{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Rebat air bukti kerajaan prihatin

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Hasni Mohammad (kanan) beramah-mesra dengan penuntut UTM Skudai yang menyertai Program Tintec di Kampung Parit Marjunit, Benut, Pontian, semalam.

PONTIAN 8 Nov. - Peluasan Program Rebat Air daripada 20 kepada 35 meter padu yang dibentangkan dalam Bajet Johor 2014 adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, kini terdapat 825 akaun golongan miskin dan miskin tegar yang menerima rebat sejak langkah tersebut diperkenalkan pada November 2010.

"Bilangan penerima dijangka bertambah apabila senarai mereka yang layak diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setiap daerah. Ini adalah tanda terima kasih kerajaan negeri kepada rakyat, selain menepati janji sebagaimana manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.

"Bukan sahaja mereka yang miskin dan miskin tegar tetapi penerima bantuan JKM dan MAINJ turut menerima program rebat yang diumumkan itu," katanya selepas merasmikan Program Titian Ilmu Anak Desa Teknologi Desa Lestari (Tintec) di Kampung Parit Marjunit, Benut di sini hari ini.

Beliau mengulas Bajet 2014 Johor yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan tema "Muafakat Pembangunan dan Pengagihan" dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, Nusajaya semalam.

Yang turut hadir, Pengetua Kolej 9 -10, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Ab. Latif Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan 3 Mukim Sungai Pinggan, Kasmadi Suboh dan Penghulu Mukim Sungai Pinggan, Zulkifle Tubee.

Sebanyak 164 orang siswa dan siswi dari UTM menyertai program selama tiga hari dua malam dengan kerjasama JKKK Kawasan 3 Mukim Sungai Pinggan.

Bajet Johor 2014 memberi penekanan kepada empat strategi utama iaitu mencorak ekonomi mapan, meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkasa dan merakyatkan kerajaan dan melahirkan modal insan yang berketerampilan.

Menurut Hasni, JKM dan MAINJ diharap bersedia dengan keperluan ini serta menyenaraikan mereka yang benar-benar layak untuk dimajukan kepada pihak yang akan menyelaraskan program ini.

"Peluasan program ini lebih menyeluruh dalam usaha kerajaan meringankan beban golongan rakyat kurang berkemampuan berdasarkan kelayakan mereka. Penerima bukan sahaja masyarakat di luar bandar tetapi juga mereka yang berada di bandar, berdasarkan senarai e-Kasih yang akan dikeluarkan kelak," ujarnya.

Menyentuh tentang program, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut menyambut baik kesediaan penuntut institusi pengajian tinggi berkongsi pengetahuan dengan masyarakat desa sebagai pemimpin masa hadapan dan menabur bakti sebelum memasuki alam kerjaya selepas tamat pengajian.

Pukul isteri: Pekerja ladang ditahan

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Suspek kes pukul isteri diiring oleh seorang anggota polis selepas mendapat perintah reman untuk siasatan lanjut di Segamat, semalam.

SEGAMAT 8 Nov. - Polis menahan seorang pekerja ladang berusia 30 tahun selepas dia didakwa memukul isterinya dengan topi keledar di hadapan empat orang anak mereka kelmarin.

Menurut mangsa, kejadian itu bukan yang pertama kerana dia sebelum ini pernah dipukul beberapa kali oleh suaminya itu.

Bagaimanapun, kali ini, isterinya yang tidak lagi mampu bersabar dengan sikap baran suaminya itu telah membuat laporan polis.

Bertindak atas laporan berkenaan, sepasukan polis menahan lelaki berkenaan kira-kira pukul 3 pagi di Bekok dekat sini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukarmi berkata, mangsa mendakwa sudah tidak tahan lagi kerana sering dipukul oleh suaminya.

"Mangsa yang juga berumur 30 tahun mendapat kecederaan di bahagian belakang kepala dan empat jari kirinya juga bengkak dipercayai dipukul menggunakan objek keras.

"Menurut mangsa, dia dipukul pukul 4.30 petang di hadapan empat anak perempuan mereka yang berusia antara dua hingga lapan tahun di kuarters kediaman pekerja kilang kelapa sawit di daerah Kluang," katanya di sini.

Menurut Mohd. Kamil, mangsa pernah bertanya kenapa dia dipukul tetapi suspek enggan memberitahu sehingga mengakibatkan mangsa berada dalam keadaan tertekan.

Suspek juga seringkali meninggikan suaranya sehingga menyebabkan pergaduhan mereka didengari oleh jiran-jiran dan membuatkan mangsa berasa malu.

"Demi menjaga nama baik suami dan kerukunan rumah tangga mereka, mangsa sanggup bersabar namun kejadian terbaru yang mengakibatkan kecederaan fizikal yang teruk memaksa mangsa untuk membuat laporan polis.

"Dengan kerjasama pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan IPD Segamat, kami telah menahan suspek yang cuba menyembunyikan diri di Bekok. Turut ditemui bersama suspek ialah topi keledar yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa," katanya.

Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman hingga hari ini untuk untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan serangan dan mendatangkan kecederaan.

150 murid sertai Program Pendidikan Kesihatan

Posted: 08 Nov 2013 10:14 AM PST

Jururawat Nur Shahirah Zakaria (kiri), memberi penerangan dan cara penjagaan gigi kepada murid sekolah program Pintar UEM Sunrise sewaktu majlis pelancaran Program Pendidikan Kesihatan dan Kebersihan di Bangunan Dato' Jaafar Mohammad, Nusajaya, semalam.

NUSAJAYA 8 Nov. - Sebanyak 150 murid tahun lima dan enam dari 13 sekolah di kawasan Gelang Patah menyertai Program Pendidikan Kesihatan dan Kebersihan anjuran UEM Sunrise Bhd. (UEM Sunrise) di sini semalam.

Program tahunan yang masuk edisi ketiga itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Daerah Johor Bahru dan dibahagikan kepada tiga sesi taklimat melibatkan topik penjagaan kesihatan dan kebersihan.

Pengurus Besar Kanan Nusajaya, UEM Sunrise, Mohd. Nadzari Bachek berkata, program tersebut bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada peserta tentang pentingnya penjagaan kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat.

"Penyebaran maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak menerusi pendidikan diyakini menjadi medium paling sesuai dan berkesan dalam memastikan objektif melahirkan generasi yang mengamalkan gaya hidup sihat tercapai.

"Sehubungan itu, sebagai badan korporat yang prihatin, UEM Sunrise merasakan bahawa menjadi tanggungjawab kami untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan membantu mendidik para peserta supaya mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.

Program sehari yang diadakan di Dewan Teater Bangunan Dato' Jaafar, Kota Iskandar itu dirasmikan Pegawai Kesihatan Daerah II, Johor Bahru, Surinah Asan.

Mohd. Nadzari berkata, dalam setiap sesi taklimat selama 30 minit itu, para peserta didedahkan dengan beberapa panduan asas tentang pemakanan yang sihat, kemahiran dan amalan kebersihan diri termasuk teknik membasuh tangan, penjagaan gigi serta penampilan diri.

Menurutnya, program tersebut turut dimeriahkan dengan beberapa aktiviti pendidikan seperti demonstrasi membuat sandwich oleh peserta.

"Kami akan terus komited untuk melahirkan persekitaran yang sihat di semua Sekolah Pintar UEM Sunrise ini. Kami percaya bahawa pendidikan dan kesedaran awal adalah penting dalam mengubah persepsi, tingkah laku dan sokongan terhadap inisiatif amalan hidup sihat," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat