengan tugas-tugas rakaman, dia lebih banyak menghabiskan masa di restorannya itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |