Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- NGO minta MPKj bersikap adil
- Pasar Borong KL dinaik taraf tahun depan
- DBKL lucut 200 papan iklan lakukan kesalahan bahasa
Posted: 10 Nov 2013 10:26 AM PST Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Mohd. Ridzuan Abdullah (depan, tiga dari kiri) bersama wakil-wakil NGO dan peniaga Melayu di Kajang mengadakan bantahan terhadap tindakan MPKj di kawasan gerai yang didakwa menyalahi peraturan di Kajang, Selangor kelmarin. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid KAJANG 10 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersikap adil terhadap peniaga di kawasan pentadbirannya dan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan. Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan itu (PBT) yang didakwanya dilihat hanya diambil terhadap peniaga Melayu tidak boleh dibiar berterusan. Menurutnya, operasi pihak berkuasa tempatan itu banyak menyasarkan gerai peniaga Melayu kebelakangan ini, namun peniaga kaum lain dan warga asing dilihat bebas untuk meraih untung tanpa gangguan. "Hari ini kami meninjau gerai buah-buahan di Jalan Wan Siew, Taman Sepakat Indah yang dipercayai ada antaranya beroperasi tanpa permit yang sah dan melakukan sambungan haram termasuk memasang kanopi, membina tandas dan meletakkan peti ais. "Sekiranya MPKj tegas merobohkan struktur tambahan terhadap kios peniaga Melayu yang jarak kurang lima kilometer dari sini, mengapa gerai peniaga kaum lain di sini dibiarkan. "Sedangkan secara terang-terangan mereka melakukan kesalahan yang serupa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 seperti dinyatakan MPKj," katanya kepada pemberita semalam. Antara wakil NGO lain yang hadir adalah Persatuan Penjaja dan Peniaga Negeri Selangor (PPPNS) Cawangan Kajang, Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu Daerah Hulu Langat (PPKMHL), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM). Pada akhir bulan lalu, MPKj merobohkan struktur tambahan membabitkan 13 kios peniaga Melayu di Taman Mesra, malah beberapa tindakan sama turut diambil membabitkan peniaga di Taman Sepakat Indah pada 23 Oktober dan Sungai Jelok, sebelum Ramadan lalu. Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu bagi membolehkan siasatan dibuat sekiranya terdapat unsur-unsur tidak sihat berlaku. "Malah, kami juga akan membuat tangkapan awam membabitkan peniaga warga asing sekiranya pihak berkaitan tidak bertindak mengatasi masalah itu dengan segera," katanya. Terdahulu, beliau mengetuai wakil NGO tersebut mengadakan bantahan secara aman di hadapan gerai buah-buahan itu sambil membawa beberapa sepanduk yang mempersoalkan tindakan MPKj. |
Pasar Borong KL dinaik taraf tahun depan Posted: 10 Nov 2013 10:26 AM PST Ahmad Phesal Talib (tiga dari kiri) memulakan program gotong-royong Jom Bersih Bukit Bintang 5 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur kelmarin. KUALA LUMPUR 10 Nov. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menambah baik fasiliti Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang bagi memastikan pasar tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, proses penambahbaikan itu dijangka dilaksanakan tahun depan melalui peruntukan yang akan dimasukkan dalam Bajet DBKL 2014. "Penambahbaikan itu perlu kerana Pasar Borong Kuala Lumpur adalah hab yang menyediakan kira-kira 70 peratus keperluan makanan ke seluruh negara dan kita mahu memastikan kualiti bahan mentah di situ terjamin," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program gotong-royong Jom Bersih Bukit Bintang 5 di Plaza Low Yat Boulevard semalam. Program kali kelima itu disertai kira-kira 700 peserta daripada pelbagai agensi termasuk Alam Flora Sdn. Bhd., Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Indah Water Konsortium, Plaza Low Yat dan Hotel Federal. Tambah Ahmad Phesal, pihaknya baharu sahaja selesai mengadakan perbincangan mengenai projek itu yang akan membabitkan persatuan pemborong kelak. "Projek itu masih di peringkat awal dan antara perkara yang akan diberi perhatian nanti adalah pemusatan sistem penyenggaraan sampah, kebersihan dan keselamatan," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Phesal berkata, operasi Pasar Raja Bot akan ditutup selama dua hari bermula Selasa depan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian tikus dilaksanakan. "Kami akan melihat keberkesanan operasi pembersihan di pasar tersebut terlebih dahulu sebelum diperluas ke pasar-pasar lain," katanya. Untuk rekod, terdapat kira-kira 6.8 juta ekor tikus bersarang di ibu negara kini dan jumlah itu adalah empat kali ganda berbanding populasi penduduk ibu negara. Sementara itu, sebanyak 227 restoran dan gerai makanan di ibu negara yang kotor dan tidak menepati tahap kebersihan ditetapkan telah diarahkan tutup. "DBKL membuat pemeriksaan berkala dan mengejut ke atas semua premis makanan bagi memastikan kebersihan selain mengekang pembiakan tikus. "Kami mahu memastikan restoran dan kedai makan di ibu negara berada pada tahap kebersihan yang tinggi terutamanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2014," ujarnya. |
DBKL lucut 200 papan iklan lakukan kesalahan bahasa Posted: 10 Nov 2013 10:26 AM PST KUALA LUMPUR 10 Nov. - Sebanyak 200 papan tanda iklan di sekitar Kuala Lumpur yang didapati gagal mematuhi penggunaan bahasa Melayu yang betul telah ditanggalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepanjang tahun ini. Tindakan tersebut diambil ekoran terdapat pelbagai kesalahan dari aspek ejaan, tatabahasa dan struktur bahasa yang mengelirukan sehingga memberikan makna yang lari dari maksud sebenar. Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup berkata, beliau kesal dengan sikap sesetengah peniaga yang masih tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sedangkan papan iklan yang menggunakan bahasa yang betul mampu mempromosikan keindahan dan kekuatan bahasa Melayu di kalangan orang ramai termasuk pelancong asing. "DBKL dengan bidang kuasa yang ada akan terus memantau dan tanpa teragak-agak akan segera mengambil tindakan jika masih terdapat premis yang memasang papan-papan tanda, tanpa mengira saiz kecil atau besar yang gagal menggunakan bahasa Melayu yang betul. "Ini termasuk mencampur aduk dengan bahasa asing atau menggunakan bahasa asing sepenuhnya," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Mini Bulan Bahasa Kebangsaan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran. Karnival sehari dengan pelbagai aktiviti itu turut disertai DBP, Istana Budaya, Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Persatuan Penduduk PPR Seri Alam Fasa Satu dan Dua. Salleh berkata, selain perlunya kesedaran di kalangan pemilik premis yang menggantung dan memasangkan iklan bagi memastikan iklan mereka mematuhi segala syarat pengiklanan termasuk penggunaan bahasa yang betul, orang ramai juga perlu melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap iklan-iklan yang didapati boleh menjatuhkan martabat bahasa Melayu. "Orang ramai berhak menegur pemilik premis tersebut atau segera membuat aduan kepada DBKL bagi membolehkan DBKL, dan dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain, mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis terutama yang sewenang-wenang menaikkan iklan dengan bahasa Melayu yang salah," katanya. Menurutnya pemilik premis dan pembuat iklan perlu mengambil inisiatif untuk merujuk perkataan-perkataan iklan mereka kepada DBKL sebelum mempamerkan iklan tersebut bagi mengelakkan kerugian di pihak mereka sendiri. Beliau menjelaskan, tindakan boleh diambil selaras dengan peruntukan Undang-undang Kecil (3) dan Undang-undang Kecil (4) Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan 1982 dengan kompaun maksimum hingga RM2,000. Sementara itu, Abang Sallehudin Abang Shokeran berkata, DBP sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada DBKL dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu pada setiap papan-papan tanda tunjuk arah, nama premis dan iklan. "Dari aspek penguatkuasaan DBKL memerlukan DBP bagi memastikan tindakan yang diambil adalah serius dan sama sekali tidak boleh dipandang ringan walaupun hanya melibatkan jenayah bahasa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |