{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Jana pendapatan RM12 bilion

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

NUSAJAYA 9 Nov. - Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) tahun depan, Johor menyasarkan kehadiran pelancong kira-kira 4.6 juta orang, sekali gus mampu menjana pendapatan sekitar RM12 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, jumlah tersebut dilihat optimis untuk dicapai ekoran kehadiran pelancong ke Johor tahun ini yang telah mencapai 4.2 juta.

Beliau berkata, promosi yang kian rancak dijalankan di dalam dan luar negara juga merupakan salah satu pendekatan untuk menarik lebih ramai pengunjung, selain memberi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada.

"Johor mempunyai keunikan dan keistimewaan dari segi laluan pintu masuk utama berbanding negeri lain. Kita mempunyai 14 pintu masuk utama dengan enam daripada telah terpilih untuk menjadi laluan utama bagi TMM 2014.

"Antara pintu masuk berkenaan ialah Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar dan Link Kedua bagi jalan darat, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTSI) Senai (laluan udara) dan Terminal Feri Puteri Harbour (laluan laut)," katanya dalam sidang akhbar Bangunan Dato Jaafar Muhammad di sini semalam.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Johor, Edzuar Zar Ayob Azhari.

Ujar Siew Kiong, pihaknya berharap dapat menarik lebih ramai pelancong, khususnya pelawat baharu yang belum menjelajah ke negeri ini terutamanya dari Singapura, Indonesia, India, China dan Asia Barat.

Sementara itu, Edzuar Zar berkata, pihaknya turut merancang mengadakan cabutan bertuah 'Spot the Sticker' sebagai galakan penglibatan orang ramai dalam mempromosi kempen berkenaan.

"Kita akan edarkan pelekat kenderaan sebagai rangka promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 ini di Plaza Tol Skudai dan kenderaan bertuah akan terpilih untuk menerima hadiah yang ditawarkan. Dalam menjayakan agenda kebangsaan ini, semua pihak terutamanya orang awam terlibat secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Lantikan baharu Badan Perhubungan UMNO Johor selesai

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 9 Nov. - Badan Perhubungan UMNO Johor melantik Ketua UMNO Bahagian Kluang yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Md. Jais Sarday dan Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Datuk Baharum Mohamed sebagai Setiausaha dan Bendahari Perhubungan UMNO negeri yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO negeri juga sebulat suara mengekalkan Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri.

"Pada kali ini kita juga telah melantik biro-biro yang mana Biro Agama diketuai Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman manakala Biro Ekonomi disandang Ketua UMNO Bahagian Tebrau yang juga ADUN Tiram, Datuk Maulizan Bujang.

"Bagi Biro Pendidikan digalas Ketua UMNO Bahagian Tenggara yang baharu yang juga ADUN Pasir Raja, Datuk Adham Baba. Manakala Biro Latihan disandang Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong yang juga Exco negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang khusus membuat lantikan tersebut di Pejabat Perhubungan UMNO negeri di sini hari ini.

Lantikan tersebut dibuat setelah kepimpinan sayap UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri selesai mengadakan pemilihan masing-masing pada 12 Oktober lalu, manakala pemilihan di peringkat bahagian dan kepimpinan Majlis Tertinggi dibuat 19 Oktober lalu.

Menurut Mohamed Khaled, lazimnya ketua-ketua sayap UMNO di peringkat pusat akan mengadakan perbincangan untuk melantik ketua-ketua sayap di peringkat negeri-negeri dan selepas proses itu selesai, ketua sayap terbabit akan berjumpa Pengerusi Perhubungan UMNO negeri untuk membincangkan lantikan tersebut.

"Apa pun yang penting sesiapa juga yang dilantik untuk mewakili negeri ini, sewajarnya mengambil kira mereka yang berkenaan mampu sama-sama membina kekuatan UMNO sebagai satu-satunya parti tulen yang memperjuangkan bangsa Melayu dan mendaulatkan agama Islam," katanya.

Md. Jais ketika ditemui meluahkan perasaan terharu dengan kepercayaan yang diberikan untuk menggalas tanggungjawab besar dalam membantu Pengerusi Perhubungan UMNO negeri memantap dan memperkukuhkan jentera parti, khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 .

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada pentadbiran parti yang baik di peringkat negeri, menarik sokongan orang Melayu, mendekati pengundi baharu supaya memahami perjuangan UMNO dan parti juga memahami kehendak mereka.

Bagi Samsol Bari, pelantikan semula sebagai Ketua Penerangan disifatkan sebagai kepercayaan terhadapnya bagi menggalas tugas tersebut.

"Pada prinsipnya saya menghargai lantikan dan kepercayaan yang diberikan. Saya akan bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang memang dikenali sebagai orang yang kuat bekerja, baik sebagai pentadbir negeri mahupun untuk parti keramat Melayu iaitu UMNO ini, " katanya.

Umat Islam harus waspada ajaran Syiah

Posted: 09 Nov 2013 09:42 AM PST

KOTA TINGGI 9 Nov. - Individu beragama Islam yang bertanggungjawab menjaga kesucian agama itu hendaklah peka dengan usaha penyebaran dakyah Syiah dalam usaha membendung ancaman penyebaran ajaran sesat tersebut.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohd. Noorazam Osman berkata, umat Islam mesti berwaspada dengan ajaran yang membawa kepada perpecahan seperti yang berlaku di negara-negara Islam lain seperti Syria dan didedahkan oleh media massa dan elektronik.

"Berbanding beberapa tahun yang lalu, kini penganut Syiah kelihatan lebih agresif dan berani. Mereka tidak segan silu menonjolkan diri serta berbangga dengan akidah dalam kalangan masyarakat negara ini yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Malah, menurut laporan kaji selidik yang dikeluarkan Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Johor, dianggarkan lebih kurang 500 orang atau 100 keluarga yang berfahaman Syiah di negeri ini," katanya ketika merasmikan Seminar Pemantapan Akidah 'Bahaya Ajaran Syiah' di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini kelmarin.

Yang turut hadir Pentadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Datuk Kiyai Shamsudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain.

Menurut Noorazam, penganjuran seminar tersebut adalah salah satu usaha memberi penerangan dan penjelasan tentang fahaman Syiah agar masyarakat dalam daerah ini tahu bahaya ajaran tersebut.

"Diharap melalui program ini, usaha membanteras Syiah menjadi wadah dan dapat memberikan kita banyak ilmu dan pengajaran. Inilah masanya seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa dan latar belakang sama-sama menyekat gerakan dan fahaman ini daripada terus berkembang dalam masyarakat kita terutama generasi muda," katanya.

Sementara itu, Mohd. Taufik berpuas hati dengan sambutan peserta yang melebihi jangkaan, sekali gus menunjukkan masyarakat berminat untuk mengetahui bahaya ajaran Syiah.

"Kita harap mereka yang hadir ini akan menyebar luas ilmu yang diperoleh kepada mereka di luar sana agar anak-anak dan saudara mara kita tidak terpengaruh dengan fahaman tersebut," ujarnya

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat