{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Legasi perniagaan kerepek melonjak

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
utusan.johor@gmail.com

Dua pekerja mengupas kulit ubi kayu sebelum diproses menjadi kerepek.

KOTA TINGGI 20 Nov. - Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

Perumpamaan itu yang menggambarkan kelangsungan perniagaan memproses dan membekal makanan ringan tradisional yang diusahakan Mohd. Jofrry Selamat, 65, dan isteri, Sabiah Saleh, 61, dari Felda Papan Timur di sini sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Bermula secara kecil-kecilan dengan modal sebanyak RM500, produk antaranya kerepek ubi dan cakar itu kemudiannya dijual sendiri oleh Mohd. Jofrey di sekeliling tanah rancangan itu dengan menggunakan motosikal.

Berkat kesungguhan dan kerja keras pasangan itu, mereka akhirnya berjaya mengembangkan perniagaan sedia ada hinggalah mampu menyewa sebuah kedai di Felda berkenaan untuk dijadikan pusat pemerosesan dan jualan.

Kelangsungan perniagaan pasangan itu tidak terhenti di situ malah diteruskan oleh dua daripada empat anaknya iaitu Rozaimah, 45, dan Shaifuzi, 35.

Syarikat Usaha Sama (SUS) yang ditubuhkan keluarga tersebut kini semakin berkembang maju dan telah menghasilkan lebih 20 produk makanan ringan, antaranya ubi masin, kerepek pisang, semperit dan yang paling popular iaitu ubi pedas.

Menceritakan tentang perniagaan anak beranak itu, Shaifuzi yang bertindak sebagai pengurus syarikat mengakui kejayaan yang ditempa hari ini tidak datang bergolek kerana mereka pernah mengalami turun naik dalam perniagaan.

Pada mulanya, emak hanya mengusahakan perniagaan ini di belakang kedai runcit dengan hanya berbekalkan sebuah kuali dan produk-produk yang dihasilkan ketika itu dijual menggunakan motosikal selain diletakkan di kedai-kedai runcit berhampiran.

"Bagaimanapun, langit tidak selalunya cerah. Produk emak ketika itu pernah dilarang dijual di kedai apabila peniaganya mendakwa tidak sedap dan tidak laku," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Shaifuzi memberitahu, apa yang terjadi tidak pernah mematahkan semangat ibunya, malah dijadikan sebagai satu cabaran bagi menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti tinggi.

Keazaman dan sikap cekal yang ditunjukkan oleh Mohd. Jofrry dan Sabiah itu sedikit sebanyak menjadi pendorong dan ikutan dua beradik itu apatah lagi sering mengikuti ibu bapa mereka itu berniaga sejak kecil.

"Mungkin sebab sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan alam perniagaan memberi kelebihan kepada kami kerana lebih awal merasai asam garam dalam perniagaan.

"Alhamdulillah, produk-produk kami ini bukan sahaja telah berkembang sehingga ke Lembah Klang, malah turut dikenali pelancong khususnya dari Singapura yang berkunjung ke daerah ini," katanya.

Menurutnya, syarikat tersebut yang mempunyai 13 pekerja turut dilengkapi dengan beberapa mesin berteknologi tinggi bagi memastikan pengeluaran produk dalam kuantiti yang lebih besar dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

Ini kerana permintaan terhadap produk makanan ringan tradisional tersebut akan bertambah setiap kali menjelangnya perayaan Hari Raya Aidilfitri.

"Kalau musim perayaan, kami memperuntukkan lebih 100 tan metrik ubi kayu. Seperkara menarik yang saya boleh kongsi pada hari raya, orang ramai terpaksa beratur untuk dapatkan ubi pedas kerana permintaannya sangat luar biasa," katanya.

Ditanya perancangannya pada masa depan, Shaifuzi dan Rozaimah sepakat mahu mengembangkan lagi produk-produk keluaran SUS di seluruh negara selain memastikan anak cucu mereka dapat meneruskan legasi perniagaan tersebut sampai bila-bila.

Kejayaan syarikat SUS tidak hanya dinikmati Mohd. Jofrry dan Sabiah bersama anak-anaknya, malah mereka turut membantu peniaga lain khususnya yang baharu bertapak dalam bidang perniagaan.

Shaifuzi memberitahu, pihaknya membantu menjual produk-produk usahawan lain, antaranya dari Felda Waha, Felda Lok Heng termasuk Pusat Dalam Komuniti Mas Timur.

Antara produk-produk yang dijual itu ialah makanan sejuk beku, epok-epok mini, kuih siput, popiah dan kuih kapit.

"Dulu kita susah, jadi kita tahu macam mana jerih perih berniaga. Justeru, bila diberi kesenangan, janganlah kita lupa diri sebaliknya gunakanlah kesempatan itu untuk membantu orang lain pula.

"Jika kita ikhlas dalam berniaga ini, pintu rezeki akan sentiasa terbuka. Itulah pegangan saya dari dahulu lagi," katanya.

Katanya, kewujudan SUS di Felda sedikit sebanyak membantu warga tanah rancangan itu, khususnya golongan suri rumah untuk menjana pendapatan sampingan.

Bagi Normah Mohd., 38, bekerja di syarikat tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk memperoleh pendapatan sampingan.

"Daripada buang masa baik kami bekerja, dapat jugalah duit untuk beli barangan harian. Waktu kerja pula fleksibel kerana waktu tengah hari boleh pergi ambil anak balik sekolah.

"Lagipun, saya dah beberapa tahun bekerja di sini dan suka dengan suasana kerjanya selain mempunyai majikan yang baik," katanya.

Dekati masyarakat secara berjadual

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

ZARINA Mohd. Bain (tujuh dari kiri ) bersama ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai menjayakan Majlis Kesyukuran dan Sambutan Maal Hijrah di Masjid Jamek Kampung Belokok, Pontian, Johor, kelmarin.

PONTIAN 20 Nov. - Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai akan menganjurkan lebih banyak program dan aktiviti yang dapat mendekatkan pergerakan itu dengan masyarakat termasuk dalam kalangan bukan ahli UMNO.

Ketuanya, Zarina Mohd. Bain berkata, pendekatan yang diambil itu diharap mampu menarik orang ramai termasuk golongan muda betapa pentingnya mereka bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk meningkatkan lagi kehidupan mereka dan tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak lain.

Beliau berharap, usaha itu turut mendapat kerjasama daripada semua ketua wanita cawangan dengan melupakan sebarangan perselisihan pandangan yang ada, sebaliknya bergerak sebagai satu pasukan yang kental dan mantap memperjuangkan nasib rakyat.

"Sebagai sayap kepada kepimpinan UMNO Bahagian Tanjung Piai, kami juga mempunyai misi dan visi untuk sama-sama memperkukuhkan parti bagi mengharungi cabaran pada pilihan raya umum akan datang.

"Marilah kita sama-sama melupakan pertandingan yang lalu dan kini memberi tumpuan kepada tugas serta tanggungjawab yang menanti semua pihak termasuk kepimpinan di peringkat akar umbi," katanya selepas Majlis Kesyukuran dan Sambutan Maal Hijrah anjuran Wanita UMNO Bahagian Tanjung Piai di Masjid Jamek Kampung Belokok di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai, Norafandi Jamian dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Shamsiah Shafie.

Bagi memeriahkan majlis, ceramah Maal Hijrah turut disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Azman Mohsin.

Zarina berkata, semua pihak perlu berganding bahu termasuk menggalakkan golongan muda mendaftar sebagai pengundi baru bagi memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

"Ketua-ketua Wanita cawangan boleh memainkan peranan mereka bagi memastikan rakyat yang layak mendaftar sebagai pemilih di kawasan masing-masing menunaikan tanggungjawab dengan segera," katanya sambil berikrar untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas yang jatuh kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Justeru, pihaknya akan menjalinkan kerjasama erat dengan kepimpinan wanita parti komponen BN yang lain untuk mencapai sasaran berkenaan.

RM5,000 hias bot Polis Marin Muar

Posted: 20 Nov 2013 10:27 AM PST

ANGGOTA Polis Marin melakukan persiapan untuk menyertai Pertandingan Bot Berhias sempena Hari Keputeraan Sultan Johor di Jeti Polis Marin, di Muar, Johor, semalam.

MUAR 20 Nov. - Lebih RM5,000 diperuntukkan oleh Pasukan Polis Marin di sini untuk menghias bot mereka bagi menyertai Pertandingan Bot Berhias sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor yang akan berlangsung di tebing Sungai Muar pada malam Ahad ini.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, antara daya penarik bot mereka adalah perkataan Daulat Tuanku dihasilkan daripada ratusan mentol berwarna biru yang berkelip.

"Persiapan sudah dilakukan sejak tiga hari lalu melibatkan 12 anggota polis marin. Jika pada tahun lepas Polis Marin Muar mendapat naib johan, kita sasarkan tahun ini untuk mendapat tempat pertama walaupun sedar saingan agak sengit.

"Kita bersaing dengan 31 bot lain yang tentunya mempunyai konsep dan kreativiti masing-masing. Kali ini 32 bot daripada pelbagai agensi dan jabatan menyertai pertandingan ini," katanya ketika ditemui semasa meninjau persiapan bot polis marin di Jeti Pangkalan Polis Marin Muar hari ini.

Pertandingan Bot Berhias adalah salah satu acara kemuncak bagi Karnival Jambatan Sultan Ismail pada malam berkenaan yang akan berlangsung dari Perhentian Bas Maharani di Jalan Maharani sehingga ke jambatan tersebut.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat