{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


157 pusat pemindahan beroperasi

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Oleh MOHAMED SAARI
utusanjohor@utusan.com.my

A. RAHIM Nin (dua dari kiri) memecahkan ais sebagai gimik perasmian program Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Bersama Sukarelawan Kebajikan Daerah Segamat sambil diperhatikan Lau Chin Hoon (kiri), Norshida Ibrahim dan Ansharey Matarsad (kanan) di Segamat, baru-baru ini.

SEGAMAT 24 Nov. - Sebanyak 157 pusat pemindahan banjir yang mampu menempatkan seramai 17,365 mangsa bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa sekiranya bencana itu melanda daerah ini.

Pegawai Daerah Segamat, A. Rahim Nin berkata, sebanyak 25 daripada pusat tersebut dikategorikan sebagai pangkalan hadapan kerana dijangka merupakan kawasan terawal dinaiki air serta mengalami putus hubungan ketika berlaku banjir.

"Sebagai persiapan awal menghadapi banjir, sejumlah RM40,134 telah diperuntukkan bagi membekalkan barangan keperluan makanan di semua 25 pangkalan hadapan dan kesemua barangan tersebut perlu sampai lebih awal sebelum laluan terputus sekiranya banjir berlaku.

"Barangan tersebut melibatkan 2,830 kilogram (kg) beras, 1,275 kg biskut kering, 170 botol minyak masak seberat 5 kg, 850 kg gula dan 3,400 tin sardin," katanya selepas menghadiri Taklimat Persediaan Menghadapi Banjir Bersama Sukarelawan Kebajikan Daerah Segamat di Dewan Harmoni, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Segamat, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim; ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon; Pegawai Kebajikan Masyarakat Segamat, Ansharey Matarsad dan Pegawai AADK Segamat, Naharuddin Nawawi.

A. Rahim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Segamat berkata, setakat ini sebanyak 17 kedai yang telah disenaraikan sebagai pemborong yang akan membekalkan barangan makanan kepada mangsa banjir sekiranya berlaku bencana banjir di daerah Segamat.

"Kesemua empat pusat pemindahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, Pemanis, Tenang dan Buloh Kasap akan dipengerusikan oleh ADUN masing-masing, manakala bagi DUN Bekok dan Jementah yang akan dipegerusikan oleh Pegawai Tadbir Negeri," katanya.

Bagi melancarkan urusan, pihaknya telah mengemas kini semua keahlian jawatankuasa yang terlibat termasuk pengerusi zon banjir mengikut setiap Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) yang ada.

Dalam pada itu, pusat kawalan operasi banjir tahun ini ditempatkan di Majlis Daerah Segamat (MDS) kerana lokasinya yang strategik dan tidak terlibat dengan banjir serta lebih mudah untuk menyalurkan bantuan.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya proses pemindahan dapat dilakukan dengan lancar dalam tempoh yang singkat sekiranya air naik dengan cepat.

Penduduk minta Perhilitan halau gajah liar

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

Zamhizul Ariffin Mahyudin (kiri) bersama Jaappar Mat Rani menunjukkan pokok pisang milik orang kampung yang dimusnahkan oleh gajah liar di Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi, kelmarin.

KOTA TINGGI 24 Nov. - Penduduk Kampung Mawai Baru dekat sini merayu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menghalau kumpulan gajah liar yang sering merosakkan tanaman mereka.

Mereka mendakwa, ancaman haiwan liar tersebut kini dianggap sudah sampai ke tahap serius apabila bukan sahaja kerap merosakkan tanaman, malah mula berani masuk ke kawasan kampung.

Seorang penduduk, Zamhizul Ariffin Mahyudin, 30, berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang berkesan dalam menangani masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu.

"Sampai bila kami perlu hadapi masalah yang berulang ini sehingga penduduk terpaksa menanggung kerugian beribu ringgit.

"Malah kehadiran kumpulan gajah liar di kawasan penempatan juga secara tidak langsung mengancam nyawa penduduk. Saya tidak mahu apabila masalah ini melibatkan nyawa penduduk atau penduduk mengambil inisiatif sendiri seperti yang berlaku di Sabah, barulah pihak berkenaan atau kerajaan mahu bertindak," katanya di sini semalam.

Malam kelmarin seorang warga emas, Jamal Awang, 57, terperanjat apabila seekor gajah liar memasuki halaman rumahnya dan memusnahkan pokok-pokok di sekeliling rumahnya.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi semasa kami enam beranak sedang tidur. Apabila terdengar bunyi bising, saya buka suis lampu luar dan terperanjat apabila melihat seekor gajah sedang makan daun pokok yang tumbang kira-kira 15 meter dari rumah," katanya.

Kejadian serupa turut berlaku terhadap Jaappar Mat Rani, 76, yang tinggal kira-kira 50 meter dari jalan besar Kota Tinggi-Tanjung Sedili.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu, dia dan isterinya sedang duduk berehat menonton televisyen apabila terdengar bunyi gajah di belakang rumahnya.

"Habis semua pokok pisang yang ditanam tidak sampai 10 meter dari belakang rumah musnah dimakan gajah itu," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah kerugian ribuan ringgit apabila kebun kelapa sawitnya seluas dua hektar dimusnahkan haiwan itu.

Wayang percuma sempena Hari Keputeraan Sultan Johor

Posted: 24 Nov 2013 10:09 AM PST

SEGAMAT 24 Nov. - Lebih 300 kanak-kanak kurang upaya dan miskin dari daerah ini berpeluang menonton wayang secara percuma pada 28 November ini sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor tahun ini.

Pegawai Daerah Segamat, A. Rahim Nin berkata, tayangan amal untuk orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak daripada keluarga miskin itu diadakan di panggung pusat beli-belah 1Segamat dengan 300 orang akan dipilih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, idea untuk menghiburkan golongan kanak-kanak tidak bernasib baik itu diilhamkan oleh Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang begitu prihatin dengan nasib serta mahu menggembirakan mereka apabila diberi peluang menonton wayang.

"Idea itu diilhamkan baginda pada satu majlis sambutan di Felda Redan pada 2011 dan pada tahun lalu buat pertama kali kita adakan di sini. Kali ini program tersebut diteruskan dan mereka akan dibawa ke panggung, menonton wayang serta diraikan dengan jamuan serta diberikan cenderamata," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

A. Rahim berkata, pada tahun ini mereka akan menyaksikan filem animasi terbaharu Free Bird dengan tayangan dijadualkan bermula kira-kira pukul 10pagi.

Beliau berkata, semua kanak-kanak terpilih akan dibawa ke pusat beli-belah terbabit oleh pihaknya dan JKM dari pelbagai destinasi di daerah berkenaan.

"Program ini menunjukkan keprihatinan kita kepada golongan berkenaan. Kita rasa bangga apabila melihat anak-anak ini gembira dan menjunjung kasih kepada baginda yang mengilhamkan idea ini. Kita mahu program ini dijadikan sebagai satu acara tahunan," katanya.

Dalam pada itu, A. Rahim memberitahu, pelbagai acara telah dan sedang diatur sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor kali ini di peringkat daerah selama sebulan termasuk acara sukan seperti ping pong, golf, menembak dan badminton.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat