{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Haram pinjam ah long

Posted: 13 Nov 2013 09:09 PM PST

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

AMALAN Zakat merupakan salah satu cara menambah keberkatan rezeki. - Gambar hiasan

TIDAK dinafikan hutang diharuskan dalam Islam seperti mana termaktub dalam prinsip muamalat Islam dan bermula daripada perkara itu, maka wujudlah istilah seperti al-rahnu, qard hassan, bai bithamin ajil dan sebagainya.

Namun demikian, walaupun diharuskan menurut pandangan Islam tetapi jika hutang mendatangkan kemudaratan dan kesulitan, maka hukumnya adalah riba termasuklah mengenakannya dalam urusan itu.

Soal berkenaan termasuklah menggunakan pinjaman daripada ah long atau ceti haram.

Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, hukum meminjam wang daripada ah long adalah haram menurut syarak dengan mengambil kira beberapa faktor.

Menurut beliau, faktor pertama adalah tindakan meminjam daripada ah long adalah merugikan kerana pemberi pinjaman mengenakan bunga terlalu tinggi sehingga ada peniaga tidak mendapat keuntungan langsung. Ini kerana hasil keuntungan yang diperoleh itu terpaksa diserahkan kepada ah long untuk melangsaikan hutang ceti haram.

Selain itu, faktor kedua jelas Zaharuddin adalah soal keselamatan dan hubungan sosial apabila pihak ah long mengugut untuk mendatangkan gangguan keselamatan kepada peminjam, termasuk keluarga termasuk ancaman bunuh, merosakkan harta benda peminjam dan memalukan maruah serta sebagainya.

Tetapi asasnya adalah riba kerana sumber kewangan ah long adalah daripada sumber haram iaitu kadar bunga terlalu tinggi. Apatah lagi firman Allah dalam surah al-Baqarah yang menegaskan umat Islam agar memerangi riba.

"Malah meminjam kepada ah long tiada keberkatan dalam hidup peminjam. Ini kerana boleh dikatakan setiap hari mangsa diselubungi ancaman dan secara tidak langsung, hilang ketenangan kerana sentiasa hari diburu oleh ah long yang menagih hutang," kata ahli akademik itu.

Bahkan terang beliau, tindakan itu turut memberi kesan kepada komitmen diri apabila terdapat ah long yang datang menganggu di tempat mangsa bekerja untuk menuntut hutang selain mereka bertindak menganggu majikan dan rakan-rakan sekerja yang lain.

Sehubungan itu ujar Zaharuddin, Islam meletakkan hukum meminjam daripada ah long adalah haram berdasarkan keterangan dikemukakan selain tiada manfaat kepada para peminjam, malah hanya merugikan.

BERBANDING dahulu, ibu bapa yang hanya berkerja penoreh getah ataupun petani mampu menyara anak biar pun ramai hingga cahaya mata mereka berjaya dalam pelbagai bidang.

Pun begitu, situasinya berbeza pada hari ini, apabila pendapatan mencecah lima angka, tetapi masih tidak mampu menampung kehidupan keluarga disebabkan tuntutan nafsu. Alasan yang biasa diberikan ialah peningkatan kos sara hidup.

Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, situasi itu telah menyebabkan manusia terpaksa mencari wang lebih bagi membiayai kehidupan.

Melihat faktor itu, Zaharuddin berkata, Islam meletakkan beberapa garis dalam menyusun kehidupan manusia agar mereka tidak terbeban dengan kos sara hidup iaitu pengurusan kewangan berhemah dan berjimat-cermat.

Terang beliau, gaya hidup melampau dan bermewah-mewahan telah menyebabkan perbelanjaan melebihi pendapatan. Akibatnya umat Islam terpaksa berhutang demi memenuhi kehendak melampau hawa nafsu.

"Kerap makan di luar berbanding di rumah, juga menyumbang kepada faktor berbelanja lebih. Sebenarnya memasak adalah jauh lebih jimat. Sekali makan di restoran kadang-kala sampai mencecah RM100 atau lebih, ia tidak berbaloi kerana dengan nilai tersebut ia mampu menampung barang dapur untuk beberapa minggu atau lebih.

"Selain itu, sikap suka menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawa diri berkemampuan. Jangan berbuat demikian, untuk pamerkan rasa riak, dibimbangi lama-kelamaan Allah akan tarik rezeki itu," ujar Zaharuddin.

Zaharuddin sempat menyelitkan beberapa punca rezeki umat Islam tidak cukup, antaranya tidak jujur dalam perniagaan, culas atau ponteng waktu bekerja dan berurus niaga dengan transaksi diharamkan syarak.

Keberkatan rezeki

Dalam pada itu, Zaharuddin berkata Islam mengariskan cara untuk menambah keberkatan rezeki daripada segi spiritual dan praktikal.

Kata Zaharuddin, daripada spiritual ialah dengan tidak meninggalkan suruhan Allah SWT seperti solat, puasa selain melakukan ibadah sunat serta memohon doa agar sentiasa ditambahkan rezeki.

Selain itu, daripada segi praktikal pula adalah berzakat dan bersedekah. Kedua-dua amalan ini mampu menambah kemurahan dan keberkatan rezeki seperti mana dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

"Dalam sudut sunnahtullah (kehidupan manusia) pula, melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh agar diberikan kedudukan dan merit di tempat kerja. Saya melihat menyambung pengajian dan menambah kemahiran adalah usaha menambah rezeki kerana dengan kedua-dua perkara itu, ia boleh meningkat kedudukan kita," terang Zaharuddin.

Ikhlas kerana Allah Taala

Sumbangan ke arah kebaikan berdasarkan penilaian hukum Islam

Zakat

Sedekah

Pertingkatkan prestasi kerja, kemahiran dan ilmu

Natijah kekerkatan rezeki

Keberkatan dalam kehidupan berkeluarga

Kesihatan

Limpahan harta

Disekelilingi persekitaran baik

Merana kerana hutang

Posted: 13 Nov 2013 09:09 PM PST

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

DEMI susu anak, Fatimah sanggup meminjam daripada ah long. – Gambar hiasan

MENURUT Kamus Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ah long bermaksud orang yang memberikan pinjaman wang secara haram dan mengenakan kadar faedah sangat tinggi serta biasanya bertindak ganas sekiranya si peminjam gagal membayar pinjaman yang telah dibuat.

Berasal daripada perkataan bahasa Kantonis yang membawa maksud naga lalu disinonimkan sebagai ceti haram di negara ini.

Kegiatan ah long di negara ini bukan sahaja memberi ancaman kepada peminjam tetapi turut terkena tempias bahananya ialah keselamatan ahli keluarga mangsa, sekali gus mengugat keamanan negara.

Hal demikian dibuktikan menerusi liputan berita yang berkaitan isu ah long di mana terdapat peminjam dibunuh secara kejam, didera, dimalukan dan sebagainya walaupun mangsa hampir berjaya melunaskan hutang.

Meskipun masyarakat telah acap kali dipasakkan dengan bahaya jebakan ah long ini, sayangnya ia bagai tidak mampu menyedarkan masyarakat kita, terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Tambah menyedihkan apabila umat Islam negara ini turut meminjam dengan ah long. Sedangkan ceti haram itu menjalankan urus niaga bertentangan dengan syariat Islam selain mempunyai unsur penindasan.

Statistik ini amat membimbangkan pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana pihaknya menerima aduan di antara 70 hingga 80 kes pada setiap bulan.

Sehubungan itu, Mega Utusan Malaysia mendedahkan beberapa kisah peminjam ah long dalam mengetahui apakah punca mereka berbuat demikian selain diajukan soalan kepada pihak bertanggungjawab berkaitan permasalahan berkenaan.

PEMINJAM ah long bukan sahaja terdiri daripada golongan kurang kemampuan, tetapi juga melibatkan ahli perniagaan, profesional, para pelajar dan sebagainya yang akhirnya meranapkan kehidupan mereka sendiri.

Demikian juga kisah yang berlaku kepada seorang pengusaha stesen minyak, Asyraf, 44, (bukan nama sebenar) apabila dia meminjam wang daripada ah long sebanyak RM50,000.

Tindakan itu gara-gara karenah birokrasi sebuah institusi kewangan yang lambat menjalankan proses permohonan pinjamannya bagi tujuan mengembangkan perniagaan.

Sebenarnya, sebelum meminjam daripada ah long, Asyraf sedar akan bahaya berurusan dengan si ceti haram tetapi dek kerana kepentingan bisnes serta berjanji pada dirinya sendiri bahawa dia akan melangsaikan hutang berkenaan, apatah lagi berkeyakinan bahawa proses pinjaman dengan bank yang dibuat dijangka selesai dalam tempoh dua bulan sahaja.

Tetapi janji tinggal janji, permohonan Asyraf daripada sebuah institusi kewangan masih gagal menemui jalan penghujungnya dan pada masa sama, kadar bunga pinjaman ah long meningkat saban hari.

Akhirnya daripada RM50,000, pinjamannya kini berjumlah RM7 juta walaupun Asyraf setiap bulan membayar dengan kadar ansuran ditetapkan. Namun along tetap mengugut lelaki itu supaya membayar hutang berkenaan walau apa cara sekalipun.

SEPERTI dinyatakan, hampir antara 70 dan 80 kes membabitkan ah long dilaporkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Majoritinya terdiri daripada orang Islam pelbagai lapisan masyarakat.

Data itu menunjukkan bahawa umat Islam negara ini mudah terjerumus dengan tipu helah ah long, sekali gus mengambarkan kita mudah terpedaya dengan kelicikan itu.

Memang tidak dinafikan lontaran kata-kata manis ah long yang berjanji akan menolong peminjam tetapi akhirnya mereka akan terjerumus dengan kehidupan tidak aman.

Menurut Ketua Biro Pengurusan Mangsa Ceti Haram PPIM, Muhammad Yusuf Azmi dengan slogan kami bukan ah long tetapi mahu tolong sebenarnya satu penipuan yang memerangkap para peminjam menerusi pelbagai tipu helah termasuk mengenakan nilai bunga pinjaman sebanyak 10 peratus sehari.

Kata Muhammad Yusuf , jumlah bunga pinjaman yang tidak masuk akal oleh ah long sewajarnya dibanteras oleh semua masyarakat khususnya umat Islam dengan pelbagai usaha.

Antaranya ujar beliau adalah melaporkan kepada polis jika along mengancam penghuni sebelah rumah dan sebagainya dalam usaha membanteras ceti haram itu.

"Masyarakat tidak perlu takut dengan ah long. Mereka tidak berani berbuat apa-apa jika kita bersatu menangani mereka. Modal mereka cuma mengugut sahaja, tetapi jika masyarakat berani, ah long pun takut.

"Masalahnya, along berleluasa kerana masyarakat takut, ini sahaja masalah kita. Laporkan kepada polis segera dan Malaysia ada undang-undang, ugutan, ancaman bunuh, pencerobohan kediaman boleh didakwa di mahkamah selain dihumbat ke penjara," kata Muhammad Yusuf .

Selain itu, beliau menggesa bekas mangsa ah long untuk turun padang bersama PPIM dalam memberi penerangan kepada masyarakat berkenaan bahayanya tindakaan meminjam wang kepada along selain bersama-sama NGO itu untuk membanteras ah long.

"Kita jangan pandang buruk kepada peminjam ah long. Sebenarnya kita pun sama seperti mereka kerana mempunyai masalah kewangan. Tetapi yang bezanya nasib kita tidak seperti mereka. Bantu mereka dengan apa-apa cara sekalipun.

"Lagi satu adalah iklan ah long di tiang lampu, telefon awam, dinding dan sebagainya. Cabut dan buang sahaja iklan-iklan tersebut kerana tindakan menampal itu merupakan satu kesalahan dan tugas kita menegakkan undang-undang itu," ujar beliau.

Taktik baharu

Muhammad Yusuf yang sudah dua tahun giat membanteras ah long di bawah PPIM berkata, ah long kini cuba memperkenalkan pelbagai taktik dalam usaha membuang imej negatif terhadap mereka selama ini.

Menurut beliau, antaranya adalah berselindung atas nama pinjaman wang berlesen tetapi modus operandi sama dengan kegiatan ah long termasuklah para pengeraknya yang turut terdiri daripada kalangan mereka.

Selain itu, taktik lain adalah menawarkan pinjaman kepada orang ramai sedangkan mereka tidak memerlukan wang berkenaan.

"Mereka mengenali kita disebabkan wujud rangkaian data yang diberikan oleh bekas peminjam ah long iaitu nombor telefon saudara-mara dan rakan-taulan terdekat.

"Lalu ah long menghubungi nombor telefon itu dan menawarkan pinjaman itu. Memanglah pada mulanya bagi kata-kata manis, tetapi akhirnya selepas kita dapat duit barulah ah long mengganas," ujar Muhammad Yusuf.

KISAH yang menyayat hati ini berlaku kepada seorang ibu tunggal beranak empat. Fatimah, 37, (bukan nama sebenar) menyara kehidupannya dengan menjual nasi lemak. Namun demikian pendapatannya yang tidak menentu itu tidak mampu menyara mereka lima beranak.

Demi meneruskan kelangsungan hidup, Fatimah terpaksa berusaha, apatah lagi , dia tidak sanggup melihat anak-anaknya menangis kelaparan.

Di saat terdesak itulah, dia bagai hilang pertimbangan lalu timbul satu idea untuk membuat pinjaman wang daripada ah long sebanyak RM300 dengan harapan beliau mampu membayarnya kerana jumlah yang sedikit.

Tindakan Fatimah rupa-rupanya telah menjerat dirinya. Sudahlah susah, kini kehidupannya anak-beranak semakin terbeban setelah selang beberapa hari membuat pinjaman.

Ah long datang menemuinya untuk menuntut hutang. Dek kerana kesempitan yang tidak berpenghujung, Fatimah menagih simpati minta ditangguhkan.

Begitulah yang dapat dibuat oleh ibu muda ini, merayu dan terus merayu.

Untuk seketika, dengan kelicikan ah long yang dikenali sebagai Mr. Y, lelaki itu mencadangkan kepada Fatimah supaya meminjam pula daripada seorang lagi ceti haram. Usaha itu tidak mendatangkan hasil apabila situasi berkenaan berlaku sekali lagi dan berterusan sehingga ah long ketujuh. Keadaan Fatimah umpama keluar mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya.

Bayangkan dengan hanya meminjam sekadar RM300, selang beberapa minggu jumlah pinjaman Fatimah telah menginjak sebanyak RM3,000.

Semenjak itu kehidupan Fatimah semakin tertekan kerana tidak tahan dengan tindakan ganas ah long yang tidak cukup dengan mengugut sahaja tetapi turut mengancam nyawa ibu tunggal tersebut serta keluarganya.

Natijah daripada tekanan demi tekanan tersebut telah menyebabkan Fatimah mengalami gangguan mental.

MALEK, 22, (bukan nama sebenar) merupakan seseorang siswazah lepasan sebuah insitusi pengajian tinggi awam berhasrat membuka sebuah syarikat konsultan motivasi.

Tetapi hasrat murni Malek itu mempunyai masalah apabila beberapa permohonannya kepada institusi kewangan ditolak. Dia hampir putus asa untuk meneruskan usahanya tersebut.

Demi cita-citanya itu, Malek kemudian meminjam daripada ah long sebanyak RM60,000 dan berharap pinjamannya tersebut berupaya dilunaskan dalam masa singkat.

Memang tidak dinafikan perniagaanya berjaya, Tetapi hasil keuntungannya terpaksa disalurkan untuk membayar hutang kepada along.

Seperti kebiasaanya berlaku kepada mangsa ah long, hutang itu kemudian berkembang menjadi RM130,000 selain setiap hari kehidupan Malek termasuk keluarganya diganggu oleh 'naga' itu.

'Nasi sudah menjadi bubur' peribahasa itu boleh mengambarkan perasaan Malek yang mengakui kesal terhadap tindakannya yang berfikiran pendek serta lupa kepada suruhan Islam agar bersabar dalam membuat keputusan serta menghadapi ujian.

Kini, Malek sentiasa muhasabah diri dan sesekali timbul kekesalan kerana andainya dia lebih berwaspada dan ikut landasan agama Islam, tentu dia tidak akan sesekali membuat pinjaman daripada ah long.

SETIAP perkara tentu ada puncanya dan di sebaliknya pula tentu ada penawar. Begitu juga dengan masalah berleluasa ah long yang berlaku pada hari ini.

Kesempitan hidup dan kesulitan masalah kewangan merupakan antara punca rakyat terutamanya umat Islam negara ini meminjam wang daripada ah long.

Ketika diajukan soalan punca mengapa 90 peratus peminjam ah long terdiri daripada orang Islam, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johari berkata, segala masalah itu berpunca daripada karenah birokrasi institusi kewangan dalam meluluskan permohonan pinjaman.

Beliau memberikan contoh, seorang mangsa ah long yang membuat aduan kepada PPIM telah memohon pinjaman kepada satu institusi kewangan untuk kegunaan perniagaannya.

Malangnya proses memakan tempoh agak lama sedangkan pihak pengurusan atasan telah meluluskan permohonan itu.

"Dalam keadaan memerlukan, si peminjam terpaksa menggunakan khidmat ah long sementara mendapat wang daripada institusi kewangan itu. Tetapi kerana karenah birokrasi, proses itu meleret-leret sehingga berbulan-bulan.

"Peminjam terpaksa bayar kepada ah long dan bunganya terlalu tinggi. Demi tidak kesanggupan menanggung hutang itu, dia melakukan pinjaman atas pinjaman kepada ah long lain, akhirnya sampai jadi 10 along," ujar Nadzim.

Maka sebab itu, beliau menggesa institusi kewangan mengkaji semula prosedur pinjaman agar rakyat Malaysia tidak terjerumus dalam gejala pinjaman ah long.

"Isunya masalah birokrasi, kadang-kadang peminjam khususnya para peniaga kecil cukup syarat dan mampu membayar . Tetapi mengapa mereka dibebankan dengan beberapa syarat lalu pinjaman ditolak.

"Bukan sahaja melibatkan bank, tetapi institusi kewangan ditubuh kerajaan untuk membantu para peniaga khususnya untuk orang Melayu turut bersikap demikian. Mengapa ia berlaku," kesal Nadzim.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan supaya mewujudkan penanda aras atau KPI kepada mana-mana institusi kewangan khususnya ditubuhkan dalam membantu orang Melayu yang berjaya melahirkan usahawan berjaya dan bukannya mementingkan jumlah keuntungan atau pelaburan semata-mata.

Nadzim berkata, sudah masanya orang Melayu yang berjaya untuk membantu saudara sebangsa dan seagama dalam pelbagai sektor termasuklah bidang perniagaan.

"Jangan pentingkan poket diri sendiri, bantulah mereka golongan kurang kemampuan untuk berjaya dengan membimbing mereka bagaimana untuk menjadi berjaya.

"Jika sikap ini berlaku, tiada lagi istilah along atau tindakan meminjam wang daripada ceti haram yang rata-ratanya terdiri selain kaum Melayu," tegas Nadzim.

Kesempitan hidup

Karenah birokrasi institusi kewangan

Membayar ikat jamin saudara mara di mahkamah

Kehendak melebihi keperluan

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat