Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- UTHM perkenal 1Penghuni 1Sukan
- 78 pelajar Pontian sertai Kem Pendidikan 1Malaysia
- 300 bakal guru timba ilmu di Kampung Johor Lama
UTHM perkenal 1Penghuni 1Sukan Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED SEBAHAGIAN daripada warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia menyertai pelancaran program 1Penghuni 1Sukan di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini. BATU PAHAT 19 Nov. - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melancarkan program 1Penghuni 1Sukan dalam kalangan warganya bagi mewujudkan persekitaran dan penuntut yang sihat baru-baru ini. Ketua Komunikasi Korporat UTHM, Shafry Salim berkata, program itu diperkenalkan oleh Kolej Kediaman Perwira bagi mengiringi polisi 1Murid 1Sukan yang dilancarkan kerajaan khusus untuk para pelajar di peringkat sekolah. "Majlis pelancaran program itu disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Madar di Dataran Blok A, Kolej Kediaman Perwira di sini. "Polisi 1Penghuni 1Sukan juga disemarakkan dengan konsep rumah sukan yang turut mula dikembangkan pada September lalu dengan semua penghuni di Kolej Kediaman Perwira menganggotai rumah sukan sama ada Scarlet (merah), Azure (biru), Harlequin (hijau) atau Aureolin (kuning)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, pelancaran polisi itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik, larian obor oleh penyelaras program sebelum diikuti ketua rumah-rumah sukan serta gimik perasmian dengan kemunculan skuad 'all-terrain vehicle' (ATV). Tambahnya, majlis itu diteruskan dengan Kejohanan Merentas Desa Piala Pengetua Kolej yang diwakili oleh rumah sukan masing-masing. "Iltizam utama polisi 1Penghuni 1Sukan adalah ke arah meningkatkan gaya hidup sihat dalam kalangan penghuni kolej kediaman. "Program ini juga secara langsung dapat menjayakan Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik Perwira dengan wawasan untuk melahirkan penghuni yang bukan sahaja cergas fizikal, malah cerdas minda," katanya. |
78 pelajar Pontian sertai Kem Pendidikan 1Malaysia Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST SEBAHAGIAN daripada 78 pelajar bersama fasilitator menyertai program Kem Pendidikan anjuran Kolej Perdana UTM, dan YPJ di Kem Dayang, Pekan Nanas, Pontian, Johor, baru-baru ini. PONTIAN 19 Nov. - Seramai 78 pelajar tingkatan 2, 3 dan 4 dari sekolah di daerah Johor Bahru menyertai Kem Pendidikan 1Malaysia peringkat negeri di Kem Dayang, Pekan Nanas, di sini baru-baru ini. Program tahunan selama tiga hari anjuran Kelab Kem Pendidikan, Kolej Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai itu dibantu oleh 27 pemudah cara dari UTM. Pengarah Projek, Muhammad Syafi Supa'at berkata, program tersebut turut mendapat kerjasama kerajaan negeri, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Awesome Minds dan 1Malaysia Fouth Youth (IMFU). Beliau berkata, antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusajaya, SMK Selesa Jaya 2, SMK Skudai, SMK Taman Universiti 1 dan 2, SMK Kangkar Pulai, SMK Taman Pelangi dan Sekolah Tun Fatimah (STF). "Selain aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK), turut disediakan aktiviti lasak seperti merentas hutan, 'flying fox' dan aktiviti yang menguji kekuatan mental dan fizikal setiap peserta semasa melakukan tugasan tersebut. "Kami berharap pembaharuan yang dilakukan mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar serta daya saing mereka dalam mengharungi cabaran dalam dunia pendidikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Muhamad Syafi berkata, program tersebut juga melibatkan modul motivasi seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan serta kemahiran menjalankan LDK di bawah kendalian penuntut UTM. "Penganjur berharap setiap aktiviti yang dilaksanakan mampu membina jati diri selain memupuk silaturahim dan kerjasama berpasukan antara peserta yang datang dari sekolah berlainan," katanya. Menurutnya, program itu mampu menyedarkan peserta tentang pentingnya pendidikan pada masa depan serta meningkatkan pengetahuan dalam bidang komunikasi, kepimpinan dan interaksi bersama rakan sebaya. Majlis penutupan program itu disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar YPJ, Mohd. Shukri Mohd. Masbah. |
300 bakal guru timba ilmu di Kampung Johor Lama Posted: 19 Nov 2013 10:08 AM PST SEBAHAGIAN daripada bakal guru dari sembilan IPGM menyertai Program Sekretariat Rukun Negara-Semaian Kasih Perpaduan 2013 di Dewan Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. KOTA TINGGI 19 Nov. - Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) menganjurkan program anak angkat di Kampung Johor lama, dekat sini baru-baru ini. Kira-kira 300 bakal guru dari sembilan IPGM di seluruh negara menyertai program empat hari itu untuk menimba pengalaman bersama penduduk serta mempraktikkan ilmu yang dipelajari di kampus. Kampus yang terlibat ialah IPG Kampus Temenggung Ibrahim (Johor Bahru), IPG Kampus Tun Hussein Onn (Batu Pahat), IPG Kampus Perempuan Melayu (Melaka), IPG Kampus Raja Melewar (Negeri Sembilan), IPG Kampus Pendidikan Teknik (Kuala Lumpur), IPG Kampus Pendidikan Islam (Bangi), IPG Kampus Ilmu Khas (Cheras), IPG Kampus Bahasa Melayu (Kuala Lumpur) dan IPG Kampus Bahasa Antarabangsa (Kuala Lumpur). Pengarah IPG Temenggung Ibrahim, Mohd. Said Hasran berkata, pelbagai aktiviti diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam pelbagai aspek kehidupan seperti memupuk semangat perpaduan, kejiranan dan gotong-royong. "Apabila berkampung sebegini, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan kita tanpa mengira latar belakang agama, kaum, pangkat mahupun darjat. "Program yang dilaksanakan ini berpaksikan matlamat menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan penuntut sebagai warganegara," katanya dalam majlis penutupan Program Sekretariat Rukun Negara-Semaian Kasih Perpaduan 2013 di Dewan Kampung Johor Lama di sini. Yang turut hadir, Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar IPG Kementerian Pendidikan, Latifah Mahamud, Penghulu Mohd. Nazri Kasmen dan Ketua Kampung Johor Lama, Mohd Amin Jantan. Mohd. Said berkata, sebanyak 25 pelatih dari setiap kampus yang dijadikan anak angkat kepada 44 keluarga berkongsi pelbagai ilmu dan pengalaman bersama keluarga angkat masing-masing termasuk aspek cara hidup dan budaya setempat. "Sambutan dan kerjasama penduduk tanpa mengira usia sama ada muda, tua atau kanak-kanak dalam setiap penganjuran program amat memberangsangkan. "Malah, ikatan kekeluargaan bersama ibu bapa angkat masing-masing diharap akan terus berpanjangan selepas ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |