Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Posted: 03 Nov 2013 04:36 AM PST Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM PERNAHKAH anda berdepan dengan situasi berada di dalam satu lif dengan seorang wanita cantik tetapi mengeluarkan bau badan yang amat tidak menyenangkan? Bau badan atau body odour sebenarnya merupakan sesuatu yang normal. Setiap orang mempunyai bau unik yang berbeza bergantung kepada pemakanan, kesihatan, ubat yang diambil serta jantina. Peluh dan bau badan boleh berlaku ketika bersenam, berada di kawasan yang panas, gemuruh, cemas atau ketika tertekan. Masalah timbul jika bau badan itu keterlaluan atau istilah perubatannya bromhidrosis sehingga mengganggu orang sekeliling serta kualiti hidup seseorang. Menurut Pakar Dermatologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Nazirin Ariffin, bromhidrosis secara amnya bukanlah perkara serius, cuma ia kadangkala adalah petanda sesuatu penyakit. "Selalunya bau badan boleh ditangani dengan mudah dengan menukar cara hidup serta pemakanan. "Namun ada kes apabila pelbagai cara telah dicuba tetapi masih mengalami masalah bau badan yang teruk sehingga mengganggu rutin seharian. "Ada juga yang tidak sedar bau badan mereka itu sebenarnya petunjuk mengenai penyakit yang mereka hadapi seperti tiroid terlalu aktif, hypoglisemia dan diabetes," ulasnya ketika ditemui baru-baru ini. Terangnya, ada juga kes terpencil iaitu penyakit genetik (trimethylaminuria) atau sindrom bau ikan yang membuatkan pesakit berbau hanyir. Rawatan Jika bukan berpunca daripada masalah kesihatan lain, beberapa rawatan dapat dilakukan bagi menangani masalah bau badan dengan cara mengurangkan peluh. Menurut Dr. Nazirin, produk antipeluh yang mengandungi aluminium klorida dapat menyekat liang peluh untuk sementara waktu lalu mengurangkan jumlah peluh yang keluar ke permukaan kulit. Botulinum toxin atau lebih dikenali sebagai Botox pula adalah rawatan alternatif mengurangkan peluh yang berlebihan di bahagian ketiak. Selain itu, ada tablet yang boleh digunakan bagi mengurangkan pengeluaran peluh. Apa yang penting, perhatikan tubuh badan anda. Jika anda perasan badan anda berpeluh lebih banyak daripada biasa tanpa sebab, segera bertemu dengan doktor. Juga dapatkan bantuan doktor jika masalah peluh dan bau badan ke tahap menjejaskan rutin seharian anda. "Selain itu, peluh di waktu malam dan ketika sejuk juga perlu diperiksa kerana mungkin tanda kepada penyakit-penyakit tertentu seperti jangkitan batuk kering. "Bau badan yang berubah juga merupakan tanda sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes dan kegagalan buah pinggang atau organ hati," ujarnya. Ujian darah dan air kencing perlu dilakukan bagi menentukan peluh tersebut disebabkan penyakit tertentu seperti tiroid terlalu aktif atau hipoglisemia dan sebagainya. |
Posted: 03 Nov 2013 04:36 AM PST ASSALAMUALAIKUM, Tuan Haji. Saya mengalami penyakit batu karang sejak empat tahun lalu. Saya sudah menjalani pembedahan membuang batu dari buah pinggang tahun lepas. Tetapi penyakit itu kembali dan saya selalu mengalami kesakitan hingga ke hari ini. Kadang-kala keluar darah semasa saya buang air kecil. Bolehkah perubatan Islam merawat penyakit batu karang? * Akmal, Langkawi Jawapan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah kerap menerima pesakit dengan masalah batu karang. Dianggarkan 15 hingga 20 peratus rakyat Malaysia mengalami penyakit ini semasa hayat mereka. Batu karang kerap berlaku di kalangan lelaki berumur antara 20 hingga 40 tahun. Namun, ada juga wanita yang mengalami masalah batu karang. Sakit yang dialami biasanya teruk dan tidak hairan jika lelaki dewasa boleh menangis bila sakit batu karang menyerang. Bahan tersebut akan membentuk kristal halus yang kemudian melekat pada dinding buah pinggang dan membesar hingga menjadi batu karang. Biasanya, batu karang akan bergerak melalui saluran air kencing dan keluar dari badan apabila kita membuang air kecil. Batu karang akan menyebabkan rasa sakit jika saiznya besar dan tersekat di saluran air kencing. Apabila sakit menyerang, ia berlanjutan selama 20 hingga 60 minit dan dalam tempoh itu, sakit akan datang dan pergi. Hampir semua pesakit batu karang ada kesan darah di dalam air kencing atau hematuria. Ramai pesakit turut rasa sakit atau panas apabila kencing dan boleh nampak butiran pasir halus di dalam air kencing. Ada mengadu demam, menggigil, rasa loya dan muntah. Namun, ramai pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom. Mereka hanya tahu mengenai batu karang melalui pemeriksaan kesihatan bertujuan mengesan penyakit lain. Jika pesakit mengalami kesakitan teruk atau loya, doktor akan menahannya di hospital dan memberi ubat tahan sakit dan memasukkan air melalui saluran darah anda (IV fluids). Jika pesakit mengalami demam dan sakit teruk, mereka akan ditahan di hospital untuk rawatan dan mengelak jangkitan kuman lebih serius. Jika batu karang tidak dapat keluar sendiri melalui air kencing, doktor mungkin mengesyorkan pembedahan kecil atau prosedur perubatan lain antaranya proses Lithotripsy yang sesuai untuk batu karang bersaiz kurang 1 cm. Pemakanan memainkan peranan mencegah pembentukan batu karang. Antara makanan yang menyebabkan pembentukan batu karang jika diambil berlebihan, daging, organ dalaman haiwan, garam, kacang, bayam, coklat, keledek, supplemen kalsium dan supplemen vitamin C berlebihan. Kami memeriksa setiap pesakit yang datang berubat, jika ada gangguan makhluk halus, perawat akan membuang gangguan jika ada dan seterusnya memberikan ayat berikut untuk diamalkan disertai doa kepada Allah memohon penyembuhan. Ayat-ayat tersebut adalah: Surah al-Anbiyaa' ayat 74 hingga 81 Surah al-Qasas ayat 61 hingga 75 Surah al-Mukminun ayat 75 hingga 100 Surah al-Maidah ayat 48 hingga 55 Cara amalan ialah pesakit membaca surah pertama sebanyak tiga kali pada malam dan surah kedua tiga kali pada siang. Pembacaan hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas itu, pesakit perlu berdoa kepada Allah memohon sembuh. Ayat di atas dan daripada surah al-Anbiyaa' berfungsi memecahkan atau menghancurkan batu karang di dalam buah pinggang atau pundi kencing. Bila batu hancur dan halus seperti pasir, ia mudah dikeluarkan dari tubuh pesakit semasa buang air kecil. Pesakit harus ingat penyembuhan hanya dengan izin Allah. Kita jangan berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah. Seperti di dalam surah Yusuf ayat 12, Allah berfirman; "….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." Di dalam ayat suci al-Quran di atas, Allah menerangkan bahawa setiap musibah atau dugaan yang dihadapi oleh setiap insan di dunia hanya boleh berlaku dengan izin Allah. Kesimpulannya, setiap sakit yang dideritai adalah satu bentuk ujian Allah; yang harus ditempuhi dengan sabar dan usaha penuh yakin dengan janji Allah yang pasti akan ada ganjaran buat hamba-Nya yang bersabar di atas musibah yang diturunkan. Insya-Allah, setiap usaha, doa dan kesabaran kita akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |